Berita Bocor : HTC U12 Didakwa Sokong Storan 256GB Dengan Qualcomm Snapdragon 845 Comments Off on Berita Bocor : HTC U12 Didakwa Sokong Storan 256GB Dengan Qualcomm Snapdragon 845

HTC sebelum ini dikatakan akan hadir dengan model flagship baharunya dengan kehadiran model HTC U12 atau turut dikenali dengan nama kod ‘HTC Imagine’. Bahkan pengeluar dari Taiwan itu juga dilihat tidak memperkenalkan model tersebut dalam acara MWC 2018 kerana ia dipercayai akan dilancarkan dalam acara berasingan tidak lama lagi.

Selepas pelbagai kebocoran maklumat berkaitan HTC U12 di Internet, baru-baru ini @LlabTooFeR telah berkongsi spesifikasi peranti tersebut melalui akaun Twitter miliknya. Berdasarkan kepada perkongsian itu, HTC U12 dipercayai akan dikuasakan dengan pemproses paling berkuasa Qualcomm Snapdragon 845, ruang storan yang sangat besar iaitu 256GB, memori RAM 6GB, dan juga paparan skrin 18:9 sebesar 5.99 inci QHD+.

HTC U12 juga dikatakan akan menyokong versi antaramuka terbaharu HTC Sense 10 berasaskan Android 8.0 Oreo, disertakan dengan ciri kalis air melalui pengiktirafan IP68, konfigurasi kamera utama 12 Megapiksel + 16 Megapiksel (Sony Exmor RS IMX3xx), kamera hadapan 8 Megapiksel, bateri berkapasiti 3420 mAh, dan juga keupayaan keselamatan biometrik HTC Face Unlock.

Fungsi HTC Edge Sense yang disokong oleh HTC U12 ini juga turut menerima penambahbaikan dengan versi 2.0 yang mana menjanjikan keupayaan yang lebih baik. Fungsi ini membolehkan pengguna mengakses aplikasi ataupun fungsi lain pada peranti HTC dengan cara paling pantas iaitu melalui kaedah ‘picitan’ pada sisi kerangka peranti.

HTC U12 dijangka akan mula dilancarkan secara rasmi mulai April 2018 ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend