ASUS Mempatenkan Rekaan Kamera Swafoto Tersembunyi Dalam Kerangka Dan Lubang Kamera Pada Skrin Comments Off on ASUS Mempatenkan Rekaan Kamera Swafoto Tersembunyi Dalam Kerangka Dan Lubang Kamera Pada Skrin

Pada Ogos 2018 yang lalu, ASUS telahpun menghantar beberapa paten ke EUIPO (Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah) dan akhirnya paten itu telahpun menerima pelepasan pada 22 dan 23 Disember yang lepas. Apa yang menarik perhatian, dua daripada paten itu mendedahkan rekaan baharu untuk kamera swafoto peranti ASUS ZenFone pada masa akan datang.

Paten yang pertama memperlihatkan rekaan kamera swafoto yang boleh disembunyikan di dalam kerangka dengan mekanisma rekaan mirip seperti Vivo NEX. Berdasarkan paten yang dikongsikan itu, terdapat tiga saiz berbeza yang berupaya menyokong lebih dari satu lensa dan juga sensor pengecaman wajah 3D. Melalui lakaran itu juga jelas dapat dilihat sokongan lubang earpiece yang terletak betul-betul di atas bezel yang nipis.

Manakala paten kedua pula menyaksikan rekaan kamera swafoto yang ditempatkan di dalam paparan skrin mirip seperti Huawei Nova 4 dan juga Samsung Galaxy A8s. Dengan rekaan bezel atas nipis yang tersedia dengan lubang earpiece, kamera swafoto akan ditempatkan di sebelah kiri skrin. Berbeza dengan paten pertama yang hadir dengan rekaan skrin penuh, paten kedua ini memiliki bezel sederhana kecil.

Prototaip ASUS ZenFone 6 sebelum ini hadir dengan rekaan kamera swafoto yang terletak di sebelah kanan skrin.

Walau bagaimanapun masih belum dapat dipastikan model apakah yang akan hadir dengan rekaan sebegini buat masa ini. Sungguhpun begitu ketirisan prototaip ASUS ZenFone 6 sebelum ini mungkin menjadi percubaan terawal ASUS untuk mencuba rekaan kamera swafoto seperti yang digambarkan pada paten ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend