[Ulasan] Samsung Galaxy A80, Peranti Premium Dengan Kamera Berputar Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy A80, Peranti Premium Dengan Kamera Berputar 193

Samsung Galaxy A80 merupakan telefon pintar dalam keluarga siri-A yang paling baru tiba ke pasaran Malaysia. Ia juga boleh dikatakan peranti kelas pertengahan paling premium ditawarkan setakat ini untuk pengguna di negara ini.

Tidak seperti adik-beradiknya yang lain, Galaxy A80 hadir dengan rekaan unik melalui kamera berputar berkuasa automatik. Sistem tri-kamera yang terbina juga sekaligus membolehkan pengguna mengambil swafoto menggunakan kamera belakang.

Spesifikasi

  • Samsung One UI (1.1) berasaskan Android 9 Pie
  • Qualcomm Snapdragon 730 (8nm)
  • 8GB + 128GB
  • 6.7-inci Super AMOLED FHD+
  • 2400 x 1080 piksel (20:9)
  • Corning Gorilla Glass 3
  • Kamera berputar: 48MP (f/2.0) + 8MP (f/2.2) + 3D depth (f/1.2)
  • 3700 mAh (Super Fast Charging 25W)
  • Pengimbas cap jari bawah skrin
  • Dwi-SIM (nano + nano)
  • Pembesar suara tunggal
  • WiFi 802.11a/b/g/n/ac, 2.4 + 5GHz, Bluetooth 5.0, NFC, USB Type-C
  • GPS, Glonass, Beidou, Galileo
  • 165.2 x 76.5 x 9.3mm / 220g
  • Pilihan warna: Phantom Black / Angel Gold / Ghost White
  • RM2,499

Pakej Pembelian

Galaxy A80 didatangkan dengan kotak pembungkusan yang mengandungi sarung pelindung, kepala pengecas PD (Power Delivery), kabel USB-C ke USB-C, fon telinga USB-C, pin ejektor dan buku panduan.

Rekaan

Bercakap tentang rekaan, Galaxy A80 memiliki rupa paras yang cantik dan seperti yang anda tahu, ia juga hadir dengan kamera berputar yang unik. Kerangka yang digunakan pula diperbuat daripada bahan logam berkualiti tinggi sama seperti yang digunakan pada Galaxy Note9.

Panel gelas sebenar yang menutupi bahagian belakang pula kelihatan cukup elegan malah rekaan pada sisi kerangka yang melengkung juga memudahkan ia digenggam walaupun saiz tubuh peranti bersaiz besar.

Peranti Samsung terkenal dengan sokongan sambungan rangkaian mudah alih yang kukuh. Terdapat lima jalur antena di sekeliling kerangka sekaligus menjanjikan rangkaian yang stabil ketika berada di dalam bangunan.

Beralih kepada rekaan kamera, bahagian atas peranti akan bergerak ke atas secara sendiri apabila kamera swafoto dilancarkan. Disebabkan ia perlu melakukan pergerakan mekanikal, ia mengambil sedikit masa untuk kamera dibuka.

Bahagian bawah menyediakan port USB Type-C dan disebelahnya pula terdapat gril pembesar suara. Namun begitu, tiada pembesar suara kedua pada peranti ini memandangkan ia tidak didatangkan dengan lubang earpiece. Untuk slot, Galaxy A80 tidak menyediakan slot untuk kad microSD tetapi dulang kad ini mampu memuatkan dua kad SIM bersaiz nano.

Skrin

Paparan jenis Super AMOLED tidak asing lagi pada telefon pintar Samsung. Pada Galaxy A80, ia mengenakan paparan yang cukup luas sebesar 6.7-inci malah ia juga telefon pintar pertama Samsung tanpa takuk atau kamera berlubang pada skrin.

Skrin yang terang serta jelas juga membolehkan peranti digunakan di bawah sinaran cahaya matahari tanpa sebarang masalah. Menariknya, ia tidak didatangkan dengan sensor pengukur cahaya (ambient light sensor) di panel depan tetapi dapat melaraskan keterangan skrin dengan bijak. Ketiadaan lubang earpiece juga memerlukan penulis meletakkan telinga rapat pada bahagian skrin yang tertentu ketika menerima atau membuat panggilan telefon.

Sistem keselamatan pula, paparan skrin ini juga menyokong sistem pengimbas cap jari bawah skrin. Selepas mengaktifkan sistem nyahkunci ini, penulis mendapati respon sistem biometrik ini agak lambat dan sering tidak dapat membaca jari penulis. Oleh itu, penulis terpaksa menggunakan kaedah lain (seperti paten) untuk menyahkunci peranti.

Kamera

Kelebihan lain yang ada pada Galaxy A80 adalah pada kamera utamanya. Tidak seperti kamera biasa, kamera Galaxy A80 akan berputar secara automatik apabila mod swafoto dilancarkan. Galaxy A80 turut menyertakan lensa bersudut ultra lebar untuk swafoto secara berkumpulan. Manakala lensa biasa pula menyertakan ciri swafoto lebih kepada satu wajah yang mana sesuai untuk mengambil gambar bersama dengan pasangan.

Galaxy A80 hadir dengan tiga kamera belakang 48MP f/2.0 utama, 8MP f/2.2 ultra lebar, dan 3D kedalaman f/1.2. Lensa ultra lebar yang diletakkan oula sangat sesuai digunakan untuk mengambil gambar panorama. Peranti ini turut menyertakan mod penggambaran malam (Night), akan tetapi hasil gambar dalam persekitaran yang gelap agak kurang baik jika dibandingkan dengan peranti pertengahan lain.

Antara mod yang ditawarkan pada kamera swafoto adalah:

  • Live focus
  • Photo
  • Video
  • Live focus video
  • Hyperlapse
  • AR Emoji
  • Group selfie
  • Couple selfie
  • Selfie

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Antaramuka

Samsung Galaxy A80 dijalankan di atas sistem operasi Samsung One UI 1.1 berasaskan Androdi Pie. Sistem terbaru ini sama sekali berbeza dengan sistem antaramuka terdahulu – Samsung Experience. Sebagaimana siri Galaxy S10, begitulah juga pada peranti ini. Ikon-ikon yang digunakan kini lebih ceria dan penulis mendapati tiada lagi bloatware (aplikasi pra-pasang jarang digunakan) pada sistem perisian ini. Ia tampak lebih kemas serta mudah untuk diuruskan.

Menariknya, antaramuka terbaru ini memfokuskan kepada penggunaan sebelah tangan. Sebagai contoh, penulis boleh menyapu skrin ke arah bawah di mana-mana sahaja untuk membuka talam aplikasi – daripada menariknya dari bawah seperti sebelum ini. Game Launcher pula boleh diaktifkan untuk mengawal notifkasi dan prestasi sewaktu bermain permainan mudah alih. Kebaikan daripada menggunakan skrin Super AMOLED, penulis boleh menghidupkan ciri AOD (always on display) bagi memudahkan diri melihat masa dan notifikasi tanpa membuka peranti.

Ujian Penanda Aras

Penanda aras merupakan platfom di mana kita mengukur keupayaan peranti. Jika sebelum ini Samsung meletakkan cip pemproses Exynos pada telefon pintar mereka, kini sedikit kelainan diberikan kepada Galaxy A80. Samsung telah meletakkan cipset Snapdragon 730 untuk meningkatkan lagi kuasa peranti malah ia juga cipset paling berprestasi untuk siri-700. Dua aplikasi telah digunakan iaitu AnTuTu dan Geekbench. Masing-masing memperolehi skor sebanyak 206,812 dan 2494/6857 meletakkan ia lebih tinggi berbanding peranti menggunakan cipset Snapdragon 710.

Bateri

Sejujurnya bateri berkapasiti 3700mAh boleh dikira kecil jika dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan lain. Sudah pasti pengguna di luar sana termasuk penulis sendiri lebih sukakan bateri berkapasiti 4,000mAh dan ke atas kerana peranti ini perlu menjana kuasa yang banyak untuk menghidupkan skrin yang besar. Ini tidak kira jika penulis mengaktifkan dua kad SIM sekaligus, keputusannya sudah pasti akan lagi mengecewakan, tetapi kerisauan ini dapat diatasi apabila Samsung menyertakan sokongan pengecasan pantas berkuasa 25W.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy A80 menawarkan paparan yang cukup terang dan jelas. Ia sangat sesuai dijadikan mini wayang dengan menonton filem atau menstrim video. Rekaan tubuh badan yang padu juga menjanjikan rasa premium kepada pengguna selain kehadiran kamera berputar menonjolkan lagi gaya si pemakai. Daripada segi prestasi, tidak banyak yang boleh dikomen kerana sepanjang menggunakan peranti ini, tiada masalah untuk peranti melancarkan aplikasi suntingan dan permainan seperti contoh.

Bagaimanapun apa yang penulis rasakan tentang peranti ini ialah harganya yang agak mahal berbanding peranti lain dalam kelas yang sama. Berat peranti ini agak keterlaluan dan ia bagai memegang sebuah tablet pada tangan, jadi untuk pengguna yang gemar bermain permainan mudah alih seperti yang memerlukan kedua-dua belah tangan, ia agak membebankan. Anda akan berasa letih pada pergelangan tangan dan disebabkan itu penulis tidak mencadangkannya kepada kaki gamers.

Sekiranya anda seorang yang gemar berswafoto atau minat dengan peranti premium serta unik, Galaxy A80 boleh dipertimbangkan kerana kualiti binaan jauh lebih baik berbanding telefon pintar dalam kelas yang sama, mungkin disebabkan binaan ini Samsung perlu meletakkan tanda harga yang tinggi untuk Galaxy A80.

Masa membuka kamera adalah 1.5 saat

Kelebihan

  • Binaan peranti barkualiti tinggi
  • Paparan yang terang serta tajam.
  • Tiada gangguan takuk pada skrin.
  • Kemasan warna yang cantik.
  • Kamera swafoto beresolusi tinggi.
  • Panel depan kemas tanpa sebarang sensor.
  • Pembesar suara menyokong Dolby Atmos.
  • Cip pemproses terbaru.

Kekurangan

  • Tiada pensijilan kalis air dan debu.
  • Tiada sokongan zoom untuk kamera depan.
  • Gambar dalam gelap tidak sebaik yang diharapkan.
  • Bateri lambat penuh walaupun dengan sokongan pengecasan 25W.
  • Pengimbas cap jari yang gagal berfungsi sepenuhnya.
  • Kerangka badan yang berat.
  • Bunyi kamera berputar yang bising.
  • Tiada pembesar suara kedua.
  • Tiada slot untuk kad microSD.

Beli Samsung Galaxy A80  https://www.samsung.com/my

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend