Ulasan : Huawei P20 Dan P20 Pro – Apakah Perbezaan Kedua-dua Model Ini?! Comments Off on Ulasan : Huawei P20 Dan P20 Pro – Apakah Perbezaan Kedua-dua Model Ini?! 2305

Huawei telah berkolaborasi dengan LEICA selaku pembuat optik dan juga kamera high-end di pasaran buat pertama kalinya pada tahun 2016 yang lalu dengan kemunculan model Huawei P9 dan P9 Plus. Sejak dari itu, jenama Huawei dilihat semakin popular khususnya di kalangan pengguna tempatan. Populariti ini dilihat semakin berkembang selepas model Huawei P10 dan P10 Plus dilancarkan secara rasmi.

Tahun 2018 nampaknya bakal mengangkat jenama Huawei ke satu tahap yang lebih baik apabila model P20 dan P20 Pro diumumkan. Selain mengekalkan keupayaan penggambaran kamera daripada LEICA, Huawei P20 dan P20 Pro ini boleh dianggap sebagai peranti terbaik pernah diperkenalkan oleh Huawei setakat ini. Memandangkan kedua-dua model ini ditawarkan pada harga jualan yang berbeza, pastinya ada di antara pembaca di luar sana yang masih berkira-kira untuk memilih sama ada P20 ataupun P20 Pro.

Jadi bagi membantu anda membuat keputusan itu, kami akan cuba membandingkan kedua-dua model ini dengan lebih menyeluruh dari aspek rekaan, keupayaan penggambaran, prestasi dan juga model mana yang sesuai untuk anda…

SPESIFIKASI

REKAAN FIZIKAL

#1. Panel skrin berbeza

Jika dilihat pada rekaan panel hadapan, P20 dan P20 Pro tidak membawakan begitu banyak perbezaan kerana kedua-duanya menampilkan paparan skrin dengan rekaan takuk pada bahagian atasnya. Namun begitu, P20 menawarkan saiz skrin yang lebih kecil iaitu berukuran 5.8 inci dengan panel RGBW IPS LCD, manakala P20 Pro pula lebih besar berukuran 6.1 inci dengan panel OLED yang menjanjikan kontras serta warna yang lebih menonjol. Apa yang lebih menariknya, P20 Pro didatangkan dengan ciri tambahan yang tidak disokong oleh P20 iaitu fungsi Always On Display (AOD) dan juga keupayaan untuk mengaktifkan paparan antaramuka yang gelap. Cuma fungsi AOD pada P20 Pro agak mengecewakan kerana ia tidak menyokong notifikasi.

Pilihan TeknoRatz : Huawei P20 Pro – sokongan AOD memudahkan anda untuk melihat masa ataupun status bateri tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin.

#2. Takuk pada skrin

Kedua-dua model ini menyokong paparan skrin dengan rekaan takuk pada bahagian atasnya. Tetapi apa yang menariknya, Huawei telah memperkenalkan fungsi tambahan yang membolehkan pengguna untuk menyembunyikan takuk tersebut melalui penyediaan tetapan khusus pada menu ‘Notch’. Walau bagaimanapun, bahagian yang disembunyikan itu masih boleh digunakan untuk memaparkan status peranti termasuklah masa, sambungan, bateri dan juga notifikasi.

Pilihan TeknoRatz : Seri

#3. Sensor pengimbas cap jari

Anda mungkin tidak akan menyedari perkara ini jika tidak meletakkan kedua-duanya secara bersebelahan, tetapi untuk pengetahuan anda P20 Pro memiliki saiz bezel pada bahagian bawah skrin yang sedikit lebih kecil (~1 hingga 2 mm sahaja) berbanding P20. Bahkan nisbah skrin-ke-kerangka P20 Pro adalah lebih baik iaitu sekitar 82% berbanding 80.36% pada P20. Apa yang istimewanya, anda juga sebenarnya boleh menggunakan sensor pengimbas cap jari kedua-dua model ini untuk mengawal paparan skrin menggunakan kaedah sentuhan dan leretan pada permukaan sensor tersebut.

Pilihan TeknoRatz : Huawei P20 – saiz yang lebih kompak memudahkan anda untuk mengawal keseluruhan paparan skrin, terutamanya untuk meleretkan ruangan notifikasi ke bawah yang sememangnya agak sukar pada P20 Pro sekiranya anda menggunakannya sebelah tangan.

#4. Speaker

Dari segi aspek kualiti audio, P20 dan P20 Pro boleh dianggap sangat baik kerana ia dilengkapi dengan teknologi audio dari Dolby Atmos yang mampu menghasilkan bunyi yang lebih realistik berbanding bunyi stereo biasa. Sungguhpun begitu, tahap kelantangan audio pada P20 Pro ternyata lebih baik kerana ia menyokong dua buah speaker berkualiti stereo iaitu bunyi treble pada earpiece dan efek bunyi bes pada lubang speaker pada bahagian bawah kerangkanya. Bahagian ini juga turut menempatkan mikrofon dengan rekaan simetri mirip seperti lubang speaker dan juga satu port USB Type-C dengan sokongan pengecasan pantas Huawei SuperCharge.

Pilihan TeknoRatz : Huawei P20 Pro – sokongan speaker stereo menjanjikan pengalaman audio yang lebih baik ketika anda menonton video ataupun bermain game.

#5. Port inframerah

Satu lagi kelebihan P20 Pro yang tidak dimiliki oleh P20 adalah kehadiran port inframerah yang terletak pada bahagian atas kerangkanya. Kehadiran port ini membolehkan anda untuk menggunakan peranti tersebut sebagai alat kawalan jauh bagi mengawal pelbagai jenis peralatan elektrik termasuklah TV, alat penghawa dingin, set top box, kamera, pemain DVD dan sebagainya.

Pilihan TeknoRatz : Huawei P20 Pro – penyediaan port inframerah pada P20 Pro sememangnya sangat menarik kerana ia memudahkan anda untuk mengawal peralatan elektrik dengan menggunakan satu peranti sahaja.

#6. Slot kad SIM

Untuk pengetahuan anda, P20 dan P20 Pro menyokong dua slot kad SIM bersaiz nano. Tetapi agak mengecewakan kerana kedua-dua model terbaru dari Huawei ini tidak lagi disediakan dengan slot kad microSD untuk sokongan ruang storan tambahan. Jadi anda perlu bergantung kepada ruang storan dalaman sebesar 128GB sahaja.

Pilihan TeknoRatz : Seri

#7. Kamera utama

Perbezaan paling ketara antara kedua-dua model ini sudah tentunya pada sokongan kamera utamanya. P20 dilengkapi dengan konfigurasi dua kamera LEICA 12 Megapiksel (RGB, OIS) + 20 Megapiksel (Monokrom), manakala P20 Pro pula merupakan telefon pintar pertama di dunia menyokong konfigurasi tiga kamera LEICA iaitu 40 Megapiksel (RGB, OIS) + 20 Megapiksel (Monokrom) + 8 Megapiksel (Telefoto). Jika P20 hanya menyokong fungsi 2x lossless zoom, P20 Pro menjanjikan ciri lebih baik dengan sokongan 3x optical zoom dan 5x hybrid zoom.

Pilihan TeknoRatz : Huawei P20 Pro – ciri zum yang lebih baik pada P20 Pro memastikan anda mampu mengambil gambar yang jauh dengan lebih dekat.

ANTARAMUKA EMUI 8.1

Huawei P20 dan P20 Pro telah dioperasikan dengan antaramuka terbaru dari Huawei iaitu EMUI 8.1 yang berasaskan kepada Android 8.1 Oreo. Berikut adalah antaramuka dan juga fungsi yang ditawarkan pada P20 dan juga P20 Pro :

Walaupun dioperasikan dengan Android 8.1 Oreo, antaramuka EMUI 8.1 pada P20 dan P20 Pro mungkin tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna terutamanya bagi mereka yang mementingkan penampilan asal antaramuka Android. Malah ia juga turut didatangkan dengan aplikasi pra-pasang yang mungkin tidak diperlukan oleh pengguna, sekaligus memakan ruang storan yang ada. Ini dapat dilihat melalui kehadiran aplikasi Google seperti Docs, Sheets serta Slides, aplikasi daripada Huawei seperti HiCare, AppGallery serta Mirror, dan juga aplikasi pihak ketiga seperti Instagram, Facebook dan juga Netflix yang sebenarnya boleh dipasang sendiri oleh pengguna melalui Play Store sekiranya mereka mahu.

Fungsi untuk menyembunyikan takuk:

Mungkin ada di antara pengguna yang begitu menggemari paparan skrin yang memiliki takuk (notch) bukan?! Dengan Huawei P20 dan P20 Pro, anda berupaya untuk menyembunyikan takuk yang terdapat pada skrin melalui pengaktifan fungsi ‘Hide Notch’ yang boleh diakses melalui Settings → Display → Notch → pilih fungsi Hide notch.

Ciri tambahan pada Huawei P20 Pro:

Pemilik model P20 Pro memiliki sedikit kelebihan berbanding model P20 kerana sokongan paparan skrin jenis OLED membolehkan paparan gelap diaktifkan pada peranti ini dengan tujuan untuk menjimatkan penggunaan bateri. Malah ia secara tidak langsung turut memastikan penggunaan yang lebih selesa dalam persekitaran yang gelap.

Selain itu, P20 Pro juga turut dilengkapi dengan dua buah speaker yang terletak pada bahagian earpiece dan bahagian bawah kerangka ini turut menawarkan satu ciri tambahan iaitu Stereo+ yang akan menukar audio dari mod kualiti tinggi ke mod stereo secara automatik apabila peranti digunakan dalam mod landskap.

Kemas kini terbaru untuk Huawei P20:

Apabila keluar dari kotak, Huawei P20 menyokong versi EML-L29 8.1.0.107D(OTC652), tetapi baru-baru ini ia ada menerima kemas kini terbaru iaitu versi EML-L29 8.1.0.110D(OTC652). Melalui kemas kini yang baru diterima ini, P20 telah menerima sedikit pembaharuan pada antaramuka kameranya yang kini kelihatan lebih menarik dengan sentuhan seakan permukaan kulit dengan bunyi ‘klik’ setiap kali anda menukar mod penggambaran. Malah mod penggambaran ‘Night Shot’ juga kini boleh diakses dengan lebih mudah kerana ia boleh terus dipilih pada menu utama dan tidak lagi diletakkan dalam menu ‘More’.

Akses menu penggambaran ‘Night Shot’ dan juga mod penggambaran yang lain terasa lebih mudah pada Huawei P20 selepas menerima kemas kini terbaru.

PRESTASI

AnTuTu 7

Geekbench 4

Basemark OS II

GFXBench 3.1 Manhattan (on-screen)

A1 SD Bench

 

PAKEJ PEMBELIAN

Aksesori

  • Palam kuasa Huawei SuperCharge (5V2A / 4.5V5A / 5V4.5A)
  • Kabel Huawei SuperCharge
  • Fon telinga
  • Adapter USB Type-C ke 3.5mm audio jack
  • Kad waranti
  • Pin slot kad SIM
  • Sarung pelindung silikon

 

HUAWEI P20 ATAU P20 PRO?!

Pada pendapat TeknoRatz, belian terbaik adalah Huawei P20 kerana spesifikasi yang disokongnya adalah lebih berbaloi jika diambil kira harga jualannya berbanding Huawei P20 Pro. Ini kerana P20 dilihat masih mampu memenuhi segala keperluan anda termasuklah dilengkapi dengan ciri-ciri penting yang turut disokong oleh P20 Pro seperti pemproses HiSilicon Kirin 970, ruang storan 128GB, kamera LEICA dengan fungsi penggambaran AI (Kecerdasan Buatan), dan juga teknologi pengecasan pantas Huawei SuperCharge dengan output maksimum 5V4.5A yang sangat pantas. Selain itu, saiz kerangka yang lebih kompak pada P20 juga terasa lebih selesa untuk digunakan dengan sebelah tangan.

Tetapi sekiranya anda mementingkan aspek penggambaran yang lebih profesional dan juga merupakan pengguna yang sangat aktif, Huawei P20 Pro adalah lebih sesuai untuk anda. Ini kerana sokongan lensa telefoto membolehkannya untuk menyokong fungi 3x zum optikal yang mampu mengambil gambar pada jarak jauh dengan lebih dekat tanpa masalah kabur. Kehadiran RAM sebesar 6GB juga mampu memastikan pengoperasian multi-tasking yang lebih lancar. Malahan sokongan bateri berkapasiti 4000 mAh pada P20 Pro turut menjanjikan ketahanan bateri yang jauh lebih baik.

Mengapa Huawei P20 lebih baik?!

  • Dijual pada harga yang lebih murah.
  • Saiz lebih kompak terasa lebih selesa digunakan dengan sebelah tangan.
  • Kemas kini terbaru memudahkan akses mod ‘Night shot’ dan antaramuka kamera juga kelihatan lebih menarik.

Mengapa Huawei P20 Pro lebih baik?!

  • Paparan OLED menyokong ciri tambahan Always on Display dan antaramuka gelap.
  • Kapasiti RAM dan bateri yang lebih besar.
  • Memiliki dua buah speaker berkualiti stereo.
  • Tiga kamera dengan sokongan lensa telefoto yang menyokong fungsi 3x zum optikal.
  • Menyokong ciri kalis air yang lebih baik dengan pengiktirafan IP67.

Kekurangan Huawei P20 dan P20 Pro…

  • Antaramuka EMUI mungkin tidak digemari oleh kebanyakan pengguna, tetapi ia boleh diatasi dengan penggunaan launcher pihak ketiga seperti Nova Launcher ataupun Google Now Launcher.
  • Kedudukan sensor pengimbas cap jari pada bahagian hadapan menyebabkan rekaan kedua-dua model ini kelihatan kurang menarik kerana saiz bezel pada bahagian bawah agak besar jika dibandingkan dengan kebanyakan peranti moden yang lain.
  • Lensa kamera utama yang timbul dari permukaan panel belakang mungkin berisiko untuk tercalar, dan ia juga menyebabkan peranti akan bergoyang apabila skrin disentuh ketika diletakkan di atas meja.
  • Ia tidak dilengkapi dengan port 3.5mm audio jack, dan ini bermakna anda tidak boleh mengecas ketika ia disambungkan dengan earphone dengan wayar.
  • Walaupun memiliki panel belakang yang diperbuat daripada kaca, ia tidak menyokong teknologi pengecasan tanpa wayar.
  • Ia mampu mengecas peranti dengan sangat pantas, tetapi anda hanya boleh menggunakan kabel dan juga palam kuasa dengan sokongan Huawei SuperCharge sahaja.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend