Video Rasmi Berdurasi 30 Saat Ini Mendedahkan 8 Ciri Utama Yang Disokong Oleh Huawei Mate 20 Comments Off on Video Rasmi Berdurasi 30 Saat Ini Mendedahkan 8 Ciri Utama Yang Disokong Oleh Huawei Mate 20

Tinggal lebih kurang tiga minggu sebelum Huawei mengumumkan kehadiran siri Mate 20 secara rasmi pada 16 Oktober nanti, dan setakat ini pelbagai ketirisan tentang model Mate 20 dan Mate 20 Pro telahpun berjaya didedahkan. Malah Huawei sendiri sebelum ini telah melancarkan pemproses Kirin 980 yang menjanjikan prestasi yang jauh lebih baik berbanding Kirin 970.

Hari ini pihak Huawei telah mula berkongsi video rasmi berdurasi 30 saat yang telah mendedahkan 8 ciri utama yang disokong oleh Huawei Mate 20 nanti…

1. NPU dua teras pertama di dunia

Kirin 980 yang telah diperkenalkan dalam acara IFA 2018 telah menjadi pemproses pertama di dunia menyokong NPU dua teras dan ia telah digambarkan melalui video pembahagian sel dan juga imej individu pada cermin. Sokongan NPU (Neural Processing Unit) ini menjanjikan keupayaan AI (kecerdasan buatan) yang 120% lebih pantas berbanding Kirin 970.

2. Pengecasan pantas dengan kapasiti bateri besar

Video itu juga turut menggambarkan keupayaan pengecasan yang sangat pantas pada Mate 20 dengan sokongan teknologi pengecasan tanpa wayar. Walaupun tidak didedahkan kapasiti bateri yang disokong, Mate 20 sebelum ini dilaporkan akan hadir dengan kapasiti bateri lebih besar melebihi 4000 mAh. Proses pengecasan juga pastinya lebih pantas kerana Huawei sebelum ini dilaporkan akan hadir dengan sokongan output pengecasan sehingga 40W (10V4A).

3. Kamera dengan lensa ‘Super Wide’

Di dalam video itu tidak didedahkan keupayaan penuh penggambaran Mate 20, tetapi ia jelas mendedahkan kata kunci ‘Super Wide’ yang merujuk kepada sokongan lensa bersudut luas pada salah satu kameranya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Mate 20 akan menyokong tiga kamera dengan susunan dalam bentuk L, berbeza dengan P20 Pro yang tampil menegak. Sokongan penggambaran dengan sudut luas ini sudah tentunya menjanjikan hasil gambar yang lebih menarik, tambahan pula ia dilengkapi dengan ciri AI.

4. Keupayaan memahami pelbagai bahasa

Siri Huawei P20 sebelum ini telah didatangkan dengan aplikasi Microsoft Translator yang telah dioptimumkan dengan keupayaan AI pada pemproses Kirin 970. Kini dengan Mate 20, aplikasi itu telah dipertingkatkan lagi keupayaannya untuk menterjemah gambar, proses terjemahan dua bahasa pada masa-nyata dan banyak lagi.

5. Dilengkapi aplikasi pengecaman kalori

Fungsi mengambil gambar makanan untuk mengenal pasti kalori yang terkandung di dalamnya bukanlah sesuatu yang baru. Namun begitu dengan Mate 20, sokongan AI melalui NPU dua teras ini mampu mengenal pasti jumlah kalori yang lebih tepat. Sebagai contoh, di dalam video itu setiap buah epal dengan saiz berbeza dilihat menyokong jumlah kalori yang tidak sama. Malah Mate 20 dikatakan mampu membuat kiraan kalori walaupun buah epal itu telah dibelah dua.

6. Pemodelan masa-nyata dengan bantuan AR

Melalui kata kunci ‘Real Time Modeling’ yang dipaparkan di dalam video, ia mengesahkan sokongan fungsi pemodelan objek dalam masa-nyata dengan bantuan AR (Realiti Tambahan). Ini bermakna pemilik Mate 20 boleh mengambil gambar objek statik seperti patung dan ia mampu digerakkan seperti objek hidup.

7. Rakaman video dengan efek warna menarik

Di penghujung video ini juga ada memperlihatkan keupayaan rakaman video Mate 20 yang membolehkan anda merakam subjek utama dalam persekitaran hitam dan putih. Efek warna yang menarik ini boleh dirakam mengikut masa-nyata dengan bantuan penggambaran AI yang disokongnya.

8. Dilengkapi dengan pelbagai permainan AR

Mate 20 dengan sokongan Kirin 980 telah dilengkapi dengan GPU ARM Mali-G76 yang pertama dikomersialkan di pasaran. Melalui GPU baharu ini, ia dikatakan mampu menawarkan peningkatan prestasi sehingga 46% dan dalam masa yang sama 17% lebih efisien tenaga. Dibantu pula dengan keupayaan AI, Mate 20 akan dilengkapi dengan pelbagai jenis permainan AR yang sudah tentunya menjanjikan pengalaman yang hebat.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend