[Ulasan] Redmi Note 9S – Janji Nilai Belian Berbaloi Dengan Spesifikasi Berkuasa Dan Harga Kompetitif Comments Off on [Ulasan] Redmi Note 9S – Janji Nilai Belian Berbaloi Dengan Spesifikasi Berkuasa Dan Harga Kompetitif

Tidak dinafikan lagi bahawa pilihan telefon pintar dalam segmen harga bawah RM900 sememangnya agak ‘meriah’ di pasaran kerana ada sahaja model baharu diperkenalkan. Malah Xiaomi juga baru-baru ini telah tampil dengan satu lagi model terbaharunya untuk pasaran tempatan iaitu Redmi Note 9S.

Dengan harga jualan antara RM800 hingga RM900, kami tidak nafikan bahawa Redmi Note 9S boleh dianggap antara peranti yang berbaloi untuk dimiliki kerana ia menjanjikan sokongan spesifikasi dan juga kualiti rekaan yang sangat baik.

Namun begitu anda mungkin perlu membaca dengan lebih lanjut bagi melihat sendiri sama ada Redmi Note 9S benar-benar mampu memenuhi citarasa anda ataupun tidak…

Spesifikasi Redmi Note 8 Pro:

  • MIUI 11 (Android 10)
  • Qualcomm Snapdragon 720G (8nm)
  • 2x 2.3GHz Kryo 465 Gold + 6x 1.8GHz Kryo 465 Silver
  • Adreno 618 GPU
  • 4GB + 64GB / 6GB + 128GB (LPDDR4x / UFS2.1)
  • Slot kad microSD dedikasi sehingga 512GB
  • 6.67 inci DotDisplay FHD+ (2400 x 1080 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 5, TÜV Rheinland low blue light certification
  • Kamera utama: 48MP (f/1.79) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.2, 119°) + 5MP (2cm Ultra Macro, f/2.4) + 2MP (Depth sensor, f/2.4)
  • Kamera depan: 16MP (f/2.48, AI, HDR)
  • Rakaman video: 4K 30fps, 1080p 60/30fps, 720p 30fps
  • Video Slo-Mo: 720p @ 960fps/240fps/120fps
  • 5020mAh (Pengecasan pantas 18W)
  • USB Type-C, WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, VoLTE, Bicu audio 3.5mm
  • Distance sensor, In-screen ambient light sensor, Accelerometer, Gyroscope, Electronic compass, Z-axis linear vibration motor
  • Port inframerah untuk kawalan jauh
  • Pengimbas cap jari (butang kuasa)
  • 165.75 x 76.68 x 8.8mm / 209g
  • Pilihan warna: Interstellar Grey / Aurora Blue / Glacier White

Harga dan Ketersediaan:

Untuk pasaran tempatan, Redmi Note 9S dijual dalam dua varian berbeza iaitu 4GB + 64GB berharga RM799 dan juga 6GB + 128GB berharga RM899. Terdapat tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Glacier White, Aurora Blue, dan Interstellar Grey.

Pakej Pembelian

Sama seperti peranti keluaran Xiaomi dari siri Redmi Note yang lain, Redmi Note 9S turut didatangkan dalam kotak pembungkusan yang sama sahaja. Bahkan sebagaimana telefon pintar dalam segmen mampu milik yang lain, ia tersedia dengan pakej pembelian asas seperti berikut:

  • Kotak pembungkusan
  • Redmi Note 9S
  • Pelindung skrin plastik (siap dipasang)
  • Sarung pelindung TPU*
  • Adapter pengecas 22.5W
  • Kabel USB Type-C
  • Pin slot kad*
  • Buku manual*
    *Aksesori ini tidak tersedia dalam kotak unit ulasan yang diterima.

Rekaan Fizikal

Sungguhpun disasarkan untuk segmen peranti kelas pertengahan, ternyata Xiaomi tidak mengabaikan kualiti Redmi Note 9S kerana ia menampilkan kombinasi kerangka aluminium dan juga panel belakang yang lebih tahan lasak daripada Corning Gorilla Glass 5.

Jika dibandingkan dengan peranti lain dari harga jualan bawah RM900, Redmi Note 9S sememangnya jauh lebih baik kualiti binaannya. Pengalaman memegangnya juga terasa agak baik dengan rekaan panel belakang melengkung serta berat sekitar 200g yang mampu memberikan rasa ‘mahal’ pada peranti ini.

Redmi Note 9s dilengkapi dengan paparan skrin yang besar iaitu berukuran 6.57 inci. Bahkan jika dibandingkan dengan sesetengah pesaingnya yang hanya menyokong paparan HD+, Redmi Note 9S dilengkapi dengan paparan FHD+.

Namun begitu dari segi kualiti paparan, panel IPS LCD yang digunakan agak mengecewakan kerana tahap keterangannya tidaklah begitu baik. Walaupun unit ulasan yang kami terima ini tidak berhadapan dengan isu ‘screen bleeding’, kami agak kurang berpuas hati dengan tahap kontras dan juga sudut pandangan skrin Redmi Note 9S.

Contohnya apabila kami menonton video di dalam persekitaran yang gelap, bahagian imej berwarna hitam akan kelihatan kelabu. Malah pandangan dari sudut tepi akan menyebabkan paparan skrin kelihatan pudar dengan warna yang agak kusam. Jadi kepuasan tontonan di dalam persekitaran yang gelap sememangnya sangat mengecewakan kami.

Kamera depan Redmi Note 9S yang beresolusi 16MP ternyata berbeza dengan siri Redmi sebelum ini kerana ia hadir dengan rekaan DotDisplay yang terletak di tengah-tengah atas skrin. Tetapi bagi kami, kedudukan lubang kamera di bahagian sisi skrin mungkin lebih baik kerana ia kurang ‘mengganggu’ pandangan.

Redmi Note 9S menyokong keupayaan penggambaran kamera beresolusi 48MP + 8MP (Ultra Wide Angle) + 5MP (Ultra Macro) + 2MP (Depth). Sokongan kuad kamera pada peranti dalam kelas harga sebegini bukanlah sesuatu yang ‘wow’ kerana ia telah menjadi trend standard untuk kebanyakan pengeluar.

Tidak dinafikan rekaan kamera Redmi Note 9S agak subjektif kerana ada yang menyukainya dan ada juga sebaliknya, tetapi sekurang-kurangnya Xiaomi masih memiliki inisiatif untuk menawarkan rekaan baharu yang lebih unik berbanding sesetengah pesaingnya yang dilihat terus menerus menggunakan rekaan yang sama sahaja. Namun begitu lensa kameranya kelihatan terlalu timbul pada permukaan belakangnya.

Berbeza dengan siri Redmi Note 8, Redmi Note 9S tidak lagi menyokong pengimbas cap jari pada panel belakangnya sebaliknya sensor pengimbas cap jari pada peranti ini telah diintegrasikan pada butang kuasanya. Proses membuka peranti ini terasa sangat laju kerana peranti boleh terus diakses tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin ataupun menekan butang kuasa tersebut.

Bagi kami kedudukan sebegini adalah lebih praktikal kerana ia merupakan posisi paling selesa untuk dicapai, malah anda juga boleh terus nyahaktif skrin peranti yang diletakkan di atas meja.

Apa yang kami suka tentang Redmi Note 9S dan juga peranti keluaran Redmi yang lain adalah penyediaan ciri sambungan yang sangat baik. Selain dilengkapi port USB Type-C dan bicu audio 3.5m, sokongan port Inframerah yang boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh sememangnya kami hargai kerana ia memudahkan kami untuk mengawal TV, alat penghawa dingin dan pelbagai kelengkapan elektrik yang lain.

Dengan Redi Note 9S anda boleh menggunakan dua kad SIM bersaiz nano dan juga kad microSD secara serentak. Ini kerana ia hadir dengan sokongan slot kad microSD dedikasi.

Antaramuka MIUI 11

Jika anda inginkan sebuah telefon pintar dengan antaramuka Android asli, Redmi Note 9S bukanlah pilihan yang sesuai untuk anda. Ini kerana antaramuka MIUI 11 berasaskan Android 10 telah menerima sentuhan yang agak ‘berat’.

Namun itu tidak menjadi isu kepada kami kerana antaramuka MIUI 11 masih dilengkapi dengan ciri utama Android 10 seperti mod gelap dan juga kawalan navigasi skrin penuh. Malah ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan menarik seperti Themes dengan pilihan tema percuma yang banyak, Game Turbo dan juga Second space untuk privasi lebih baik.

Cuma apa yang kurang kami gemar adalah kehadiran ruang iklan pada aplikasi tambahan MIUI seperti Security, Cleaner, Themes dan sebagainya. Ada di antara iklan itu hadir dalam saiz tetingkap yang kecil dan ada antaranya yang dipaparkan dalam mod skrin penuh. Tetapi memandangkan aplikasi ini jarang digunakan, ia mungkin tidak begitu dirasai kehadirannya.

Antaramuka MIUI hadir dengan sokongan iklan

Satu lagi kekurangan MIUI adalah penerimaan kemas kini versi Android utama yang agak perlahan, bahkan ada antara sesetengah model keluarannya langsung tidak menerima kemas kini itu.

Tetapi apa yang bagusnya, Xiaomi sememangnya sangat komited dalam menawarkan kemas kini antaramuka MIUI untuk peranti keluarannya.

Prestasi & Bateri

Sokongan Snapdragon 720G pada Redmi Note 9S sememangnya tidak mengecewakan kerana kami boleh memainkan permainan dengan lancar walaupun dalam mod grafik tertinggi.

Bahkan berdasarkan ujian penanda aras cipset yang dijalankan, Redmi Note 9S berjaya mencatatkan skor yang baik untuk segmen telefon pintar kelas pertengahan.

Malah kombinasi cipset yang efisien tenaga dan juga kapasiti bateri yang sangat besar mencecah 5020mAh ini juga mampu menjanjikan ketahanan bateri yang lebih tahan lama. Berdasarkan pengalaman kami, bateri Redmi Note 9S mampu bertahan sehingga satu hari untuk penggunaan yang agak berat.

Walaupun Redmi Note 9S menyokong pengecasan pantas 18W, entah mengapa Xiaomi telah memberikan adapter pengecas 22.5W di dalam kotak pembeliannya. Pengecasan bateri daripada 0% hingga 100%, ia mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit.

Hasil gambar

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa Redmi Note 9S merupakan sebuah telefon pintar dalam segmen harga bawah RM900 yang menawarkan pakej lengkap untuk pembeli. Selain spesifikasi dan fungsi yang baik, kualiti binaan Redmi Note 9S ini juga boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya kerana ia menyokong kombinasi aluminium dan kaca dengan Corning Gorilla Glass 5.

Malah kami sendiri akui bahawa ia sangat berbaloi untuk dimiliki kerana harga jualannya yang sangat kompetitif. Dengan harga kompetitif, spesifikasi yang berkuasa dan juga kualiti binaan yang baik, agak sukar untuk pesaingnya menawarkan nilai belian sebaik Redmi Note 9S.

Tetapi sekiranya anda inginkan sebuah telefon pintar dengan keupayaan kamera terbaik, Redmi Note 9S bukanlah yang terbaik kerana kualiti penggambarannya di dalam gelap dengan menggunakan mod malam adalah tidak begitu baik.

Malah apa yang agak mendukacitakan kami adalah isu paparan skrin Redmi Note 9S yang bukan sahaja tidak cukup terang untuk digunakan dibawah cahaya matahari, tetapi kepuasan tontonan video dalam persekitaran yang gelap adalah sangat mengecewakan.

Kelebihan

  • Kualiti binaan yang sangat baik bagi sebuah telefon pintar dalam segmen harga sebegini.
  • Prestasi dan juga ketahanan bateri yang sangat baik.
  • Kami sangat menyukai penyediaan port inframerah kerana ia sangat memudahkan kami mengawal peralatan elektrik yang ada.
  • Walaupun Redmi Note 9S hanya menyokong pengecasan pantas 18W, Xiaomi sebaliknya memberikan adapter pengecas 22.5W di dalam kotak.

Kekurangan

  • Unit yang kami terima berhadapan dengan isu sambungan WiFi kerana apabila peranti tidak digunakan untuk jangka masa tertentu, sambungan Internet akan terputus walaupun ikon WiFi ada dipaparkan. Kami terpaksa menutup dan membuka semula sambungan WiFi untuk memastikannya beroperasi seperti biasa.
  • Kualiti paparan skrin dengan tahap kontras dan sudut pandangan yang agak mengecewakan apabila digunakan dalam persekitaran gelap.
  • Pengecasan pantas 18W masih tidak memadai untuk mengecas kapasiti bateri yang besar.
  • Tiada sokongan panel skrin 90Hz sebagaimana pesaingnya.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend