[Ulasan] ROG Strix G531G Prestasi Berkuasa Dengan Rekaan Menonjol Comments Off on [Ulasan] ROG Strix G531G Prestasi Berkuasa Dengan Rekaan Menonjol 376

ROG Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan komputer riba terbaru mereka menerusi ROG Strix G. Seperti yang kita tahu, ROG sering menawarkan komputer riba gaming yang cukup bergaya dan berkuasa.

Untuk pengetahuan anda siri Strix ini dibahagikan kepada tiga model iaitu SCAR, Hero, dan G. Setiap model memiliki tanda harga yang berperingkat yang mana model G adalah yang paling mampu milik.

Strix G merupakan komputer riba siri permulaan untuk anda di luar sana yang memiliki bajet sederhana. Harganya tidak lah murah tetapi berpatutan dengan spesifikasi. Bukan sahaja harganya yang menarik tetapi ia juga memiliki paras rupa yang menonjol.

Spesifikasi

  • Windows 10 Home
  • Intel® Core™ i7-9750H
  • 8GB DDR4 2666Mhz (sehingga 32GB)
  • PCIE NVME 512GB M.2 SSD (extra SATA slot: 1)
  • NVIDIA GeForce GTX 1660Ti with 6GB GDDRR6 VRAM
  • 15.6-inci FHD IPS LCD (1920 x 1080 piksel)
  • 120Hz, 3ms, Anti-glare
  • 66WHrs, 4S1P, 4-cell Li-ion Battery
  • Pembesar suara stereo (Smart AMP technology)
  • 1x USB-C 3.2 (sokong DP function), 3x USB-A 3.2, 1x HDMI 2.0b, 1x 3.5mm audio jack, 1x RJ-45 LAN jack
  • Intel® 802.11ac (2×2) Gigabit WiFi (RangeBoost technology), Bluetooth 5.0
  • Papan kekunci RGB, Hotkeys (volume up, volume down, mute, HyperFan, Armoury Crate), Aura Sync
  • 360 x 275 x 26 mm
  • 2.395kg

Varian dan Harga

  • RM3,499 = i5 / 4GB / GTX 1050 / 15.6″
  • RM3,699 = i5 / 4GB / GTX 1650 / 15.6″
  • RM3,799 = i5 / 4GB / GTX 1650 / 15.6″ 120Hz
  • RM4,699 = i7 / 8GB / GTX 1650 / 15.6″
  • RM4,999 = i7 / 8GB / GTX 1650 / 17.3″
  • RM5,499 = i7 / 8GB / GTX 1660Ti / 15.6″ 120Hz
  • RM5,799 = i7 / 8GB / GTX 1660Ti / 17.3″ 144Hz

ROG Strix G531 hadir dengan paparan bersaiz 15.6-inci manakala Strix G731 pula hadir dengan paparan yang lebih besar iaitu 17.3-inci. Kedua-duanya menyokong paparan HD penuh beresolusi 1920 x 1080 piksel. Varian tertinggi hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan 144Hz yang direka khusus untuk melancarkan pergerakan semasa permainan.

Rekaan

Bebas Haba

Udara disedut dari sebelah atas dan dikeluarkan dari sebelah belakang.

Menurut ASUS, komputer riba ini direka dan diilhamkan bersama kumpulan BMW Designworks. Potongan sudut yang dinamakan 3D Flow Zone menawarkan fungsi pengudaraan yang lebih baik. Kedudukan corong udara yang berada di belakang sekaligus dapat melepaskan haba dengan lebih lancar pada masa sama memberikan keselesaan kepada pengguna.

Garisan Kidney Grille

Garisan menegak yang dikatakan diilhamkan daripada gril BMW.

Kereta BMW terkenal dengan bahagian depannya yang dinamakan Kidney Grille. Ia merupakan bahagian yang mana udara akan masuk untuk menyejukkan enjin. Bukan itu sahaja, ia turut menambah nilai estetik pada kenderaan. Begitu juga pada komputer riba ini, ia memiliki garisan menegak pada bahagian tepi papan kekunci bertujuan untuk menambah elemen adrenalin pada komputer riba.

Bezel Nipis

Video berdefinasi tinggi dimainkan dalam resolusi 2K walaupun paparan hanya menyokong HD penuh sahaja.

Sudah menjadi kemestian kepada para pengeluar untuk menghasilkan komputer riba dengan bezel nipis. Tidak terkecuali, Strix G turut menawarkan rekaan yang sama iaitu didatangkan dengan bingkai nipis di sekeliling skrin, menjadikan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 82%.

Engsel Kukuh

Rekaan engsel yang tidak banyak digunakan pada komputer riba.

Diilhamkan daripada Gullwing-doors, engsel pada Strix G cukup berbeza dengan engsel pada komputer riba yang biasa di pasaran. Bahan yang digunakan pula diperbuat daripada logam dan bukan plastik seperti biasa yang kita lihat. Kelebihan pada engsel ini ialah ia tidak dapat dilihat sebaik komputer riba dilipat selain lebih kukuh. Selain itu, panel skrin ini juga boleh dibuka dengan menggunakan satu jari tanpa sebarang masalah.

Casis Mudah Ditanggalkan

Penutup boleh ditanggalkan dengan mudah.

Dengan rekaan casis mudah dibuka, pengguna boleh menaik taraf bahagian storan mereka pada bila-bila masa tanpa memerlukan bantuan alat khas. Hanya berbekalkan alat pemutar skru, casis ini dapat dipisahkan dengan mudah sekali sekaligus dapat menjimatkan masa dan tenaga tanpa perlu menghantarnya ke kedai.

Pencahayaan RGB

Pencahayaan RGB boleh ditukar mengikut keinginan pengguna.

Jika pencahayaan RGB pada logo sudah menjadi kebiasaan, adalah lebih baik ia disampaikan dengan cara yang lebih kreatif. Untuk semua model Strix, ROG telah meletakkannya RGB lightbar di sekeliling kerangka untuk memeriahkan lagi pengalaman pengguna. Ia boleh dikawal menerusi Aura Sync dan mengubahnya kepada lebih 8 corak nyalaan mengikut mood pengguna. Lightbar ini menyala dengan cukup cerah walaupun berada dalam persekitaran terang.

I/O

Kelebihan engsel dari dalam casis membolehkan port diletakkan di bahagian belakang.
Tiga port USB 3.2 boleh diakses dari sebelah kiri komputer riba.

Port input/output pada komputer riba ini menyediakan pelbagai sambungan untuk memudahkan pengguna menyambungkan ia dengan peranti lain. Port berteknologi terkini digunakan, seperti contoh USB Type-C 3.2 Gen 2, HDMI 2.0b (biasa 1.4b), dan tiga USB 3.2 yang menjanjikan pemindahan data lebih pantas. Selain itu, bicu audio 3.5mm dan bicu LAN RJ-45 turut melengkapkan pakej I/O pada Strix G.

Papan Kekunci

Kekurangan pada papan kekunci ini ialah ia tidak disertakan num pad.

Papan kekunci menjadi faktor utama pemilihan komputer riba, jadi pada Strix G ia menawarkan pengalaman terbaik semasa menaip. Selepas menggunakannya untuk tempoh tertentu, apa yang penulis dapat merasakan ialah papan kekunci ini cukup selesa digunakan. Butang panah yang diasingkan juga dapat memberikan kawalan yang lebih tepat malah butang Spacebar yang dipanjangkan juga dapat mengelakkan jari daripada tergelincir.

Hotkeys berada di bahagian atas untuk akses lebih pantas.

Hotkeys diletakkan pada bahagian atas papan kekunci. Butang-butang ini adalah akses pintas kepada fungsi seperti volume up, volume down, microphone, HyperFan, dan butang akses ke Armoury Crate. Seperti biasa, butang WASD dibiarkan jernih untuk memudahkan ia dilihat dalam gelap serta menyerlahkan lagi elemen permainan pada komputer riba ini.

Audio

Pembesar suara berada di bahagian sisi kiri dan kanan kerangka.

Agak sukar untuk menceritakan pengalaman audio tanpa mendengarnya secara langsung. Walau bagaimanapun, apa yang penulis sangat tertarik pada komputer riba ini ialah sistem pembesar suaranya yang mampu mengeluarkan bunyi yang cukup lantang. Bukan setakat itu, bunyi bass yang mendalam juga kedengaran sangat mantap walaupun setelah dibandingkan dengan komputer riba kelas lebih atas daripadanya iaitu Acer Predator Triton 500.

Armoury Crate

Armoury Crate boleh dilancarkan dengan menekan butang Hotkeys.

Ia merupakan aplikasi di mana pengguna boleh memantau sistem dalaman komputer seperti suhu, voltan, dan frekuensi untuk CPU dan GPU. Selain itu, ia juga menjadi pust sehenti untuk pengguna melakukan tetapan seperti mengkustomasi pencahayaan RGB, melihat beban kipas, serta mendapatkan maklumat berkaitan produk ROG dari semasa ke semasa.

Ini merupakan pilihan tetapan pencahayaan RGB.

Ia hadir dengan sokongan Aura Sync yang mana membolehkan pengguna menyelaraskan pencahayaan RGB daripada beberapa produk ROG dengan satu kawalan sahaja. Malahan, kawalan ke atasnya juga boleh dibuat terus melalui aplikasi di telefon pintar dengan memuat turun Armoury Crate di Play Store ataupun App Store.

Prestasi

Lihat pada luaran ROG Strix G sahaja sudah kita ketahui akan keupayaan dalamnya yang berprestasi. Dengan adanya perkakasan berspesifikasi tinggi, komputer riba ini mampu memainkan permainan tanpa sebarang masalah dan kerja penyuntingan yang lancar apatah lagi melakukan kerja pejabat. Gabungan pemproses Intel Core i7 dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660Ti sekaligus meletakkan komputer riba ini dalam barisan komputer riba gaming terbaik pada tahun ini.

Jam randik menunjukkan ‘boot time’ mengambil masa hanya 9.99 saat.

Kehadiran storan PCIe NVME SSD bersaiz 512GB pada masa sama melicinkan pemindahan data atau memuat turun data. Ia juga memainkan peranan semasa komputer riba dihidupkan. Sebaik butang kuasa ditekan, komputer dapat dihidupkan hanya dalam tempoh kurang dari 10 saat.

Keputusan akhir ujian PCMARK 10.

ROG Strix G531 ini memperolehi skor penanda aras sebanyak 5,258 di PCMARK10, sementara di CrystalDiskMark pula mencatatkan 1566.1MB/s kelajuan membaca dan 983.9MB/s kelajuan menulis. Skor ini boleh dipertingkatkan lagi dengan menaik taraf kapasiti memori memandangkan komputer riba ini didatangkan dengan casis mudah dibuka untuk pemasangan RAM atau SSD tambahan.

Ujian kedua menggunakan CrystalDiskMark.

Kesimpulan

Selepas menggunakan ROG Strix G untuk tempoh beberapa minggu, penulis mendapati komputer riba ini dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Pengalaman bermain game tidak kurang hebatnya, sistem audio dan sokongan kadar segar semula yang tinggi melancarkan permainan hampir setiap masa.

Efek pencahayaan RGB lightbar pada masa sama memeriahkan pengalaman menggunakan komputer riba ini. Penulis boleh menukar efek mengikut citarasa hanya dengan melakukan tetapan ringkas (menggunakan butang FN + panah). Sebut tentang pad sesentuh, boleh dikatakan ia agak sensitif terhadap sentuhan malah dengan adanya butang fizikal (right/left click) susah untuk jari melakukan mistouch. Walau bagaimanapun pengalaman menaip untuk tempoh panjang ada kalanya berasa tidak selesa gara-gara permukaan panel yang berbahang.

Sekiranya penulis ingin membeli komputer riba ROG Strix G ini, varian yang akan dipilih ialah model i5 (RM3,799) kerana ia menepati pakej yang dimahukan seperti sokongan paparan 120Hz. Sungguhpun begitu, jika anda seorang gamers tegar apa salahnya terus mendapatkan varian tertinggi dengan harga kurang daripada RM6 ribu.

Apa-apapun ‘tepuk dada tanya selera’. Selamat membeli belah!

Penarafan

Rekaan : 8/10
Paparan : 8/10
Audio : 9/10
Papan kekunci : 8/10
Pencahayaan RGB : 10/10
Sistem penyejukan : 8/10
Harga : 7/10

Keseluruhan: 8/10

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend