[Ulasan] Samsung Galaxy Z Flip – Sangat Mengujakan, Tetapi Adakah Ia Berbaloi?! Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy Z Flip – Sangat Mengujakan, Tetapi Adakah Ia Berbaloi?!

Samsung sememangnya terkenal dengan inovasi pada skrin telefon pintar keluarannya, dan ini jelas dilihat melalui pengenalan pertama panel skrin Super AMOLED pada 10 tahun yang lepas, diikuti dengan percubaan panel skrin melengkung pertamanya melalui kemunculan model Galaxy Note Edge.

Malah pada awal tahun lepas, Samsung sekali lagi telah menjadi antara pengeluar terawal yang mula mencuba pasaran telefon pintar dengan rekaan skrin boleh lipat dengan pengenalan model Galaxy Fold. Kini selepas setahun, Samsung telah tampil pula dengan telefon pintar dengan rekaan skrin boleh lipat generasi keduanya – Samsung Galaxy Z Flip…

Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip:

  • Samsung One UI 2.1 (Android 10)
  • Qualcomm Snapdragon 855+
  • 1x 2.95GHz Kryo 485 + 3x 2.41GHz Kryo 485 + 4x 1.78GHz Kryo 485
  • Adreno 640 GPU
  • 8GB + 256GB (UFS3.0)
  • Tiada slot kad microSD
  • Slot kad SIM: SIM 1 + eSIM
  • Skrin utama: 6.7 inci Infinity Flex Display
  • Corning Gorilla Glass 6, Dynamic AMOLED FHD+ (2636 x 1080 piksel)
  • Skrin kedua: 1.1 inci Super AMOLED (112 x 300 piksel)
  • Kamera utama: 12MP (f/1.8, 1.4µm, Dual Pixel PDAF, OIS) + 12 (Ultrawide, f/2.2, 1.12µm)
  • Kamera depan: 10MP (f/2.4, 1.12µm, PDAF)
  • Rakaman video: 4K 60/30fps, 1080p 60/30fps, 720p 30fps
  • Video Slo-Mo: [email protected] / [email protected]
  • 3300mAh
  • Pengecasan pantas 15W, Pengecas tanpa wayar 15W, Wireless Powershare 9W
  • Ketahanan bateri: Masa berbual sehingga 35 jam, Masa Internet sehingga 13 jam, Masa memain video sehingga 18 jam
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, NFC, USB Type-C
  • Accelerometer, Barometer, Fingerprint sensor, Gyroscope, Geomagnetic, Hall sensor, RGB Light sensor, Proximity sensor
  • Pengimbas cap jari (butang kuasa)
  • Ukuran dibuka: 167.3 x 73.6 x 6.9~7.2MM
  • Ukuran ditutup: 87.4 x 73.6 x 15.4~17.3mm
  • 183g
  • Pilihan warna: Mirror Purple / Mirror Black / Mirror Gold

Harga dan Ketersediaan:

Dijual pada harga RM5888, Galaxy Z Flip sudahpun mula dijual secara rasmi di Malaysia pada 23 Mac 2020 yang lalu melalui rakan kongsi Samsung yang sah. Ditawarkan dalam tiga warna pilihan, Galaxy Z Flip kini boleh dimiliki di Best Denki, Courts, Lazada, senQ, Shopee dan juga Urban Republic.

Trivia: Warna dipaparkan pada huruf ‘Z’ dan juga perkataan ‘Flip’ pada kotak sebenarnya merujuk kepada warna Samsung Galaxy Z Flip yang anda miliki.

Pakej Pembelian

Walaupun Samsung Galaxy Z Flip dijual pada harga yang premium, kotak pembungkusannya sama sahaja seperti telefon pintar mercu Samsung seperti dari siri Galaxy S20. Malah penawaran aksesorinya tidak jauh berbeza, kecuali pada aksesori tambahan iaitu USB OTG (USB-A ke USB-C).

  • Samsung Galaxy Z Flip
  • Sarung pelindung plastik jernih
  • Pengecas 15W (9V/1.67A, 5V/2A)
  • Kabel USB-C
  • Fon telinga AKG USB-C (Braided)
  • USB OTG (USB-C)
  • Pin slot kad SIM
  • Buku manual

Video Buka Kotak:

Rekaan Fizikal

Rekaan Galaxy Z Flip ini sememangnya mampu mengimbau semula kenangan era telefon boleh lipat sekitar awal tahun 2000 dahulu. Apabila kami menggunakannya sepanjang tempoh ulasan, rekaan sebegini telah mengingatkan kami dengan kenangan sewaktu menggunakan model popular Motorola Razr V3 dan juga Samsung V200.

Bahagian depan tersedia dengan paparan skrin kecil berukuran 1.1 inci Super AMOLED dengan resolusi 112 x 300 piksel. Walaupun memiliki saiz skrin yang sangat kecil, anda masih boleh menggunakannya untuk melihat status seperti masa, tarikh dan juga peratusan bateri dengan menyentuh skrin sebanyak dua kali.

Sebarang notifikasi yang diterima boleh dilihat pada simbol bulat berwarna jingga pada skrin luar.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh meleretkan skrin ke kiri untuk mengawal muzik, ataupun ke kanan untuk melihat penerimaan notifikasi yang hanya dihadkan untuk memaparkan ikon aplikasi sahaja.

Bersebelahan dengan skrin, ia tersedia dengan LED Flash dan juga dwi kamera utama beresolusi 12MP dengan sokongan teknologi penstabilan OIS, dan juga kamera Ultra Wide juga beresolusi 12MP.

Apa yang lebih menariknya, anda juga boleh mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali dan butang volume up/down pula boleh digunakan sebagai butang shutter. Proses penukaran ke dari lensa utama ke lensa Ultra Wide juga boleh dibuat dengan hanya menyentuh skrin sahaja.

Selain menyokong fungsi pengecaman wajah menggunakan kamera depan, Galaxy Z Flip juga memiliki butang kuasa dengan sensor pengimbas cap jari terbina-dalam. Tanpa perlu menekan butang kuasa, peranti boleh terus diakses dengan hanya menyentuh permukaan sensor yang sangat sensitif.

Memandangkan ia boleh menerima input sehingga empat jari, kami mencadangkan anda untuk mendaftar cap jari telunjuk kiri sebanyak dua kali dan juga cap ibu jari kanan sebanyak dua kali untuk memastikan proses imbasan yang lebih baik.

Sekiranya anda memiliki dua kad SIM fizikal, Galaxy Z Flip mungkin memerlukan anda untuk memiliki telefon pintar kedua kerana ia hanya tersedia dengan satu sahaja slot kad SIM bersaiz nano, dan tiada slot kad microSD disediakan. Namun begitu anda masih boleh menggunakan nombor telefon kedua dengan sokongan eSIM.

Bahagian bawah kerangka Galaxy Z Flip pula telah menempatkan port USB Type-C dan juga satu speaker mono.

Skrin Boleh Lipat

Pengalaman menggunakan Galaxy Z Flip dengan rekaan skrin boleh lipat sememangnya mengujakan kerana ia memberikan kelainan berbanding telefon pintar mercu yang lain di pasaran. Bahkan sepanjang kami menggunakannya, ada sahaja mata yang memandang akan keunikan rekaannya.

Sama seperti telefon pintar boleh lipat awal tahun 2000 dahulu, cara membuka Galaxy Z Flip masih boleh dibuat dengan menggunakan sebelah tangan. Namun begitu ia perlu dibuat dengan lebih berhati-hati kerana saiznya yang agak lebar dan berat agak berisiko untuk terjatuh.

Malah anda juga perlu lebih berwaspada kerana tekanan kuku yang kuat pada skrin boleh meninggalkan kesan kekal sepertimana yang telah dikongsikan di dalam video ujian ketahanan Galaxy Z Flip di YouTube.

Format paparan skrin 21.5:9 menjanjikan lebih kepuasan kerana lebih banyak maklumat akan dipaparkan, ini termasuklah ketika anda membaca artikel, ataupun melayari laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Cuma apa yang kami rasa agak menjengkelkan adalah kesan lipatan skrin pada bahagian tengah paparan yang jelas dapat dirasai apabila anda menatal paparan skrin. Malah kesan lipatan skrin itu juga boleh dilihat dengan agak jelas apabila skrin dilihat dari sudut sisi ataupun apabila skrin ketika terkena pantulan cahaya. Tetapi hampir kebanyakan masa kewujudannya tidak begitu disedari.

Walau bagaimanapun kepuasan tontonan video dalam format 16:9 yang paling meluas digunakan sememangnya sangat tidak memuaskan kerana ia dipaparkan dalam saiz tetingkap yang kecil. Anda boleh menggunakan fungsi ‘pinch to zoom’, tetapi bahagian keliling video akan dipotong sedikit.

Sebaliknya paparan video dalam format 21:9 pula boleh dimainkan dalam mod paparan skrin penuh dengan sangat baik sekali. Cuma sokongan video dalam format sebegini masih belum digunakan secara meluas, termasuklah di YouTube.

Prestasi dan bateri

  • Ujian penanda aras

Tidak dinafikan lagi bahawa Snapdragon 855+ bukanlah pemproses terkini yang paling berkuasa boleh anda miliki di pasaran buat masa ini. Tetapi terus terang kami katakan bahawa sepanjang kami menggunakan Galaxy Z Flip, prestasinya langsung tidak mengecewakan. Tatalan pada skrin terasa sangat laju tanpa isu stutter, penukaran antara aplikasi terasa lancar dan fungsi multi-tasking juga terasa sangat baik.

  • Bateri

Untuk pengetahuan anda, Galaxy Z Flip hadir dengan bateri berkapasiti 3300mAh. Ia menyokong dua sel bateri yang diasingkan iaitu 930mAh pada bahagian atas dan 2370mAh pada bahagian bawah. Berdasarkan pengalaman kami, ketahanan bateri Galaxy Z Flip ini agak tidaklah begitu baik kerana ia mampu bertahan sehingga waktu petang sahaja untuk penggunaan yang agak berat.

Malah kami telah mengambil masa sekitar 1 jam 39 minit untuk mengecas penuh bateri Galaxy Z Flip daripada 15% ke 100%. Bagi kami masa mengecas yang diambil agak perlahan kerana ia hanya menyokong teknologi pengecasan 15W sahaja, dan ia sememangnya agak tidak berbaloi untuk sebuah telefon pintar dengan harga hampir mencecah RM6000.

Hasil Gambar

Kesimpulan

Tidak dinafikan lagi Samsung Galaxy Z Flip dengan rekaan skrin boleh lipat ini sememangnya memiliki daya tarikannya yang tersendiri. Sekiranya anda sukakan perhatian, ia merupakan pilihan paling sesuai untuk anda kerana ia mampu membuatkan setiap mata akan tidak lepas memandangnya.

Malah berdasarkan pengalaman kami menggunakan model Galaxy Fold sebelum ini, terus terang kami katakan yang kami lebih menyukai rekaan Galaxy Z Flip kerana ia dirasakan lebih praktikal untuk kegunaan harian. Tambahan pula ia memiliki rekaan yang kompak apabila dilipat, sekaligus memudahkannya disimpan di dalam poket dengan lebih selesa.

Namun jika ditanya sama ada berbaloikah Galaxy Z Flip ini untuk dimiliki dengan harga jualan mencecah RM5888, jawapan kami adalah ya atau tidak bergantung kepada tujuan anda menggunakannya.

Ya, sekiranya anda sukakan perhatian dengan menggunakan sebuah telefon pintar yang unik. Bahkan ia juga sangat sesuai untuk anda yang gemar mengambil gambar swafoto ataupun membuat rakaman video live kerana Galaxy Z Flip boleh dilipat untuk dijadikan sebagai stand dengan sangat mudah sekali.

Tetapi sekiranya anda tidak tergolong dalam kategori individu di atas, Galaxy Z Flip sememangnya dirasakan tidak berbaloi untuk dimiliki. Ini kerana dengan harga jualan yang sangat tinggi, spesifikasi yang disokongnya bukanlah yang terbaik boleh anda miliki di pasaran.

Malah format paparan skrin 21.5:9 juga dirasakan agak kurang praktikal untuk anda yang gemar menonton video (terutamanya video 16:9) ataupun untuk bermain permainan video. Tambahan pula teknologi skrin Galaxy Z Flip dirasakan agak rendah untuk sebuah peranti premium iaitu sekadar menyokong paparan FHD+ dengan kadar segar semula skrin setakat 60Hz sahaja.

Kelebihan:

  • Qualcomm Snapdragon 855+, 8GB RAM dan juga storan 256GB UFS 3.0 menjanjikan prestasi yang sangat baik.
  • Kerangka dengan kualiti binaan yang premium. Lipatan skrinnya juga kelihatan lebih baik berbanding Galaxy Fold kerana ia boleh ditutup dengan lebih rapat pada bahagian engsel yang kini telah diperbaharui rekaannya.
  • Rekaan skrin boleh lipat boleh digunakan sebagai stand apabila ingin mengambil gambar swafoto, mengambil gambar malam tanpa tripod ataupun ketika membuat panggilan video.
  • Saiz yang kompak sememangnya agak mudah untuk dimasukkan ke dalam poket seluar jeans.
  • Rekaan skrin boleh lipat sememangnya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya.
  • Dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas tanpa wayar dan juga fungsi PowerShare.

Kekurangan:

  • Harga jualan yang sangat tinggi dengan spesifikasi peranti mercu untuk tahun 2019.
  • Paparan skrin sentuh kedua yang terlalu kecil.
  • Paparan skrin utama hadir dengan panel Samsung Ultra Thin Glass dengan lapisan kedua plastik yang agak mudah tercalar atau meninggalkan kesan kekal.
  • Ketahanan bateri yang sederhana dan proses pengecasan yang agak perlahan.
  • Panel bahagian atas kerangka agak mudah panas.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend