Xiaomi Mi A2 Melawan Xiaomi Redmi Note 5 – Manakah Pilihan Kami? Comments Off on Xiaomi Mi A2 Melawan Xiaomi Redmi Note 5 – Manakah Pilihan Kami?

Oleh kerana ramai yang bertanya manakah peranti yang harus dipilih antara Xiaomi Mi A2 dan Xiaomi Redmi Note 5, dalam artikel ini TeknoRatz akan membantu anda dalam membuat pilihan tersebut. Kami telah senaraikan 10 aspek yang perlu dilihat dalam membuat perbezaan antara dua peranti ini.

Harga

Untuk memori dalaman 4GB RAM dan 64GB storan, Xiaomi Mi A2 ditawarkan pada RM999, sementara Xiaomi Redmi Note 5 pula pada harga RM939 (asal RM999). Ini bermakna harga untuk setiap peranti masih belum mencecah ribuan ringgit.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Binaan kerangka

Xiaomi Redmi Note 5 (kiri) dan Xiaomi Mi A2

Setelah meneliti dua peranti ini, kami mendapati binaan pada Mi A2 lebih kemas kerana hadir dengan tubuh unibodi logam. Kami tidak katakan binaan pada Redmi Note 5 tidak kemas tetapi panel belakangnya telah dipisahkan dengan kerangka sisi, atas, dan bawah.

Pemenang → Xiaomi Mi A2

Pemproses

Bagi anda yang inginkan pemproses generasi terkini, Mi A2 dimuatkan dengan cipset Snapdragon 660. Ianya keluaran terbaru untuk cip Qualcomm dibawah siri-600 – yang mana Redmi Note 5 membawakan cipset lebih rendah iaitu Snapdragon 636. Prestasi untuk kedua-dua cip ini tidak jauh beza, malah ia juga masih menyokong permainan mudah alih yang baik.

Pemenang → Xiaomi Mi A2

Antaramuka

MIUI 9.5 disamping Android asli (kanan)

Dalam aspek ini kami lebih sukakan Android dengan kustomasi UI daripada pengeluar seperti yang ditawarkan pada Redmi Note 5. Namun, ada sebahagian besar pengguna Android yang lebih meminati sistem operasi yang bersih pada Android asli. Jadi, bagi yang tidak sukakan kustomasi anda mungkin berminat dengan Mi A2.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Kamera Utama

Mi A2 dengan konfigurasi kamera 12MP+20MP, Redmi Note 5 pula gunakan kamera 12MP+5MP

Dua peranti ini dilengkapi dengan sistem dwi kamera utama. Mengikut kertas spesifikasi, Redmi Note 5 didatangkan dengan sensor yang lebih besar. Sebaliknya untuk kemampuan fotografi ada pengguna yang mengatakan hasil gambar daripada peranti Mi A2 ialah lebih cantik – mungkin disebabkan pemprosesan imej yang sedikit canggih pada cipset SD660.

Pemenang → Xiaomi Mi A2

Bateri

Bahagian ini antara bahagian yang penting dalam pemilihan telefon pintar. Untuk anda yang inginkan bateri berkapasiti besar, Redmi Note 5 memiliki ciri itu kerana hadir dengan bateri 4,000mAh. Sementara itu, Mi A2 hanya menawarkan bateri sebesar 3,000mAh.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Sambungan Pengecasan

Ada kelebihan dan kekurangan pada bahagian sambungan di setiap peranti

Disebabkan Mi A2 sebuah telefon pintar keluaran terkini Xiaomi, ia dibekalkan dengan sambungan USB Type-C, manakala rakannya pula masih menggunakan sambungan microUSB yang kini dilihat ketinggalan kebelakang.

Pemenang → Xiaomi Mi A2

Bicu Audio

Ketiadaan bicu audio pada Mi A2 agak menyukarkan pengguna untuk mendengar muzik melalui fon telinga berwayar. Tetapi untuk masalah ini, kami tidak lihat pada Redmi Note 5 kerana telefon ini masih menyokong bicu audio di bahagian bawah kerangkanya.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Slot Kad

Slot hibrid di Redmi Note 5 lebih mesra pengguna

Storan yang tidak mencukupi membuatkan pengguna mencari kaedah lain seperti memasukkan kad memori. Meluaskan storan boleh dilakukan pada Redmi Note 5, namun apa yang mengecewakan ialah Mi A2 tidak dibekalkan dengan slot untuk kad memori. Menariknya, walaupun tiada ruang storan tambahan fizikal, pengguna boleh menikmati storan awan tanpa had di Google Photos.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Radio FM

Macam kami, fungsi radio tidak begitu diberi perhatian. Jadi dengan ketiadaan fungsi ini pada Mi A2 ia sedikit pun tidak memberikan kesan. Tetapi bagi yang gemar mendengarnya pula, Redmi Note 5 mungkin dapat membantu.

Pemenang → Xiaomi Redmi Note 5

Penerimaan Kemas Kini

Xiaomi Mi A2 lebih nipis dan ringan berbanding Xiaomi Redmi Note 5

Antara kelebihan yang ada pada Android asli ialah penerimaan kemas kini yang lebih kerap terus daripada Google sendiri. Sementara Android dengan UI pula kadang kala menerima sedikit lewat. Selain itu dalam setiap kemas kini juga ada risiko yang mana ia akan menghadapi isu – dalam masa sama mungkin dapat mengurangkan prestasi peranti.

Pemenang → Xiaomi Mi A2

Rumusan

Terpulang kepada anda manakah peranti yang ingin dipilih. Jika anda fokuskan kepada prestasi dan kelancaran, anda boleh memilih Xiaomi Mi A2 dan bagi yang perlukan telefon penuh dengan kustomasi, saiz bateri besar, serta fungsi lain, Xiaomi Redmi Note 5 ialah pilihan yang lebih sesuai.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend