BlackBerry KEY2 LE Dengan Sokongan Snapdragon 636 Dan Papan Kekunci Fizikal Akan Mula Dijual Di India 0 288

BlackBerry KEY2 LE sebelum ini telah dilancarkan secara rasmi di dalam acara IFA 2018 yang berlangsung pada Ogos yang lalu, dan ia merupakan model alternatif yang lebih murah untuk model BlackBerry KEY2. Selepas hampir dua bulan ia diperkenalkan kepada umum, India bakal menjadi negara pertama menerima jualan BlackBerry KEY2 LE.

Berbeza dengan model KEY2, KEY2 LE menawarkan sokongan spesifikasi yang lebih rendah iaitu dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 636, ruang storan 64GB, RAM 4GB, dan juga bateri berkapasiti 3000 mAh tanpa sokongan pengecasan pantas. Malah keupayaan penggambarannya juga dikurangkan kepada dwi lensa 13MP (f/2.2) + 5MP (f/2.4).

Dari segi saiz skrin, ia kekal sama dengan paparan IPS LCD berukuran 4.5 inci FHD+ (1620 x 1080 piksel) yang akan dioperasikan oleh Android 8.1 Oreo dengan sokongan papan kekunci QWERTY fizikal. Ditawarkan dalam satu warna pilihan iaitu Space Blue, BlackBerry KEY2 LE akan mula dijual pada 12 Oktober nanti di India dengan tanda harga Rs.24,990 (kira-kira RM1,404).

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend