[Ulasan] Samsung Galaxy S10+, Naik Taraf Terbesar Pernah Dilakukan Pada Siri-S Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy S10+, Naik Taraf Terbesar Pernah Dilakukan Pada Siri-S 544

Siri Galaxy S10 telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal bulan ini, jadi rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengulas lanjut mengenai peranti mercu terbaharu daripada Samsung ini. Ulasan kali ini, penulis telah diberikan model yang teratas iaitu Galaxy S10+ dalam pilihan warna Prism White.

Spesifikasi

  • One UI (berasaskan Android 9.0 Pie)
  • Samsung Exynos 9820 (8nm)
  • Octa Core (2 x 2.73GHz Mongoose M4 + 2 x 2.31GHz Cortex-A75 + 4 x 1.95GHz Cortex-A55)
  • Mali-G76 MP12
  • 8GB + 128GB
  • 6.4 inci Dynamic AMOLED QHD+ (3040 x 1440 piksel) HDR 10+
  • Kamera belakang: 12MP f/1.5 – f/2.4 (lebar) + 12MP f/2.4 (telefoto) + 16MP f/2.2 (ultra-lebar)
  • Kamera depan: 10MP f/1.9 + 8MP f/2.2
  • 4,100 mAh (Adaptive Fast Charging 15W), Samsung PowerShare
  • WiFi 6 (802.11ax), LTE (> 2Gbps), USB Type-C, Bluetooth 5.0, Bicu audio 3.5mm
  • Pengimbas cap jari dalam paparan, Corning Gorilla Glass 6
  • Slot kad: Hibrid (SIM + SIM / SIM + microSD)
  • Speaker stereo (talaan Dolby Atmos dan AKG)
  • Proximity, Light, Gravity, Gyroscope, Digital compass
  • 157.6 x 74.1 x 7.8mm / 172g
  • IP68
  • Pilihan warna: Prism White, Prism Black, Prism Green
  • RM3,699

Kotak Pembungkusan

Galaxy S10+ hadir dengan kotak berwarna hitam dan di dalamnya terdapat sejumlah aksesori yang tidak banyak pengeluar lain dapat bekalkan. Seperti contoh, Samsung masih lagi memberikan adapter USB-A-ke-USB-C, adapter microUSB-ke-USB-C, dan fon telinga daripada AKG. Selebihnya adalah kabel pengecas, palam kuasa, pin ejektor, dan kertas panduan.

Reka Bentuk

Galaxy S10+ telah membuatkan penulis terpukau dek kerana reka bentuknya. Kerangka keluli tahan karat yang berkilau dengan panel depan melengkung menjadikan ia sangat anggun apabila diletakkan di atas meja atau di mana saja. Dengan tubuh badan nipis, ia hadir dengan kemasan warna unik yang dinamakan Prism White. Warna asas putih ini seakan dilumur minyak kerana warnanya akan berubah jika peranti dilihat dari sudut yang berbeza.


Modul kamera pada siri-S tahun ini sangat berbeza dengan model terdahulu, kini barisan kamera diletakkan secara melintang dan Samsung nampaknya ingin menyelaraskan identiti peranti mercu mereka mengikut siri-Note sebelum ini. Bagaimanapun kedudukan sistem pengimbas biometrik yang sering diletakkan berhampiran modul kamera tidak lagi disertakan. Pada model S10 dan S10+, pengeluar kini telah menggantikannya dengan pengimbas jari jenis ultrasonik di dalam paparan. Ini sekaligus menjadikan reka bentuk peranti tampak lebih kemas serta tersusun rapi.

Skrin

Rekaan skrin mungkin nampak pelik pada awalnya kerana skrin ini seolah-olah telah ditampalkan sesuatu di bahagian atasnya. Biar pun pelik, tidak disangkal lagi Samsung sangat mahir dalam pembuatan skrin paparan. Dynamic AMOLED telah menjalani proses pemotongan yang rumit menggunakan laser bagi membuat lubang pada skrin untuk dwi kamera depan.

Samsung juga telah menaik taraf teknologi AMOLED mereka, melalui teknologi ini difahamkan Galaxy S10+ mampu menerangkan skrin sehingga melebihi 1,200 nits – yang mana lebih tinggi berbanding panel AMOLED biasa. Jadi, pengguna boleh melihat skrin dengan lebih jelas di bawah sianaran matahari tanpa sebarang masalah.

Sokongan HDR10+ yang menjadi kelebihan pada Dynamic AMOLED turut menawarkan kandungan visual yang lebih imersif kepada pengguna. Penulis tidak sempat menggunakan ciri ini kerana kandungannya yang agak terhad. Difahamkan buat masa ini kandungan HDR10+ hanya tersedia di platfom penstriman Netflix dan Amazon Prime. Apa yang pasti, sokongan HDR10+ membolehkan pengguna menikmati video yang lebih jelas serta berkualiti tinggi.

Berkenaan pengimbas cap jari dalam skrin, jujur penulis ingin katakan ia agak leceh untuk digunakan pada peringkat awal. Ini kerana penulis perlu menyentuh jari pada skrin dengan tepat untuk menyahkunci peranti. Walau bagaimanapun, semakin lama penulis menggunakannya, kaedah ini menjadi semakin lancar serta memudahkan. Menurut Samsung peranti ini merupakan yang pertama di dunia hadir dengan pengimbas cap jari dalam skrin berteknologi ultrasonik. Mereka turut mengatakan pihaknya akan meningkatkan tahap kelancaran sistem ini dari masa ke semasa melalui tampalan kemas kini.

Bagi yang bertanyakan adakah peranti ini sukar untuk mendapatkan filem perlindungan skrin? Jawapannya ya, buat masa ini tidak banyak kedai yang menawarkannya, tetapi pengguna tidak perlu risau kerana Samsung telah menyertakan perlindungan skrin terus daripada kotak pembelian.

Bagi yang sudah terbiasa dengan kaedah imbasan wajah, peranti ini turut menyokong sistem pengimbasan wajah. Proses nyahkunci juga dapat dilakukan dengan pantas malah lebih pantas berbanding imbasan cap jari pada skrin. Akan tetapi, kekurangannya pula adalah ia tidak boleh mengesan wajah sekiranya pengguna berada di dalam bilik yang gelap.

Bateri

Kelebihan yang seterusnya adalah pada baterinya, Galaxy S10+ memuatkan bateri bersaiz besar iaitu 4,100mAh. Ya, bateri ini besar untuk tubuh badan Galaxy S10+, tetapi Samsung berjaya meminimalkan dimensi peranti secara amnya. Jelas di sini, Samsung akhirnya mendengar keluhan pengguna mereka yang agak kecewa dengan prestasi bateri pada siri Galaxy S9.

Menerusi pengecasan penuh, peranti ini mampu memberikan masa mengguna sepanjang hari – itu pun jika resolusi paparan ditetapkan kepada tahap FHD+ sahaja. Pada pendapat penulis, resolusi sedemikian sudah cukup memadai untuk kegunaan seharian pengguna tanpa perlu menukarnya kepada resolusi QHD+.


Masa mengecas pula tidak terlalu lama iaitu kurang dari 2 jam sahaja menerusi palam kuasa Samsung Adaptive Fast Charging 18W. Ini bermakna Galaxy S10+ menyokong pengecasan tanpa wayar menggunakan protokol Qi Wireless Charging. Pengguna boleh mengecas peranti di mana-mana dermaga pihak ketiga tanpa sebarang masalah.

Kelebihan lain yang ada pada Galaxy S10+ adalah ciri yang dinamakan PowerShare. Ini merupakan ciri pengecasan-berbalik yang sama seperti Huawei Mate 20 Pro. PowerShare menyokong pengecasan pantas berteknologi Wireless Charging 2.0, maka ia mampu mengecas peranti lain hanya menggunakan kaedah menyentuh panel belakang sesama sendiri.

Antaramuka

Siri Galaxy S10 merupakan peranti pertama Samsung yang menggunakan One UI. Sistem antaramuka ini dijalankan di atas Android Pie dan pada kali ini ia tampak lebih ceria dan kemas. Susunan ikon juga lebih mudah dicapai dan mudah difahami berbanding antaramuka Samsung Experience pada siri Galaxy S9. Pengguna turut dihidangkan beberapa gesture yang menyerupai android asli terkini seperti contoh ciri kawalan navigasi menggunakan leretan jari.


Oleh kerana skrin peranti ini hampir penuh, pengguna juga boleh memperkemaskan lagi sistem antaramuka melalui butang navigasi tersembunyi dengan penggunaan gesture penuh. Apa yang penulis tidak gemar adalah butang pilihan pisahan-skrin (split-screen) tidak lagi dipaparkan di recent apps – pengguna perlu menekan lama ikon aplikasi seterusnya pilih ciri pisahan-skrin. Pada penulis cara ini tidak begitu mesra pengguna.

Kamera

Konfigurasi tri-kamera 12MP + 12MP + 16MP mempamerkan kesungguhan Samsung dalam aspek penggambaran, lantas menjadikan siri-S kali ini adalah yang pertama membawakan sensor ultra-lebar kepada pengguna. Sensor telefoto pula masih lagi berbekalkan keupayaan zoom sehingga 2x tetapi dengan sedikit penambahbaikan. Zoom digital pula masih lagi menyokong sehingga 10x.



Ada beberapa nisbah penggambaran yang disediakan seperti 3:4, 9:16, 1:1, dan penuh. Mod pula menyediakan pilihan Live Focus, Pro, Panorama, Food, Super Slow-mo, Slow motion, Hyperlapse dan menariknya Instagram – dengan ciri ini penulis boleh terus memuat naik gambar bersudut lebar terus ke Insta stories tanpa perlu membuka aplikasi itu sendiri.

Pada kamera depan, ia dipadankan dengan dwi-kamera 10MP + 8MP dengan bukaan f/1.9 dan f/2.2. Tetapan kamera ini mampu memberikan kesan bokeh semasa swafoto dan sudut yang lebih luas untuk merakam gambar berkumpulan. Kamera depan ini juga berupaya merakam video berkuaiti 4K.

Mengulas lanjut mengenai Live Focus, kedua-dua kamera depan dan belakang menyertakan kesan khas daripada empat pilihan berbeza antaranya Blur, Spin, Zoom, dan Color point (kesan hitam-putih kecuali subjek). Kesemua kesan khas ini adalah mengaburkan latar belakang, sekaligus memberikan kesan khas yang tidak membosankan pengguna.

Hasil Gambar









Penanda Aras

Ujian penanda aras telah dilakukan pada Galaxy S10+. Skor yang diperolehi daripada dua ujian di AnTuTu dan GeekBench 4 mendapati peranti ini amat berkuasa kerana skor ini hampir merapati pesaingnya, iPhone XS. Ini telah membuktikan Exynos 9820 berasaskan cip 8nm dapat menjana peranti pada tahap yang tertinggi untuk sebuah peranti android.

Penulis yakin antara faktor utama yang mempengaruhi skor ini adalah daripada sistem antaramuka terbaharu Samsung One UI. Ujian membuka setiap aplikasi yang sama berbanding dengan iPhone XR milik penulis, Galaxy S10+ adalah jauh lebih pantas ketika membuka aplikasi.

Selain daripada itu, sistem memori yang besar turut membantu melancarkan sistem operasi dalam memproses data. Jadi jika tanya kepada penulis, 8GB RAM memang sudah cukup memadai untuk pengguna yang gemar membuka aplikasi berat seperti permainan bergrafik tinggi.

Kesimpulan

Kerja keras pihak Samsung dalam menghasilkan peranti ini harus diberi pujian kerana kali ini mereka mengambil perhatian dalam setiap aspek yang diperlukan pengguna masa kini. Apa yang penulis boleh katakan, jika ada peluang untuk menukar peranti android yang dimiliki sekarang, penulis tidak teragak-agak untuk mendapatkan Galaxy S10+. Mengapa? Sebab Galaxy S10+ adalah antara peranti yang lengkap dengan ciri yang penulis perlukan seperti bateri besar, skrin penuh beresolusi tinggi, cip pemproses terkini, dan yang paling penting reka bentuknya sangat premium.

Pro

+ Reka bentuk super-menawan.
+ Skrin beresolusi tinggi serta terang.
+ Antaramuka paling stabil pernah dikeluarkan Samsung.
+ Bateri bersaiz besar.
+ Masih mengekalkan bicu audio 3.5mm.
+ Kemampuan mengecas peranti lain tanpa wayar.
+ Tubuh badan nipis dengan kemasan warna menarik.
+ Harga berpatutan.

Kontra

Kedudukan butang kuasa tidak ergonomik.
Gambar malam tidak begitu baik berbanding pesaing lain.
Pengimbas cap jari yang terlalu rendah untuk dicapai.
Pengimbas wajah tidak dapat berfungsi di dalam gelap.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend