FITT360 Hanya Perlu Dipakai Pada Leher Untuk Rakaman Video 360 Darjah Comments Off on FITT360 Hanya Perlu Dipakai Pada Leher Untuk Rakaman Video 360 Darjah

Kebanyakan pengeluar sebenarnya lebih cenderung untuk menjadi pengikut trend berbanding pencetus trend apabila ingin memperkenalkan sesuatu produk. Tetapi LINKFLOW nampaknya tidak begitu kerana ia dilihat lebih sebagai pencetus trend melalui kehadiran satu-satunya produk tunggal mereka yang dikenali sebagai FITT360.

Kebiasaannya produk kamera 360 darjah di pasaran tampil dengan rekaan yang sebenarnya tidaklah begitu mudah alih kerana ia perlu diletakkan secara statik ataupun sentiasa perlu dipegang apabila hendak menggunakannya. Ini berbeza dengan FITT360 yang hadir dengan konsep rekaan peranti boleh-pakai (wearable).

Anda hanya perlu meletakkannya di bahagian leher, dan penggambaran 360 darjah boleh direkodkan dengan lebih mudah tanpa perlu memegangnya. Ini bermakna anda masih boleh menikmati kebebasan melakukan pelbagai aktiviti tanpa perlu menghiraukannya. FITT360 disediakan dengan empat buah kamera dan menyokong sambungan Bluetooth serta aplikasi SNS (rangkaian sosial).

Selain boleh digunakan sebagai alat untuk penstriman langsung, anda juga boleh membuat rakaman video sehingga 90 minit. Rakaman itu boleh dieksport sebagai rakaman video 360 darjah ataupun sebagai rakaman video 2K dan juga gambar.

Sungguhpun idea FITT360 ini dilihat sangat menarik dan praktikal untuk digunakan, ia hanya boleh diperolehi secara eksklusif melalui program Kickstarter sahaja buat masa ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend