Samsung Galaxy S9/S9+ Kini Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Penambahbaikan Spesifikasi 0 345

Penantian untuk menyaksikan kemunculan Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ secara rasmi telah berakhir apabila Samsung telah melancarkan kedua-dua model tersebut dalam acara Samsung Galaxy Unpacked 2018.

Jika dilihat pada rekaan fizikalnya, Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kelihatan tidaklah begitu jauh berbeza dengan model Galaxy S8. Namun begitu, apa yang membuatkan Galaxy S9 dan Galaxy S9+ ini lebih menonjol adalah sokongan pemproses berkuasa dengan ciri-ciri baharu yang hebat.

Paparan Skrin

Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ masing-masing membawakan skrin Infinity Display berukuran 5.8 inci dan juga 6.2 inci sama seperti generasi sebelum ini. Malah teknologi paparan juga masih mengekalkan penggunaan Super AMOLED QHD+ beresolusi 1440 x 2960 piksel dengan sokongan HDR. Sungguhpun begitu, Samsung telah mendedahkan bahawa siri Galaxy S9 menggunakan lapisan skrin yang baharu bagi memastikan kualiti paparan yang lebih baik.

Pemproses

Untuk pasaran global termasuk Malaysia, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ telah menggunakan cip pemproses lapan teras paling berkuasa dari Samsung iaitu Exynos 9810. Galaxy S9 menawarkan sokongan RAM sebesar 4GB, manakala Galaxy S9+ pula memiliki RAM lebih besar iaitu 6GB. Kedua-dua model ini hadir dengan sokongan ruang storan bermula dari 64GB.

Kamera

Apa yang membezakan kedua-dua model baharu dari Samsung pada kali ini adalah Galaxy S9 memiliki hanya satu lensa beresolusi 12 Megapiksel. Galaxy S9+ pula lebih mengikut trend apabila disediakan dengan dwi lensa beresolusi 12 Megapixel yang menyokong penggambaran telefoto dengan fungsi zum optikal sama seperti Galaxy Note8. Manakala lensa swafoto untuk kedua-dua model ini masih dikekalkan 8 Megapiksel dengan aperture f/1.7.

Lebih istimewanya, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ membawakan inovasi canggih yang mana ia menyokong teknologi ‘Variable Aperture’ yang boleh dilaras antara f/1.5 dan f/2.4 mengikut senario pencahayaan yang berbeza. Malah kedua-dua model ini juga turut menyokong penggambaran gerak perlahan yang dikenali sebagai Super Slow-Mo yang berupaya merekod sehingga 960fps.

AR Emoji

Salah satu fungsi baharu Galaxy S9 dan Galaxy S9+ yang mendapat perhatian ramai adalah AR Emoji yang mana ia boleh menghasilkan avatar 3D menyerupai wajah pengguna. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengambil gambar diri sendiri dan secara automatik Galaxy S9 dan Galaxy S9+ akan menghasilkan avatar yang menyerupai wajah anda. Malah pengguna juga boleh melaras avatar tersebut agar lebih menyamai wajah sebenar. Apabila avatar 3D berjaya dihasilkan, peranti akan menghasilkan stiker emoji yang boleh diakses melalui papan kekunci dan juga aplikasi permesejan.

Speaker Stereo

Keupayaan audio pada Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kini telah dipertingkatkan dengan kualiti stereo. Konfigurasi speaker stereo telah ditempatkan pada bahagian bawah kerangka dan juga lubang earpiece. Menurut Samsung, sokongan speaker stereo pada siri Gaklaxt S9 adalah 1.4x lebih kuat berbanding Galaxy S8 sebelum ini.

Bagi memastikan kualiti speaker yang lebih hebat, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ turut menerima talaan audio dari AKG dengan sokongan Dolby Atmos. Malah port 3.5mm audio jack juga dilihat masih dikekalkan kehadirannya sama seperti generasi sebelumnya.

Bateri

Dari segi sokongan kapasiti bateri pula, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ masih mengekalkan sokongan kapasiti bateri yang sama seperti siri Galaxy S8 iaitu 3000 mAh dan 3500 mAh.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend