[Ulasan] Redmi Note 8 Pro – Dilengkapi Cipset Berkuasa, Bateri Besar Dan Penyejukan LiquidCool Comments Off on [Ulasan] Redmi Note 8 Pro – Dilengkapi Cipset Berkuasa, Bateri Besar Dan Penyejukan LiquidCool 217

Redmi Malaysia sebelum ini telahpun melancarkan telefon pintar pertama di pasaran dengan sokongan kuad kamera 64MP melalui penawaran model Redmi Note 8 Pro. Tampil dengan sokongan spesifikasi yang berkuasa dalam segmen peranti kelas pertengahan, ia juga mampu menarik perhatian pembeli di pasaran kerana harga jualannya yang kompetitif.

Sungguhpun begitu, apa yang mencetuskan kontroversi di kalangan peminat Xiaomi adalah sokongan cipset Helio G90T daripada MediaTek pada Redmi Note 8 Pro ini. Ini kerana ramai masih skeptikal bahawa cipset ini panas dan menyokong prestasi yang tidak setanding cipset daripada Qualcomm. Jadi bagi untuk melihat sendiri apakah kelebihan dan juga keupayaan Redmi Note 8 Pro, kami akan dedahkannya seperti berikut…

Spesifikasi Redmi Note 8 Pro:

  • MIUI 10 (Android 9.0 Pie)
  • MediaTek Helio G90T (12nm)
  • 2x 2.05GHz Cortex-A76 + 6x 2.0GHz Cortex-A55
  • Mali-G76 MC4
  • 6GB + 64GB / 6GB + 128GB (LPDDR4x / UFS2.1)
  • microSD (slot SIM 2)
  • 6.53 inci IPS LCD FHD+ (2340 x 1080 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 5, 500nit, HDR
  • Kamera utama: 64MP (Samsung ISOCELL Bright GW1, f/1.9) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.2, 120°) + 2MP (2cm Ultra Macro) + 2MP (Depth sensor)
  • Kamera depan: 20MP (f/2.0, AI, HDR)
  • Rakaman video: 4K 30fps, 1080p 60/30fps, 720p 30fps
  • Video Slo-Mo: [email protected], [email protected], [email protected]/720p
  • 4500mAh (Pengecasan pantas 18W)
  • USB Type-C, WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, VoLTE
  • Distance sensor, In-screen ambient light sensor, Accelerometer, Gyroscope, Electronic compass, Fingerprint sensor
  • Port inframerah
  • Pengimbas cap jari (panel belakang)
  • Teknologi penyejukan LiquidCool
  • 161.35 x 76.4 x 8.79mm / 199.8g
  • Pilihan warna: Pearl White / Forest Green / Mineral Grey

Harga dan Ketersediaan:

Untuk pasaran tempatan, Redmi Note 8 Pro sudah mula dijual secara rasmi pada awal Oktober 2019 yang lalu dalam dua varian berbeza iaitu 6GB + 64GB berharga RM1099 dan juga 6GB + 128GB berharga RM1199. Terdapat tiga pilihan warna disediakan iaitu putih, hijau dan juga kelabu.

Pakej Pembelian

Berbeza dengan kotak pembungkusan Redmi Note 7, Xiaomi dilihat telah menampilkan sedikit pembaharuan pada penampilan kotak untuk Redmi Note 8 Pro yang kini jelas memperlihatkan rekaan panel depan dan belakang peranti ini. Selain itu ia kelihatan agak ringkas kerana tiada sebarang teks yang mendedahkan ciri istimewa Redmi Note 8 Pro boleh ditemui pada kotak.

Apa yang terdapat di dalam kotak?!

  • Redmi Note 8 Pro
  • Sarung pelindung silikon jernih
  • Palam kuasa 18W
  • Kabel USB Type-C
  • Pin slot kad
  • Buku manual

Aksesori Asas Untuk Perlindungan

Apabila anda membeli Redmi Note 8 Pro, ia tersedia dengan sarung pelindung silikon yang diberikan secara percuma. Walaupun bahagian depan memiliki ‘bibir’ yang sedikit timbul bagi melindungi paparan skrin peranti ini, bahagian belakangnya pula dilihat masih tidak cukup untuk melindungi permukaan kameranya yang timbul.

This slideshow requires JavaScript.

Tidak dinafikan bahawa Redmi Note 8 Pro dilengkapi dengan paparan skrin yang lebih tahan lasak daripada Corning Gorilla Glass 5, tetapi itu tidak bererti ia tidak terdedah daripada risiko tercalar. Memandangkan ia tidak siap dipasang dengan pelindung skrin, anda disarankan untuk membeli pelindung skrin plastik ataupun kaca secara berasingan.

Rekaan Fizikal

Redmi Note 8 Pro mungkin ditawarkan dalam segmen harga kelas pertengahan, tetapi Xiaomi dilihat tidak mengabaikan kualiti binaan peranti ini kerana ia menampilkan kombinasi kerangka aluminium dan juga panel kaca Corning Gorilla Glass 5 pada bahagian depan serta belakang.

Tersedia dengan panel skrin IPS LCD FHD+ berukuran 6.53 inci, Redmi Note 8 Pro memiliki saiz bezel atas yang lebih kecil dan juga rekaan takuk berbentuk V berbanding rekaan takuk U pada Redmi Note 7 sebelum ini. Takuk ini turut menempatkan kamera depan beresolusi 20MP dengan sokongan AI dan juga HDR.

Selain kamera depan, anda juga boleh menemui lampu LED notifikasi pada bahagian kanan takuk kecil ini.

Panel belakang Redmi Note 8 Pro menampilkan rekaan yang ergonomik dengan permukaan melengkung pada sisi kiri dan kanannya, sekaligus mampu memberikan rasa genggaman yang lebih selesa meskipun memiliki saiz kerangka yang agak besar. Disebalik panel kaca belakang ini, ia tersedia dengan bateri berkapasiti 4500mAh dengan berat keseluruhan peranti mencecah hampir 200g.

Redmi Note 8 Pro menyokong konfigurasi kuad kamera beresolusi 64MP + 8MP (Ultra Wide Angle) + 2MP (Ultra Macro) + 2MP (Depth sensor). Kedudukan kamera utama peranti ini ditempatkan pada bahagian tengah panel belakangnya dan uniknya tiga daripada lensa kamera telah ditempatkan selari dengan pengimbas cap jari.

Rekaan sebegini mungkin nampak lebih menarik tetapi dalam masa yang sama ia sebenarnya agak kurang praktikal kerana permukaan lensa kamera akan lebih mudah terdedah dengan kesan cap jari setiap kali anda cuba menggunakan pengimbas cap jari. Apa yang pasti, proses imbasan cap jari pada Redmi Note 8 Pro adalah tersangat pantas kerana tiada animasi digunakan.

Permukaan kamera utama pada Redmi Note 8 Pro sangat timbul.

Ciri sambungan pada Redmi Note 8 Pro boleh dikatakan lengkap kerana selain menyokong NFC, bahagian atas kerangka tersedia dengan port inframerah yang boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh menggunakan aplikasi pra-pasang Mi Remote. Manakala bahagian bawah kerangkanya pula boleh ditemui bicu audio 3.5mm dan juga port USB Type-C dengan sokongan pengecasan pantas 18W.

Kekurangan Redmi Note 8 Pro berbanding kebanyakan pesaingnya yang lain di pasaran adalah sokongan slot kad jenis hibrid. Ini bermakna anda perlu membuat keputusan sama ada ingin menggunakan dua kad SIM bersaiz nano, ataupun satu kad SIM nano dan juga kad microSD.

Jika kebanyakan pesaingnya yang lain sudah menggunakan tiga slot kad dedikasi, Redmi Note 8 Pro masih lagi menggunakan slot kad jenis hibrid.

MIUI 10

Keluar daripada kotak, Redmi Note 8 Pro telah dioperasikan dengan antaramuka MIUI 10 berasaskan Android 9.0 Pie yang dibangunkan khusus untuk pengalaman skrin penuh. Selain didatangkan dengan navigasi skrin menggunakan kawalan skrin penuh ia juga menjanjikan pelancaran aplikasi yang lebih pantas.

Menariknya ia turut hadir dengan sokongan mod gelap yang akan menukarkan paparan skrin ke warna gelap bukan sahaja pada aplikasi pra-pasang, tetapi juga pada aplikasi pihak ketiga seperti Instagram.

Namun begitu mod gelap pada MIUI 10 ini dilihat tidak begitu konsisten kerana terdapat sesetengah aplikasi (contoh: Cleaner) masih tampil dengan antaramuka cerah walaupun mod gelap diaktifkan. Malah aplikasi seperti File Manager dan Music pula perlu diaktifkan mod gelap secara berasingan di dalam aplikasi itu sendiri.

Antaramuka MIUI 10 selepas mod gelap diaktifkan.

Sebagaimana kebanyakan peranti Android dengan sokongan antaramuka yang dibangunkan oleh pembangun, MIUI 10 masih memiliki aplikasi pra-pasang yang tidak digunakan atau lebih dikenali sebagai bloatware. Walau bagaimanapun, kesemua aplikasi itu boleh dibuang dengan mudah di Settings → Manage apps → Uninstall.

Prestasi dan Bateri

Pandangan skeptikal anda terhadap pemproses MediaTek mungkin tidak lagi relevan pada hari ini kerana sokongan cipset Helio G90T pada Redmi Note 8 Pro boleh dikatakan antara yang terbaik di pasaran (selain Kirin 810) untuk telefon pintar kelas pertengahan. Tidak dinafikan cipset 12nm pada Helio G90T tidaklah begitu efisien untuk aspek penggunaan bateri, jadi untuk mengatasinya Xiaomi telah menyediakan bateri berkapasiti 4500mAh untuk memastikan ketahanan bateri lebih lama.

Malah berdasarkan pengalaman kami ketika menggunakan Redmi Note 8 Pro, ia tidak berhadapan dengan isu panas melampau (overheating) kerana Xiaomi menyediakan teknologi penyejukan LiquidCool yang mampu melepaskan haba pada cipset dan juga charging IC. Ini secara tidak langsung mampu menyejukkan peranti sekitar 4°C hingga 6°C.

LiquidCool merupakan teknologi penyejukan pertama yang diperkenalkan untuk siri Redmi Note.

Sebagai contoh, suhu peranti hanya mencatatkan sekitar 36°C sewaktu kami menjalankan ujian penanda aras menggunakan aplikasi AnTuTu 8. Kebiasaannya apabila aplikasi penanda aras ini dijalankan, peranti akan menjadi agak panas kerana CPU dan GPU akan dioperasikan pada kadar yang maksimum.

Ujian aplikasi penanda aras:

→ Berdasarkan ujian penanda aras yang kami jalankan, tidak dinafikan lagi bahawa Redmi Note 8 Pro dengan sokongan cipset MediaTek Helio G90T boleh dikatakan merupakan pemproses kelas pertengahan paling berkuasa di pasaran buat masa ini. Sekaligus mengatasi prestasi cipset yang juga dikhususkan untuk gaming iaitu Snapdragon 730G.

Tetapan grafik untuk permainan:


Call of Duty: Mobile Graphic Quality (High) dan Frame Rate (Max) → mampu mencatatkan frame rate sekitar 60fps.


PUBG Mobile Graphic Quality (HDR) dan Frame Rate (Ultra) → mampu mencatatkan frame rate sekitar 45fps.

Ujian pengecasan pantas 18W

This slideshow requires JavaScript.

→ Dengan menggunakan palam kuasa 18W yang diberikan sekali dalam kotak, Redmi Note 8 Pro dengan sokongan bateri berkapasiti 4500mAh ini mengambil masa sekitar 1 jam 42 minit untuk dicas penuh daripada 11% hingga 100%.

Kuad Kamera 64MP

Berbanding dengan kebanyakan telefon pintar dalam segmen kelas pertengahan yang menawarkan kamera beresolusi 48MP, Redmi Note 8 Pro merupakan satu-satunya model telefon pintar yang dilengkapi dengan kamera beresolusi 64MP. Menggunakan sensor kamera daripada Samsung ISOCELL Bright GW1, mod penggambarannya telah disetkan kepada 16MP secara default.

Konfigurasi kuad kamera 64MP pada Redmi Note 8 Pro.

Namun jika anda ingin mendapatkan hasil gambar yang lebih terperinci, anda dengan mudah boleh mengakses mod penggambaran 64MP yang dipaparkan pada menu kamera. Jika sekeping gambar yang diambil menggunakan mod 16MP akan mencatatkan saiz sekitar 4MB hingga 10MB, mod 64MP pula dengan mudah akan mencatatkan saiz sekitar 15MB hingga 30MB.

Hasil gambar

This slideshow requires JavaScript.

*Hasil gambar yang telah dimuat naik ini telah dimampatkan saiz dan juga resolusi asalnya.

Apa Yang Perlu Anda Tahu?!

1. Sambungan GPS


→ Walaupun kami berada di antara dua bangunan dengan ketinggian melebihi 20 tingkat, realme 5 Pro tidak berhadapan dengan isu untuk mengunci GPS. Malah ketepatan GPS juga agak baik kerana ia berjaya mencatatkan jarak sekitar 4 meter sahaja.

2. Sokongan kandungan HD


→ Redmi Note 8 Pro menyokong L1 untuk Widevine CDM, sekaligus membolehkannya pengguna menonton kandungan video dalam kualiti HD penuh seperti di Netflix.

3. Sokongan aplikasi GCam (Google Camera)


→ Sekiranya anda ingin memasang aplikasi GCam (Google Camera), realme 5 Pro boleh menyokong aplikasi tersebut tanpa masalah kerana perkakasannya mampu menyokongnya. Malah kini sudah ada versi mod stabil GCam khusus untuk Redmi Note 8 Pro yang boleh dimuat turun di https://www.celsoazevedo.com/

Kesimpulan

KELEBIHAN

  • Telefon pintar kelas pertengahan bawah RM1200 (model baharu) dengan cipset Helio G90T menjanjikan prestasi paling berkuasa yang boleh anda miliki di pasaran buat masa ini.
  • Menyokong kapasiti bateri yang sangat besar dengan teknologi pengecasan pantas 18W yang mampu memastikan masa pengecasan yang lebih cepat.
  • Kualiti kamera yang baik secara keseluruhannya, terutamanya untuk mod 64MP yang mampu memastikan hasil gambar yang lebih terperinci.
  • Binaan peranti yang sangat baik kerana menggunakan kombinasi kaca Corning Gorilla Glass 5 untuk panel depan serta panel belakang, dan juga kerangka aluminium.
  • Teknologi pengimbas cap jari dan juga pengecaman wajah yang sangat pantas tanpa efek animasi yang akan melengahkan proses mengakses peranti.
  • Walaupun menggunakan cipset MediaTek, ketahanan baterinya boleh dikatakan agak baik kerana masih mampu bertahan sehari untuk pengguna yang agak berat. Malah tiada isu kepanasan melampau dapat dirasakan.

Kekurangan

  • Slot kad SIM jenis hibrid akan menyebabkan anda tidak boleh menggunakan kad microSD sekiranya anda ingin menggunakan dua kad SIM serentak pada peranti ini.
  • Fokus kamera pada subjek yang agak dekat (contoh: jaring pagar atau daun) adakalanya agak sukar dilakukan. Anda disarankan untuk menggunakan bantuan tapak tangan yang diletakkan pada belakang subjek bagi membantu kamera untuk fokus dengan lebih mudah.
  • Kapasiti bateri Redmi Note 8 Pro sememangnya besar tetapi ia sebenarnya setanding dengan ketahanan bateri pada Redmi Note 7 yang hanya menyokong bateri berkapasiti 4000mAh. Ini kerana cipset Helio G90T yang menggunakan proses 12nm tidak begitu efisien tenaga.
  • Rekaan permukaan kuad kamera yang sangat timbul dan kedudukan sensor pengimbas cap jari yang kurang praktikal.
  • Sokongan profil warna yang berbeza-beza untuk lensa ultra wide angle, lensa standard dan juga lensa 2x zum.
  • Tiada pelindung skrin dan fon telinga diberikan dalam pakej pembelian.

Miliki Redmi Note 8 Pro dengan harga lebih murah sempena Lazada 11.11:

  • 6GB + 64GB – RM999 (RM1,099) → Klik untuk beli secara eksklusif di Lazada
  • 6GB + 128GB – RM1,179 (RM1,199) → Klik untuk beli secara eksklusif di Lazada

Baca juga:

Redmi Note 8 Dan Redmi 8 Pro Kini Rasmi Di Malaysia Pada Harga Bermula Daripada RM599 Hingga RM1199

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend