[Ulasan] Nokia 8.1 Peranti Yang Mungkin Anda Terlepas Pandang Comments Off on [Ulasan] Nokia 8.1 Peranti Yang Mungkin Anda Terlepas Pandang 596

HMD Global yang mewakili Nokia baru-baru ini melancarkan Nokia 8.1 ke pasaran Malaysia malah merupakan peranti pertama Nokia untuk tahun 2019. Mengenai harga, ia dijual pada RM1699 seunit dan mula berada di pasaran tempatan bermula 18 Januari yang lalu.

Spesifikasi peranti ini pula lebih baik berbanding model-model yang diperkenalkan pada tahun lepas kerana Nokia 8.1 hadir dengan sistem operasi Android Pie terus dari kotak tanpa perlu peranti dikemas kini. Pada masa sama HMD Global juga telah mengumumkan yang mana mereka akan menyediakan Android 9.0 Pie untuk sejumlah peranti Nokia dalam masa terdekat ini.

Kami tidak pasti jika anda berminat dengan model-model daripada Nokia ini. Tetapi mengikut apa yang tertera pada kotak Nokia 8.1 ini ia turut menawarkan kamera daripada ZEISS. – yang kita sedia maklum sangat pakar dalam pembuatan lensa. Cipset yang digunakan pula antara yang terbaik dalam kategori kelas pertengahan.

Kotak Pembungkusan

Seperti kotak-kotak Nokia yang lain, ia hadir dengan kotak segi empat tepat dan terdapat cetakan logo androidone di depan dan belakang kotak. Aksesori yang disertakan adalah adapter pengecas, kabel USB Type-C, fon telinga, buku panduan, dan sim ejektor. Set tulen Malaysia juga memiliki pelekat (sealed) daripada Avaxx Corporation (M) Sdn. Bhd.

Spesifikasi

  • 6.18″ PureDisplay 18.7:9 FHD+ (2280 x 1080 piksel).
  • Android 9.0 Pie (androidone).
  • Qualcomm Snapdragon 710 (10nm).
  • 4GB (LPDDR4X) + 64GB (eMMC 5.1).
  • Kamera belakang: 12MP ZEISS (1.4µm, OIS, EIS) + 13MP.
  • Kamera depan: 20MP (0.9µm).
  • 3500mAh dengan pengecasan pantas 18W.
  • USB Type-C, Bluetooth 5.0, Bicu audio 3.5mm.
  • Pengimbas cap jari, pengecaman wajah
  • Slot hibrid (nano SIM + nano SIM / microSD)
  • 154.8 x 75.8 x 8mm / 180g
  • Pilihan warna: Blue Silver / Iron / Stee

Reka Bentuk

Sebaik mengeluarkan peranti dari kotak, peranti terasa sangat padu dan mantap. Ini kerana kerangka badan diperbuat sepenuhnya daripada seketul blok aluminium yang telah menjalani proses CNC. Jadi, kami boleh katakan HMD masih lagi mengekalkan sedikit DNA daripada model 3310 yang terdahulu. Panel belakang pula diperbuat daripada gelas dan untuk unit ulasan kami dibekalkan dengan warna Blue Silver (biru gelap).

Skrin

Skrin Nokia 8.1 menggunakan jenis IPS LCD dan bukannya AMOLED. Sekilas pandang, rekaan depan ini mungkin nampak seperti sebuah iPhone kerana takuk yang diletakkan agak serupa. Bagaimanapun, kami agak kagum dengan kontra warna yang ditala pada paparan peranti ini, ia terang serta tajam dengan sokongan resolusi mencapai FHD+.

Kamera Depan

Nokia memang terkenal dengan ciri Bothie mereka. Ciri ini membolehkan pengguna mengambil gambar swafoto dengan beberapa mod yang berbeza. Misalnya jika kami ingin mengambil gambar wajah sendiri tetapi dalam masa sama ingin merakam gambar rakan yang berada di depan, kami boleh mengaktifkan mod Dual atau P-I-P terus di dalam aplikasi kamera ini.

Kamera Belakang

Nokia 8.1 memiliki dua kamera belakang dengan konfigurasi kamera 12MP + 13MP. Apa yang istimewanya ialah ia menggunakan teknologi ZEISS dan menyokong penstabilan imej optikal untuk rakaman gambar dan video yang lebih baik. Modul kamera pula diletakkan di bahagian tengah panel dan itu tidak menjadi sebarang isu kepada kami. Tetapi pada bahagian flash pula, jika HMD dapat memasukkan ia sebaris dengan lensa itu mungkin akan kelihatan lebih sempurna.

Slot Kad

Dulang kad pada peranti ini sudah cukup memadai kerana menyediakan dua slot untuk satu kad SIM nano dan satu kad microSD. Dulang kad ini juga diperbuat daripada aluminium berbanding plastik serta diatasnya juga terdapat cetakan laser nombor siri EMEI peranti. Ia juga menyokong 4G LTE untuk kedua-dua slot SIM.

Antaramuka

Bagi yang inginkan sistem operasi yang kemas serta bersih tanpa sebarang kustomasi antaramuka, Nokia 8.1 adalah pilihan alternatif kepada Google Pixel 3. Bagi kami yang biasa guna peranti dengan sistem antaramuka daripada pengeluar, menggunakan peranti android asli ini kadangkala sedikit kekok – tidak banyak ciri-ciri tambahan. Bagaimanapun keseluruhannya tidak banyak beza dengan peranti androidone lain. Daripada segi kemas kini pula, peranti sebegini lebih cepat diterima berbanding peranti android yang lain.

Ciri-ciri Menarik


→ Sokong AR Core untuk aplikasi realiti tambahan yang mana menggabungkan rakaman dunia sebenar dengan karakter/objek maya.


→ Kamera depan dan belakang menyokong AI Powered 3D untuk mengenal pasti keadaan dan persekitaran. Jika berswafoto kamera akan menambah cahaya pada wajah, manakala jika mengambil gambar makanan ia akan nampak lebih enak.

→ Sokong Google Assistant terus dari dalam aplikasi kamera sejurus gambar ditangkap

→ Ciri Bothie yang hanya eksklusif pada peranti Nokia termasuklah Nokia 8.1

Ujian Prestasi

Prestasi peranti kebiasaannya akan diukur menggunakan aplikasi ujian penanda aras. Selepas ujian dibuat, peranti ini memperolehi skor yang agak tinggi berbanding peranti yang menggunakan cipset yang sama. Kami juga sempat mengambil data ujian penanda aras Oppo R17 Pro (Snapdragon 710) di arena web yang mana skor-nya jauh ketinggalan di belakang Nokia 8.1. Ini bermakna sistem android asli juga mempengaruhi prestasi peranti secara keseluruhan.

Nokia 8.1 menyokong grafik tertinggi

Kami juga menguji Nokia 8.1 untuk permainan mudah alih seperti PUBG Mobile. Tiada sebarang isu cuma ia tidak menyokong grafik sehingga HDR walaupun paparan skrin peranti ini menyokong HDR 10. Pada masa sama ia juga mengalami sedikit kelewatan jika pemain menukar sasaran secara mengejut.

Ujian Pengecasan

Peranti ini menyokong pengecasan pantas jenis standard dan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk bateri dipenuhkan. Jika dua SIM diaktifkan sekaligus, peranti ini akan mengalami penurunan bateri yang lebih mendadak kerana kapasiti bateri yang dilihat hanya bersaiz sederhana.

Hasil Gambar

Kelebihan

+ binaan unibodi padu
+ skrin terang dan tajam
+ bezel skrin nipis
+ sokong paparan HDR 10
+ ada bicu audio 3.5mm
+ android terbaru

Kekurangan

– tiada speaker stereo
– kekuatan speaker pada tahap sederhana
– kamera tiada zum optikal
– imbasan cap jari agak perlahan
– harga tidak kompetitif

Pendapat TeknoRatz

Nokia 8.1 merupakan peranti yang ‘suci’ (bebas daripada lambakan aplikasi pra-pasang) dengan kerangka badan yang kukuh. Kami rasakan ia sebuah peranti yang sesuai untuk diguna lama sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun. Rekaan unibodi yang mantap ini sememangnya boleh bertahan lama, tambahan sistem operasinya pula mampu menyokong sehingga dua versi android lagi.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend