[Ulasan] Vivo NEX 3, Bukan Sekadar Telefon 5G Dengan Skrin Melengkung Comments Off on [Ulasan] Vivo NEX 3, Bukan Sekadar Telefon 5G Dengan Skrin Melengkung 229

NEX 3 5G ialah siri telefon pintar mercu generasi ketiga daripada Vivo yang telah tiba ke pasaran Malaysia pada pertengahan bulan Oktober 2019. Spesifikasi yang dibawakan turut menyelitkan inovasi terkini antaranya ialah paparan skrin melengkung hingga merangkumi hampir keseluruhan bahagian depan serta didatangkan dengan sokongan 5G. Tapi buat masa ini, rangkaian 5G masih belum boleh digunakan memandangkan beberapa pembekal telco masih menjalankan sesi percubaan dan ujian. Walaubagaimanapun, ia adalah antara telefon pintar paling terbaru yang boleh didapati di Malaysia setakat ini.

Spesifikasi

  • 6.89″ Waterfall FullView Display
  • POLED 1080 x 2256p FHD+
  • Qualcomm Snapdragon 855+
  • Funtouch OS 9.1 (berasaskan Android 9.0)
  • 8GB + 256GB
  • Kamera belakang: 64MP f/1.8 + 13MP f/2.2 + 13MP f/2.48
  • Kamera depan: 16MP f/2.09
  • Bluetooth 5.0, USB-C 2.0, OTG, Dwi-SIM, pengimbas cap jari dalam skrin
  • 4500mAh vivo FlashCharge 22.5W
  • 167.44 x 76.14 x 9.4mm (218.5g)
  • Warna: Glowing Night
  • RM3899

Reka Bentuk

NEX 3 5G hadir dengan rekaan skrin yang mampu buat pengguna terpegun. Skrin melengkung yang diberikan bukan sahaja memenuhi bahagian depan tetapi meliputi sehingga 99.6% nisbah skrin-ke-kerangka. Tubuh badan peranti diperbuat daripada logam manakala panel belakang menggunakan kaca. Oleh kerana sisi kerangka peranti telah dinipiskan untuk memberi ruang kepada skrin, tiada lagi butang fizikal diletakkan bersama. Bagaimanapun, ia telah digantikan dengan butang sensitif yang dipanggil Touch Sense.

Touch Sense digunakan untuk melaras suara, buka, mengunci peranti, dan menghidupkan lampu suluh. Kami sendiri kerap tertekan lama butang ini semasa menggenggam peranti. Disebabkan itu, lampu suluh sering terbuka dengan sendirinya. Apabila butang ini ditekan, pengguna akan merasai kesan getaran Haptic. Bagi yang belum tahu, getaran Haptic sangat berbeza dengan getaran biasa. Teknologi ini kebiasaannya digunakan pada peranti mercu premium sahaja.

Pada bahagian belakang, peranti ini tampak kemas dengan rekaan minimal. Modul kamera yang bulat turut memuatkan ketiga-tiga lensa dalam satu bahagian kecuali LED flash peranti ini diasingkan ke sebelah luar modul. Di bahagian bawah pula, terdapat nama peranti dibenamkan di panel kaca. Jika diperhatikan dengan teliti, nama ‘vivo’ turut diukir kecil pada sisi kerangka.

Untuk sambungan, NEX 3 5G menawarkan lubang kegilaan ramai. Bicu audio 3.5mm salah satu kelebihan yang patut dihargai kerana tidak banyak telefon seangkatan dengannya yang menyertakan lubang ini. Selepas membelek peranti, kami menyedari ada satu lagi butang yang tidak di-highlight di dalam risalah. Ia sebenarnya adalah butang yang sama fungsi dengan Touch Sense iaitu boleh membuka, mengunci, dan menghidupkan peranti. Pertanyakan kami telah diajukan kepada wakil vivo. Mereka mengatakan ia adalah butang kuasa yang sama seperti butang utama. Jadi, what’s the point doh?! Dua butang untuk kegunaan yang sama.

NEX 3 5G telah menyertakan kamera depan jenis pop-naik yang sangat popular digunakan pada telefon-telefon zaman sekarang. Tetapi untuk peranti ini, rekaan kamera terangkat ini lebih lebar daripada yang lain-lain. Ia dipadankan dengan LED flash untuk memudahkan pengguna mengambil gambar dalam persekitaran gelap.

Terakhir sekali dalam aspek reka bentuk, pemilik NEX3 5G akan menerima pelindung skrin dan panel belakang terus dari kotak. Ia sekurang-kurangnya dapat digunakan sementara pelindung skrin yang lebih berkualiti dipasang oleh pemilik.

Sistem Operasi

NEX 3 5G dilengkapi cip pemproses Snapdragon 855+ yang didatangkan bersama memori 8GB RAM serta storan seluas 256GB. Storan ini menggunakan jenis UFS 3.0 dan melaluinya, proses pemindahan fail dapat dibuat lebih pantas berbanding storan jenis biasa. Perkara ini termasuk juga sistem pemindahan fail antara peranti dan pemacu OTG.

Selain cipset berkuasa, ia turut dibantu dengan sistem operasi Funtouch OS 9.1 berasaskan Android Pie. Pengguna akan dihidangkan kemas kini perisian terbaru yang boleh dimuat turun secara OTA. Setelah dipasang, kami mendapati, sistem nyahkunci peranti kini lebih pantas berbanding sebelumnya. Daripada segi pengalaman mengguna, ia hampir sama dengan peranti vivo yang lain.

Kami sangat tertarik dengan sistem pengecasan peranti ini. Ia cukup pantas mengecas walaupun bateri yang dimuatkan bersaiz 4500mAh. Ujian pengecasan telah dibuat dan keputusannya agak baik sekali. Peranti mengambil hanya kira-kira sejam untuk bateri dipenuhkan. Ia sebenarnya dibantu oleh sistem Vivo FlashCharge dan sambungan USB-C. Kuasa yang disalurkan pula adalah konsisten sepanjang pengecasan, tidak diperlahankan walaupun bateri melepasi 85%.

Telefon ini jimat tenaga kerana kami boleh menggunakannya untuk 1 hari setengah dengan SIM kad terpasang. Kami juga menggunakannya untuk membalas WhatsApp, membuat carian Google, menonton YouTube, menyelak Facebook, dan sebagainya. Cukup tidak percaya akan keupayaan bateri ini dapat bertahan walaupun saiz skrin peranti ini besar yang mampu mencapai saiz sebuah phablet. Daripada segi bateri, tiada apa yang mahu kami rungutkan malah ia hadir dengan sistem penyejukan terbina melalui teknologi Vapor Chamber.

Kamera

NEX 3 5G antara telefon pintar di Malaysia yang menawarkan kamera 64MP. Ia dimuatkan bersama dua lensa lain iaitu 13MP ultralebar dan 13MP telefoto. Kesemua lensa ini memainkan peranan masing-masing selari dengan kehendak pengguna masa kini. Hasil gambar yang diberikan boleh kata baik sekali dan mampu memenuhi kehendak kami. Gambar yang ditangkap dari kamera belakang juga tidaklah terlalu beauty sehingga kelihatan menjengkelkan. Ia masih memberikan foto yang natural, jelas, dan tajam.

Pengguna yang mahu gambar berdefinasi tinggi boleh mengatifkan mod 64MP dengan tap pada “more”. Agak ganjil kenapa mod ini tidak diletakkan pada ruang utama kamera. Dalam ruang tersebut juga, pengguna boleh melancarkan mod profesional, panorama, live photo, slo-mo, pelekat AR, dan macam-macam lagi. Bercerita tentang mod Night, agak mengecewakan juga kerana perbezaannya tidak ketara seperti yang dijangkakan.

Malah gambar pada mod auto lebih baik kerana dapat mengawal noise dengan baik. Mod malam seolah-olah tidak dapat mengawal exposure lebih-lebih lagi pada bahagian lampu. Secara keseluruhan, kamera peranti ini berada pada tahap yang begitu memuaskan. Tidak dilupakan, mod Makro pada peranti ini beraksi dengan cukup cemerlang. Walaupun lensa dirapatkan dan dijauhkan berualang kali, view finder masih bijak menentukan subjek. Ia tidak kabur dan sangat jelas. Untuk kamera depan, pada kami ia tidak boleh menandingi peranti mercu lain. Kamera kelihatan seperti berusaha untuk memberi gambar yang terang tetapi hasilnya tidak begitu memuaskan. Contohnya, swafoto wajah yang diterangkan telah mengubah warna kulit asal. Seperti biasa, efek beauty masih ada walaupun dipadamkan sepenuhnya.

Hasil Gambar

  • Biasa → Ultralebar

This slideshow requires JavaScript.

  • Biasa → 20x zum digital

This slideshow requires JavaScript.

  • Makro

This slideshow requires JavaScript.

  • Biasa → Night Mode

This slideshow requires JavaScript.

  • Biasa → Bokeh

This slideshow requires JavaScript.

  • 16MP (default) → 64MP

This slideshow requires JavaScript.

  • HDR (terbaik dan cukup puas hati)

This slideshow requires JavaScript.

  • Lain-lain

This slideshow requires JavaScript.

Ciri-ciri Menarik

Side Ambient Light – Menerusi panel skrin yang melengkung, pengguna boleh menghidupkan pencahayaan ambien. Di sini, bahagian paparan yang melengkung akan mengeluarkan efek cahaya apabila panggilan diterima. Pengguna juga boleh tetapkan apakah corak pencahayaan yang ingin digunakan untuk notifikasi. Fungsi ini boleh ditetapkan mengikut waktu yang diingini. Misalnya, ia boleh diaktifkan hanya pada waktu malam atau siang sahaja.

Face beauty for WhatsApp – ciri ini sangat membantu untuk mereka yang gemar membuat panggilan video melalui WhatsApp. Ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah keyakinan pada pengguna yang tidak mahu pemanggil melihat wajah sebenar mereka. Buat masa ini hanya aplikasi WhatsApp sahaja yang ditawarkan.

S-capture – mudah digunakan jika pengguna ingin tangkap-skrin (screenshot) dan membuka pisahan-skrin (split-screen). Tiga jari perlu meleret ke atas untuk tangkap-skrin dan tiga jari perlu dileretkan ke bawah untuk membuka pisahan-skrin.

Smart-click – masih ingat yang kami kerap membuka lampu suluh apabila menggenggam peranti? Fungsi ini sebenarnya boleh dipadam atau diubah. Jika tidak mahu lampu suluh, pengguna boleh melancarkan rekod audio/buka kamera/buka Facebook atau melancarkan apa sahaja aplikasi yang dimahukan menerusi butang Touch Sense. Tekan lama untuk ciri ini diaktifkan.

Ultra Game Mode – fungsi yang sangat berguna untuk penggemar permainan mudah alih. Ia boleh ditarik keluar dengan meleret jari dari tepi skrin. Pengguna boleh hidupkan sekatan terhadap panggilan dan notifikasi ketika bermain. Ciri 4D Game Vibration juga termasuk dalam tetapan ini yang mana peranti akan menghasilkan kesan getaran menyeluruh dan melaras tahap getaran mengikut permainan yang dimainkan.

Always on Display – boleh dikonfigurasikan mengikut citarasa pengguna. Pilih rupa bentuk jam yang mahu digunakan serta warna yang diinginkan. Seterusnya ia akan dipaparkan pada skrin terpadam sepanjang masa selagi bateri tidak terpadam.

Kesimpulan

Selepas menggunakan NEX 3 5G untuk beberapa minggu, kami merasakan ia sebuah telefon mercu yang cukup mantap daripada segi paparan, prestasi, bateri, dan kamera. Kelebihan pada peranti ini nampaknya berjaya menutup segala kekurangan yang terdapat padanya. Walaupun harga yang dijual boleh dikatakan agak mahal tetapi pemiliknya pasti akan berpuas hati selepas menggunakan peranti ini.

Persembahan kotak pembungkusan juga pada masa sama memberi pengalaman mewah kepada pemiliknya. Sarung pelindung yang diperbuat daripada gabungan bahan mikrofiber dan getah ini berkualiti tinggi dan selesa digunakan. Permukaan getah di sekeliling sarung juga turut memberi perlindungan berganda pada peranti.

Spesifikasi tinggi yang ada pada NEX 3 5G sudah cukup hebat untuk digunakan pada masa ini. Sokongan 5G yang terbina pula setidak-tidaknya boleh digunakan pada masa hadapan sebagai persediaan awal untuk rangkaian 5G akan datang.

Antara kekurangan yang tidak dapat kami maafkan ialah ketiadaan pembesar suara kedua. Ya, untuk telefon dengan harga mencecah empat ribu ringgit, tiada speaker stereo disertakan. Oleh itu, kurang ‘kick’ apabila mendengar muzik ya tuan-tuan.

Apa-apapun NEX 3 5G boleh disenaraikan sebagai telefon idaman bagi anda yang mahu sebuah peranti berprestasi tinggi, menyukai fotografi, serta inginkan peranti yang mampu digunakan untuk sepanjang hari. Memegang peranti ini juga boleh meningkatkan penampilan anda. Tetapi, jika anda seorang yang lasak dan tidak pandai menjaga harta benda, NEX 3 5G bukan pilihan yang tepat. Faham-faham lah kalau skrin melengkung yang tak banyak ada di pasaran ini pasti akan menelan belanja yang besar sekiranya pecah atau rosak.

  • Beli vivo NEX 3 5G di sini
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend