[Ulasan] realme 5 Pro, Telefon Pintar Dengan Sokongan Empat Kamera Pertama Daripada realme Comments Off on [Ulasan] realme 5 Pro, Telefon Pintar Dengan Sokongan Empat Kamera Pertama Daripada realme 658

Jenama realme mungkin masih baru di pasaran, sungguhpun begitu kemunculannya di Malaysia sedikit sebanyak dilihat telah berjaya memecahkan dominasi telefon pintar daripada segmen mampu milik dan pertengahan. Apa yang menariknya, model realme 5 Pro yang baru sahaja dilancarkan secara rasmi sudah tentunya akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan jenama realme di negara ini.

Berbeza dengan generasi sebelum ini iaitu realme 3 Pro, model terbaharu realme 5 Pro dilihat telah menampilkan beberapa pembaharuan yang lebih drastik. Apa yang pasti, dengan realme 5 Pro ia jelas memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu rekaan baharu, prestasi lebih berkuasa, dan juga keupayaan penggambaran yang dipertingkatkan.

Spesifikasi realme 5 Pro:

  • ColorOS 6.0 (Android 9.0 Pie)
  • Qualcomm Snapdragon 712 AIE (10nm)
  • 2x 2.3GHz Kryo 360 Gold + 6x 1.7GHz Kryo 360 Silver
  • Adreno 616
  • 8GB + 128GB
  • microSD sehingga 256GB (slot dedikasi)
  • 6.3 inci IPS LCD FHD+ (2340 x 1080 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 3+, 450 nit, Nisbah skrin 90.8%
  • Kamera utama: 48MP (Sony IMX586, f/1.8, PDAF) + 8MP (Wide Angle, f/2.25, 119°) + 2MP (Macro, f/2.4) + 2MP (Portrait, f/2.4)
  • Kamera depan: 16MP (Sony IMX471, f/2.0, AI Beautification, HDR)
  • Rakaman video: 4K 30fps, 1080p 30fps/60fps, 720p 30fps/60fps (EIS)
  • Video Slo-Mo: 960fps/720p, 120fps/1080p
  • 4035mAh (VOOC Flash Charge 3.0)
  • USB Type-C, WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, VoLTE, USB OTG
  • Magnetic Induction Sensor, Light Sensor, Proximity Sensor, Gyro-meter, Gravity Sensor, Acceleration Sensor
  • Pengimbas cap jari (panel belakang)
  • 157 x 74.2 x 8.9mm / 184g
  • Kalis percikan air
  • Pilihan warna: Crystal Green / Sparkling Blue

Harga dan Ketersediaan:

realme 5 Pro hanya tersedia dalam satu varian sahaja iaitu 8GB + 128GB dan ia akan dijual secara rasmi pada harga RM1099. Pra-tempah realme 5 Pro sudahpun dibuka pada 3 Oktober hingga 11 Oktober 2019, dan setiap pra-tempah akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM200 (botol air eksklusif, headphone dan selfie stick).

Mula dijual secara rasmi di pasaran pada 10 Oktober 2019 di kedai fizikal, realme 5 Pro akan turut dijual secara eksklusif di Lazada pada 10 Oktober 2019 (jam 10 pagi). Bersempena promosi Lazada 10.10, setiap pembelian realme 5 Pro di platform itu akan turut menerima earphone Alan Walker edisi terhad.

Pakej Pembelian

Telefon pintar realme sebelum ini tampil lebih ringkas dengan memaparkan nama modelnya sahaja.

Jika diperhatikan, kesemua kotak pembungkusan keluaran realme sebelum ini telah menampilkan kemasan kotak yang lebih ringkas dengan menyelitkan penggunaan nama modelnya sahaja. Ternyata realme 5 Pro telah menjadi antara peranti terawal daripada realme yang tampil dengan rekaan kotak yang jelas memperlihatkan rekaan depan dan belakang peranti ini. Sentuhan baharu pada kotak ini secara tidak langsung mendedahkan keyakinan realme terhadap rekaan peranti keluarannya.

Apabila anda membuat pembelian realme 5 Pro, pakej aksesori yang ditawarkan boleh dianggap agak baik kerana ia lengkap dengan pelbagai aksesori tambahan. Ini termasuklah pelindung skrin dan juga sarung pelindung silikon yang tampil dalam warna separa gelap.

Lebih istimewanya anda tidak lagi perlu untuk membuat pembelian palam kuasa dengan pengecasan pantas kerana tersedia dengan palam kuasa VOOC Flash Charge 3.0. Memandangkan unit yang kami terima ini merupakan set import, ia didatangkan dengan palam kuasa 2 pin dan anda akan menerima palam kuasa 3 pin untuk set rasmi Malaysia.

Aksesori Asas Untuk Perlindungan

Setiap kali kita membeli telefon pintar baharu, antara perkara terawal yang akan kita lakukan adalah memasang pelindung skrin dan juga sarung pelindung bagi mengelakkan peranti tercalar. Jadi dengan pembelian realme 5 Pro, anda boleh terus menggunakan sebaik sahaja keluar dari kedai.

Ini kerana ia telah siap dipasang dengan pelindung skrin dan juga sarung pelindung yang memiliki permukaan yang sedikit timbul untuk melindungi skrin dan juga kamera utamanya. Disebabkan oleh rekaan sarung pelindungnya yang agak melengkung, proses memasang dan menanggalnya daripada peranti terasa sedikit sukar (ketat).

Rekaan Fizikal

Sentuhan panel belakang tipikal realme yang sebelum ini diinspirasikan daripada potongan berlian kini telah dinaik taraf pada model realme 5 Pro melalui kemasan baharu yang dikenali sebagai ‘Cystal Design’. Bagi mendapatkan warna holografik nanometer dengan tekstur potongan yang berubah warna apabila dipandang pada sudut berbeza, realme telah menjalankan sehingga 133 kali proses gilapan.

Menampilkan rekaan panel belakang yang diinspirasikan daripada kristal, realme 5 Pro telah menawarkan dua warna pilihan iaitu Cystal Blue dan juga Crystal Green yang pada kami kedua-duanya kelihatan menyerlah. Tidak dinafikan, rekaan dan rasa sentuhan realme 5 Pro terasa premium, tetapi penggunaan panel belakang yang diperbuat daripada polikarbonat ternyata lebih mudah untuk tercalar berbanding kaca.

Berbeza dengan realme 5 Pro dalam warna Crystal Green, warna Crystal Blue memiliki kombinasi warna cerun biru (bahagian bawah) dan juga ungu (bahagian atas).

realme 5 Pro juga turut memiliki permukaan panel belakang 3D yang melengkung, sekaligus mampu memastikan keselesaan ketika anda memegangnya. Rekaan ergonomik ini secara tidak langsung memberikan perasaan kerangka yang lebih nipis, walaupun ia memiliki kerangka yang agak tebal iaitu 8.9mm.

Dari segi paparan, realme 5 Pro masih mengekalkan skrin IPS LCD berukuran 6.3 inci FHD+ dengan rekaan takuk ala titisan air bagi menempatkan kamera depan beresolusi 16MP. Untuk pengetahuan anda, ia menggunakan kamera depan dengan sensor yang sama digunakan pada OnePlus 7 dan 7 Pro.

Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa realme 5 Pro tidak menggunakan panel skrin jenis OLED dengan sokongan pengimbas cap jari di dalam skrin. Pada pendapat kami, realme mungkin mengambil pendekatan yang lebih rasional kerana harga alat ganti panel OLED adalah lebih mahal dan ini sudah tentunya tidak begitu praktikal untuk peranti dalam segmen harga sebegini. Malah proses imbasan cap jari menggunakan sensor fizikal pada realme 5 Pro juga terasa sangat pantas walaupun ketika peranti dalam mod standby.

Bahagian bawah kerangka realme 5 Pro telah menyediakan satu speaker berkualiti mono, port USB Type-C dengan pengecasan pantas serta sambungan OTG, lubang mikrofon, dan juga bicu audio 3.5mm. Manakala slot kad peranti ini pula boleh ditemui di sisi kiri yang mana ia menyediakan tiga slot kad berasingan iaitu slot SIM 1, SIM 2 dan juga slot microSD.

Kualiti rekaan realme 5 Pro juga tidak mengecewakan kerana ia menggunakan rekaan kerangka yang kalis percikan air. Menurut realme, peranti ini menawarkan tiga lapisan kalis percikan air iaitu pada bahagian komponen penting di dalam peranti menggunakan gam khas, lapisan sarung getah pada port USB serta bicu audio, dan juga foam splash-resistant ring pada slot kad, penutup bateri dan sebagainya.

Kuad Kamera 48MP

realme 5 Pro merupakan telefon pintar pertama daripada realme yang menampilkan sokongan empat kamera AI 48MP. Tersedia dengan sensor utama daripada Sony IMX586 yang menggunakan teknologi Quad Bayer pixel four-in-one, ia merupakan sensor yang sama digunakan pada kebanyakan peranti mercu yang dijual pada harga lebih mahal.

Lensa paling atas merupakan sensor Ultra Wide Angle 8MP untuk penggambaran sudut lebar mencecah 119 darjah. Manakala lensa ketiga merupakan sensor Portrait 2MP yang akan digandingkan dengan lensa utama untuk menghasilkan efek bokeh (kabur) yang lebih dramatik serta exposure yang lebih tinggi. Lensa keempat iaitu sensor Ultra Macro 2MP pula boleh digunakan untuk penggambaran jarak dekat 4cm.

Mod kamera istimewa

Tidak dinafikan penyediaan empat lensa berbeza pada realme 5 Pro sememangnya sangat membantu aktiviti penggambaran dalam pelbagai senario berbeza. Tetapi apa yang menariknya, ia turut disertakan dengan dua mod kamera eksklusif untuk peranti realme iaitu Nightscapes dan juga Chroma Boost.

  • Nightscapes – ia merupakan mod yang boleh digunakan bagi mendapatkan hasil gambar yang lebih terang walaupun gambar diambil dalam persekitaran yang kurang cahaya. Tanpa perlu menggunakan tripod, ia akan menggunakan fungsi long-exposure sekitar 2 saat dengan bantuan handheld stabilization.
  • Chroma Boost – apabila mod ini diaktifkan, ia secara automatik akan mempertingkatkan efek fotografi bagi mengekalkan keperincian gambar, keterangan dan juga kejituan warna subjek yang diambil.

Keupayaan rakaman video

Selain menjanjikan keupayaan penggambaran kamera statik menggunakan empat lensa yang boleh disesuaikan dalam pelbagai persekitaran berbeza, realme 5 Pro turut menyokong keupayaan rakaman video dengan resolusi mencecah sehingga 4K. Ia turut tersedia dengan fungsi penstabilan EIS (Electronic Image Stabilization) untuk kamera depan dan belakang pada resolusi sehingga 1080p sahaja.

Hasil gambar

This slideshow requires JavaScript.

Nota: Klik beberapa saat pada gambar dan pilih ‘open image in a new tab’ untuk melihat gambar dalam resolusi lebih besar. Untuk pengetahuan anda, kualiti gambar ini sedikit berkurangan (compressed) apabila dimuat naik.

Prestasi Berkuasa Dalam Segmen Harganya

Dikuasakan dengan cipset 10nm daripada Qualcomm Snapdragon 712 AIE, ia menyokong teras CPU yang telah dipertingkatkan ke 2.3GHz. Malah jika dibandingkan dengan cipset Snapdragon 710 yang digunakan pada realme 3 Pro, realme 5 Pro dikatakan menjanjikan peningkatan prestasi 10% lebih tinggi. Sungguhpun begitu, tahap kecekapan baterinya turut ditingkatkan sehingga 35% berbanding sebelum ini.

realme 5 Pro juga turut menjanjikan konfigurasi memori yang agak besar untuk segmen harganya dengan sokongan RAM berkapasiti 8GB (LPDDR4X), dan juga ruang storan 128GB. Menggunakan storan jenis UFS 2.1, ia sememangnya jauh lebih pantas jika dibandingkan dengan storan eMMC.

HyperBoost 2.0 untuk pengalaman permainan optimum

Dari segi prestasi CPU dan GPU, realme 5 Pro boleh dikatakan antara yang terbaik untuk segmen harganya. Namun begitu, pengalaman permainan pada peranti ini telah dipertingkatkan dengan HyperBoost 2.0 yang akan menjanjikan kelancaran dan kestabilan rangkaian ketika bermain. HyperBoost 2.0 terbahagi kepada tiga aspek utama:

  • Frame Boost – prestasi peranti akan sentiasa dioptimumkan melalui ramalan pintar masa-nyata bagi memenuhi keperluan prestasi dan mengelakkan masalah lag ketika bermain.
  • Touch Boost – fungsi ini akan memastikan tahap respons skrin sentuh yang lebih cepat terutamanya dalam permainan yang memerlukan kawalan tepat seperti di PUBG Mobile ataupun Call of Duty: Mobile.
  • Game Boost – realme telah bekerjasama dengan pembangun permainan popular untuk mengoptimumkan kelancaran permainan dari awal untuk pengalaman permainan lebih baik.
Game Space

Berdasarkan percubaan kami ketika bermain Call of Duty: Mobile, tetapan grafik dan frame rate telah disetkan ke ‘High’ secara default. Apa yang menariknya, realme 5 Pro sememangnya telah dioptimumkan untuk permainan ini kerana tetapan grafik dan juga frame rate dilihat lebih baik berbanding beberapa peranti mercu lain yang kami miliki:

Sokongan tetapan grafik dan frame rate tertinggi pada permainan ‘Call of Duty: Mobile’:

  • realme 5 Pro (Snapdragon 712): Graphic Quality → Very High / Frame Rate → Max
  • HUAWEI P20 Pro (Kirin 970): Graphic Quality → High / Frame Rate → High
  • iPhone 7 Plus (Apple A10 Fusion): Graphic Quality → Very High / Frame Rate → High
  • iPhone XR (Apple A12 Bionic): Graphic Quality → Very High / Frame Rate → Very High

This slideshow requires JavaScript.

Namun begitu apabila ia disetkan ke tetapan tertinggi iaitu ‘Very High’, kelancaran permainan pada realme 5 Pro masih dapat dirasai dan yang paling penting ia tidak berhadapan dengan isu panas yang melampau. Tetapi seperti biasa peratusan bateri akan turun dengan sangat cepat kerana CPU dan GPU akan bekerja lebih keras.

Kepantasan pengecasan VOOC Flash Charge 3.0

realme 5 Pro dengan sokongan bateri berkapasiti 4035mAh sememangnya boleh dicas dengan sangat pantas menggunakan teknologi VOOC Flash Charge 3.0 yang menyokong output pengecasan maksimum mencecah 20W. Berdasarkan ujian pengecasan yang kami lakukan, ia hanya mengambil masa hanya 56 minit untuk mengecas bateri daripada 21% ke 100%.

Antaramuka ColorOS 6.0

Memandangkan realme merupakan sub-jenama daripada OPPO, antaramuka ColorOS6.0 yang dioperasikan pada realme 5 Pro tidak begitu jauh berbeza. Mungkin kelainan yang dapat dilihat adalah rekaan ikon bulat pada ruangan Quick Settings, dan juga penggunaan nama fungsi yang sedikit berbeza seperti Chroma Boost bagi menggantikan Dazzle Color pada peranti OPPO.

Perbezaan antaramuka ColorOS 6.0 pada realme 5 Pro dan OPPO A9 2020.

Sebut tentang antaramuka, ia boleh dikatakan agak subjektif kerana setiap individu memiliki citarasa berbeza dan bagi kami ColorOS sebenarnya tidaklah terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan antaramuka peranti lain di pasaran. Namun begitu apa yang kami kurang gemar pada ColorOS adalah rekaan ikon yang tidak seragam.

Sebagai contoh, ada antara ikon yang tampil dengan sentuhan rekaan yang kelihatan agak ‘kebudak-budakan’ seperti ikon pemain muzik dan galeri gambar. Malah rekaan ikonnya juga agak mengelirukan kerana ia memiliki pelbagai bentuk seperti bulat, segi empat dan juga heksagon, ini sedikit sebanyak mengganggu penampilan keseluruhan antaramuka (terutamanya bagi penggunaa OCD).

ColorOS 6.0 berasaskan Android 9.0 Pie ini juga turut didatangkan dengan bloatware atau aplikasi pra-pasang yang tidak diperlukan oleh sesetengah pengguna seperti Opera, Lazada, dan juga Webnovel. Namun apa yang paling menjengkelkan, terdapat dua aplikasi iaitu Hot Apps dan Hot Games yang langsung tidak boleh dibuang atau disembunyikan.

Apa Yang Perlu Anda Tahu?!

1. Sambungan GPS

→ Walaupun kami berada di antara dua bangunan dengan ketinggian melebihi 20 tingkat, realme 5 Pro tidak berhadapan dengan isu untuk mengunci GPS. Malah ketepatan GPS juga agak baik kerana ia berjaya mencatatkan jarak sekitar 4 meter sahaja.

2. Sokongan kandungan HD

→ Memandangkan realme 5 Pro hanya menyokong Widevine Level L3, anda tidak boleh menonton kandungan dalam kualiti HD seperti di Netflix.

3. Sokongan aplikasi GCam (Google Camera)

→ Sekiranya anda ingin memasang aplikasi GCam (Google Camera), realme 5 Pro boleh menyokong aplikasi tersebut tanpa masalah kerana perkakasannya menyokong penuh.

Video Buka Kotak realme 5 Pro:

KELEBIHAN

  • Prestasi cipset Snapdragon 712 AIE boleh dikatakan sangat baik untuk segmen harganya, dan ini ditambah pula dengan kombinasi kapasiti RAM 8GB dan juga storan besar 128GB.
  • Teknologi VOOC Flash Charge 3.0 sememangnya sangat pantas kerana ia menyokong output pengecasan maksimum mencecah sehingga 20W. Lebih istimewanya, ia turut diberikan sekali dalam kotak pembungkusan.
  • Penyediaan kuad kamera dengan empat mod penggambaran berbeza ini sangat berguna dalam pelbagai senario berbeza. Kualiti hasil gambar yang diambil menggunakan kamera utama daripada sensor Sony IMX586 ini juga sememangnya tidak mengecewakan.
  • Sokongan slot kad microSD yang berasingan sememangnya sangat praktikal bagi pengguna yang memiliki dua kad SIM.
  • Teknologi pengimbas cap jari dan juga pengecaman wajah yang sangat pantas.

Kekurangan

  • Rekaan panel belakang jenis polikarbonat yang bukan sahaja mudah meninggalkan kesan cap jari, tetapi sangat berisiko tinggi untuk tercalar berbanding panel belakang jenis kaca. Jadi anda disarankan untuk sentiasa menggunakan sarung pelindung yang didatangkan sekali dalam pembelian.
  • Antaramuka ColorOS masih memerlukan lebih banyak penambahbaikan terutamanya pada rekaan ikon.
  • Tidak dinafikan sokongan lensa 2MP untuk penggambaran Ultra Macro sememangnya menarik dan praktikal untuk mengambil gambar pada jarak 4cm, tetapi kualiti gambarnya yang rendah.
  • Sebagaimana kebanyakan peranti dalam kelas harganya, tiada earphone diberikan sekali dalam kotak pembungkusannya.

Baca juga:

realme 5 Dan realme 5 Pro Dengan Kuad Kamera Rasmi Pada Harga Bermula Daripada RM599

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend