[Ulasan] Vivo S1 Pro, Kuadkamera Dengan Lensa 48MP Untuk Penggemar Fotografi Comments Off on [Ulasan] Vivo S1 Pro, Kuadkamera Dengan Lensa 48MP Untuk Penggemar Fotografi

Vivo S1 Pro telah hadir ke pasaran Malaysia pada awal bulan Disember sebagai telefon pintar dengan spesifikasi di bawah segmen pertengahan. Ditujukan khas buat penggemar fotografi, peranti ini ditawarkan pada harga yang kompetitif setanding dengan peranti seangkatan dengannya di pasaran. Bagi mengetahui apakah kelebihan yang dimiliki Vivo S1 Pro, berikut merupakan perkara menarik yang perlu anda tahu tentang peranti ini.

Reka bentuk

Vivo S1 Pro datang dengan saiz tubuh sederhana, ia dilengkapi paparan 6.38-inci yang menyokong pengimbas cap jari pada skrin, manakala pada bahagian atas skrin seperti yang anda boleh lihat ialah takuk titisan air yang menempatkan kamera swafoto 32MP.

Pada bahagian belakang, ia dipadankan panel kaca melengkung di sisi untuk memberikan keselesaan kepada pengguna. Tambahan, warna gradien yang digunakan turut menyerlahkan lagi nilai kosmetik pada peranti. Jika warna Fancy Sky seperti unit yang kami terima ini sesuai buat kaum hawa, kaum adam pula boleh memilih wana Knight Black yang tampak lebih elegan.

Beralih kepada bonjol kamera, kami merasakan rekaan yang dipakai jauh berbeza dengan telefon pintar lain di pasaran. Hal ini sekaligus membuatkan Vivo S1 Pro tampil dengan keunikannya yang tersendiri. Selain menyertakan empat biji lensa, panel belakang ini turut menempatkan logo jenama dan slogan peranti untuk tatapan si pemilik dan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Di bahagian tepi, peranti ini menawarkan butang laras suara bersebelahan dengan butang kunci/kuasa yang berwarna merah terang. Sementara bahagian bawah pula menyediakan port USB-C, mikrofon, dan pembesar suara. Seperti telefon pertengahan lain, Vivo S1 Pro masih menawarkan bicu audio 3.5mm.

Selain daripada kerangka badan logam, Vivo S1 Pro turut mempunyai slot kad hibrid yang membolehkan pengguna menghidupkan dua kad SIM sekaligus atau ruang kedua untuk storan lebih besar melalui kad microSD.

Prestasi peranti

Cip pemproses Snapdragon 665 boleh dikelaskan sebagai cip pertengahan asas yang terbaru untuk telefon pintar masa kini. Semakin banyak peranti di luar sana menggunakan cip yang sama, oleh itu prestasi yang hampir sama boleh dijangkakan pada Vivo S1 Pro ini. Ternyata skor yang diperolehi turut dipengaruhi oleh memori RAM yang besar.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk perbandingan, OPPO A9 2020 yang menggunakan cipset yang sama menerima skor penanda aras yang lebih rendah dalam ujian AnTuTu 8 walaupun ia digandingkan memori 8GB RAM. Jelas di sini, Vivo S1 Pro bukanlah telefon yang boleh dipandang rendah malahan masa yang diambil untuk bateri dipenuhkan juga agak singkat.

*Anda boleh semak skor dan ulasan OPPO A9 2020 di sini.

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Set pembelian

S1 Pro didatangkan dengan dalam kotak pembungkusan berwarna kelabu dengan isi dalamannya menyertakan beberapa aksesori. Setiap unit disertakan pelindung skrin plastik pada peranti untuk perlindungan sementara kepada pengguna.

  • Vivo S1 Pro
  • Sarung pelindung getah
  • Pengecas 18W
  • Kabel USB Type-C
  • Pin ejektor dulang kad
  • Manual penggunaan
  • Fon telinga

Mengenai sarung pelindung, kami mendapati ia bukanlah sarung pelindung biasa yang dijual di kedai-kedai, tetapi sarung lut sinar ini direka dengan penutup port USB-C untuk menghalang kotoran daripada memasukinya.

Video buka kotak

Spesifikasi Vivo S1 Pro

  • 6.38″ Super AMOLED 2340 x 1080 FHD+
  • Qualcomm Snapdragon 665
  • Funtouch OS 9.2 (berasaskan Android 9)
  • 8GB RAM + 128GB ROM
  • Kamera belakang: 48MP f/1.8 + 8MP f/2.2 + 2MP f/2.4 + 2MP f/2.4
  • Kamera depan: 32MP f/2.0
  • 4500mAh Dual Engine Fast Charging 18W
  • Bluetooth 5.0, USB Type-C, dwi-SIM LTE, bicu audio 3.5mm
  • 159.25 x 75.19 x 8.68mm (186.7g)
  • Fancy Sky / Knight Black

Harga dan ketersediaan

Vivo S1 Pro Dengan Kuad Kamera 48MP, 8GB RAM Dan 4500mAh Kini Rasmi Pada Harga RM1199

Kelebihan

  • Saiz ideal yang memudahkan pengguna mengoperasikan peranti dengan sebelah tangan.
  • Paparan terang dan tajam yang dapat memberikan pengalaman permainan imersif.
  • Bonjolan kamera belakang yang tidak tinggi.
  • Panel kaca melengkung dengan kerangka badan ergonomik.
  • Bateri dapat dicas dengan pantas malah hayat bateri mampu bertahan untuk kegunaan seharian.
  • Pengimbas cap jari dan pengimbas wajah berfungsi dengan lancar.

Kekurangan

  • Orientasi skrin sering bermasalah apabila peranti dilintangkan.
  • Tera air pada gambar tidak berada pada kedudukan yang betul apabila mengambil gambar berorientasi landskap.
  • Pilihan warna terhad, lebih-lebih lagi warna Fancy Sky yang kurang menarik.
  • Lensa makro sukar untuk menangkap imej jarak dekat sekaligus menghasilkan gambar yang kurang memuaskan.
  • Kualiti audio kurang kick apatah lagi apabila tahap suara dinaikkan.
  • Kekurangan slot kad ketiga.

Kesimpulan

Sepanjang menggunakan Vivo S1 Pro, kami mendapati ia sebuah peranti yang kurang bermasalah. Sistem nyahkuncinya memberi respon yang pantas malah hampir tiada kegagalan semasa mengimbas wajah ataupun cap jari. Melancarkan aplikasi juga agak pantas dan ini menunjukkan sistem operasi peranti berada pada tahap paling optimum, namun pada aplikasi kamera ia sedikit bermasalah terutamanya berkenaan isu tera air. Walaupun begitu, kami percaya ia dapat diatasi dengan kemas kini perisian pada masa akan datang.

Pujian turut diberikan kepada jabatan kamera yang mana lensa kamera 48MP ini dapat memproses imej beresolusi tinggi dengan cukup pantas. Selain itu, penggambaran dalam persekitaran kurang pencahayaan juga tidak mengecewakan.

Pada hemat kami, pengguna yang gemarkan fotografi boleh mempertimbangkan Vivo S1 Pro sebagai telefon idaman mereka memandangkan harga yang ditawarkan juga agak mesra poket dan tidak terlalu mahal. Terakhir sekali, peranti ini berupaya memainkan permainan mudah alih dengan baik menerusi pelancar Ultra Game Mode (ada di kebanyakan peranti Vivo masa kini) yang boleh dikustomasi mengikut kehendak pengguna.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend