Volkswagen Dan Tarik Jeans Lancar Koleksi ‘Modern Nostalgia’ Demi Jalinan Kerjasama Selamatkan Malayan Tapir Comments Off on Volkswagen Dan Tarik Jeans Lancar Koleksi ‘Modern Nostalgia’ Demi Jalinan Kerjasama Selamatkan Malayan Tapir

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Tarik Jeans, jenama pakaian denim jalanan tempatan hari ini telah mengumumkan jalinan kerjasama dalam usaha mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai Malayan Tapir yang kini diancam kepupusan.

Bersempena dengan itu, satu kapsul koleksi “Modern Nostalgia” yang eksklusif telah dilancarkan. Koleksi edisi terhad barangan gaya hidup terdiri daripada kemeja-T, topi, bandana, beg tote, rantai kunci, dan pelekat pakaian boleh dibeli mulai hari ini.

“Modern Nostalgia” menampilkan elemen-elemen penting untuk kedua-dua jenama menggabungkan rekaan vintaj dan klasik tempatan.

Pengarah Urusan VCPM, Erik Winter berkata, “Tunjang utama Volkswagen adalah kelestarian. Kumpulan Volkswagen telah banyak melabur ke dalam usaha ini menerusi lebih 500 projek kelestarian di seluruh dunia. Kami berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan dalam projek yang penuh makna ini. Sudah pasti, kami tidak akan berhenti di sini dan terus mencari jalan untuk menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik. Malayan Tapir merupakan spesis terancam di sini selain Harimau Malaya, Gajah Borneo dan Orangutan. Sebagai ‘penjaga hutan hujan’, tapir memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepelbagaian biologikal habitat. Ini kerana ia membantu menyebar dan menyuburkan benih yang amat diperlukan untuk pertumbuhan pokok-pokok.”

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tarik Jeans, Afiq Iskandar, “Malayan Tapir sentiasa menjadi sebahagian daripada estetika rekaan Tarik. Jadi ia telah ditambah menjadi logo jenama (tambahan kepada logo utama mamak ‘teh tarik’) – kedua-duanya dicipta selari dengan falsafah jenama kami. Bagi meraikan ulang tahun ke-10 Tarik, kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan sebuah jenama automotif yang inovatif seperti Volkswagen.”

Barangan koleksi “Modern Nostalgia” boleh didapati di laman web Volkswagen dan Tarik Jeans, Shopee, Zalora, dan di semua pengedar sah Volkswagen seluruh negara.

Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan kempen ini akan disalurkan ke Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan pada Hari Tapir Sedunia pada 27 April depan.

Tahukah anda, Malayan tapir merupakan satu-satunya spesis tapir yang hidup di kepulauan Semenanjung Malaysia, Sumatra, dan Selatan Thailand serta mempunyai corak badan yang tersendiri. Tapir mempunyai jangka hayat sehingga 30 tahun, tetapi pembangunan tapak pertanian, pembalakan, diburu untuk dijadikan makanan dan penyeludupan secara haram telah membuatkan jumlahnya semakin berkurangan. Dianggarkan kini hanya terdapat kurang 3,000 ekor tapir sahaja yang tinggal di atas muka bumi.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend