[Ulasan] Samsung Galaxy A7 (2018) – Peranti Bermata Tiga Daripada Samsung 0 681

Samsung telah melancarkan siri terbaru Galaxy A di Kuala Lumpur pada bulan lalu yang telah dihadiri oleh ratusan pengamal media dalam dan luar negara. Syarikat gergasi ini juga telah mencipta sejarah di mana tampil dengan peranti empat kamera pertama di dunia melalui Galaxy A9 (2018). Bagaimanapun, dalam ulasan ini kami ingin fokuskan kepada model yang lebih mampu milik iaitu Galaxy A7 (2018).

Bagi yang mengikuti perkembangan peranti Samsung, Galaxy A7 (2018) dilengkapi perkakasan kelas pertengahan, menawarkan paparan Super AMOLED, memori besar, tiga kamera di belakang, serta didatangkan dengan pilihan warna berkilau yang menarik.

Spesifikasi

  • 6.0″ Super AMOLED FHD+ (2220 x 1080)
  • Exynos 7885 lapan teras (14nm)
  • Samsung Experience 9.0 + Android 8.0 Oreo
  • Memori 4GB + 128GB
  • Sokong microSD hingga 512GB
  • Kamera utama: 24MP f/1.7 + 8MP f/2.4 (ultralebar) + 5MP f/2.2 (kedalaman)
  • Kamera depan: 24MP f/2.0
  • 3,300mAh microUSB (5V/1.55A)
  • Bluetooth 5.0, NFC, Bicu audio, Pengimbas cap jari
  • Tiga slot (nano + nano + microSD)
  • Warna Biru, Emas, Hitam
  • Berat 168g
  • RM1,299

Pakej Pembelian

Pakej pembelian didatangkan dengan kotak berwarna putih yang sangat ringkas mengandungi aksesori sampingan seperti palam kuasa, buku panduan, fon telinga, SIM tool dan kabel microUSB.

Aspek Luaran

Sebaik mengangkat peranti keluar daripada kotak, kami merasakan ia agak besar untuk digenggam. Ini kerana Galaxy A7 (2018) memiliki skrin besar serta bezel yang agak tebal di sekelilingnya. Ruang dagu kini dibiarkan kosong tanpa sebarang logo atau pengimbas cap jari lantas membuatkan rupa luaran peranti ini agak ketinggalan. Adakah ini rekaan ‘2018’ yang dibawakan Samsung, kami sendiri tiada jawapan untuk itu.

Skrin Berdefinisi Tinggi

Secara asas, teknologi Super AMOLED menjanjikan kandungan paparan yang memukau serta warna yang lebih jitu. Skrin bersaiz 6-inci ini mampu menghasilkan paparan yang tajam dan jelas berbanding skrin LCD yang digunakan pada peranti yang sama harga dengannya di pasaran.


Kami telah sembunyikan sistem navigasi bar untuk tampak lebih kemas. Melalui teknologi AMOLED, fungsi Always-on-display boleh diaktifkan sekiranya ingin memantau info ringkas seperti masa, tarikh, peratus bateri, dan notifikasi tanpa menghidupkan skrin.

Tiada Takuk Untuk Kamera

Disebabkan peranti ini tiada takuk, sensor kamera telah diletakkan di sebelah kiri earpiece malah ruang dahi yang luas ini juga menempatkan LED flash yang mana dapat membantu penggambaran swafoto dalam persekitaran gelap.

Pengimbas Cap Jari di Tepi


Kelainan yang telah dibuat pada peranti ini salah satunya ialah sistem biometrik yang telah diposisikan semula di bahagian sisi kerangka. Berdasarkan pengalaman kami, menggunakan pengimbas cap jari ini tidak semudah yang disangka, jari perlu diletakkan dengan sempurna barulah peranti akan dinyahkunci. Pada kami, proses imbasan ini mengambil sedikit masa dan beberapa kali cubaan. Hakikatnya, kami perlu membuka peranti menggunakan corak atau kata laluan selain Face Recognition (imbasan wajah).

Tiga Slot Kad


Tidak hairan pada hari ini banyak telefon pintar kelas pertengahan menawarkan ruang kad sehingga tiga slot, ini juga termasuk Galaxy A7 (2018) yang membolehkan pengguna siap sedia dengan dua SIM pada satu-satu masa selain boleh meluaskan ruang storan sehingga 512GB menerusi kad microSD. Seperti biasa, apabila dua SIM dimasukkan, bateri pada peranti akan cepat berkurang.

Sokongan Dolby Atmos


Sokongan Dolby Atmos hanya boleh dinikmati selepas fon telinga disambungkan. Perbezaan yang ketara akan berlaku sewaktu mendengar atau menonton video berkualiti tinggi. Kebiasaannya ciri ini hanya ditawarkan pada peranti mercu yang harganya jauh lebih mahal.

Tiga Lensa Kamera Utama

Perbandingan lensa biasa dan ultralebar

Menjadi yang pertama dalam pengeluaran Samsung, peranti ini menawarkan tiga sensor kamera yang menggabungkan lensa lebar, ultralebar, dan kedalaman. Misalnya pada lensa ultralebar, gambar boleh diambil dengan lebih luas daripada biasa hingga 120-darjah. Manakala pada sensor kedalaman pula, gambar berlatang belakang kabur boleh dilaras mengikut kehendak pengguna.

Aspek Dalaman

Galaxy A7 (2018) memiliki memori dalaman yang besar yang dijana cip pemproses daripada Samsung sendiri. Exynos 7885 telah dibangunkan berasaskan cip 14nm yang mana turut membawakan sistem operasi Android 8.0 Oreo. Pengendalian peranti ini lebih mesra pengguna kerana sistem antaramuka-nya hampir sama seperti menggunakan abangnya, Galaxy A9 (2018). Kedua-dua peranti ini diperkasakan sistem antaramuka Samsung Experience 9.0 yang terbaru.

Ujian Penanda Aras

Tidak perlu mengharapkan prestasi yang cemerlang, keputusan skor yang diperoleh peranti ini nampaknya setanding dengan peranti yang menggunakan cip pemproses Snapdragon 630. Tapi, untuk harga yang diletakkan ia mungkin nampak tidak setimpal

Ciri Pada Kamera

Fokus utama Samsung adalah pada aspek penggambaran, terdapat beberapa ciri boleh digunakan pada kamera belakang antaranya Panorama, Pro, Beauty, Live focus, Scene optimizer (seakan AI), AR emoji, Hyperlapse, dan juga Auto. Sementara pada kamera swafoto pula pengguna boleh menukar mod penggambaran Selfie focus, Selfie, AR emoji, dan Wide selfie dengan semudah meleret jari. Berdasarkan pengalaman kami, antaramuka pada kamera Galaxy A7 (2018) disusun dengan kemas serta tidak berserabut.

Masa Mengecas

Kami kecewa dengan teknologi pengecasan pada peranti ini kerana tidak menyokong ciri pengecasan pantas. Malahan kuasa mengecas hanya menyokong kuasa output 5V/1.55A atau 7.75W sahaja. Lebih teruk lagi, sambungan pengecasan masih menggunakan teknologi lama, microUSB dan bukan USB Type-C. Oleh kerana itu, peranti mengambil masa yang agak lama untuk dicas semula dan kami tahu pengguna kini lebih mementingkan waktu pengecasan yang lebih cepat berbanding jumlah kapasiti bateri. Ujian pengecasan telah dibuat dan ia mengambil masa sekitar 2.5 jam untuk bateri dipenuhkan.

Pendapat TeknoRatz

Bagi pengguna Samsung, anda mungkin tiada masalah dengan peranti terbaru ini kerana antaramuka yang digunakan hampir serupa dengan peranti Samsung (S9 dan Note 9) yang lain. Hasil gambar sangat memuaskan jika dibandingkan dengan peranti jenama lain dalam julat harga yang sama. Kamera depan dan belakang peranti ini tidak ditala dengan kesan atau efek AI yang keterlaluan, tambahan gambar-gambar yang diambil juga kelihatan lebih natural.

Kamera depan peranti ini menggunakan sensor yang besar jadi hasil gambar yang diberikan juga terang serta tajam. Kami suka pada pilihan mod yang disediakan (terutamanya Wide selfie) yang sesuai digunakan untuk merakam gambar berlatar belakang pemandangan. Pada hemat kami, jika anda mencari peranti yang khusus untuk bergambar, Galaxy A7 (2018) adalah jawapannya dan jika anda seorang yang suka bermain game tidak kira masa, peranti ini memang tidak sesuai kerana menggunakan tenaga yang banyak lebih malang masa mengecasnya yang panjang. Lebih malang lagi masa mengecasnya juga panjang.

Kekurangan

  • Binaan tidak padu
  • Panel skrin timbul daripada kerangka
  • Saiz bezel tebal
  • Permukaan panel mudah perangkap cap jari
  • Pengimbas cap jari tidak cekap
  • Sukar digunakan dengan satu tangan
  • Masa mengecas lama
  • Sambungan kabel microUSB

Kelebihan

  • Resolusi skrin tinggi
  • Kemasan warna cantik
  • Slot kad banyak
  • Prestasi penggambaran baik
  • Sistem antaramuka baik
  • Sokongan kad memori lebih besar
  • Harga kompetitif

Hasil Gambar

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend