[Ulasan] Huawei Y9 2019 – Peranti 4 Kamera Huawei Paling Murah 0 662

Huawei Y9 2019 telah diperkenalkan ke pasaran tempatan pertengahan bulan lalu dengan beberapa ciri menarik. Tiga ciri yang diketengahkan adalah skrin dan bateri yang besar serta empat buah sensor berteknologi AI. Harga yang dipasarkan pula tidak terlalu mahal dan mampu dimiliki oleh semua golongan pengguna. Jika ada diantara anda yang sudah bercadang untuk mendapatkan peranti ini, teruskan membaca..

Spesifikasi

  • 6.5″ LCD FHD+ 2340 x 1080
  • Hisilicon Kirin 710
  • EMUI 8.2 + Android 8.1 Oreo
  • Memori 4GB + 64GB
  • Kamera belakang: 13MP + 2MP, F/1.8 + F/2.4 aperture
  • Kamera depan: 16MP + 2MP, F/2.0 + F/2.4 aperture
  • Bateri 4,000mAh 10W (5V/2A)
  • Bluetooth 5.0, microUSB, Pengimbas wajah, Pengimbas cap jari
  • Tiga slot kad (nano+nano+microSD)
  • Saiz 162.4 x 77.1 x 8.05 mm
  • Berat 173g
  • Warna Sapphire Blue / Midnight Black
  • Harga RM899

Set Pembelian


Huawei Y9 2019 hadir dengan kotak berwarna putih serta didatangkan bersama palam kuasa, kabel pengecas, SIM tool, buku panduan dan fon telinga. Aksesori tambahan berupa sarung pelindung getah turut diberikan secara percuma di dalam kotak pembelian.

Paparan FHD+


Aspek paparan tidak ketinggalan untuk menerima panel skrin beresolusi tinggi dimana ia menggunakan paparan LCD bersaiz 6.5-inci. Disebabkan skrin ini terlalu besar buat kami, kehadiran takuk kadangkala tidak disedari. Kebaikannya pula apabila kami memegang peranti ber-skrin besar ini, kami puas menonton video serta melihat gambar kongsian di media sosial. Melayari web di pelayar juga membolehkan kami melihat lebih banyak kandungan berbanding peranti dengan skrin kecil.

Rekaan Ergonomik

Untuk memberikan keselesaan semasa menggenggam, rekaan panel belakang peranti ini telah direka sedikit melengkung di bahagian sisi. Kedudukan pengimbas cap jari juga mudah dicapai namun dengan saiz sebegini kami masih memerlukan dua belah tangan untuk mengoperasikan peranti ini.

Warna Menarik

Setakat ini hanya dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan, satu dinamakan Sapphire Blue dan satu lagi Midnight Black. Daripada segi luaran, Huawei berjaya menghasilkan kemasan panel belakang berkilau yang teliti. Biarpun ia bukan menggunakan gelas sebenar, ia kelihatan seperti sebuah peranti premium di mata kami.

Slot Kad


Antara kelebihan yang ada pada peranti ini ialah dulang kad yang mempunyai tiga slot. Pengguna boleh masukkan dua SIM dan kad memori tambahan microSD pada satu-satu masa tanpa sebarang masalah. Kedua-dua slot SIM turut menyokong rangkaian 4G.

Bicu Audio


Tidak seperti peranti mercu, bicu audio masih lagi dikekalkan pada peranti ini. Ia diletakkan bersebelahan dengan mikrofon yang sebaris dengan gril speaker. Berkenaan dengan port pengecas, peranti ini nampaknya ketinggalan kerana masih lagi tampil dengan microUSB berbanding USB Type-C.

Antaramuka Terkini

Perisian dalaman menjadi perkara penting untuk peranti beroperasi dengan baik serta lancar. Sistem antaramuka yang digunakan pada Huawei Y9 2019 ialah EMUI terkini dengan versi 8.2 berasaskan Android 8.1 Oreo terus daripada kotak. Perisian ini juga antaranya dapat menjana kamera untuk menangkap gambar yang terbaik menerusi teknologi pengecaman pintar objek dan persekitaran yang dikenali sebagai AI.

Antara ciri menarik yang boleh digunakan ialah:

  • Game Suite
  • Party Mode
  • Ride Mode
  • Hide Notch

Antara aplikasi eksklusif pra-pasang ialah:

  • Hi Care
  • AppGallery

Kamera Depan

Huawei Y9 2019 antara peranti yang memiliki dwi kamera depan yang hampir serupa dengan Huawei nova 3i. Apa yang membezakannya ialah resolusi kamera pada peranti ini lebih rendah iaitu 16MP dan 2MP. Kami telah mengambil gambar dalam sudut cahaya yang berbeza, dengan bantuan AI kami rasakan peranti ini dapat mengambil gambar yang lebih cantik apabila ciri face beauty diaktifkan.

Sistem Keselamatan

Terdapat pelbagai cara untuk kami menyahkunci peranti ini, salah satunya ialah dengan menggunakan pengecaman wajah. Tambahan, kami juga boleh melakukan pengimbasan cap jari atau beralih ke cara lama dengan membuka peranti menggunakan corak, kata laluan, atau PIN.

Kamera Belakang


Penggambaran kamera belakang agak baik untuk peranti pertengahan-bawah seperti Huawei Y9 2019 ini. Atas bantuan cipset Kirin 710, gambar dapat diproses dengan cepat sebaik butang shutter ditekan. Sensor juga dapat merakam objek yang bergerak dalam keadaan statik dengan baik tanpa kabur. Pada kami gabungan dwi kamera 13MP dan 2MP ini sudah cukup memadai sekiranya kami ingin mengambil gambar outdoor.

Prestasi Cipset

Seperti biasa kami akan lakukan ujian penanda aras untuk mengukur tahap prestasi cip pemproses. Kami telah membandingkan skor yang diperolehi dengan peranti yang sama taraf untuk melihat peranti mana yang lebih berkuasa. Xiaomi Mi 8 Lite telah dipilih kerana harganya yang tidak jauh beza dengan Huawei Y9 2019.

Ujian menunjukkan Huawei Y9 2019 tidak ketinggalan jauh dengan pesaingnya. Kami turut menguji perant ini dengan bermain game malah seperti yang telah dimaklumkan awal tadi, ia memiliki pakej untuk melancarkan sebarang aplikasi game dengan laju tanpa sebarang masa lengah.

Hasil Gambar

Pendapat Teknoratz

Pada hemat kami, Huawei Y9 2019 ialah sebuah peranti yang patut dimiliki jika anda sedang mencari telefon pintar baharu atau kedua. Harganya yang berpatutan juga membuatkan kami melabel Huawei Y9 2019 sebagai ‘mid-range killer’ kerana hampir semua ciri yang diperlukan telah siap terbina. Tidak semua orang berminat dengan peranti ber-skrin besar, tetapi dengan harga yang ditawarkan kami sendiri pun tidak mampu berfikir panjang.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend