Xiaomi Mi Bunny Children Phone Watch 3 Dengan Paparan AMOLED Dan Gorilla Glass 3 Dilancarkan Comments Off on Xiaomi Mi Bunny Children Phone Watch 3 Dengan Paparan AMOLED Dan Gorilla Glass 3 Dilancarkan

Lebih kurang dua bulan yang lepas Xiaomi melancarkan jam tangan pintar Mi Bunny Children Phone Watch 2C yang dikhususkan untuk golongan kanak-kanak. Hari ini Xiaomi dilihat telah memperkenalkan pula versi peningkatan untuk model tersebut dengan kehadiran model Mi Bunny Children Phone Watch 3 yang kini hadir dengan sambungan 4G.

Berbeza dengan rekaan sebelum ini, Mi Bunny Children Phone Watch 3 menampilkan rekaan muka jam empat segi dengan paparan skrin AMOLED sebesar 1.41 inci beresolusi 320 x 360 piksel. Ketahanan panel kaca skrinnya juga kini telah diperkuatkan lagi dengan penggunaan panel Gorilla Glass 3 dengan permukaan 2.5D yang melengkung.

Mi Bunny dengan sokongan rangkaian 4G LTE ini turut dilengkapi ciri fungsi kalis air dengan pengiktirafan IPX7 dan didatangkan dengan tali jam silikon yang menjanjikan keselesaan ketika memakainya. Kehadiran sambungan 4G ini membolehkan panggilan suara atau mesej suara diterima atau dihantar tanpa masalah.

Kamera 2 Megapiksel yang ditawarkan pada jam tangan pintar kanak-kanak ini turut dilengkapi dengan keupayaan untuk mengenal pasti tumbuhan dalam membantu golongan tersebut melalui proses pembelajaran. Selain itu, Mi Bunny 3 turut dilengkapi ciri-ciri tambahan seperti GPS, WiFi, G-sensor, AGPS dan banyak lagi.

Xiaomi Mi Bunny Children Phone Watch 3 boleh dimiliki pada harga CNY599 (kira-kira RM358) dan akan mula dijual 24 Julai 2018 di China.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend