
Menurut sumber dari pembekal perkakasan di Taiwan, Apple dikatakan sedang berbincang dengan MediaTek untuk melancarkan versi HomePod yang lebih mampu milik bagi membolehkannya menembusi lebih banyak pasaran. Perancangan ini dibuat selepas statistik jualan HomePod memperlihatkan permintaan yang agak mengecewakan jika dibandingkan dengan Google dan juga Amazon iaitu hanya 600,000 unit untuk suku pertama tahun 2018 ini.
Sumber yang tidak mahu dikenali itu juga mendakwa Apple tidak akan menggunakan jenamanya pada speaker pintar ini, sebaliknya ia akan diletakkan di bawah jenama Beats. Malah ia juga akan dijual pada harga jauh lebih rendah iaitu USD199 (kira-kira RM790) berbanding HomePod yang dijual pada harga USD349 (kira-kira RM1,390).

Walaupun speaker pintar terbaru ini akan dijual pada harga yang lebih rendah, adakah ia mampu menyaingi speaker pintar kelas permulaan seperti Amazon Echo Dot dan juga Google Home Mini yang masing-masing dijual pada harga hanya USD49 (kira-kira RM195)?!