[Ulasan] Redmi Note 7 – Peranti Mampu Milik Dengan Spesifikasi Terbaik Dalam Kelasnya Comments Off on [Ulasan] Redmi Note 7 – Peranti Mampu Milik Dengan Spesifikasi Terbaik Dalam Kelasnya 1516

Beberapa tahun lepas, pemilihan peranti mampu milik dengan bajet bawah RM1,000 boleh dianggap agak sukar kerana kebiasaannya spesifikasi yang ditawarkan bukanlah yang terbaik boleh anda miliki. Tetapi tahun 2019 ini jelas mengubah persepsi pengguna terhadap peranti mampu milik, terutamanya apabila model Redmi Note 7 diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

Bahkan tidak keterlaluan jika Redmi Note 7 diletakkan sebagai peranti penanda aras untuk peranti lain yang dijual dalam segmen harga yang setanding dengannya. Ini kerana Redmi Note 7 menjanjikan sokongan spesifikasi dan juga penampilan fizikal yang sangat baik untuk sebuah telefon pintar yang dijual pada harga di bawah RM1,000 di pasaran.

HARGA & KETERSEDIAAN


Redmi Note 7 telah dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan pada 27 Mac 2019 yang lalu, dan ia akan turut didatangkan dengan jaminan waranti selama 18 bulan. Terdapat tiga varian boleh anda miliki iaitu 3GB + 32GB (RM679), 4GB + 64GB (RM799) dan juga 4GB + 128GB (RM949). Redmi Note 7 tersedia dalam tiga warna pilihan iaitu BlackFantasy Blue dan Twilight Red.

Beli Redmi Note 7 di Xiaomi LazMall Flagship Store di Lazada:

SPESIFIKASI:

  • MIUI Global 10.2 (Android 9.0 Pie)
  • Slot kad hibrid (nano SIM + nano SIM / microSD)
  • Qualcomm Snapdragon 660 AIE (14nm)
  • 3GB/4GB RAM + 32GB/64GB/128GB ROM
  • microSD sehingga 256GB
  • 6.3 inci IPS LCD FHD+ Dot Drop Display
  • 2340 x 1080 piksel (19.5:9, 450 nits)
  • Corning Gorilla Glass 5 (panel depan dan belakang)
  • Kamera depan: 13MP (f/2.0, AI Beauty/Portrait, HDR)
  • Kamera utama: 48MP (f/1.8, 1.6μm, PDAF, AI, HDR, EIS video) + 5MP
  • 4000 mAh (sokong Quick Charge 4)
  • WiFi 802.11ac (5GHz), Bluetooth 5.0, 4G+, USB Type-C, bicu audio 3.5mm, inframerah
  • Gyroscope, Accelerometer, Distant sensor, e-Compass, Ambient light sensor
  • Pengimbas cap jari dan pengecaman wajah
  • 159.21 x 75.21 x 8.1mm / 186g
  • Pilihan warna: Space Black, Neptune Blue, Nebula Red

PAKEJ PEMBELIAN

Kotak pembungkusan tampil dengan kombinasi putih dan jingga – terdapat perkataan ‘Global Version’ pada bahagian tepi kotak.


Dengan setiap pembelian Redmi Note 7, anda akan menerima pakej pembelian seperti sarung pelindung silikon lut sinar, kabel USB Type-C, pin untuk membuka slot kad SIM, dan juga palam pengecas dengan output 5V2A. Namun begitu, pakej pembelian tidak disertakan sekali dengan fon telinga, pelindung skrin dan juga palam kuasa dengan teknologi pengecasan pantas, jadi anda perlu membelinya secara berasingan.

REKA BENTUK FIZIKAL

Skrin 6.3 inci IPS LCD FHD+


Jika dilihat pada rekaan panel depan Redmi Note 7, mungkin tiada banyak yang boleh diceritakan kerana sokongan takuk kecil yang menempatkan kamera depan beresolusi 13MP ini telah banyak digunakan pada peranti bajet yang lain di pasaran. Namun apa yang membezakan antara Redmi Note 7 dengan pesaingnya yang lain, ia menjanjikan ketahanan paparan skrin yang lebih baik dengan sokongan panel Corning Gorilla Glass 5.

Panel belakang kaca

Redmi Note 7 menyokong panel belakang kaca dengan efek warna cerun ungu pada bahagian atas dan biru pada bahagian bawah. Efek warna ungu boleh dilihat dengan lebih jelas pada gambar lain yang kami kongsikan.

Redmi Note 7 bukan sahaja kelihatan premium, tetapi ia juga menjanjikan rasa sentuhan yang lebih baik dan juga lebih tahan lasak kerana tampil dengan panel kaca yang juga diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5. Unit ulasan yang kami terima ini merupakan warna Neptune Blue dan ia tampil dengan efek warna kecerunan ungu kebiruan yang berjaya menyerlahkan lagi penampilannya.

Kamera 48MP + 5MP


Salah satu daya tarikan utama Redmi Note 7 adalah sokongan dwi kamera beresolusi 48MP + 5MP yang mana merupakan trend terkini yang menjadi ikutan kebanyakan pengeluar. Lensa utama peranti ini menyokong saiz piksel yang besar iaitu 1.6μm menggunakan teknologi 4-in-1 Super Pixel daripada sensor Samsung ISOCELL GM1.


Namun begitu, tetapan lalai (default) penggambarannya hanyalah 12MP dan mod penggambaran 48MP hanya boleh diakses apabila anda menggunakan mod Pro sahaja. Apa yang kurang menarik dengan rekaan dwi kamera Redmi Note 7 adalah permukaan lensa yang terlalu timbul, dan masih tidak dilindungi sepenuhnya walaupun selepas menggunakan sarung pelindung yang diberikan dalam pakej pembelian.

Pengimbas cap jari pantas


Pada panel belakangnya juga turut tersedia dengan sensor pengimbas cap jari yang sangat pantas. Tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin terlebih dahulu, anda boleh terus mengakses homescreen peranti ini, dan lebih menariknya ketiadaan efek animasi turut memastikan akses yang lebih cepat.

Slot kad hibrid


Jika sesetengah peranti mampu milik yang lain menawarkan sokongan tiga slot kad berasingan, Redmi Note 7 pula dilihat masih mengekalkan rekaan slot kad hibrid. Ini bermakna anda terpaksa membuat pilihan sama ada ingin menggunakan kedua-dua slot untuk kad SIM nano, ataupun satu kad SIM nano dan satu kad microSD.

CIRI-CIRI MENARIK REDMI NOTE 7
Berbeza dengan kebanyakan telefon pintar yang dijual pada segmen harga yang sama, Redmi Note 7 menjanjikan keistimewaan yang tidak ditawarkan pada pesaingnya yang lain. Berikut adalah dua daripada ciri-ciri menarik yang boleh anda perolehi pada Redmi Note 7:

#1. USB Type-C dengan Quick Charge 4


Walaupun ditawarkan pada harga mesra poket, Xiaomi dilihat menjanjikan sokongan spesifikasi yang baik pada Redmi Note 7 dengan penyediaan port USB Type-C  bagi menggantikan port microUSB. Apa yang lebih istimewanya, ia turut menyokong teknologi pengecasan pantas Quick Charga 4 untuk mengecas bateri berkapasiti 4000 mAh dengan lebih pantas.

#2. Port inframerah


Penyediaan port inframerah pada Redmi Note 7 boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh pelbagai alat elektrik termasuklah TV, set top box, penghawa dingin, kipas, projektor, kamera dan banyak lagi. Fungsi alat kawalan jauh ini boleh dibuat dengan menggunakan aplikasi pra-pasang Mi Remote.

ANTARAMUKA MIUI 10
Redmi Note 7 telah dioperasikan dengan antaramuka MIUI 10 berasaskan Android 9.0 Pie dan secara keseluruhannya ia menampilkan beberapa pembaharuan antaramuka seperti pada ruangan notifikasi dan tetapan pintas, bar kawalan suara secara menegak, tetingkap recent apps, dan banyak lagi.

PRESTASI
Bagi melihat sendiri prestasi Redmi Note 7 yang dikuasakan dengan cipset lapan teras Qualcomm Snapdragon 660, kami akan menjalankan beberapa ujian penanda aras sebagai rujukan anda.

Keputusan ujian penanda aras:

Keputusan ujian penanda aras Geekbench (kiri) dan AnTuTu (kanan).

Ciri ‘gaming’ terbina-dalam dengan ‘Game speed booster’:

Game speed booster

Redmi Note 7 bukan sekadar memfokuskan kepada keupayaan penggambarannya, tetapi ia juga sebenarnya turut menjanjikan prestasi permainan mudah alih yang lebih baik dengan sokongan fungsi ‘Game speed booster’. Melalui fungsi ini, anda boleh memilih untuk mengaktifkan fungsi untuk mengoptimumkan rangkaian dan juga prestasi peranti ketika bermain. Malah ciri DND (Do Not Disturb) juga memastikan notifikasi tidak akan dipaparkan pada skrin yang boleh mengganggu kelancaran permainan.


Walaupun pengaktifan fungsi ini menjanjikan kelancaran permainan yang jauh lebih baik, ia sebenarnya akan mengakibatkan peratusan bateri peranti akan turut dengan lebih cepat. Jadi sekiranya anda mahukan ketahanan bateri yang lebih baik, fungsi ‘Game speed booster’ ini boleh dimatikan secara manual.

Tetapan grafik PUBG Mobile pada Redmi Note 7:


Memandangkan ramai di antara pemilik telefon pintar di luar sana memainkan permainan popular PUBG Mobile, Redmi Note 7 menyokong grafik lalai (default) – ‘Medium’ berdasarkan kepada keperluan spesifikasi permainan ini. Untuk paparan grafik, anda boleh menetapkannya sehingga ‘HD’, manakala untuk frame rate pula boleh ditetapkan pada ‘High’.

Peratusan bateri yang digunakan untuk permainan Mobile Legends:
Kami telah mencuba permainan Mobile Legends dengan tetapan grafik maksimum menggunakan rangkaian WiFi untuk satu pusingan permainan. Untuk permainan dalam tempoh lebih kurang 20 minit, bateri telah mencatatkan penurunan sebanyak 7%.

Menu kawalan khas dalam permainan:


Apabila Game Speed Booster diaktifkan dalam permainan, anda boleh menemui satu simbol kecil pada bahagian atas kiri skrin. Terdapat empat fungsi utama yang ditawarkan untuk anda gunakan ketika bermain iaitu screen recording, screenshot, cache clear dan juga navigation button disable yang boleh diaktifkan bagi mengelakkan anda terkeluar daripada tanpa disengajakan.

HASIL GAMBAR

EKSTRA TIPS!
Sokong pemasangan aplikasi Google Camera (GCam)
Sebagaimana yang kita sedia maklum, peranti Pixel sememangnya terkenal dengan keupayaan penggambarannya yang menjanjikan kualiti hasil gambar dengan sokongan mod HDR atau Night Sight yang sangat baik. Menariknya Redmi Note 7 yang menyokong Camera2 API membolehkan aplikasi Google Camera atau GCam dipasang dengan lebih mudah, tanpa perlu proses unlocked bootloader.

4 TIPS PANTAS!
#1. Pengaktifan kamera pantas – Settings → Lock screen & password → Launch Camera
#2. Pengaktifan skrin mudah – Settings → Display → Raise to wake / Double tap screen to wake
#3. Paparkan ikon notifikasi di status bar – Settings → Notifications & status bar → Show icons for incoming notifications
#4. Pengaktifan navigasi sistem untuk skrin penuh – Settings → Full screen display → Full screen gestures

KELEBIHAN:

  • Paparan skrin dan panel belakang yang diperbuat daripada kaca Corning Gorilla Glass 5 yang lebih premium berbanding sesetengah pesaingnya yang masih menggunakan panel belakang yang diperbuat daripada plastik atau polikarbonat.
  • Walaupun ditawarkan pada harga mampu milik, ia menjanjikan ciri sambungan setanding peranti yang jauh lebih mahal dengan WiFi 802.11ac (5GHz), dan juga port USB Type-C.
  • Bateri 4000 mAh dengan sokongan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4 yang jarang dapat ditemui pada peranti yang dijual pada harga bawah RM1,000.
  • Keupayaan kamera 48MP dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri penggambaran seperti mod malam yang mampu memastikan hasil gambar yang lebih terang, mod AI yang boleh mengenal pasti persekitaran atau objek, dan juga efek kecantikan.

KEKURANGAN

  • kedudukan lampu led notifikasi yang agak janggal dengan tahap keterangan yang agak rendah
  • palam kuasa yang didatangkan dalam pakej pembelian hanya menyokong output maksimum 5V2A (10W) dan anda mungkin akan menerima palam kuasa 2-pin atau 3-pin kerana ia diberikan secara rawak dalam pakej pembelian.
  • Suka ataupun tidak, aplikasi pra-pasang MIUI seperti Cleaner kini hadir dengan tetingkap khas untuk memaparkan ruang iklan.
  • Berbeza dengan model Redmi Note 7 Pro, kualiti penggambaran menggunakan lensa 48MP pada Redmi Note 7 hanya boleh digunakan menggunakan mod Pro sahaja.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend