[Ulasan] Xiaomi Mi 8 Lite – Peranti Paling Premium Berharga Kurang RM1000 0 279

Xiaomi baru-baru ini telah membawa masuk dua peranti terbaharu ke pasaran Malaysia iaitu Xiaomi Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite. Kedua-dua peranti ini berkongsi rupa yang agak serupa tetapi perkakas dalamannya telah dibezakan termasuklah tanda harga. Pada ulasan kali ini, seperti biasa hanya satu peranti yang akan dipilih dan ianya ialah Xiaomi Mi 8 Lite.

Tidak dinafikan terdapat banyak telefon pintar yang duduk sebaris dengan Mi 8 Lite lantas boleh membuatkan anda pening kepala untuk membuat pilihan. Oleh itu kami telah senaraikan beberapa kelebihan yang dibawakan Xiaomi Mi 8 Lite yang mungkin anda perlu tahu, bermula dari rupa luaran hinggalah kepada aspek dalaman.

Pakej Pembelian

Kotak pembungkusan daripada Xiaomi kali ini agak berbeza kerana kualiti kotak kini lebih keras malah ia telah dicatkan dengan warna gradien. Isi dalamannya pula masih sama dengan aksesori seperti palam kuasa, kabel pengecas, SIM tool, sarung pelindung, dan buku panduan. Disebabkan peranti tidak memiliki bicu audio, adapter USB C ke bicu audio turut disertakan.

Spesifikasi

  • 6.26″ LCD FHD+ 2280 x 1080
  • Qualcomm Snapdragon 660 AIE
  • MIUI 9 (kemas kini ke MIUI 10) + Android 8.1 Oreo
  • Memori 4GB + 64GB / 6GB+128GB
  • Sokong microSD hingga 256GB
  • Kamera utama: 12MP + 5MP AI Dual Pixel 1.4µm
  • Kamera belakang: 24MP AI Sony IMX576
  • 3,350mAh USB Type-C
  • Bluetooth 5.0, QuickCharge 3.0, Pengimbas cap jari,
  • Slot kad hibrid
  • 169g
  • Warna Aurora Blue / Midnight Black
  • RM999 / RM1,299 (6GB)

Sentuhan luaran Premium

Sebaik peranti ini digenggam perkara pertama yang kami sedar ialah tubuh badannya sangat padu dan mantap. Kelainan yang dibawakan Mi 8 Lite ialah ia didatangkan dengan pilihan warna cerun. Namun begitu, unit ulasan yang kami terima ialah warna Midnight Black dan bukannya Aurora Blue.

Kerangka Badan Seakan ‘Stainless Steel’


Bagi kami yang menitik beratkan ketelitian binaan kerangka, kualitinya jauh lebih baik berbanding peranti lain dalam julat harga yang sama. Malahan selepas dibelek dalam beberapa ketika, tiada kecacatan pada permukaan yang kebiasaannya ada pada peranti kelas pertengahan lain.

Paparan Tajam


Xiaomi telah berjaya menjadikan peranti ini menang di mata kami, kerana skrin paparan Mi 8 Lite menawarkan resolusi yang tinggi serta baik semasa kami menonton video atau menstrim filem. Dengan tanda harga tiga angka, kami masih dapat menikmati kandungan warna yang jitu selain dapat melaras tahap keterangan skrin hingga ke paras yang paling gelap di dalam bilik tidur. Ciri Read Mode yang tersedia pula dapat membantu kami memejamkan mata dengan mudah ketika lewat malam.

Sambungan USB Type-C


Mi 8 Lite tidak ketinggalan untuk menggunakan sambungan USB Type-C. Sambungan jenis ini juga telah menyokong pengecasan bateri dan pemindahan data yang lebih pantas berbanding sambungan jenis microUSB. Ciri ini jarang didapati pada telefon pintar ratusan ringgit.

Nyahkunci Menggunakan Wajah

Selain daripada nyahkunci peranti menggunakan cap jari di panel belakang, kami juga dapat membuka kunci keselamatan melalui imbasan wajah yang telah didaftar. Setelah mencuba, kami dapati tiada masalah berlaku malah prosesnya juga cukup laju ibarat peranti tidak memproses apa-apa. Mungkin ada sedikit kelengahan semasa berada dalam persekitaran gelap kerana sensor perlu memberi laluan kepada cahaya skrin untuk menyuluh wajah.

Kamera Swafoto Kelas Premium


Atas kertas, kamera swafoto menyediakan sensor kelas mercu daripada Sony IMX576. Teknologi 4-in-1 Super Pixel yang dimuatkan mampu memberikan gambar swafoto yang lebih baik berbanding peranti Xiaomi sebelum ini. Secara teori, gambar dapat dihasilkan dengan lebih jelas serta terang selain itu Mi 8 Lite juga antara peranti kelas pertengahan yang pertama hadir dengan sensor sebaik ini daripada Sony.

Dwi Kamera Utama AI


Menjadi perkara wajib peranti Android masa kini menawarkan dwi kamera di belakang. Ia dikuasakan bantuan AI maka gambar juga akan menjadi lebih menyerlah serta menarik daripada biasa. Beberapa mod yang tersedia seperti contoh Portrait, ia dapat mengenal pasti subjek yang ingin anda rakam sama ada manusia ataupun binatang. Menerusi teknologi AI ini ia dapat membantu unit pemprosesan imej menala gambar sebaik mungkin, misalnya anda mengambil gambar makanan ia akan kelihatan lebih enak.

Cip Pemproses Berkuasa


Cip pemproses Snapdragon 660 merupakan cipset berasaskan 14nm yang dibangunkan dengan teknologi dipanggil AIE. AIE bermaksud Enjin Kecerdasan Buatan yang dijana berasaskan perisian – berbanding NPU (Huawei) berasaskan cip fizikal. Kuasa perisian ini menawarkan pengguna pengalaman peranti yang lebih baik serta lancar umpama dengan bantuan robot. Pada kami, teknologi AI ini lebih banyak digunakan dalam memproses gambar.

Bateri

Bateri yang dimuatkan pada Mi 8 Lite ialah sebesar 3,350mAh yang mana mengikut senarai dikeluarkan Qualcomm, peranti ini menyokong teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Bagaimanapun dengan harga mampu milik mana mungkin pihak pengeluar mampu memberikan palam kuasa dengan output yang tinggi. Pilihan lain ialah anda boleh dapatkan palam kuasa dengan protokol Quick Charge 3.0 daripada pihak ketiga.

Antaramuka MIUI 10


Antaramuka MIUI 10 telah dimuat turun melalui OTA (over-the-air) selepas kami menyemak ketersedian kemas kini perisian pada bahagian tetapan. Antara penambah baikan ialah pengguna kini boleh merasai pengalaman skrin penuh menggunakan gesture (leret jari) tanpa perlu menggunakan bar navigasi. Selain itu, bunyi pada sistem operasi kini diubah kepada bunyi alam semula jadi sementara bantuan AI turut dipertingkatkan.

Ujian Pengecasan


Masa yang diambil untuk bateri dipenuhkan daripada 0% hingga 100% ialah sekitar 1 JAM 45 MINIT, namun begitu kami pasti masa ini dapat dijimatkan jika kami menggunakan palam kuasa yang mempunyai output yang lebih tinggi.

Ujian Penanda Aras


Walaupun pada harga bermula di bawah RM1,000, Xiaomi nampaknya tidak kedekut untuk memberikan cip pemproses generasi terbaru menerusi Snapdragon 660. Ujian penanda aras juga melihatkan peranti ini mampu beroperasi dengan baik dalam setiap kerja yang dilakukan selain ia berupaya memainkan permainan mudah alih tanpa lengah. Setelah membuat perbandingan skor dengan Samsung Galaxy A7 (2018), ternyata skor yang diperolehi Xiaomi Mi 8 Lite lebih tinggi daripada pesaingnya walaupun mempunyai tanda harga yang lebih rendah – memandangkan kedua-dua peranti ini memfokuskan kepada ciri penggambaran.

Hasil Gambar

Pendapat TeknoRatz

Bagi kami peranti ini menawarkan paparan skrin yang terang serta tajam yang mana dapat memberikan kepuasan menatal laman sosial atau menonton YouTube. Binaan badan yang mantap juga membuatkan kami berasa seperti memiliki sebuah peranti yang dibeli pada harga beribu ringgit. Mungkin daripada segi bateri ia nampak kecil tetapi tidak mengapa kerana Mi 8 Lite mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari. Melihat pada bateri, ia bukanlah sebuah peranti yang sesuai untuk kami bermain game sepanjang masa.


Oleh kerana peranti ini memiliki resolusi kamera depan yang besar, anda yang mungkin gemar berswafoto tidak perlu bersusah payah membeli peranti yang lebih mahal. Pada hemat kami gambar yang diambil boleh menandingi hasil gambar yang diambil daripada peranti mercu Xiaomi. Setakat ulasan ini ditulis, kami telah senaraikan Xiaomi Mi 8 Lite sebagai peranti yang patut dibeli pada harga di bawah RM1,000.

Video Buka Kotak

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend