[Ulasan] realme 5 Hadir Dengan Kombinasi Skrin, Bateri Dan Ruang Storan BESAR!!! Comments Off on [Ulasan] realme 5 Hadir Dengan Kombinasi Skrin, Bateri Dan Ruang Storan BESAR!!! 277

Pada 12 Oktober 2019 yang lepas, realme telahpun melancarkan siri realme 5 secara rasmi di Malaysia dengan dua model terbaharunya iaitu realme 5 Pro dan juga realme 5. Jika anda ingin mencari sebuah telefon pintar dengan bajet antara RM600 dan RM800, realme 5 mungkin boleh dipertimbangkan untuk dimiliki. Ini kerana ia bukan sahaja menampilkan sokongan empat kamera, tetapi turut menawarkan paparan skrin dan juga kapasiti bateri yang sangat besar…

Spesifikasi realme 5:

  • ColorOS 6.0.1 (Android 9.0 Pie)
  • Qualcomm Snapdragon 665 AIE (11nm)
  • 4x 2.0GHz Kryo 260 Gold + 4x 1.8GHz Kryo 260 Silver
  • Adreno 610
  • 3GB + 64GB / 4GB + 128GB
  • microSD sehingga 256GB (slot dedikasi)
  • 6.5 inci IPS LCD HD+ (1600 x 720 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 3+, Nisbah skrin 89%
  • Kamera utama: 12MP (f/1.8, PDAF) + 8MP (Wide Angle, f/2.25, 119°) + 2MP (Macro, f/2.4) + 2MP (Portrait, f/2.4)
  • Kamera depan: 13MP (f/2.0, AI Beautification, AI HDR)
  • Rakaman video: 4K 30fps, 1080p 30fps, 720p 30fps (EIS)
  • Video Slo-Mo: 240fps/720p, 120fps/1080p
  • 5000mAh (10W)
  • microUSB, WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, VoLTE, USB OTG
  • Magnetic Induction Sensor, Light Sensor, Proximity Sensor, Gyro-meter, Gravity Sensor, Accelerometer Sensor
  • Pengimbas cap jari (panel belakang)
  • 164.4 x 75.6 x 9.3mm / 198g
  • Kalis percikan air
  • Pilihan warna: Crystal Blue / Crystal Purple

Harga dan Ketersediaan:

Berbeza dengan realme 5 Pro yang hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja, realme 5 tersedia dalam dua pilihan varian iaitu 3GB + 64GB dan juga 4GB + 128GB. Tanpa perlu membuat pra-tempah, realme 5 (3GB + 64GB) kini sudahpun mula dijual secara rasmi di semua kedai fizikal yang sah bermula 12 Oktober 2019 (Sabtu) yang lepas.

Manakala realme 5 varian 4GB + 128GB pula boleh dibeli secara eksklusif di Lazada bermula jam 10 pagi pada 17 Oktober 2019 ini.

  • Beli realme 5 (4GB + 128GB) secara eksklusif bermula 17 Oktober 2019 di Lazada

Pakej Pembelian

realme 5 turut menampilkan rekaan kotak baharu yang mendedahkan rekaan sebenar bahagian depan dan juga belakang peranti. Pada bahagian kotak ini turut mendedahkan fungsi menarik pada realme 5 iaitu bateri berkapasiti 5000mAh dan juga sokongan kuad kamera. Di dalam kotak pembungkusan realme 5, ia tersedia dengan aksesori seperti berikut:

  • realme 5
  • Skrin pelindung (siap dipasang)
  • Sarung pelindung silikon lut sinar
  • Palam kuasa 10W (5V2A)
  • Kabel microUSB
  • Pin slot kad SIM/microSD
  • Buku manual (tiada dalam unit ulasan yang kami terima)

Aksesori Asas Untuk Perlindungan

Sarung pelindung percuma yang diberikan pada realme 5 menjanjikan perlindungan yang agak baik untuk melindungi skrin yang besar berukuran 6.5 inci. Selain dilindungi dengan panel Corning Gorilla Glass 3+ yang siap dipasang dengan pelindung skrin jenis plastik, permukaan skrin realme 5 tidak mudah tercalar apabila ia diletakkan secara terbalik di atas meja. Ini kerana bahagian ‘bibir’ pelindung skrin sedikit timbul daripada permukaan skrin.

Walau bagaimanapun, potongan lubang kamera pada sarung pelindung ini dilihat rata dan tiada ‘bibir’ sebagaimana yang dapat dilihat pada sarung pelindung realme 5 Pro. Bahagian lubang kamera yang rata dengan permukaan kaca pada lensa kamera ini sedikit sebanyak lebih terdedah dengan risiko untuk tercalar atau retak. Namun proses memasang atau membuka sarung pelindung ini terasa agak ketat.

Rekaan Fizikal

Jika diperhatikan pada rekaan fizikal realme 5, rekaan panel depan dan belakang peranti ini sebenarnya kelihatan sama sahaja seperti realme 5 Pro. Ini kerana ia turut menampilkan sentuhan panel belakang dengan kemasan potongan kristal yang dikenali sebagai ‘Crystal Design’.

Tidak dinafikan rekaan panel belakang pada realme 5 kelihatan unik dan mampu menarik perhatian apabila digunakan. Menariknya ia didatangkan dalam dua warna pilihan menarik iaitu Crystal Blue dan juga Crystal Purple. Namun begitu, anda disarankan untuk sentiasa menggunakan sarung pelindung kerana panel belakangnya diperbuat daripada polikarbonat yang lebih mudah tercalar.

Perbezaan paling ketara antara realme 5 dengan realme 5 Pro adalah saiz skrin yang besar iaitu berukuran 6.5 inci, tetapi hanya menyokong resolusi HD+ sahaja. Menampilkan rekaan takuk jenis titisan air, ia turut menempatkan kamera depan 13MP dengan mod AI Beauty dan AI HDR. Sama seperti realme 5 Pro, realme 5 juga tidak didatangkan dengan lampu notifikasi LED.


Sekiranya anda memiliki dua kad SIM dan dalam masa yang sama ingin menggunakan kad microSD, realme 5 mampu memenuhi keperluan itu melalui penawaran tiga slot kad berasingan yang terletak pada sisi kiri peranti. Walaupun memiliki kerangka yang agak tebal iaitu mencecah 9.3mm, rekaan bahagian panel belakang yang melengkung pada kedua-dua sisinya sedikit sebanyak memberi keselesaan ketika ia dipegang.

Realme 5 dilihat masih mengekalkan sokongan port pengecasan 10W jenis microUSB dan ia dilihat agak mengecewakan kerana pesaingnya yang lain dilihat sudahpun mula menawarkan sokongan port jenis USB Type-C. Selain bicu audio 3.5mm, terdapat lubang mikrofon bersebelahannya. Namun apa yang peliknya kami tidak pula menjumpai lubang mikrofon kedua untuk fungsi pembatalan hingar.

Kuad Kamera 12MP

Tidak dinafikan bahawa konfigurasi kuad kamera pada realme 5 adalah sama sahaja seperti realme 5 Pro, kecuali pada sokongan lensa utamanya sahaja. Jika realme 5 Pro menampilkan sensor Sony IMX586 beresolusi 48MP, realme 5 hanya menyokong lensa utama beresolusi 12MP sahaja.

Bahkan rekaan dan juga susunana kuad kamera pada realme 5 ini juga tampil sama sahaja iaitu kamera paling atas adalah lensa Ultra Wide Angle 8MP untuk penggambaran sudut lebar mencecah 119 darjah. Kamera kedua adalah lensa utama 12MP (f/1.8), kamera ketiga merupakan sensor Portrait 2MP dan juga kamera terakhir iaitu lensa Ultra Macro 2MP yang  boleh digunakan untuk penggambaran jarak dekat 4cm.

realme 5 dilihat masih mengekalkan dua mod kamera popularnya iaitu Nightscapes untuk penggambaran di dalam persekitaran kurang cahaya, dan juga Chroma Boost untuk meningkatkan efek warna dan juga kontras pada hasil gambar yang diambil. Sebagai tambahan, ia juga turut tersedia dengan mod Ultra Macro.

Hasil gambar

This slideshow requires JavaScript.

Prestasi Qualcomm Snapdragon 665 AIE

realme 5 telah dikuasakan dengan pemproses 11nm daripada Qualcomm Snapdragon 665 AIE, dan pada pendapat kami ia merupakan cipset yang agak baik bagi sebuah telefon pintar dalam segmen harga sebegini. Memandangkan ia menyokong Vulkan 1.1 bagi menggantikan OPENGLES, ini secara tidak langsung mampu mengurangkan 20% penggunaan tenaga.

Skor ujian penanda aras

HyperBoost 2.0 untuk pengalaman permainan optimum

Dari segi prestasi CPU dan GPU, realme 5 mampu menjanjikan kelancaran dan kestabilan rangkaian ketika bermain kerana sama seperti realme 5 Pro, ia turut dilengkapi dengan teknologi HyperBoost 2.0 yang terbahagi kepada tiga aspek utama:

  • Frame Boost – prestasi peranti akan sentiasa dioptimumkan melalui ramalan pintar masa-nyata bagi memenuhi keperluan prestasi dan mengelakkan masalah lag ketika bermain.
  • Touch Boost – fungsi ini akan memastikan tahap respons skrin sentuh yang lebih cepat terutamanya dalam permainan yang memerlukan kawalan tepat seperti di PUBG Mobile ataupun Call of Duty: Mobile.
  • Game Boost – realme telah bekerjasama dengan pembangun permainan popular untuk mengoptimumkan kelancaran permainan dari awal untuk pengalaman permainan lebih baik.
Game Space

Tetapan grafik permainan ‘Call of Duty: Mobile’:

Berdasarkan percubaan kami ketika bermain Call of Duty: Mobile, tetapan grafik dan frame rate telah disetkan ke ‘High’ secara default. Namun anda boleh menetapkan tetapan grafik ke ‘High’ bagi membolehkan tetapan frame rate ditetapkan ke tetapan paling tinggi iaitu ‘Max’.

Tetapan grafik permainan ‘PUBG Mobile’:

Mungkin anda sudah sedia maklum bahawa PUBG Mobile merupakan sebuah permainan dengan grafik tinggi yang memerlukan sokongan cipset yang jauh lebih berkuasa. Ini jelas dapat dilihat pada tetapan grafik default pada realme 5 yang ditetapkan pada tetapan ‘Low’ sahaja. Anda boleh memilih tetapan grafik ‘Balanced’ dan tetapan frame rate ‘Medium’, ataupun anda juga boleh memilih tetapan grafik ‘Smooth’ dan tetapan frame rate ‘High’.

Ketahanan bateri dan masa pengecasan

realme 5 dengan sokongan bateri berkapasiti 5000mAh ini sememangnya mampu menjanjikan ketahanan bateri yang baik melalui ujian yang dijalankan oleh realme. Berdasarkan ujian tersebut, realme 5 mampu mencapai penggunaan seperti berikut:

  • Masa menunggu – sehingga 718 jam
  • Masa membuat panggilan – sehingga 49 jam
  • Masa memainkan muzik (earphone) – sehingga 156 jam
  • Masa memainkan muzik (speaker dengan volume maksimum dan skrin ditutup) – sehingga 41 jam
  • Masa menonton video – sehingga 12 jam

Namun disebabkan realme 5 tidak dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas, masa yang diambil untuk mengecas penuh peranti ini adalah sangat mengecewakan. Disebabkan ia memiliki bateri berkapasiti besar, ia mengambil lebih kurang dua jam (2 jam) untuk mengecas daripada 35% ke 100% menggunakan palam kuasa 10W.

Apa Yang Perlu Anda Tahu?!

1. Sambungan GPS


→ Walaupun kami berada di antara dua bangunan dengan ketinggian melebihi 20 tingkat, realme 5 tidak berhadapan dengan isu untuk mengunci GPS dengan agak cepat. Malah ketepatan GPS juga agak baik kerana ia berjaya mencatatkan jarak sekitar 4 meter sahaja.

2. Sokongan kandungan HD


→ Sama seperti realme 5 Pro, realme 5 juga hanya menyokong Widevine Level L3 yang mana membataskan anda daripada menonton kandungan video dalam kualiti HD seperti di Netflix.

3. Sokongan aplikasi GCam (Google Camera)


→ Jika realme 5 Pro menyokong aplikasi GCam setakat ‘FULL’, realme 5 menjanjikan sokongan yang lebih baik kerana perkakasannya menyokong penuh pada ‘Level 3’.

Video Buka Kotak realme 5 Pro:

KELEBIHAN

  • Berbaloi untuk dimiliki kerana hadir dengan ruang storan yang agak besar pada harga jualan yang kompetitif.
  • Paparan skrin dan juga kapasiti bateri yang sangat besar menjanjikan pengalaman multimedia yang lebih baik.
  • Sokongan kuad kamera dengan mod penggambaran luas yang sangat diperlukan terutamanya dalam ruang yang sempit.
  • Sokongan slot kad microSD yang berasingan sememangnya sangat praktikal bagi pengguna yang memiliki dua kad SIM.
  • Teknologi pengimbas cap jari dan juga pengecaman wajah yang sangat pantas.

KEKURANGAN

  • Paparan skrin sebesar 6.5 inci dengan sokongan resolusi skrin hanya HD+ sahaja.
  • Masih lagi dilengkapi dengan port microUSB dengan teknologi pengecasan 10W yang mengambil masa yang sangat lama untuk mengecas bateri sebesar 5000mAh.
  • Rekaan panel belakang jenis polikarbonat yang bukan sahaja mudah meninggalkan kesan cap jari, tetapi sangat berisiko tinggi untuk tercalar berbanding panel belakang jenis kaca. Malah kerangkanya juga turut diperbuat daripada plastik.
  • Kualiti penggambaran realme 5 agak sederhana prestasinya.

KESIMPULAN

Tidak dinafikan bahawa realme 5 bukanlah sebuah peranti yang boleh dinobatkan sebagai terbaik di dalam kelas harganya. Ini kerana sokongan skrin beresolusi setakat HD+, port pengecasan jenis microUSB tanpa pengecasan pantas, dan juga kerangka yang diperbuat daripada plastik merupakan kelemahannya yang paling utama.

Malah jika anda lihat pada harga jualannya, ia sebenarnya boleh dikatakan antara yang termurah dalam segmennya kerana menawarkan ruang storan yang jauh lebih besar berbanding pesaingnya seperti Redmi Note 8 ataupun OPPO A5 2020. Meskipun ia hanya diperbuat daripada polikarbonat, penggunaan sarung pelindung jernih sedikit sebanyak mampu melindunginya daripada risiko calar dan dalam masa yang sama masih mampu menyerlahkan panel belakang ‘Cystal Design’ yang kelihatan jauh lebih unik dan menarik.

Baca juga:

[Ulasan] realme 5 Pro, Telefon Pintar Dengan Sokongan Empat Kamera Pertama Daripada realme

realme 5 Dan realme 5 Pro Dengan Kuad Kamera Rasmi Pada Harga Bermula Daripada RM599

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend