
Rekaan paparan skrin penuh sememangnya menjadi trend pengeluar pada tahun 2018 dan ia dipercayai akan terus mendominasi pasaran telefon pintar pada masa akan datang. Sungguhpun begitu, paparan skrin penuh buat masa ini masih lagi dilihat berhadapan dengan isu untuk menempatkan lubang earpiece, kamera hadapan dan juga sensor.
Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan pengeluar terpaksa memilih untuk tampil dengan rekaan skrin bertakuk (notch) seperti iPhone X dan Essential Phone, ataupun mengubah kedudukan kamera swafoto pada bahagian bawah paparan skrin sebagaimana yang diperkenalkan pada Xiaomi Mi MIX 2S dan juga Sharp Aquos Crystal.

Baru-baru ini pengeluar paparan BOE yang memfokuskan pada rekaan dan juga R&D paparan skrin komersial telah memperlihatkan rekaan skrin penuh yang dikatakan mampu menyelesaikan kedua-dua isu rekaan seperti yang dihadapi oleh kebanyakan pengeluar. Ini berjaya dicapai melalui penggunaan kamera swafoto terbina-dalam yang ditempatkan pada penjuru sisi kiri skrin.

Walau bagaimanapun rekaan ini pada pendapat kami sebenarnya tidak jauh berbeza dengan rekaan kamera swafoto pada model Essential Phone. Apa yang membezakan rekaan skrin BOE dengan rekaan skrin Essential Phone hanyalah tiada lagi takuk kecil yang disambungkan pada bahagian atas bezel.
Kemas kini:
Paparan skrin penuh yang diperkenalkan oleh BOE ini menggunakan panel LTPS berukuran 6.21 inci dengan resolusi FHD+ (2400 x 1080 piksel). Ia juga tampil dengan nisbah paparan yang lebih panjang iaitu 20:9.