[Ulasan] Realme 3 Pro, Musuh Kepada Peranti Kelas Pertengahan Lain Comments Off on [Ulasan] Realme 3 Pro, Musuh Kepada Peranti Kelas Pertengahan Lain 559

Realme 3 Pro telah dibawa ke pasaran Malaysia hari ini bertujuan untuk memberi saingan kepada telefon pintar kelas pertengahan yang lain. Ia merupakan generasi terbaru kepada Realme 2 Pro yang diperkenalkan pada tahun lalu dan kini spesifikasinya telah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak pengguna masa kini.

Semasa pelancarannya di India, peranti ini telah mendapat sambutan yang sangat baik. Sebanyak 170,000 unit telah habis terjual hanya dalam tempoh lapan minit dalam jualan pertamanya. Dengan rekod luar biasa ini, adakah Realme 3 Pro telefon pintar yang baik?

Spesifikasi

  • ColorOS 6 berasaskan Android 9 Pie
  • Tiga slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD)
  • Qualcomm Snapdragon 710 AIE (10nm)
  • 4GB+64GB / 6GB+128GB
  • microSD sehingga 256GB
  • 6.3-inci Dewdrop IPS LCD FHD+
  • 2340 x 1080 piksel (19.5:9)
  • Corning Gorilla Glass 5
  • Kamera depan: 25MP (f/2.0)
  • Kamera utama: 16MP (f/1.7) + 5MP (f/2.4)
  • 4,045 mAh (VOOC 3.0 20W)
  • WiFi 802.11a/b/g/n/ac, 2.4GHz, 5GHz, Bluetooth 5.0, Dwi-VoLTE, microUSB, bicu audio 3.5mm
  • Accelerometer, Fingerprint Sensor, Gyro Sensor, Geomagnetic Sensor, Hall Sensor, Light Sensor, Proximity Sensor
  • Pengimbas cap jari, Face Unlock
  • 156.8 x 74.2 x 8.3mm / 172g
  • Pilihan warna: Lightning Purple / Nitro Blue
  • Harga: RM899 / RM1,099

Pakej Pembelian

Ia didatangkan dengan kotak pembungkusan berwarna kelabu/jingga. Di dalamnya terkandung sarung pelindung getah, pin ejektor, buku panduan, kepala dan kabel pengecasan pantas, serta telefon pintar dengan pelindung skrin terpasang. Unit yang kami terima tidak mengandungi fon telinga tetapi untuk unit rasmi anda tidak perlu risau kerana ia akan disertakan sekali.

Rekaan

Secara kasar, Realme 3 Pro dan Realme 3 tidak banyak beza. Tetapi jika diteliti, Realme 3 Pro hadir dengan bezel bawah skrin yang lebih nipis sekaligus memberikan nisbah skrin-ke-kerangka yang lebih tinggi berbanding bukan Pro. Ketebalan badan juga lebih nipis iaitu 0.8mm menjadikan beratnya juga sedikit ringan berbanding Realme 3.

Material kerangka yang digunakan masih lagi berasaskan logam dan plastik tetapi untuk membezakannya, Realme telah menghasilkan rekaan warna unik untuk Realme 3 Pro. Panel belakang ini diinspirasikan daripada perlumbaan Le Mans melalui jalur-jalur halus. Walaupun cantik, panel belakang ini sangat mudah memerangkap kesan kotoran lebih-lebih kepada cap jari.

Jika Realme 3 menggunakan panel skrin HD+, Realme 3 Pro pula hadir dengan panel skrin FHD+. Bagi penulis, skrin 6.3-inci ini cukup terang dan gambar yang dihasilkan juga menarik mata untuk memandangnya. Ia dilindungi panel Corning Gorilla Glass 5 berbanding Realme 3 yang menggunakan Gorilla Glass 3. Akan tetapi, perlindungan ini hanya diberikan kepada bahagian skrin sahaja dan penulis memerlukan sarung peranti untuk melindungi panel belakang peranti ini.

Bercakap tentang sistem biometrik, ia terletak di bahagian belakang. Kedudukannya cukup ergonomik memudahkan jari untuk menyahkunci peranti. Tiada isu langsung dan ia pantas memberi respon. Walaupun Samsung Galaxy A50 dengan harga sekitarnya menawarkan pengimbas cap jari dalam skrin, penulis sedikit pun tidak berasa kecewa apabila ingin menyahkunci Realme 3 Pro ini. Begitu juga pada Face Unlock, hampir tiada masalah sepanjang menggunakannya. Cuma dalam persekitaran gelap, mata berasa kurang selesa apabila skrin akan diterangkan seketika untuk sistem mengimbas wajah.


Berkenaan bicu audio 3.5mm pula, ia masih lagi disertakan. Jadi ia memudahkan penulis menyumbat fon telinga apabila ingin mendengar muzik, menonton video, ataupun bermain permainan mudah alih.

Kamera

Realme 3 Pro membawakan tiga ciri utama yang dinamakan Ultra HD, Super Nightscape, dan Chroma Boost.

  • Ultra HD membolehkan kamera menangkap gambar serta menggabungkan lapan gambar menjadi satu untuk mencipta imej berdefinasi tinggi sehingga 64MP.
  • Super Nightscape pula lebih kepada penggambaran malam yang mana akan menerangkan gambar pada masa sama mengurangkan noise bagi menghasilkan foto yang lebih terperinci.
  • Chroma Boost adalah fungsi yang akan menyerlahkan lagi gambar khususnya pada warna dan dynamic range bagi mengimbangi imej selepas butang shutter ditekan.

Walaupun modul kamera ini hanya menyediakan dua lensa berbanding tiga, ia mampu menangkap gambar dalam pelbagai situasi. Tidak banyak telefon pintar pada harga sekitarnya menawarkan fungsi penggambaran malam seperti Realme 3 Pro. Selepas mencuba fungsi Super Nightscape, jujur penulis katakan yang penulis agak teruja akan keupayaan kamera ini kerana dapat menangkap gambar dengan sangat jelas. Melalui ciri ini, penulis tidak memerlukan tripod selain tempoh masa yang diambil untuk memproses gambar pula hanya mengambil kurang dari tiga saat sahaja.

Selepas mengaktifkan fungsi Chroma Boost, penulis mendapati hasil gambar akan menjadi lebih menarik. Seperti bantuan AI, gambar akan lebih menonjol selepas warna pada imej dipertingkatkan. Kesan daripada fungsi ini juga tidak begitu keterlaluan dan hasilnya masih lagi kelihatan natural.

Nota Penting*
Kemas kini perisian telah dikeluarkan. Ia menyokong rakaman video gerak perlahan pada 960fps dan tingkat taraf pada sistem dalaman.

Prestasi

Sinonim dengan slogan ‘Speed Awakens’, Realme 3 Pro boleh dikategorikan sebagai telefon pintar kelas pertengahan yang berkuasa. Walaupun cip yang digunakan adalah cip pada tahun lalu, ia sebenarnya mampu mengoperasikan peranti dengan baik. Tidak lupa juga, cip 10nm ini terbukti cekap tenaga dan mampu menyokong aplikasi berat tanpa sebarang masalah.

Satu lagi kelebihan yang terdapat pada Realme 3 Pro adalah Hyper Boost 2.0. Ciri ini membolehkan pengguna menikmati prestasi yang baik semasa bermain permainan mudah alih selain ciri Touch Boost dan Frame Boost pula akan meningkatkan pergerakan permainan yang lebih pantas kepada 16.2% dan kestabilan bingkai kepada 38%.

Seperti biasa ujian penanda aras telah dilakukan pada peranti. Di Geekbench 4, ia memperolehi skor sebanyak 1,579 untuk single-core dan 5,786 untuk multi-core. Sementara di AnTuTu pula mencatatkan skor sebanyak 153,814. Ini membuktikan Realme 3 Pro cukup berkuasa untuk melakukan pelbagai tugas dengan lancar seperti memproses gambar, merakam video, dan memainkan permainan mudah alih dengan licin.

Bateri

Penulis sangat kagum dengan telefon pintar ini kerana ia dibekalkan dengan teknologi pengecasan pantas. Bateri sebesar 4,045mAh ini nampaknya dapat digunakan sepanjang hari tanpa perlu ditambat pada powerbank. Sokongan VOOC 3.0 juga dapat mengisi semula bateri dengan pantas malah penulis juga sering kali terlajak untuk memadam kuasa pada soket.

‘Super High Power Efficiency’ akan menjimatkan bateri dan mengurangkan kuasa manakala ‘High Performance Mode’ akan memakan bateri tetapi meningkatkan kuasa.

Untuk pengetahuan anda, masa untuk mengecas penuh bateri ini dari kadar sifar hanya mengambil masa kurang dari 1 jam 30 minit! Jika nak dibandingkan dengan Redmi Note 7 dan Samsung Galaxy A50, pendek kata Realme 3 Pro jauh lebih baik daripada segi bateri.

Hasil Gambar

Mod NightScape

Kesimpulan

Pada hemat penulis, Realme 3 Pro menawarkan ciri-ciri lengkap sebuah telefon pintar kelas pertengahan. Rekaan skrin depan dengan bezel nipis membuatkan ia kelihatan seperti peranti premium. Kamera belakang dengan fungsi Nightscape juga memudahkan penulis mendapatkan gambar yang lebih jelas dan terperinci pada waktu malam khususnya. Daripada segi bateri pula, ia sangat pantas untuk dicas semula malah dengan kapasiti bateri besar ini penulis tidak perlu membawa powerbank semasa keluar dari rumah. Dengan pengumuman harga semalam, penulis merasakan ia satu angka yang menarik dan mampu membuatkan orang ramai teragak-agak untuk membelinya. Selama hampir dua minggu mengulas peranti ini, boleh dikatakan ia sebuah telefon pintar yang cukup-cukup baik

Baca juga:

Realme 3 Pro Kini Rasmi Di Malaysia Pada Harga Bermula RM899

Realme C2 Turut Ditawarkan Pada Harga Kurang RM500 Di Malaysia

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend