[Ulasan] realme Buds Wireless, Berbaloi Ke Tidak? Comments Off on [Ulasan] realme Buds Wireless, Berbaloi Ke Tidak? 163

Semasa pelancaran realme XT minggu lalu, realme Malaysia turut memperkenalkan tiga aksesori terbaru mereka iaitu realme Power Bank, realme Buds 2, dan realme Buds Wireless. Satu-satunya produk yang mendapat perhatian kami ialah fon telinga tanpa wayar iaitu realme Buds Wireless. Ini kerana menurut syarikat, realme Buds Wireless telah dibangunkan bersama oleh DJ terkenal dunia, Alan Walker. Jadi ia adalah edisi terhad. Oleh kerana itu kami telah diberikan satu unik untuk dijadikan ulasan.

Nak tahu apa yang menarik tentang fon telinga Bluetooth ini, teruskan membaca untuk mengetahui sejauh mana kehebatan realme Buds Wireless ini!

Spesifikasi

  • Pemacu suara: 11.2mm (bes yang lebih berkuasa)
  • Sambungan: Bluetooth 5.0
  • Hayat bateri: 12 jam main semula
  • Jarak penggunaan: Sehingga 10m
  • Butang kawalan: 3 butang (on/off, suara naik, suara turun)
  • Pengecasan pantas: 10 minit pengecasan untuk 100 minit muzik
  • Berat: 30g untuk getah leher (keseluruhan tidak diberitahu)
  • Warna: Kuning
  • Butiran lanjut: https://www.realme.com/in/realme-buds-wireless

Kotak Pembungkusan

  • 1x realme Buds Wireless
  • 1x kabel microUSB
  • 1x manual
  • 2x pengunci telinga
  • 6x tip telinga

Rekaan

Boleh dikatakan, fizikal luaran realme Buds Wireless ini direka sepenuhnya menggunakan getah kecuali pada bahagian simpanan bateri (badan) yang diperbuat daripada aluminium. Kombinasi warna yang digunakan pula ialah hitam dan kuning (unit yang diterima) yang agak kontras warnanya sekaligus dapat meyakinkan pengguna bahawa ianya sebuah produk daripada realme.

Pada bahagian telinga, ia menggunakan rekaan tip yang boleh ditukar mengikut kesesuaian pengguna. Terdapat tiga pilihan saiz yang mana S, M, dan L diberikan terus dari kotak. Pada kami, saiz normal yang telah dicantumkan sudah cukup selesa untuk dipakai. Ianya juga didatangkan dengan pengunci telinga untuk menyokong fon telinga itu sendiri bagi berada pada kedudukan yang sepatutunya. Jika sedang melakukan senaman seperti berlari-lari anak ataupun menari zumba, fon telinga ini tidak mudah terkeluar mahupun terjatuh.

Butang kawalan yang dibina pada sebelah kanan cukup mudah untuk ditekan memandangkan ketiga-tiga butang ini diletakkan sebaris pada satu bahagian, selain turut memiliki ikon dan logo yang timbul.

Bercakap tentang getah leher, ia sebenarnya fleksibel dan ringan malah tidak membebankan si pemakai. realme nampaknya menitik beratkan keselesaan pengguna apabila getah leher ini hanya memiliki berat 30g sahaja. Berdasarkan pengalaman, banyak fon telinga yang pernah kami cuba, realme Buds Wireless antara yang selesa digantung di leher. Getah silikon yang lembut pula tidak terasa miang atau gatal apabila anda berpeluh.

Satu lagi yang kami ingin ketengahkan ialah fungsi magnet yang terbina pada bahagian luar tip telinga. Jika ia tidak digunakan, anda boleh sahaja mencamtumkan kedua-dua belah untuk tampak lebih kemas.

Sokongan kalis air

Kuning dan hitam

Tidak lengkap rasanya kalau fon telinga masa kini tidak ada sokongan kalis air. Jadi, untuk realme Buds Wireless, anda masih lagi dapat menikmati muzik walaupun sedang meredah hujan sebaik turun dari KTM komuter. Ia diiktiraf IPX4 yang juga kalis kepada peluh.

Sambungan

Bluetooth 5.0 ialah teknologi yang paling banyak digunakan pada peranti elektronik masa kini. Melaluinya, sambungan dapat dibuat dengan pantas dan stabil. Tambahan pula, jarak radius yang mampu disokong pada fon telinga ini adalah sehingga 10 meter. Di sini pengguna boleh mendengar lagu di mana-mana kawasan di dalam rumah tanpa membawa telefon pintar bersama.

Pemacu suara 11.2mm untuk bunyi bes yang lebih dalam

Namun begitu, satu kekurangan yang kami temui pada realme Buds Wireless ialah ia tidak menyokong panggilan telefon. Misalnya, ketika anda sedang asyik mendengar muzik tanpa telefon berada di sisi, anda mungkin tidak akan menyedari akan panggilan telefon yang masuk. – kecuali anda menghidupkan notifikasi LED flash pada telefon. Tiada amaran suara diberikan malah muzik akan terhenti secara tiba-tiba membuatkan kami keliru sama ada peranti ini kehabisan bateri ataupun sebagainya.

Bagusnya pula, apabila kedua-dua belah tip telinga dicantumkan, lagu akan dihentikan seketika. Ia akan memainkan semula muzik sebaik pengguna memisahkan dan memasukkannya semula ke dalam telinga. TIDAK. Ia tidak akan berlaku. Pengguna sendiri perlu menekan semula butang main pada alat kawalan ataupun pada telefon. Cara ini adalah cara yang sama untuk anda mematikan/menghidupkan realme Buds Wireless.

Bateri

Bateri merupakan antara aspek utama dalam pemilihan fon telinga. Lebih lama hayat bateri, lebih lama muzik dimainkan. Untuk bateri, realme Buds Wireless dikatakan boleh main memainkan semula lagu-lagu kegemaran anda untuk tempoh 12 jam. Pengecasan selama 10 minit pula menawarkan 100 minit muzik. Kami juga ada membuat sedikit ujian pengecasan, memang benar ia sangat pantas. Bravo realme!

Kesimpulan

Agak mustahil untuk kami ceritakan pengalaman audio kepada anda semua, tetapi apa yang kami boleh bagi tahu anda adalah realme Buds Wireless bukan fon telinga yang beshe-beshe. Harga dan kualiti audio agak setara dan kami percaya anda tidak akan menyesal apabila membelinya. Bunyi bes dihantar ke gegendang telinga dengan begitu baik, audio juga kuat walaupun kami buka suaranya pada tahap sederhana. Bunyi treble yang jelas dan tidak mengecewakan.

Satu lagi perkara yang menarik adalah anda tidak akan mendengar bunyi di persekitaran sebaik anda menyumbat fon telinga ini. Kami merasakan realme Buds Wireless seakan memiliki ciri pembatalan hingar yang ada pada TWS yang harganya lebih mahal.

Ketersediaan

Bagi yang berminat dengan realme Buds Wireless, ia ditawarkan pada harga RM149 seunit dan akan dijual mulai 11 November ini eksklusif di Shopee untuk hari pertama penjualan. Jadi, sesiapa yang sedang mencari sebuah fon telinga Bluetooth, kami sarankan anda mempertimbangkan realme Buds Wireless. Selamat membeli-belah!

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend