[Ulasan] Samsung Galaxy Fold, Rekaan Menawan Tapi Terlalu Manja Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy Fold, Rekaan Menawan Tapi Terlalu Manja 170

Samsung Galaxy Fold telah menembusi pasaran Malaysia pada bulan Oktober 2019. Ia adalah telefon pertama dengan skrin boleh-lipat yang ditawarkan di Malaysia kepada orang ramai. Setelah versi pertama gagal di pasaran disebabkan isu rekaan paparannya, versi kedua kali ini hadir dengan empat tingkat taraf utama.

#1 – Lapisan Perlindungan Skrin Kini Dibenamkan


Lapisan perlindungan skrin kini telah menutupi sepenuhnya bahagian paparan. Jika anda perasan, tiada lagi ruang antara lapisan skrin dengan bingkai. Ia bagi memastikan pengguna tidak salah faham dan mengopeknya keluar seperti yang berlaku pada versi pertama.

#2 – Sokongan Tulang ‘T’


Kami diberitahu bahawa tulang sokongan pada hujung engsel peranti ini telah direka semula. Tulang berbentuk ‘T’ telah menggantikan tulang berbentuk ‘-‘ bagi memastikan paparan dapat dibuka dan ditutup dengan baik selain mengukuhkan struktur paparan.

#3 – Kepingan Logam Di Bawah Paparan


Penambahan lain turut melibatkan bahagian dalaman. Kini terdapat kepingan logam pada bawah panel Infinity Flex. Ia dikatakan dapat memberi perlindungan yang secukupnya apabila diletakkan tekanan.

#4 – Ruang Antara Engsel Dengan Paparan Dikurangkan


Menurut Samsung, mekanisma engsel pada peranti turut diubah. Rekaan engsel terbaru telah dirapatkan ke tubuh peranti, bertujuan supaya zarah seperti habuk tidak mudah memasuki ke bahagian dalaman peranti.

#5 – Pengalaman Pengguna Yang Lebih Baik


Selain daripada empat tambah baik di atas, Samsung turut mengatakan mereka telah mempertingkatkan pengalaman pengguna Galaxy Fold. Kebanyakan aplikasi kini dioptimasikan mengikut nisbah paparan utama 4.2:3.

Spesifikasi

  • 7.3″ QXGA+ Dynamic AMOLED (4.2:3) Infinity Flex 2152 x 1536 (~362ppi)
  • 4.6″ HD+ Super AMOLED (21:9) 1680 x 720 (~399ppi)
    • Corning Gorilla Glass 6 (skrin luar)
    • Corning Gorilla Glass 5 (panel belakang)
  • Qualcomm Snapdragon 855
  • 12GB RAM + 512GB UFS 3.0
  • Samsung One UI (berasaskan Android 9 Pie)
  • Kamera belakang: 12MP F1.5/F2.4 (lebar) + 16MP F2.2 (ultralebar) + 12MP F2.4 (telefoto)
    • Dwi OIS, 2x zum optikal, 10x zum digital, rakaman HDR10+
  • Kamera depan: 10MP F2.2 + 8MP F1.9 (RGB)
  • Kamera luar: 10MP F2.2
  • 4380mAh dwi-bateri Samsung Fast Charging
  • Dwi-pembesar suara Dolby Atmos
  • Bluetooth 5.0, USB-C 2.0, NFC, Dwi-SIM (nano + eSIM), pengimbas cap jari, pengimbas wajah
  • Dimensi: 62.8 x 160.9 x 15.7mm (lipat), 117.9 x 160.9 x 6.9mm (dibuka), 276g (berat)
  • Warna: Cosmos Black / Space Silver
  • RM8399

Pandang Pertama

Samsung akhirnya berjaya mengeluarkan peranti seumpama ini secara komersial untuk memberi peluang kepada pengguna merasai sendiri pengalaman menggunakan telefon dengan skrin boleh-lipat. Galaxy Fold seolah-olah membawa pengguna ke masa hadapan yang mana ia mampu mencuri pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Daripada segi reka bentuk, tidak dapat kami bandingkannya dengan peranti lain kerana Galaxy Fold mempunyai keunikannya yang tersendiri. HUAWEI Mate X dan Motorola Razr misalnya memiliki reka bentuk yang berbeza. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Untuk Galaxy Fold, pada kami ia tidak sepraktikal yang kami mahukan.

Praktikaliti

Paparan utama yang perlu dibuka dengan kedua belah tangan cukup merenyahkan pengguna seperti kami. Jadi, kami lebih suka menggunakan skrin luar berbanding skrin dalam. Sungguhpun begitu, skrin luar ini terlalu kecil buat pengguna seperti kami yang sudah terbiasa dengan skrin melebihi 6-inci.


Kandungan pada paparan pula agak terhad dan menyukarkan kami untuk menggunakan papan kekunci, lebih-lebih lagi menggunakan peta semasa memandu. Agak mustahil untuk kami menggantungkan peranti semahal ini pada pemegang telefon. Risiko untuk ia rosak amat tinggi sekiranya terjatuh ataupun terhentak.

Pantang Larang

Galaxy Fold yang terbaru direka semula untuk memberi pengalaman pengguna yang lebih sempurna. Namun ia tidaklah sesempurna seperti yang disangka. Ini kerana Galaxy Fold sebuah telefon yang manja dan memerlukan penjagaan rapi. Paparan Infinity Flex ini tidak dilindungi kaca sebaliknya hanya dilapisi plastik polimer yang tidak boleh ditekan-tekan seperti telefon pintar biasa. Akan tetapi pada skrin luar, ia jauh lebih tahan lasak kerana menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 6 selain permukaan panel belakang dengan Corning Gorilla Glass 5.


Galaxy Fold tidak menyokong ciri kalis air dan debu. Tiada pensijilan IPX67 atau IPX68, maka jelas ia tidak boleh dibawa bersama ketika beriadah seperti membawanya bermain di taman tema air ataupun di tepi pantai. Memasukkannya ke dalam poket juga bukan semudah disangka.


Menurut Samsung, peranti ini tidak boleh bersentuhan dengan bahan logam atau magnet. Menyelitkan kad atau wang dan sebagainya pada celah paparan juga akan mengakibatkan skrin mudah terkoyak. Begitu juga ia tidak boleh terdedah kepada habuk dan pasir. Sekali skrin ini tercalar, ia tidak boleh digantikan seperti anda menggantikan tempered glass atau filem silikon seperti telefon pintar biasa.

Bateri Terpisah


Galaxy Fold dilengkapi bateri sebesar 4380mAh. Tapi ia dipisahkan kepada dua bahagian, satu di sebelah kiri dan satu di sebelah kanan. Menurut Samsung, bateri yang terpisah ini ditugaskan untuk menjana kedua-dua belah skrin selain dapat mengurangkan ketebalan peranti.


Kapasiti bateri pula akan menurun secara serentak begitu juga semasa ia sedang dicas. Bagi pengecasan berbalik pula (reverse-charging), Galaxy Buds hanya akan dicas sekiranya bateri telefon mempunyai lebih dari 30 peratus. Jika kurang, fungsi tidak boleh digunakan. Manakala untuk TWS yang lain, ia masih boleh dicas selagi membawa sokongan Qi Wireless Charging.

Continue Apps


Pengguna boleh mengaktifkan ciri ini melalui tetapan. Ia membolehkan pengguna beralih skrin semasa menggunakan aplikasi. Contohnya, anda sedang menggunakan Google Maps pada skrin depan, anda boleh melihat dengan lebih luas pada skrin dalam hanya dengan membuka lipatan skrin. Usah khuatir, hampir semua aplikasi yang kami muat turun menyokong ciri ini.

Multi-Active Window


Jika skrin telefon pintar biasa boleh mengaktifkan pisahan-skrin dengan membuka dua aplikasi, Galaxy Fold pula boleh membuka tiga aplikasi sekaligus. Pengguna bebas untuk mengalihkan aplikasi di mana-mana bahagian mengikut keutamaan selain saiz tetingkap yang boleh dilaraskan.

Kamera

Galaxy Fold menggunakan konfigurasi kamera yang sama seperti Galaxy S10+, bermula dari kamera belakang sehinggalah ke kamera depan. Cuma untuk kamera keenam, Galaxy Fold tampil dengan kamera luar 10MP bagi memudahkan pengguna berswafoto tanpa perlu membuka lipatan skrin.


Sokongan HDR pada kamera tidak begitu memuaskan lebih-lebih lagi apabila mengambil gambar potret. Kesan bokeh kamera depan pula hanya dapat fokus kepada satu wajah. Banyak percubaan telah dibuat tetapi masih gagal mengesan wajah kedua. Hasilnya, wajah kedua masih dikaburkan.

Baca juga: [Ulasan] Samsung Galaxy S10+, Naik Taraf Terbesar Pernah Dilakukan Pada Siri-S

Pada pendapat kami, kamera Galaxy Note10+ jauh lebih baik daripada peranti ini. Walaubagaimanapun, prestasi kamera Galaxy Fold masih boleh membuatkan pemiliknya tersenyum, terutamanya sokongan rakaman video Live Focus yang ditawarkan.

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Kesimpulan

Selepas menggunakan peranti ini sepanjang minggu, kami boleh katakan bateri peranti ini jimat tenaga dan mampu bertahan untuk penggunaan seharian. Boleh kata, 70% penggunaan skrin adalah pada skrin kecil di luar dan selebihnya pula dihabiskan pada skrin utama dengan menonton video atau melakukan kerja-kerja multi-tasking.


Apa yang kurang digemari adalah paparan utama bernisbah 4.2:3 ini tidak dapat disesuaikan dengan kebanyakan aplikasi. Visual telah dipotong pada bahagian atas dan bawah membuatkan pengalaman menggunakan Instagram Stories jadi kurang baik. Begitu juga apabila menonton YouTube dengan skrin melintang, terdapat ruang hitam pada atas dan bawah video tersebut. Ini kerana video YouTube dimainkan dalam nisbah 16:9.

Akhir sekali, Galaxy Fold bukanlah peranti yang sesuai untuk kegunaan seharian. Harganya yang mahal tidaklah mengejutkan kami kerana inovasi yang dibawakan masih pada peringkat awal dan belum meluas. Tetapi, jika anda seorang yang mahukan perhatian serta kelainan, apa salahnya bukan?

Kelebihan

  • Satu-satunya telefon Samsung di Malaysia dengan cip Snapdragon.
  • Binaan tubuh yang premium dan padu.
  • Kedudukan butang fizikal yang ergonomik.
  • Peranti mudah digenggam (keadaan terlipat).
  • Paparan yang luas serta warna yang tajam.
  • Ketahanan bateri yang baik.
  • Dwi-pembesar suara utama.
  • Sistem pengimbas wajah yang pantas.
  • Sistem operasi lancar dan licin.

Kekurangan

  • Pengecasan biasa 10W.
  • Permukaan tubuh yang licin.
  • Permukaan kamera belakang yang timbul.
  • Tidak menyokong kalis air dan debu.
  • Skrin dalam tidak tahan lasak.
  • Skrin depan yang kecil.
  • Earpiece hanya ada di luar untuk jawab panggilan.
  • Pengimbas cap jari kurang respon.
  • Berat.

Video: Buka Kotak Samsung Galaxy Fold

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend