[Ulasan] Samsung Galaxy Tab A (2019), Tablet Terkini Dengan Sokongan S-Pen Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy Tab A (2019), Tablet Terkini Dengan Sokongan S-Pen 256

Samsung Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan tablet terbaru mereka, Galaxy Tab A (2019) dengan dua model berbeza. Satu dengan saiz 10.1-inci dan satu lagi dengan saiz yang lebih kecil iaitu 8-inci. Untuk ulasan kami, unit yang diterima adalah model yang kompak dengan S-Pen. Sasaran Samsung untuk tablet ini adalah kepada semua golongan pengguna termasuk kanak-kanak.

Spesifikasi

  • One UI berasaskan Android 9 Pie
  • Samsung Exynos 7904 (14nm) 1.8GHz, 1.6GHz
  • 3GB+32GB
  • 8-inci TFT LCD WUXGA
  • 1920 x 1200 piksel (~283 ppi)
  • Kamera depan: 8MP (f/2.0)
  • Kamera utama: 5MP (f/2.2)
  • 4,200 mAh
  • Slot kad hibrid (nano SIM + nano SIM / microSD)
  • microSD sehingga 512GB
  • WiFi 802.11a/b/g/n/ac, 2.4GHz, 5GHz, Bluetooth 5.0, USB Type-C, bicu audio 3.5mm
  • GPS, Glonass, Beidou, Galileo
  • Pengecaman wajah, paten, kata laluan, pin
  • 201.5 x 122.4 x 8.9mm / 325g
  • Pilihan warna: Hitam / Kelabu
  • Harga: RM1,099

#1 – Binaan Badan

Tablet terbaru ini hadir dengan tubuh badan yang mantap. Kerangka unibodi ini diperbuat daripada plastik berkualiti tinggi yang menjanjikan keselesaan kepada pengguna. Ia juga mudah untuk dibersihkan sekiranya terdapat kotoran pada badan peranti. Saiznya pula tidak terlalu besar dan cukup kompak untuk disimpan di dalam beg. Dengan berat yang minimal, ia tidak lagi membebankan pengguna terutamanya kepada anak kecil.

#2 – Paparan Skrin

Tablet ini menggunakan skrin jenis LCD bersaiz 8-inci. Skrin ini tidaklah begitu tajam seperti telefon pintar premium yang anda gunakan tetapi kualiti paparannya agak memuaskan apabila menonton video di YouTube khususnya. Bagaimanapun, bezel di sekelilingnya agak tebal dan tidak mengikut trend terkini. Dengan harganya, mungkin Samsung ada alasannya yang tersendiri dan pada penulis bezel tebal ini selamat untuk digunakan. Ia tidak mudah retak atau rosak sekiranya terjatuh atau terhentak.

#3 – Bateri

Bercakap tentang bateri, tablet ini dikuasakan bateri yang agak kecil pada pandangan penulis. Disebabkan ia tidak menjana cip pemproses berprestasi tinggi, penggunaan baterinya cukup cekap tenaga. Bateri berkapasiti 4,200mAh ini boleh digunakan untuk melakukan pelbagai tugasan dalam sehari. Sambungan USB Type-C pula memudahkan peranti untuk dicas malah pantas memindahkan fail berbanding sambungan microUSB seperti model terdahulu.

#4 – Sistem Operasi Terkini

Bagi yang belum mengetahui bagaimana One UI berfungsi, ia merupakan sistem operasi yang terkini daripada Samsung. Sistem terbaru ini lebih licin dan lancar semasa beroperasi. Rekaan ikon pada antaramuka ini pula lebih ceria dan susunannya kini lebih kemas dan teratur. Tiada aplikasi tidak berguna lagi pada peranti ini malah hampir semua tetapan kini mudah untuk diuruskan. Bagaimanapun, apa yang penulis kurang gemar adalah antaramuka ini agak rumit apabila pengguna ingin mengaktifkan mod pisahan-skrin. Pilihan mod ini tidak dipaparkan di bahagian atas aplikasi sebaliknya pengguna perlu menekan ikon aplikasi pada bahagian recent apps.

#5 – Mod pisahan-skrin

Tidak lengkap sebuah tablet tanpa ciri pisahan-skrin, dengan skrin yang besar pengguna boleh membuka apa sahaja aplikasi berbeza pada satu-satu masa. Pengguna juga boleh membuka aplikasi dalam mod tetingkap dan melaras saiz tetingkap mengikut kehendak serta meletakkannya di mana-mana bahagian skrin. Ini amat mudah untuk pengguna menguruskan dua tugas secara serentak.

Satu lagi ciri yang boleh digunakan pada tablet terbaru Samsung ini adalah keupayaan menggunakan S-Pen. Kanak-kanak terutamanya boleh menggunakan pen pintar ini untuk melukis dan mewarna. Saiz yang kecil dan ringan juga menjadikan pen pintar kalis kepada air dan debu. Jadi, ia selamat digunakan walaupun tangan anda dalam keadaan basah atau berpeluh.

#6 – S-Pen

Jika peranti siri-Note didatangkan dengan S-Pen, tablet ini juga memiliki ciri yang sama. S-Pen yang tersembunyi di dalam kerangka boleh digunakan untuk pengguna menghantar Live message, mencatit nota pada skrin kunci, menyalin nota, menyunting gambar, melukis, dan sebagainya. Daripada segi rekaan S-Pen, ia agak serupa dengan S-Pen pada Galaxy Note 9 tetapi ia tidak memiliki ciri Bluetooth yang boleh digunakan untuk mengambil gambar dari jauh.

#7 – Dulang kad

Dulang kad pada tablet ini menyediakan dua slot jenis hibrid. Seperti biasa, ia menawarkan dua ruang untuk kad SIM atau jika pengguna inginkan keluasan storan, satu slot perlu dikorbankan untuk kad microSD. Ia adalah sesuatu yang mengecewakan kerana penulis memerlukan dua SIM yang aktif bersama kad microSD memandangkan ruangan storan pada tablet ini agak kecil iaitu 32GB sahaja.

#8 – Ujian Penanda Aras

Ujian penanda aras pada tablet ini agak memuaskan, dengan skor sebanyak 109,126 pada AnTuTu dan 1323/4169 skor pada GeekBench, prestasi pada Galaxy Tab A (2019) mungkin boleh disamakan dengan skor yang sama diperolehi oleh telefon pintar yang menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 636. Jadi untuk bermain permainan mudah alih, ia tiada masalah sama sekali. Untuk PUBG Mobile, mungkin tidak selancar seperti telefon pintar lain yang memiliki mod permainan khas.

#9 – Kamera

Kegunaan tablet bukanlah pada kameranya, tetapi Samsung tidak terlepas pandang pada bahagian ini apabila mereka memuatkan sensor 8MP di penjuru atas panel belakang. Kamera ini nampaknya tidak seperti kamera pada tablet zaman dahulu, ia memberikan hasil gambar yang terang serta tajam malah turut disertakan beberapa ciri penggambaran seperti rakaman video FHD+, filter, dan mod Live Focus (bokeh).

#10 – Hasil Gambar

Kesimpulan

Samsung Galaxy Tab A (2019) merupakan tablet naik taraf yang sudah dikemaskini oleh Samsung untuk tahun ini. Disebabkan model tablet di pasaran agak terhad, boleh dikatakan tablet daripada Samsung telah menjadi perhatian ramai sejak sekian lama. Samsung juga memiliki kelebihan daripada segi paparan, jadi untuk tablet ini, ia menawarkan skrin yang cukup baik dan boleh dipuji. Harga yang ditawarkan juga boleh dikatakan berpatutan dengan spesifikasi yang diletakkan. Jika memori peranti ini kecil, perlu diingatkan ia telah didatangkan sekali dengan S-Pen pada kerangka tablet.

Kelebihan

+ binaan badan kukuh
+ saiz badan kompak
+ paparan terang dan jelas
+ sambungan USB Type-C
+ S-Pen tersedia
+ kamera yang memuaskan
+ sistem antaramuka yang kemas

Kekurangan

bezel tebal
bateri berkapasiti kecil
hanya satu pembesar suara
kedudukan butang kunci yang jauh untuk dicapai
memori kecil

→ Beli Samsung Galaxy Tab A (2019) di https://www.samsung.com/my

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend