Xiaomi Mi MIX 2S Kini Dilancarkan Secara Rasmi – Dwi Kamera Dengan 2x Zum Optikal Dan Teknologi Pengecasan Tanpa Wayar Comments Off on Xiaomi Mi MIX 2S Kini Dilancarkan Secara Rasmi – Dwi Kamera Dengan 2x Zum Optikal Dan Teknologi Pengecasan Tanpa Wayar

Hari ini Xiaomi telah merasmikan model flagship premium keluarannya iaitu Mi MIX 2S yang boleh dianggap antara siri pertama keluaran Xiaomi yang menampilkan penggunaan paparan skrin penuh. Generasi ketiga dari siri Mi MIX ini telah dilancarkan secara rasmi di Shanghai, China.

Sebagaimana generasi sebelum ini, Xiaomi Mi MIX 2S masih mengekalkan rekaan panel belakang yang diperbuat daripada seramik dengan bingkai kerangka aluminium. Ia juga turut mengekalkan sokongan paparan bernisbah 18:9 yang berukuran 5.99 inci FHD+ (2160 x 1080 piksel), kamera hadapan 5 Megapiksel, dan juga bateri berkapasiti 3400 mAh dengan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Apa yang membezakan Mi MIX 2S ini berbanding Mi MIX 2 adalah penambahbaikan pada keupayaan penggambarannya dengan sokongan dwi kamera beresolusi 12 Megapiksel (1.4 µm) dengan aperture f/1.8 untuk lensa utamanya mampu memastikan hasil gambar yang lebih jelas dan terang. Manakala lensa keduanya yang juga beresolusi 12 Megapiksel dengan aperture f/2.4 pula menawarkan fungsi 2x zum optikal.

Lebih menariknya, Xiaomi juga buat pertama kalinya telah memperkenalkan teknologi pengecasan tanpa wayar pada Xiaomi Mi MIX 2S. Malah Xiaomi juga turut memperkenalkan aksesori khas iaitu Mi Wireless Charger berasaskan piawaian Qi dengan output pengecasan 7.5W.

Dua pilihan warna iaitu Ceramic White dan Ceramic Black.

Xiaomi Mi MIX 2S dioperasikan oleh MIUI 9.5 (Android 8.0 Oreo), dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 845, pilihan ruang storan 64GB/128GB/256GB, dan juga kapasiti RAM 6GB/8GB. Harga jualannya bermula dari CNY3299 (kira-kira RM2044) hingga CNY3999 (kira-kira RM2478).

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend