Alat Kawalan Playstation 5 Diperlihatkan Buat Pertama Kali – DualSense Comments Off on Alat Kawalan Playstation 5 Diperlihatkan Buat Pertama Kali – DualSense

Playstation 5 akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini dan sebelum tiba ke hari tersebut, Sony hari ini telah memperlihatkan alat kawalan untuk konsol permainan generasi keenam mereka. Alat kawalan itu dinamakan DualSense dan ia sekaligus menggantikan model DualShock yang digunakan sejak 1997 pada Playstation pertama.

Secara asasnya DualSense masih mengekalkan fungsi yang sama seperti DualShock 4. Hal ini kerana sejak DualShock 4 diperkenalkan, Sony telah menerima banyak maklum balas baik daripada pengguna. Kini alat kawalan terbaru itu dilengkapi enjin haptik yang dipertingkatkan bagi memberi kesan yang lebih realistik sewaktu bermain.

DualSense turut menjalani perubahan daripada segi reka bentuk. Alat kawalan ini hadir dengan kerangka badan yang ergonomik untuk memberikan keselesaan kepada pengguna. Menurut Sony, rekaan ini digunakan selepas beratus-ratus rekaan konsep dibangunkan sejak beberapa tahun yang lalu. Untuk warna, Sony telah menggunakan rekaan dua tona yang menggabungkan warna putih dan juga hitam.

Sony telah menambah fungsi butang pada L2 dan R2 yang mana butang-butang ini kini menyokong penyesuaian picu (adaptive trigger). Tiada butiran spesifik mengenainya tetapi Sony memberi contoh yang mana fungsi ini dapat membantu pemain mengawal anak panah sebelum menembaknya.

Hayat bateri kini dipertingkatkan pada masa sama pereka DualSense juga berjaya mengurangkan berat alat kawalan ini supaya pemain tidak berasa penat apabila bermain.

Untuk butang ‘Share’ yang sebelum ini terdapat pada DualShock 4, Sony telah mengubahnya kepada butang ‘Create’. Melalui butang ‘Create’, ia memudahkan lagi pengguna untuk berkongsi kandungan permainan di beberapa platfom. Selain daripada itu, perubahan turut menyaksikan saiz pad sesentuh yang lebih besar yang mana secara logiknya memudahkan pengguna menggerakkan kursor.

Sony tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai DualSense dan kita mungkin akan mendengarnya sebaik ia dilancarkan kelak.

Sedikit komen daripada kami, apa yang kami dapat lihat ialah lekuk pada badan DualSense ini kelihatan hampir serupa dengan alat kawalan konsol daripada Microsoft.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend