[Ulasan] UGREEN Bluetooth 5.0 TWS, Kualiti Menandingi Harga Comments Off on [Ulasan] UGREEN Bluetooth 5.0 TWS, Kualiti Menandingi Harga

Penganalisis berpendapat fon telinga tanpa wayar sebenar atau TWS bakal menjadi peranti elektronik yang kedua paling popular di dunia selepas telefon pintar. Maka tidak hairanlah produk ini melambak dijual di pasaran pada ketika ini.

Bermula dari puluhan ringgit hinggalah ribuan ringgit, sudah tentu kita sebagai rakyat marhaen cenderung untuk memilih produk dengan harga yang lebih mampu dimiliki.

Contohnya seperti UGREEN, syarikat China itu kini sudah mula menghasilkan TWS mereka tersendiri melalui produk yang diberi nama UGREEN Bluetooth 5.0 TWS.

Untuk pengetahuan anda, UGREEN Bluetooth 5.0 TWS sudah berada di pasaran Malaysia sejak sebulan yang lalu. Seperti biasa, kami sekali lagi berpeluang untuk membuat ulasan lanjut mengenai produk yang diberikan.

UGREEN Bluetooth 5.0 TWS didatangkan dengan beberapa ciri yang mampu menandingi fon telinga premium di pasaran antaranya seperti:

#1 – Kecil dan ringan

Jika anda merasakan Apple AirPods sudah cukup kecil dan kompak, ternyata tanggapan itu tidak lagi relevan kerana UGREEN Bluetooth 5.0 TWS sebenarnya mempunyai saiz yang lebih kecil dan comel.

Ini kerana ia dibina dengan rekaan in-ear earbuds yang langsung tidak mempunyai tangkai seperti AirPods. Bila dipakai, ia tampak kemas malah rekaan yang ergonomik juga dapat disesuaikan dengan pelbagai jenis bentuk telinga.

Saiznya yang kecil dan ringan juga turut memberikan keselesaan kepada pengguna walaupun digunakan dalam tempoh yang panjang.

#2 – Sentuh untuk kawal

UGREEN Bluetooth 5.0 TWS menawarkan fungsi sentuhan yang membolehkan pengguna mengawal muzik dengan mudah. Terdapat beberapa cara untuk meyentuh fon telinga ini antaranya seperti:

  • Klik 2-kali untuk main/henti seketika muzik.
  • Tekan 2-saat untuk lagu seterusnya.
  • Klik 2-kali untuk menjawab/menamatkan panggilan.
  • Klik 3-kali untuk buka bantuan suara (Siri atau Google Assistant).

#3 – Sambungan auto

Sambungan auto disini ialah dimana pengguna boleh menghidupkan fon telinga ini hanya dengan memakainya di telinga tanpa perlu mengulangi proses sambungan Bluetooth. Sudah pasti fungsi Bluetooth perlulah senantiasa dihidupkan bagi mengelakkan proses sambungan berulang.

Seperti namanya juga, fon telinga ini membawa sokongan Bluetooth berteknologi terkini yang mana menjanjikan sambungan yang lebih kukuh serta stabil berbanding fon telinga yang menggunakan Bluetooth v4.2. Selain itu, Bluetooth 5.0 turut menyokong sambungan yang lebih pantas disamping jarak yang lebih jauh.

#4 – Bunyi HiFi Stereo

Pada kami bunyi efek Bes dan Trebel agak seimbang. Kekuatan bunyi juga sangat tinggi dan sepanjang menggunakannya kami hanya melaraskan suara pada tahap suku sahaja daripada keupayaan penuhnya.

Agak terkejut juga dengan prestasi bunyi yang dihemburkan. Bunyi sekeliling juga dapat dihantar dengan tepat dan tajam. Keseluruhan untuk aspek bunyi, kami boleh katakan fon telinga ini jauh lebih baik berbanding fon telinga lain dengan harga di sekitarnya.

Logik untuk meletakkan fon telinga ini setanding dengan jenama lain yang berharga dua ke tiga ratus lebih mahal. Bagaimanapun hasil carian kami tidak menjumpai sebarang maklumat mengenai saiz dan jenis pemacu yang disumbatkan.

#5 – Ketahanan bateri mengagumkan

Dengan berat hanya 3.5g setiap satu, bateri yang dimuatkan di kedua-dua belah fon telinga ini mampu memainkan muzik selama tiga jam. Manakala dengan bekasnya, penggunaan dapat dilanjutkan hingga ke 15 jam dan untuk sekali pengecasan penuh pula, masa yang diambil hanyalah sejam sahaja.

Tiada isu nak dibangkitkan jika sebut tentang bateri. Kami begitu berpuas hati. Cuma antara kekurangan yang terdapat pada sistem ini ialah port microUSB yang disertakan. Memandangkan telefon pintar sekarang menggunakan USB-C, kami perlu membawa dua kabel berasingan bersama-sama.

Spesifikasi

  • Model: CM338
  • Nama: UGREEN True Wireless Stereo Earphone
  • Bluetooth: v5.0
  • Jarak Penggunaan: 10 meter
  • Kawalan: Sentuhan
  • Hayat bateri: 3 jam (18 jam dengan bekas)
  • Kapasiti bateri: 30 mAh (480mAh untuk bekas)
  • Masa mengecas: Lebih kurang sejam
  • Berat: 3.5 gram / satu

Kesimpulan

Pendapat kami, UGREEN Bluetooth 5.0 TWS merupakan fon telinga tanpa wayar sebenar yang memiliki kualiti bunyi yang sangat memuaskan. Anda boleh mempertimbangkan sekiranya bercadang untuk membeli kerana UGREEN pada masa ini sedang mengadakan potongan harga untuk produk tersebut.

Jika harga asal bernilai RM199, kini anda boleh mendapatkannya kurang daripada RM120. Kami tidak boleh letakkan angka tepat kerana harga ini kerap kali bertukar, tapi yang pasti harganya masih rendah berbanding harga yang dicadangkan.

Beli di : Lazada / Shopee

Kekurangan

  • Bekas yang kecil menjadikan ruang di dalam bekas menjadi sempit. Jadi, fon telinga agak payah untuk dikeluarkan dari bekasnya.
  • Sering menghadapi sentuhan tidak sengaja apabila ingin mencabut fon telinga keluar dari telinga.
  • Tiada sokongan kalis air jadi tidak disarankan untuk aktiviti sukan.
  • Penutup agak longgar, jadi perlu dibuka lebih sekali untuk memasukkan/mengeluarkan kedua-dua fon telinga.
  • Suara latar yang memberitahu status TWS agak lucu didengar (mungkin guna individu yang dijangkiti virus Wuhan)
  • Tiada pilihan warna lain, hanya hitam sahaja.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend