Xiaomi Mi A2: Generasi Kedua Android One Dari Xiaomi Kini Dikuasakan Dengan Qualcomm Snapdragon 660 0 457

Siri Mi A keluaran Xiaomi boleh dianggap antara peranti yang mendapat permintaan yang agak positif di kalangan pengguna telefon pintar Android kerana beberapa faktor utama iaitu sokongan spesifikasi yang baik, dioperasikan dengan antaramuka Android asli dan juga harga jualannya yang mampu milik.

Tahun 2018 ini Xiaomi telah hadir dengan generasi kedua siri tersebut dengan kehadiran Xiaomi Mi A2 yang menjanjikan peningkatan spesifikasi yang lebih baik berbanding Xiaomi Mi A1. Jika anda bercadang untuk memiliki Xiaomi Mi A2, jom kita tengok apakah kelebihan dan juga kekurangan model terbaru dari Xiaomi ini…

Spesifikasi

Pakej Pembelian

Kotak pembungkusan Xiaomi Mi A2 set original untuk pasaran tempatan akan dijual dalam versi ‘Global Version’.

Aksesori yang ditawarkan dengan pakej pembelian Xiaomi Mi A2
  1. Xiaomi Mi A2

  2. Sarung pelindung TPU jernih

  3. Kabel USB Type-C

  4. Palam kuasa 5V2A

  5. Pin ejektor

  6. Adapter 3.5mm audio jack ke USB C

  7. Buku manual

Rupa Fizikal

Skrin

Walaupun ukuran dimensi Mi A2 tidak begitu jauh berbeza dengan Mi A1, ia telah menerima sentuhan moden pada paparan skrin yang kini tampil dengan skrin penuh tanpa takuk. Xiaomi Mi A2 kini menampilkan paparan skrin berukuran 5.99 inci dengan resolusi FHD+ (2160 x 1080 piksel).

Kamera Hadapan

Penggambaran kamera hadapan Mi A2 menjanjikan kualiti swafoto yang tidak mengecewakan kerana dilengkapi dengan kamera 20MP dengan ciri AI Beautify 4.0. Malah pengambilan swafoto di dalam gelap juga tidak menjadi satu masalah kerana ia menyokong lampu LED dengan cahaya lembut.

Kamera Utama

Mi A2 menyokong dwi kamera yang telah dipertingkatkan dengan kombinasi lensa 12MP + 20MP. Sokongan aperture f/1.75 pada kedua-dua lensa ini turut menjanjikan tahap keterangan yang lebih baik. Cuma kini ia tidak lagi menyokong ciri fungsi 2x zum optikal dan permukaan kamera yang timbul sememangnya terasa agak menjengkelkan apabila diletakkan di atas meja.

Nota: Penggunaan sarung pelindung TPU jernih yang didatangkan sekali dalam pakej pembelian mampu melindungi lensa kamera apabila ianya diletakkan di atas permukaan yang rata.

Pengimbas Cap Jari

Sebagaimana kebanyakan peranti keluaran Xiaomi yang lain, Mi A2 turut menempatkan sensor pengimbas cap jari pada panel belakangnya. Proses imbasan cap jari pada Mi A2 tidak mengecewakan kerana ia agak pantas iaitu kurang dari 1 saat.

Tips mengaktifkan fungsi pengecaman wajah: Anda sebenarnya masih boleh menggunakan ciri keselamatan biometrik menggunakan pengecaman wajah dengan mengakses Settings > Smart lock > Trusted face.

Kerangka Logam

Sama seperti Mi A1, Mi A2 masih mengekalkan rekaan kerangka unibodi logam sepenuhnya. Ini berbeza dengan Redmi Note 5 yang dilihat menggunakan kombinasi rekaan panel belakang yang diperbuat daripada logam dan plastik.

Port USB Type-C

Bahagian bawah kerangka Mi A2 telah menempatkan sokongan port USB Type-C yang mampu menyokong teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Sebelah kanan port USB itu telah tersedia dengan lubang speaker, manakala sebelah kirinya tidak lagi ditemui bicu audio tetapi sebaliknya digantikan dengan lubang mikrofon dengan rekaan mirip seperti speaker.

Alat Kawalan Inframerah

Bahagian atas kerangkanya pula telah dilengkapi dengan alat kawalan Inframerah yang diletakkan bersebelahan dengan lubang mikrofon. Melalui bantuan aplikasi Mi Remote, anda boleh menggunakan Xiaomi Mi A2 sebagai alat kawalan jauh untuk pelbagai peralatan elektrik di rumah tanpa masalah.

Slot Kad

Sedikit mengecewakan kerana Mi A2 hanya menyokong dua slot kad SIM sahaja dan ini bermakna pengguna tidak boleh menggunakan kad microSD untuk storan tambahan. Kedua-dua slot kad ini menyokong kad SIM bersaiz nano dengan sokongan rangkaian 4G.

Antaramuka Android Asli

Berbeza dengan peranti keluaran Xiaomi yang lain, Mi A2 telah dioperasikan dengan Android 8.1 Oreo yang berasaskan daripada platform Android One. Selain menampilkan antaramuka Android asli yang kelihatan lebih ringkas dan kemas, peranti yang dioperasikan dengan platfom ini akan turut dijanjikan penerimaan kemas kini yang lebih cepat.

Dari kiri: Lockscreen, Homescreen dan App Drawer
Dari kiri: Notification & Quick Settings, Settings dan Power Menu

Walaupun menyokong antaramuka Android asli, Mi A2 turut didatangkan dengan empat aplikasi pra-pasang daripada Xiaomi iaitu Feedback, File Manager, Mi Drop dan juga Mi Remote. Sungguhpun begitu tiga daripada aplikasi itu boleh dibuang, kecuali aplikasi Feedback.

Dari kiri: Folder aplikasi MIUI, File Manager, Mi Drop dan Mi Remote.

Prestasi

Sepanjang kami menggunakan Xiaomi Mi A2, prestasi yang dijanjikan oleh pemproses kelas pertengahan Qualcomm Snapdragon 660 sememangnya tidak mengecewakan. Ia terasa lancar tanpa sebarang isu lag dan ia menjanjikan pengalaman pengoperasian yang sangat baik untuk penggunaan harian.

Dari kiri: AnTuTu 7, Geekbench 4 dan prestasi GPS (outdoor).

Apa yang lebih menariknya, walaupun kami mengoperasikan aplikasi penanda aras yang sememangnya menggunakan pemproses pada tahap yang maksimum, peranti tidak berhadapan dengan isu kepanasan. Malah pengalaman bermain PUBG dengan tetapan grafik medium juga terasa lancar dan peranti juga tidak terasa begitu panas.

Xiaomi Mi A2 yang dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660 secara automatik akan memilih grafik ‘Medium’ untuk permainan PUBG.
Bateri akan berkurangan sebanyak 15% iaitu dari 42% kepada 27% apabila kami bermain satu pusingan PUBG yang mengambil masa lebih kurang 38 minit.

Hasil Gambar

Kelebihan Xiaomi Mi A2:

  • Antaramuka Android asli bukan sahaja kelihatan lebih kemas, tetapi ia juga turut menjanjikan pengoperasian yang sangat lancar. Lebih penting, ia akan sentiasa menerima kemas kini terbaru daripada Google.

  • Qualcomm Snapdragon 660 dengan sokongan teras Kryo bukan sahaja menjanjikan prestasi terbaik untuk pemproses kelas pertengahan, proses 14nm turut menjanjikan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

  • Jika sebelum ini peranti Xiaomi sering dikaitkan dengan hasil gambar swafoto dengan efek kecantikan yang agak keterlaluan, sekurang-kurangnya efek itu boleh ditutup sepenuhnya. Sokongan lensa 20MP dengan bantuan HDR, 2μm Super Pixel dan juga lampu LED dengan cahaya lembut sememangnya sangat membantu dalam memastikan hasil gambar swafoto yang terang dalam pelbagai situasi.

  • Kualiti penggambaran dwi kamera pada Mi A2 dengan sokongan aplikasi kamera MIUI terasa sangat baik kerana lensa kedua beresolusi 20MP dengan 2μm Super Pixel akan digunakan dalam persekitaran yang gelap, sekaligus memastikan imej yang lebih terang. Teknologi auto fokus PDAF yang disokongnya juga mampu mengunci subjek dengan sangat cepat.

  • Sokongan teknologi Quick Charge 3.0 sememangnya menjanjikan proses mengecas yang sangat pantas bagi memastikan peranti sentiasa kekal bertenaga.

Kekurangan Xiaomi Mi A2:

  • Tidak dinafikan kerangka Mi A2 sangat nipis iaitu hanya 7.3mm tetapi disebabkan oleh itu bahagian kamera utamanya agak timbul daripada permukaan panel belakang, sekaligus menyebabkan kedudukannya di atas meja jadi tidak sekata. Bagi kami adalah lebih baik jika kerangkanya sedikit tebal bagi mengatasi isu tersebut, dan secara tidak langsung ia juga membolehkan kapasiti bateri yang lebih besar digunakan.

  • Walaupun pemproses yang digunakan efisien tenaga, kapasiti 3010 mAh dirasakan terlalu kecil dan berdasarkan pengalaman kami, ia perlu dicas sekurang-kurangnya sekali sehari walaupun dengan penggunaan yang sederhana.

  • Mi A2 menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0, tetapi agak mengecewakan kerana pakej pembelian hanya disediakan dengan palam kuasa dengan output maksimum setakat 5V2A sahaja. Ini bermakna pengguna terpaksa membeli palam kuasa dengan sokongan Quick Charge 3.0 secara berasingan.

  • Antaramuka Android asli mungkin tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna yang sangat mementingkan ciri personalization. Sebagai contoh, ia tidak menyokong aplikasi Themes yang mampu mengubah penampilan antaramuka, dan kawalan paparan skrin mirip seperti iPhone X yang disokong oleh MIUI 9.5 pada Redmi Note 5 juga tidak disediakan.

  • Agak mengecewakan kerana Mi A2 kini tidak lagi disediakan dengan bicu audio 3.5mm, sebaliknya ia telah didatangkan dengan adapter 3.5mm audio jack ke USB Type-C. Malah pakej pembelian juga tidak disediakan dengan fon telinga dan ini bermakna pengguna perlu membelinya secara berasingan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend