AnTuTu Berkongsi Data Spesifikasi Telefon Pintar Android Untuk Bulan Mei 2018 Comments Off on AnTuTu Berkongsi Data Spesifikasi Telefon Pintar Android Untuk Bulan Mei 2018

AnTuTu baru-baru ini telah mendedahkan data komprehensif berhubung spesifikasi yang disokong oleh telefon pintar Android sepanjang bulan Mei 2018 yang lalu. Data ini meliputi saiz paparan skrin, sistem operasi, saiz storan dan juga RAM bagi setiap peranti yang pernah menjalankan ujian benchmark menggunakan aplikasi ini. Sebagai rujukan, data yang dikongsikan ini meliputi telefon pintar Android dari seluruh dunia.

Saiz Skrin

Berdasarkan data yang dikongsikan, telefon pintar Android dengan saiz skrin berukuran 5.5 inci merupakan pilihan pengguna iaitu meliputi hampir 20% daripada keseluruhan peranti yang diuji. Apa yang lebih menariknya, telefon pintar dengan saiz skrin berukuran 6 inci (termasuk 5.99 inci) telah memperlihatkan peningkatan yang agak ketara berbanding sebelum ini. Ini mungkin disebabkan oleh pendekatan pengeluar untuk memperkenalkan nisbah paparan 18:9 dan 19:9.

Resolusi Skrin

Memandangkan peranti dengan sokongan saiz skrin 5.5 inci semakin berkurangan, telefon pintar dengan resolusi 1080p (1920 x 1080 piksel) turut dilihat semakin berkurangan tetapi masih mendahului statistik. Manakala paparan skrin FHD+ beresolusi 2160 x 1080 piksel dan 2280 x 1080 piksel turut memperlihatkan peningkatan secara keseluruhannya.

Kapasiti RAM

Penggunaan RAM berkapasiti 4GB yang kini menjadi pilihan pengeluar untuk telefon pintar peranti kelas pertengahan dan juga peranti mampu milik, tidak hairanlah ia mendominasi statistik. Namun begitu, sokongan RAM berkapasiti 6GB juga dilihat tidak begitu jauh ketinggalan dengan catatan 29.73%. Walaupun tidak banyak peranti yang tampil dengan sokongan RAM 8GB, ia mencatatkan 5.19% secara keseluruhannya.

Kapasiti ROM

ROM berkapasiti 64GB kini menjadi pilihan pengguna dengan mencatatkan 43.78% kerana ia mungkin disebabkan oleh trend pengeluar yang kini sering menampilkan sesebuah model dalam beberapa varian storan berbeza. Apa yang menariknya, peranti dengan ROM 16GB kini hanya mencatatkan 9.03% sahaja berikutan semakin kurang peranti baharu diperkenalkan dengan kapasiti tersebut pada masa ini.

Teras Pemproses

Data ini sangat mengejutkan kerana lebih dari 75% telefon pintar Android dioperasikan dengan pemproses lapan teras. Ini mungkin didorong oleh populariti pemproses lapan teras seperti Snapdragon 845, Snapdragon 660, Snapdragon 636, dan juga Kirin 970. Ini berbeza dengan pemproses enam teras yang hanya mencatatkan kurang dari 2%.

Versi Android

Berbeza dengan telefon pintar yang dioperasikan dengan platform iOS, telefon pintar dengan platform Android dilihat agak ketinggalan dari aspek penerimaan kemas kini terbaru. Ini jelas dapat dilihat melalui pecahan yang hampir sekata untuk semua versi Android yang telah digunakan untuk ujian benchmark ini. Android 8.0 Oreo mendahului carta dengan 26.93% manakala Android 7.1.2 Nougat pula mencatatkan 8.09%.

Sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend