Apa Yang Perlu Anda Ketahui Tentang OPPO Reno2… Berbaloikah Untuk Anda Memilikinya?! Comments Off on Apa Yang Perlu Anda Ketahui Tentang OPPO Reno2… Berbaloikah Untuk Anda Memilikinya?!

Tidak dinafikan bahawa OPPO Reno2 bukanlah sebuah model telefon pintar terbaharu yang boleh anda miliki di pasaran buat masa ini. Namun dengan lambakan pelbagai model yang terdapat di pasaran, adakah masih berbaloi untuk anda miliki OPPO Reno2 yang disasarkan untuk segmen peranti kelas pertengahan premium ini?! Jadi bagi menjawab persoalan itu, kami akan berkongsi apakah kelebihan dan juga kekurangan OPPO Reno2 seperti berikut…

#1. Kotak pembungkusan menarik

Sememangnya kotak pembungkusan sesebuah telefon pintar bukanlah sesuatu yang diambil peduli oleh kebanyakan pengguna, ini kerana kebiasaannya akan terus disimpan selepas dibeli. Sungguhpun begitu, pandangan pertama terhadap penampilan kotak pembungkusan sebenarnya boleh memberi tanggapan awal terhadap keperincian pengeluar terhadap peranti yang ditawarkan.

OPPO Reno2 menampilkan rekaan pembungkusan yang agak menarik kerana ia menampilkan saiz kotak yang jauh lebih panjang berbanding biasa. Malah kualiti kotak juga sangat baik dengan slot untuk menempatkan aksesori yang dibina dengan sangat kemas dan tersusun rapi.

#2. Pakej aksesori lengkap

Demi mengurangkan harga jualan sesebuah peranti daripada kelas pertengahan, kebanyakan pengeluar akan menggunakan pendekatan untuk menawarkan aksesori yang sangat asas. Tetapi tidak dengan OPPO Reno2 kerana anda boleh terus menggunakannya selepas dibeli tanpa perlu membuat pembelian aksesori berasingan.

Ini kerana OPPO Reno2 telah tersedia dengan sokongan aksesori penting, termasuklah pelindung skrin plastik yang siap telah siap dipasang pada panel skrin, palam kuasa dengan teknologi VOOC Flash Charge 3.0, kabel USB Type-C VOOC Flash Charge 3.0 yang sangat tebal sarung, dan juga fon telinga jenis semi in-ear.

This slideshow requires JavaScript.

Apa yang paling menarik perhatian kami adalah penyediaan sarung pelindung seakan kulit yang sangat berkualiti tinggi. Selain memiliki permukaan yang tidak mudah calar, ia turut menerima kemasan jahitan menggunakan benang sebenar. Malah paparan skrin lebih selamat kerana keempat-empat penjuru sarung pelindung ini sedikit timbul dari permukaan skrin.

#3. Skrin penuh AMOLED 6.5 inci

Sekiranya anda merupakan pengguna yang sangat tidak menggemari rekaan skrin dengan sokongan takuk ataupun lubang kamera pada skrin, OPPO Reno2 hadir memiliki rekaan skrin penuh dengan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah 93.1%. Ketahanan skrin juga lebih terjamin kerana ia menggunakan panel Corning Gorilla Glass 6, setanding peranti mercu yang ditawarkan pada harga jauh lebih mahal.

OPPO Reno2 menyokong tahap keterangan maksimum mencecah sehingga 800nits.

Paparan skrin AMOLED berukuran 6.5 inci FHD+ ini bukan sahaja memastikan warna paparan yang lebih cantik, tetapi dalam masa yang sama turut menjanjikan tahap kontras yang sangat tinggi iaitu mencecah 1,400,000:1. Ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri menarik seperti gamut warna DCI-P3 dan juga menerima pengiktirafan perlindungan paparan daripada TÜV Rheinland.

#4. Kamera depan 20MP dengan rekaan ‘Dolphin Fin’

Berbeza dengan rekaan kamera depan terangkat pada peranti lain di pasaran, OPPO Reno2 kini tampil dengan rekaan kamera terangkat baharu yang dikenali sebagai ‘DolphinFin’. Selain rekaan yang unik, proses naik turun kamera depannya adalah sangat cepat iaitu hanya 0.8 saat sahaja.

Bagi memastikan ketahanan penggunaannya, OPPO telah menjalankan ujian naik turun kamera ini sehingga lebih 200,000 kali tanpa masalah. Ini bermaksud ia bersamaan dengan pengaktifan kamera depan lebih daripada 182 kali pada setiap hari untuk tempoh 3 tahun. Malah kamera depan OPPO Reno2 turut dilengkapi dengan sensor untuk mengesan sekiranya peranti terjatuh.

#5. Rekaan premium dengan permukaan kamera rata

Demi menghasilkan sebuah telefon pintar yang nipis, kebanyakan pengeluar terpaksa mengambil pendekatan untuk menghasilkan rekaan kamera utama yang timbul daripada permukaan panel belakangnya. Tetapi OPPO Reno2 terkecuali kerana dengan kerangka yang memiliki ketebalan mencecah 9.5mm, permukaan kameranya tampil rata.

Bonjolan kecil (berwarna hijau) pada panel belakang OPPO Reno2 mampu mengelakkan risiko permukaan kamera tercalar.

Walaupun memiliki kerangka lebih tebal berbanding pesaingnya yang lain, OPPO Reno2 memberikan rasa pegangan yang lebih ergonomik dengan permukaan melengkung pada sisi kiri dan kanan. Namun begitu, risiko permukaan kamera tercalar pada peranti ini adalah lebih rendah kerana terdapat benjolan kecil permukaan panel belakangnya.

This slideshow requires JavaScript.

Hadir dalam dua warna pilihan menarik iaitu Sunset Pink dan Luminous Black dengan sentuhan efek warna yang sangat cantik, OPPO Reno2 diperbuat daripada kombinasi panel kaca dengan kerangka aluminium.

#6. Kuad kamera 48MP Sony IMX586

Konfigurasi kuad kamera pada OPPO Reno2 dirasakan lebih praktikal kerana ia menampilkan sokongan lensa 48MP (Sony IMX586, OIS) + 13MP (Telephoto) + 8MP (Wide Angle) + 2MP (Mono). Ini kerana ia dilengkapi lensa telefoto yang mampu menyokong ciri 5x zum optikal hibrid dan sehingga 20x zum digital.

This slideshow requires JavaScript.

Berbanding peranti kelas pertengahan lain yang menyokong mod Macro menggunakan lensa 2MP, dan pada pendapat kami ia hanyalah sekadar gimik kerana butiran gambar tidak dapat dikekalkan. Namun OPPO Reno2 mampu menjanjikan kualiti gambar makro dengan butiran gambar yang lebih terperinci pada jarak sedekat 2.5cm, ini kerana ia menggunakan lensa beresolusi 8MP.

#7. Rakaman video dengan efek bokeh

Tidak dinafikan bahawa OPPO Reno2 menjanjikan keupayaan penggambaran yang sangat baik kerana ia tersedia dengan pelbagai fungsi penggambaran termasuklah Ultra Dark ModePortrait Mode 2.0, dan juga HDR Portrait. Apa yang menariknya, OPPO Reno2 turut menyokong rakaman video dengan efek bokeh untuk kamera depan dan juga kamera belakang.

#8. Teknologi VOOC Flash Charge 3.0

OPPO Reno2 hadir dengan sokongan port USB Type-C dengan teknologi VOOC Flash Charge 3.0 yang mampu dicas pantas menggunakan output 20W.

Sokongan bateri berkapasiti 4000mAh membolehkan peranti ini digunakan untuk memainkan permainan mudah alih sehingga 8 jam, dan juga tontonan video sehingga 13 jam. Malah proses pengecasan juga terasa lebih singkat dengan adanya sokongan teknologi pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 yang mampu mengecas bateri sehingga 51% dalam tempoh 30 minit sahaja.

#9. Cipset Snapdragon 730G + Game Boost 2.0

Dilengkapi dengan cipset kelas pertengahan antara yang terbaik di pasaran Malaysia buat masa ini, OPPO Reno2 dikuasakan dengan Snapdragon 730G. Bagi memastikan prestasi permainan mudah alih yang lebih baik, ia turut dilengkapi dengan teknologi Game Boost 2.0 yang menggabungkan antara fungsi Frame Boost 2.0, Touch Boost 2.0, dan juga Engine Boost.

Isu kepanasan melampau juga bukan satu masalah buat OPPO Reno2 kerana ia tersedia dengan kombinasi tiga jenis teknologi penyejukan berbeza iaitu gel penyejukan, tiga lapisan grafit dan juga paip tembaga untuk proses penyejukan maksimum. Pengalaman permainan juga lebih imersif dengan adanya sokongan Dolby Atmos + Hi-Res Audio.

→ Ujian penanda aras:

#10. Kombinasi memori sebesar 8GB + 256GB

OPPO Reno2 turut menampilkan kombinasi memori yang sangat besar iaitu RAM LPDDR4X sebesar 8GB, dan juga ruang storan mencecah 256GB menggunakan teknologi UFS 2.1 yang menjanjikan proses penghantaran data yang lebih laju. Sekiranya ruang memori itu masih tidak mencukupi, slot kad microSD hibrid turut disediakan.

KESIMPULAN

Jika dilihat pada harga jualan OPPO Reno2 iaitu RM2299, mungkin masih ada banyak model telefon pintar kelas pertengahan yang dijual pada harga lebih mampu milik. Namun begitu berbeza dengan pesaingnya yang lain di pasaran, OPPO Reno2 sebenarnya menawarkan aspek yang lebih seimbang antara spesifikasi, rekaan fizikal dan juga pakej pembelian yang setanding peranti yang dijual pada harga lebih mahal.

Selain rekaan yang lebih premium dengan kombinasi antara kaca Corning Gorilla Glass 6 dan juga kerangka aluminium, OPPO Reno2 sebenarnya lebih sesuai untuk anda yang mementingkan keupayaan penggambaran. Ini kerana ia dilengkapi dengan sokongan pelbagai fungsi dan mod penggambaran termasuklah ciri 2x zum optikal, Super Macro, Ultra Steady, Night Mode, rakaman video dengan efek bokeh, dan banyak lagi.

Apa yang pasti, paparan skrin penuh tanpa gangguan takuk atau lubang kamera pada skrin dan juga rekaan kamera pop-naik yang unik ini sudah tentunya kelihatan lebih menarik jika dibandingkan dengan rekaan tipikal sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang lain.

Baca juga:

OPPO Reno2 Dan Reno2 F Kini Rasmi Di Malaysia – Masing-masing RM2299 Dan RM1599

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend