Acer Predator Perkenal Tiga Monitor Permainan Terbaru, Salah Satunya Dengan Skrin 4K OLED 55″ Comments Off on Acer Predator Perkenal Tiga Monitor Permainan Terbaru, Salah Satunya Dengan Skrin 4K OLED 55″

Acer Predator X32, Predator X38, dan Predator CG552K hari ini telah diperkenalkan di acara tahunan CES 2020, menawarkan ciri-ciri terbaru yang mampu menjadikan pengalaman permainan lebih imersif dan mewah. Ketiga-tiganya akan ditawarkan di Amerika Utara bermula suku kedua tahun ini dan akan tiba ke pasaran lain tidak lama selepas itu.

Predator X32 Gaming Monitor (~RM15,305)

Predator X32 ialah monitor berukuran 32-inci bercirikan NVIDIA G-SYNC ULTIMATE, memberikan kelicinan sepanjang permainan pada masa sama mengawal kontras dan palet warna dengan stabil. Panel ini menawarkan resolusi UHD 3840×2160 dengan keterangan maksima 1440 nits.

Kadar segar semula setinggi 144Hz turut membuatkan skrin ini lancar malah jelas dilihat dari perlbagai sudut sehingga 178 darjah. Terdapat tiga port HDMI 2.0 dan DisplayPort 1.4 untuk sambungan ke PC dan empat post USB 3.0 untuk kerja pemindahan data. Monitor ini dilengkapi sistem audio stereo daripada dua buah unit pembesar suara 4W.

Predator X38 Gaming Monitor (~RM10,007)

Monitor sebesar 37.5-inci UWQHD+ 3840×1600 ialah sedikit melengkung malah dikuasakan pemproses NVIDIA G-SYNC. Pensijilan VESA DisplayHDR 400 pula menjanjikan keterangan dan jarak kontras dan warna skrin pada tahap AAA.

Kepantasan paparan dengan kadar segar semula 175Hz (overclock) dan masa respon 1ms menjadikan monitor ini sangat diperlukan dalam permainan tembak-menembak. Skrin yang dibentang juga begitu ergonomik kerana ia boleh dicondongkan dari -5 hingga 35 darjah, dipusingkan dari +/- 30 darjah, dan ketinggian dari 5 hingga 11-inci.

Daripada segi I/O, monitor ini didatangkan dengan port HDMI 2.0 dan DisplayPort 1.4 diikuti empat port USB 3.0 sementara unit audio dijana dua pembesar suara 7W menjadikan keseluruhan berkuasa 14W.

Predator CG552K Gaming Monitor (~RM12,950)

Monitor yang terakhir ini adalah monitor gergasi dengan ukuran penjuru-ke-penjuru 55-inci beresolusi 4K 3840×2160 berbekalkan panel OLED. Keterangannya pula adalah sedikit rendah berbanding dua monitor di atas. Ianya hanya boleh memancarkan sehingga 400 nits melalui ketepatan warna 98.5%.

Menurut Acer, monitor ini sesuai digandingkan dengan permainan konsol selain menyokong kadar segar semula bolehubah. Fungsi lain turut menunjukkan monitor ini mampu menawarkan masa respon paparan serendah 0.5ms dengan kemampuan kadar segar semula 120Hz.

Ia juga dipadankan sensor yang dapat mengukur tahap keterangan persekitaran untuk melaras tahap keterangan skrin yang selesa dipandang. Sensor jarak pula boleh mengaktifkan mod penjimatan sekiranya tiada sesiapa yang menggunakan monitor ini.

Untuk port, terdapat tiga HDMI 2.0, dua port DisplayPort 1.4, USB Type-C, disamping juga dua USB 2.0 dan USB 3.0. Terakhir sekali, ia hadir dengan dua pembesar suara 10W yang boleh dikustomasi mengikut citarasa pengguna.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend