[Ulasan] Xioami Mi 9T, Skrin Penuh Dan Kamera Pop-naik Pertama Daripada Xiaomi Comments Off on [Ulasan] Xioami Mi 9T, Skrin Penuh Dan Kamera Pop-naik Pertama Daripada Xiaomi 263

Tidak semua orang mahir tentang telefon pintar, tetapi kami percaya anda akan buat research dahulu sebelum membelinya. Tanda harga dan jenama juga sudah semestinya menjadi faktor penting buat anda apabila ingin membeli sesebuah peranti tersebut, bukan?

Jika Xioami pilihan jenama yang anda mahukan, mereka baru-baru ini tampil dengan telefon pintar baharu di bawah kelas pertengahan iaitu Xiaomi Mi 9T. Dilancarkan di Malaysia pada Jun lalu, telefon ini hadir dengan teknologi kamera pop-naik pertama seumpamanya daripada Xiaomi.

Spesifikasi Xiaomi Mi 9T :

  • Qualcomm Snapdragon 730
  • MIUI 10.3 (berasaskan Android 9 Pie)
  • 6GB+64GB / 6GB+128GB
  • 6.39″ AMOLED FHD+ (2340 x 1080, 403PPI)
  • Corning Gorilla Glass 5, Pengimbas cap jari bawah skrin, HDR display, 600nit
  • Kamera utama: 48MP f/1.75 sudut lebar + 8MP f/2.4 telefoto + 13MP f/2/4 ultra sudut lebar
  • Kamera depan: 20MP f/2.2 pop-naik
  • 4,000mAh (sokong pengecasan pantas sehingga 18W)
  • GPS / Galileo / GLONASS / Beido
  • Dwi-SIM (sokong 4G+/4G/3G/2G)
  • 802.11a/b/g/n/ac, 2.4G Wi-Fi / 5G Wi-Fi, Bluetooth 5.0, Qualcomm TrueWireless Stereo Plus
  • 156.7 x 74.3 x 8.8mm, 191g
  • Warna: Carbon Black / Flame Red /  Glacier Blue

Harga dan ketersediaan

Xiaomi Mi 9T boleh didapati di kebanyakan kedai telefon pintar di seluruh negara. Bila zaman digital dah menguasai dunia, kita sebenarnya lebih mudah membeli-belah secara dalam talian. Anda juga boleh jimatkan masa dan wang dengan mendapatkan Xiaomi Mi 9T di dua gedung e-dagang seperti di bawah:

Xiaomi Mi 9T dijual pada harga RM1099 untuk varian 6GB+64GB dan RM1399 untuk varian 6GB+128GB

Pakej pembelian

  • Xiaomi Mi 9T
  • Sarung peranti
  • Palam kuasa (5/3A,9V/2A,12V/1.5A)
  • Kabel USB Type-C
  • Buku panduan
  • Pin ejektor

Terdapat dua kekurangan yang kami lihat dalam pakej pembelian ini. Peranti tidak didatangkan dengan pelindung skrin seperti mana yang ditawarkan oleh pengeluar lain selain anda juga perlu mendapatkan fon telinga secara berasingan kerana ia tidak disertakan di dalam kotak.

Rekaan

Mi 9T merupakan telefon pintar pertama daripada Xiaomi dengan kamera pop-naik. Melalui teknologi ini, pandangan anda tidak lagi akan diganggu dengan takuk atau lubang kamera, sekaligus menjadikan pengalaman skrin lebih baik dan memuaskan. Xiaomi juga berjaya mengurangkan saiz dagu peranti pada masa sama dapat meningkatkan nisbah skrin-ke-kerangka kepada 91.9%.

Mi 9T juga tidak ketinggalan dalam menawarkan sistem biometrik generasi terkini melalui pengimbas cap jari bawah skrin. Pengguna juga diberi pilihan untuk menggunakan kaedah lain seperti imabsan wajah, corak, pin, dan kata laluan. Setakat ini, tiada masalah menggunakan kesemuanya sistem nyahkunci ini kerana ia beri respon yang pantas malah jarang sekali ia gagal berfungsi.

Menyentuh aspek luaran, unit yang kami terima ialah berwarna Hitam ataupun dikenali dengan nama Carbon Black. Seperti namanya, panel belakang ini ditonjolkan dengan lapisan grafik ala-ala gentian karbon. Kemasan warna merah pada gelung kamera dan butang kuasa turut menambahkan lagi nilai kosmetik pada peranti.

Tubuh badan peranti ini dibina dengan rekaan ergonomik melalui lengkung pada sisi kiri dan kanan kerangka. Ia bagi memberi keselesaan kepada pengguna untuk menggenggam erat peranti dan yang paling penting terasa lebih premium.

Kamera pop-naik

Kamera depan pop-naik atau terangkat atau apa sahaja yang anda panggil menyediakan lensa swafoto sebesar 20 Megapiksel. Secara asasnya, kamera depan ini akan keluar dari kerangka apabila dilancarkan. Walaupun begitu, ia juga mengambil sedikit masa berbanding kamera yang terletak pada skrin. Antara kelebihan yang dimuatkan bersama ialah:

  • Modul kamera akan menyala menandakan ia sedang dibuka.
  • Kamera akan ditutup secara automatik apabila peranti terjatuh.
  • Kamera akan diturunkan apabila anda beri tekanan padanya.
  • Mampu bertahan sehingga 300,000 kali pop-naik.

Ciri penggambaran pada kamera depan menawarkan sokongan HDR, AI, Selfie flash, dan gesture atas-angin menggunakan tapak tangan. Apa yang kami tidak gemar semasa swafoto ialah antaramuka kamera ini masih memaparkan ciri penggambaran kamera belakang yang mana sebenarnya tidak menyokong pada kamera depan. Contohnya, anda ingin berswafoto tetapi anda masih boleh melihat pilihan mod 48MP, tetapi selepas menekan mod itu, kamera secara automatik akan beralih ke kamera belakang. Ini agak menjengkelkan pada kami.

Hasil gambar swafoto pula kami lihat ciri HDR-nya tidak mampu mengawal gambar dengan baik terutamanya jika terdapat cahaya yang menyuluh dari belakang. Tetapi untuk mod potret, kamera depan ini mampu mengasingkan subjek dan latar belakang dengan baik.

Kamera utama

Xiaomi Mi 9T menguntungkan pengguna kerana ia didatangkan bersama sistem tri-kamera belakang masing-masing dengan sensor sudut lebar 48MP aperture f/1.75, telefoto 2x zum 8MP aperture f/2.4 dan lensa sudut ultra-lebar 13MP aperture f/2.4.

Mod-mod yang disertakan:

  • Pro
  • Panorama
  • Night (perlu tripod)
  • Potrait
  • 48M
  • Photo (0.6x – sudut ultra lebar, 1x – biasa, 2x – telefoto)
  • Video
  • Short Video (berdurasi sehingga 15 saat)
  • Slow motion

Sokongan video:

Rakaman 4K 30fps
Rakaman 1080P 60fps / 30fps
Rakaman 720P 30fps
Rakaman gerak perlahan 1080P 120fps / 240fps / 960fps
Rakaman gerak perlahan 720P 120fps / 240fps / 960fps

Hasil gambar dari kamera belakang ini masih lagi menawarkan tapisan warna yang natural dan tidak terlalu saturated. Seperti mana kamera peranti Xiaomi sebelum-sebelum ini, ia masih lagi dikekalkan pada Mi 9T. Cuma untuk sesetengah mod apabila digunakan, peranti akan mengambil masa untuk memproses gambar sebelum ia dipaparkan. Malah ada kalanya, kamera ini akan terhenti seketika (hang) dan memerlukan kami untuk force close-nya. Lebih teruk lagi, peranti perlu di-reboot semula dan seterusnya kami masih lagi perlu membersihkan data (clear data) aplikasi kamera pada ruangan tetapan peranti.

Bagaimanapun, kami telah menghantar maklum balas kepada pihak Xiaomi berhubung isu ini. Diharapkan, mereka dapat menyelesaikannya melalui kemas kini perisian terbaru.

Hasil gambar

This slideshow requires JavaScript.

Prestasi

Xiaomi Mi 9T dijana cipset Qualcomm dari siri-700 yang terbaru. Cipset ini merupakan cip pemproses kelas pertengahan paling atas yang menjanjikan prestasi peranti yang berkuasa. Ia juga dibantu teknologi AI khusus untuk membantu kamera menghasilkan gambar yang lebih baik. Prestasi ini turut dibantu sama oleh memori 6GB yang mana kita tahu sangat diperlukan untuk tugas-tugas multi-tasking.

Untuk mengukur sejauh mana keupayaan cipset ini, kami telah menggunakan dua aplikasi penanda aras iaitu Geekbench dan AnTuTu. Skor yang diperolehi juga agak mengagumkan yang mana Mi 9T berjaya mendapatkan keputusan skor AnTuTu sebanyak 207,881, sementara di Geekbench pula mencatatkan skor sebanyak 2558 untuk single-core dan 6767 untuk multi-core.

Ciri menarik

  • Efek bunyi kamera depan
  • Lampu notifikasi
  • Game Turbo
  • Always-on-display (AOD)

Selepas membelek tetapan peranti, kami terlihat ciri efek bunyi turut ditawarkan pada kamera depan. Anda boleh memilih sama ada mahukan efek bunyi seperti Xylophone, Condor, Magic, Mecha, Gearwheel, ataupun Cabin door. Terdapat satu Indikator LED yang terletak di gelongsor kamera. Anda diberi pilihan sama ada ingin mengaktifkannya atau tidak. Jika ya, indikator ini akan berkelip-kelip jika anda menerima notifkasi mahupun sedang mengecas peranti. Selain itu, tetapan peranti turut menyertakan ciri butang pintas untuk anda membuka aplikasi dengan pantas.

Bagi yang gemar bermain permainan mudah alih, peranti ini menyediakan mod Game Turbo yang boleh diakses terus di dalam permainan. Anda juga boleh membuka aplikasi sosial utama seperti WhatsApp, Facebook, atau melayari laman sesawang tanpa perlu keluar dari permainan.

Tetingkap boleh dibuka dan ditutup hanya dengan satu butang yang boleh ditarik dari bahagian bucu skrin. Selain itu, anda juga boleh bersihkan memori untuk melancarkan lagi permainan disamping boleh merakam skrin sambil bermain. Bar di atas turut mempamerkan peratusan GPU, CPU, dan FPS untuk pengguna memantau status semasa peranti.

AOD atau Always-on-display merupakan ciri yang paling kami gemar kerana ia dapat menunjukkan masa, notifikasi dan peratus bateri tanpa peranti perlu dibuka. Jika bosan dengan paparan AOD sedia ada, anda boleh memilih animasi jenis lain pada bahagian tetapan peranti tanpa perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga.

Pengecasan pantas

Bateri 4000mAh yang dibekalkan mampu menawarkan masa mengguna selama seharian. Ia bergantung kepada penggunaan anda, jika bermain permainan mudah alih mungkin masanya akan menjadi singkat tetapi untuk melayani laman sosial kami rasa ia sudah cukup memadai untuk sekali pengecasan sehari.

Kami juga menguji sistem pengecasan dengan membiarkan peranti sehingga terpadam. Menggunakan palam kuasa dan kabel yang diberikan dari kotak, peranti ini mencatatkan masa mengecas sepenuhnya dalam tempoh 1 jam 45 minit sahaja. Ini berikutan kuasa output yang disalurkan adalah setinggi 18W melalui teknologi Qualcomm Quick Charge 3.0.

Kesimpulan

Jika bajet anda tidak sebesar mana tetapi mahukan peranti dengan spesifikasi yang mantap, Xiaomi Mi 9T mungkin boleh dipertimbangkan. Ini kerana sepanjang menggunakan peranti, kami mendapati Mi 9T dapat melakukan tugasannya dengan baik. Harga yang ditawarkan juga tidak begitu mahal dan masih lagi kompetitif dengan telefon pintar lain.

Kelebihan:

  • Paparan skrin tidak terlalu besar dan sistem pengimbas cap jari berfungsi dengan sangat baik.
  • Saiz bezel nipis memberikan pengalaman skrin yang lebih imersif.
  • Pengecasan pantas dengan sambungan USB Type-C.
  • Ketebalan yang minimal walaupun memuatkan bateri berkapasiti besar.
  • Paparan AMOLED yang sudah tentu terang dan jelas.
  • Efek bunyi kamera depan boleh ditukar.
  • Harga mampu milik untuk sebuah telefon pintar kelas pertengahan-atas.

Kekurangan:

  • Pembesar suara hanya dibekalkan dengan satu unit sahaja di bahagian bawah.
  • Audio tidak begitu kuat dan memerlukan pengguna melaras naik butang pembesar suara.
  • Pilihan storan yang kecil.
  • Tiada slot untuk kad microSD.
  • Aplikasi kamera yang sering terhenti seketika.
  • Antaramuka kamera depan yang mengelirukan.
  • Pakej pembelian tidak didatangkan dengan fon telinga walaupun peranti mempunyai bicu audio.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend