[Ulasan] Samsung Galaxy Note10+, Kekal Sebagai Peranti Paling Praktikal Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy Note10+, Kekal Sebagai Peranti Paling Praktikal 202

Samsung Galaxy Note10+ ialah telefon pintar yang paling berkuasa daripada Samsung untuk pasaran Malaysia ketika ini. Ia menawarkan ciri-ciri yang dimahukan pengguna seperti keupayaan kamera yang baik, paparan skrin yang sempurna, rekaan premium, dan rupa yang menawan.

Mungkin ramai yang sudah menyedari kehadiran peranti ini di pasaran malah ia juga telah dipamerkan di bilik pameran sejak awal bulan lalu. Sungguhpun begitu, untuk memiliki peranti ini, anda perlu mengeluarkan belanja yang tinggi kerana untuk varian asas sahaja harganya mencecah RM4200.

Tidak dinafikan, siri Note mempunyai peminat yang ramai bahkan kami sendiri meminati peranti ini kerana ia memiliki keunikan yang tersendiri. S-Pen yang sinonim dengan peranti Note kini dipertingkatkan fungsinya. Ia sekaligus menjadikan Note10+ sebuah peranti yang praktikal sesuai untuk golongan eksekutif khususnya.

Kami sempat menguji peranti ini untuk melihat kelebihannya, di bawah merupakan ciri-ciri menarik yang terdapat pada Samsung Galaxy Note10+:

#1 – Paparan Terbaik Pernah Dikeluarkan

Peranti ini menyokong paparan skrin yang cukup luas dengan resolusi QHD+ berteknologi Dynamic AMOLED rekaan Infinity-O. Bingkai yang nipis dengan skrin yang melengkung membuatkan peranti ini kelihatan cukup segak dan moden. Apa yang menarik, setiap apa yang dipaparkan pada skrin dapat dilihat dengan jelas serta kualiti warna yang ditonjolkan dapat memberi pengalaman terbaik kepada pengguna. Skrin Note10+ juga pernah ditabalkan sebagai skrin telefon pintar terbaik oleh DisplayMate beberapa hari selepas ia dilancarkan kepada umum. Paparan yang mampu mencapai tahap keterangan sehingga 1300 nits juga membolehkan digunakan di bawah sinaran cahaya yang terang.

#2 – Empat Lensa Kamera Belakang

Galaxy Note10+ tidak terlepas untuk mengikuti trend semasa yang menetapkan penggunaan empat kamera belakang. Konfigurasi lensa yang berbeza juga membolehkan pengguna mengambil gambar dan video dalam format bersudut lebar atau ultra-lebar. Samsung turut menekankan keupayaan rakaman video. Kini pengguna boleh merakam video bokeh dengan efek latar yang berbeza. Selain daripada itu, ciri Zoom-in Mic pula membolehkan peranti menangkap bunyi yang lebih kuat apabila kamera zum pada subjek yang jauh. Sementara lensa telefoto pula mengemaskan lagi gambar dengan latar belakang kabur. Terima kasih kepada pemprosesan isyarat imej (ISP) yang terbaru dalam memberikan hasil rakaman yang terbaik.

#3 – Kawalan Jauh S-Pen kini Dipelbagaikan

S-Pen antara imej tumpu untuk Galaxy Note10 / Note10+ tahun ini. Ia menawarkan fungsi kawalan jauh yang lebih pelbagai. Seperti contoh, pengguna kini boleh mengawal kamera sama ada ingin menukar kamera belakang ke depan atau sebaliknya selain boleh mengezum kamera dengan membuat gerakan putaran di udara. S-Pen kini boleh mengawal galeri foto sekiranya pengguna tidak mahu menggunakan jari untuk menyapu skrin. Jarak kawalan pula menjangkau sehingga 10 meter melalui teknologi Bluetooth yang telah dipertingkatkan.

#4 – Rekaan Moden dan Premium

Apa yang diharapkan untuk sebuah telefon pintar mercu ialah kerangka badan dengan binaan premium dan ergonomik. Galaxy Note10+ kini mempunyai butang fizikal yang telah diubah suai kedudukannya dari generasi terdahulu. Butang kuasa dan butang laras suara kini diletakkan sebaris di sebelah kiri bagi memudahkan ia digunakan dengan sebelah tangan. Genggaman peranti pula boleh dikatakan cukup selesa walaupun saiz peranti ini sendiri lebar dan besar.

#5 – Warna Aura Glow yang Menawan

Kelebihan lain yang terdapat pada Galaxy Note10+ ialah pilihan warna Aura Glow yang menawan. Warna ini cukup unik dan secara jujurnya, kami boleh katakan ia adalah warna yang terbaik pernah dikeluarkan oleh Samsung. Efek pantulan pelangi pada panel belakang menambahkan lagi aspek kemewahan pada peranti. Namun begitu, kekurangan gelas kaca adalah ia memerangkap cap jari dengan sangat mudah dan perlu dibersihkan dengan kerap.

#6 – Memori dan Storan Besar

Buat pertama kali, Samsung menawarkan kapasiti memori besar untuk telefon pintar mereka. Galaxy Note10+ hadir dengan RAM sebesar 12GB serta digandingkan bersama storan sehingga 512GB. Gabungan sistem memori ini membuatkan peranti ini cukup berkuasa untuk melakukan tugasan multimedia dan multitasking dengan lancar. Peranti ini juga mampu memainkan permainan mudah alih ‘berat’ tanpa sebarang masalah. Ia juga didatangkan dengan mod permainan yang boleh ditetapkan mengikut kehendak pengguna, seperti contoh boleh menghidupkan halangan panggilan telefon ketika bermain.

#7 – Kamera Depan dalam Skrin

Selain menawarkan kamera depan yang terang dan tajam, rekaan modul kamera juga perlu kelihatan minimal supaya ia tidak menjejaskan rekaan keseluruhan peranti. Galaxy Note10+ hadir dengan kamera pada skrin melalui rekaan Infinity-O. Selain berfungsi untuk mengambil gambar swafoto, ia juga sebenarnya boleh digunakan untuk menyahkunci peranti. Sepanjang menggunakan peranti ini, kami dapati sistem nyahkunci berfungsi dengan baik dengan respon yang pantas. Dikeliling lensa kamera ini juga Samsung telah meletakkan satu efek nyalaan cahaya apabila kamera ini diaktifkan sama ada semasa mengimbas wajah ataupun mod swafoto dilancarkan.

#8 – Pengecasan yang Jauh Lebih Pantas

Galaxy Note10+ dilengkapi teknologi pengecasan pantas yang dinamakan Super Fast Charging. Kuasa input untuk bateri sebesar 4300mAh ini adalah 25W yang mana mengambil masa hanya 1 jam 45 minit untuk ia dipenuhkan. Sementara pengecasan 45W pula hanya boleh dinikmati dengan palam kuasa khas. Buat masa ini, ia masih belum dijual di kedai-kedai Samsung seluruh Malaysia. Daripada segi ketahanan bateri, apa yang kami boleh katakan ia lebih jimat kuasa berbanding Note9, tetapi masih belum memuaskan. Samsung mungkin menganggap bateri yang besar akan menjejaskan ketebalan peranti. Walau bagaimanapun, pengguna masih ada pilihan untuk membuat tetapan resolusi skrin di ruangan tetapan pada bila-bila masa.

#9 – Sambungan ke Komputer dengan Satu Kabel

Samsung DeX antara ciri menarik yang terdapat pada Galaxy Note10+. Ia membolehkan pengguna menyambung peranti ke komputer hanya menggunakan satu kabel sahaja. Kabel itu adalah kabel yang sama digunakan untuk mengecas. Adapter penyambung tidak lagi diperlukan untuk mengaktifkan mod Samsung DeX ini. Ia boleh disesuaikan di mana-mana komputer di dunia ini selagi komputer/komuter riba itu menyertakan port USB-C. Dalam mod ini pengguna boleh memindahkan fail atau membuat kerja dengan lebih mudah. Disebabkan itu juga, peranti Note10+ cukup sesuai digunakan dalam golongan eksekutif.

#10 – Sistem Audio Canggih

Sistem audio yang baik mampu menambahkan lagi keasyikan mendengar muzik ataupun menonton video. Walaupun hanya satu lubang pembesar suara ada pada peranti ini, sedarkah anda bahawa pembesar suara kedua terhasil dari bawah skrin peranti? Galaxy Note10+ mempunyai dua pembesar suara yang lantang. Teknologi Dolby Atmos yang digunakan pula begitu terperinci dan menghasilkan bunyi bes yang dalam. Malah pengguna juga boleh nyahaktifkan fungsi ini dengan mudah pada tetapan pintas peranti. Keseluruhan sistem audio Galaxy Note10+ ini kami boleh kata ‘secukup rasa’.

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Spesifikasi

  • 6.8″ QHD+ Dynamic AMOLED
  • Samsung Exynos 9825 (7nm)
  • 12GB+256GB / 12GB+512GB (microSD sehingga 1TB)
  • Kamera utama: 12MP F1.5 / F2.4 + 16MP F2.2 + 12MP F2.1 + VGA F1.4
  • Kamera depan: 10MP F2.2
  • 4300mAh Super Fast Charging (sokong sehingga 45W)
  • WiFi 6, Bluetooth 5, Dwi-SIM (Dwi-LTE), USB-C
  • 162.3 x 77.2 x 7.9mm
  • 196g
  • RM4199 / RM4799 (512GB)
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend