[Ulasan] Samsung Galaxy A50, Lengkap Dengan Ciri Yang Dimahukan Pengguna Berbajet Comments Off on [Ulasan] Samsung Galaxy A50, Lengkap Dengan Ciri Yang Dimahukan Pengguna Berbajet 756

Strategi pemasaran Samsung tahun ini nampaknya telah berubah apabila tiada lagi pisahan siri antara Galaxy J dan Galaxy A. Samsung kini menggabungkan kedua-dua siri tersebut di bawah satu siri iaitu Galaxy A. Cuma dibezakan oleh angka nombor. Setakat ini Samsung telah memperkenalkan Galaxy A10, A20, A30, A50, dan A70 untuk pengguna di Malaysia. Malahan setiap model ini mewakili kategori harga yang berbeza.

Memfokuskan pada model Galaxy A50 dalam ulasan kali ini, perant ini ditawarkan pada harga kurang daripada RM1,200. Samsung juga tidak ‘kedekut’ untuk memberi spesifikasi terbaik pada Galaxy A50 ini. Adakah Samsung telah sedar akan kehendak pengguna yang inginkan peranti yang berbaloi untuk dibeli pada masa kini demi bersaing untuk jenama lain?

Tanpa melengahkan masa, di bawah merupakan senarai 10 ciri menarik yang ada pada Samsung Galaxy A50. Mari kita lihat.

Pakej Pembelian Lengkap

Bukan semua pengeluar menawarkan pakej pembelian yang lengkap kepada pengguna. Ada yang tidak menyertakan sarung pelindung, ada juga yang tidak memasukkan kepala pengecas pantas, dan ada juga yang ‘lupa’ untuk memberikan fon kepala di dalam kotak. Bagaimanapun perkara ini tidak berlaku sebaik penulis membuka kotak pembungkusan Galaxy A50. Semua aksesori disertakan malah skrin peranti turut ditampalkan pelindung skrin terus dari kilang!

Rekaan

Apabila memegang telefon pintar ini, penulis merasakan tubuh badannya agak nipis dan ringan membuatkan ia selesa untuk digenggam untuk tempoh yang lama. Ia memiliki panel belakang yang berkilau tetapi jangan tertipu kerana panel ini sebenarnya diperbuat daripada bahan berasaskan plastik. Tidak mengapa, dek rupa dan warnanya yang cukup menonjol, peranti ini kelihatan seperti peranti yang menggunakan kaca premium. Selain itu, rekaan lekuk pada sisi kerangka juga menambahkan lagi daya cengkaman sebaik berada di telapak tangan. Kedudukan butang kuasa dan laras audio pula berada cukup mudah untuk dicapai. Tiada butang dedikasi Bixby pada peranti ini jika anda ingin tahu.

Paparan Super AMOLED

Sebut mengenai paparan, peranti ini menggunakan skrin Super AMOLED dengan resolusi HD penuh+. Paparan dan warna yang dihasilkan cukup jitu serta terang sekaligus memberikan pengalaman menonton video yang lebih realistik. Kebanyakan peranti dalam harga sekitarnya hanya menggunakan skrin LCD TFT. Dengan paparan Infinity-U ini, takuk masalah takuk besar boleh dibangkitkan. Ia lebih cantik tetapi sekiranya Samsung dapat mengecilkan lagi ruang bezel di bahagian dagu peranti, ia akan lebih sempurna. Tetapi jika dibuat begitu, harganya mungkin akan melambung tinggi bukan?

Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Satu lagi kelebihan yang ada pada Galaxy A50 adalah sistem keselamatannya. Peranti ini hadir dengan sistem pengimbas cap jari dalam skrin. Sepanjang menggunakan, penulis mendapati prestasinya kurang ‘memantul’ kerana ia mengambil masa yang lama kadangkala gagal untuk pengimbas jari penulis. Jadi, bagi menghilangkan sakit hati ini, penulis telah berbalik kepada kaedah lama iaitu guna paten untuk menyahkunci peranti. Sistem imbasan wajah juga menghadapi perkara yang sama, lambat dan perlu dibuat berulang kali. Ini kerana sistem imbasan wajah hanya bergantung kepada lensa kamera tanpa bantuan sensor lain.

Tri-Kamera

Menjadi salah satu imej tumpu peranti, Galaxy A50 menawarkan sistem tri-kamera utama. Deretan lensa berbeza 25MP f/1.7, ultra lebar 8MP f/2.2, dan bokeh 5MP f/2.2 memberikan penulis pengalaman fotografi yang versatil. Selepas mencuba, penulis mendapati hasil gambar yang ditangkap agak memuaskan. Perbezaan kualiti gambar antara lensa utama dan ultra lebar adalah jauh sekali kerana bukaan aperture pada lensa ini memang berbeza. Lagi satu, tiada sistem penstabilan imej OIS atau EIS pada ketiga-tiga lensa. Jadi untuk mendapatkan hasil yang baik, penulis perlu menggunakan kedua belah tangan sewaktu menekan butang shutter. Apa-apapun Samsung masih memberikan lampu LED flash satu tona warna sekiranya situasi memerlukannya.

Bateri Besar Dengan Pengecasan Pantas 15W

Walaupun tubuh badan peranti ini nipis, bateri yang dimuatkan adalah cukup besar, bersaiz 4,000mAh yang mampu memberikan penulis tempoh penggunaan hampir seharian. Apabila bateri telah menurun kepada paras minimum, penulis tidak risau kerana alat pengecasan yang disertakan padanya menyokong Samsung Adaptive Fast Charging berkuasa 15W. Anggaran masa untuk peranti dicas penuh adalah kurang dari dua jam sahaja. Untuk pengetahuan anda, bateri ini lebih besar berbanding Galaxy A9 (2018) tahun lalu dan kebanyakan peranti Samsung kelas pertengahan terdahulu.

Memori Besar Dengan Cipset Terkini

Seiring dengan pesaing di luar sana, komponen dalaman Galaxy A50 telah dimuatkan dengan memori RAM sebesar 6GB. Ia seolah-olah memberi gambaran dimana peranti ini boleh digunakan untuk bermain game. Disamping itu, ia diperkasakan oleh cipset lapan teras Exynos 9610 yang sebenarnya berada di bawah cip Exynos siri-7000. Sistem GPU pula digandingkan dengan Mali-G72 MP3 yang ditugaskan untuk memberi kelancaran kepada permainan mudah alih. Ujian penanda aras telah menunjukkan peranti ini memperoleh skor yang mampu menyaingi peranti lain yang menggunakan cipset Snapdragon 660 atau Kirin 710. Keluasan storan pula adalah sebesar 128GB yang mana cukup besar untuk pengguna biasa. Pelbagai aplikasi boleh dimuat turun malah beribu keping gambar boleh disimpan tanpa sebarang masalah. Jika tidak mencukupi, kad microSD bersaiz sehingga 512GB boleh dimasukkan.

Antaramuka One UI

Galaxy A50 dijalankan di atas sistem antaramuka Samsung One UI berasaskan Android 9.0 Pie. Sistem terbaru ini sama sekali berbeza dengan sistem antaramuka terdahulu – Samsung Experience. Sebagaimana siri Galaxy S10, begitulah juga pada peranti ini. Ikon-ikon yang digunakan kini lebih ceria dan penulis mendapati tiada lagi bloatware (aplikasi pra-pasang jarang digunakan) pada sistem perisian ini. Ia tampak lebih kemas serta mudah untuk diuruskan.

Menariknya, konsep yang digunakan adalah memfokuskan kepada penggunaan sebelah tangan. Sebagai contoh, penulis boleh menyapu skrin ke arah bawah di mana-mana sahaja untuk membuka talam aplikasi – daripada menariknya dari bawah seperti sebelum ini. Game Launcher pula boleh diaktifkan untuk mengawal notifkasi dan prestasi sewaktu bermain permainan mudah alih. Kebaikan daripada menggunakan skrin Super AMOLED, penulis boleh menghidupkan ciri AOD (always on display) bagi memudahkan diri melihat masa dan notifikasi tanpa membuka peranti.

Sambungan USB Type-C

Tiada microUSB untuk Galaxy A50, pengecasan boleh dibuat menggunakan sambungan USB Type-C. Memindahkan fail dari peranti ke komputer juga lebih pantas dan yang paling penting memudahkan penulis mencucuk kabel ketika berada dalam persekitaran yang gelap. Tetapi sedikit ‘spoil’ apabila kabel yang diberikan ini agak pendek, membuatkan penulis berasa sukar untuk mengecasnya di soket dinding yang tinggi.

Dulang Kad Tiga Slot

Dengan ketebalan peranti yang nipis, Samsung nampaknya masih bijak menggunakan ruang dalaman peranti kerana peranti ini menyertakan dulang kad dengan tiga slot! Melaluinya, penulis dapat menghidupkan dua keping kad SIM dan kad memori pada satu-satu masa tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya. Dulang kad ini diperbuatkan daripada aluminium, ini bermakna ia sedikit kukuh dan tidak mudah rosak berbanding dulang kad plastik.

Hasil Gambar

Lensa utama (ada rintangan cermin)
Ultra lebar (ada rintangan cermin)
Malam tanpa flash
Ultra lebar tanpa flash
Makro
Dalam bangunan (indoor)
Live bokeh

Spesifikasi

  • Samsung One UI 1.1 (Android 9.0 Pie)
  • Tiga slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD)
  • Samsung Exynos 9610 FinFET (10nm)
  • 6GB RAM + 128GB ROM
  • microSD sehingga 512GB
  • 6.4-inci Super AMOLED FHD+ Infinity-U
  • 2340 x 1080 piksel (19.5:9)
  • Corning Gorilla Glass 3
  • Kamera depan: 25MP (f/2.0)
  • Kamera utama: 25MP (f/1.7) + 8MP (f/2.2) + 5MP (f/2.2)
  • 4000 mAh (sokong Adaptive Fast Charging 15W)
  • WiFi 802.11ac (5GHz), Bluetooth 5.0, 4G+, USB Type-C, bicu audio 3.5mm
  • Accelerometer, Fingerprint Sensor, Gyro Sensor, Geomagnetic Sensor, Hall Sensor, Light Sensor, Proximity Sensor
  • Pengimbas cap jari dalam skrin
  • 158.5 x 74.7 x 7.7mm / 166g
  • Pilihan warna: Biru / Hitam / Putih
  • Harga: RM1,199

Kesimpulan

Samsung Galaxy A50 merupakan telefon pintar yang agak sepadan dengan tanda harganya. Boleh dikatakan hampir semua ciri peranti kelas pertengahan telah dimasukkan ke badan peranti. Penulis suka kerana Galaxy A50 menawarkan kapasiti bateri yang besar, skrin berteknologi tinggi Super AMOLED, dan pengimbas cap jari dalam skrin (lebih baik ada daripada takda). Sebabnya, tidak ada peranti lain di pasaran yang mempunyai ciri sebegini pada harga dibawah RM1,200. Sekiranya anda jenis berkira-kira untuk membeli peranti, anda tidak perlu risau kerana di dalam kotaknya telah disertakan kepala pengecas pantas – tidak perlu beli secara berasingan. Penulis merasakan anda patut mempertimbangkan Samsung Galaxy A50 ini kerana ia peranti yang cukup lengkap dalam kelasnya.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend