[Ulasan] Huawei Nova 4e Dengan Tetapan Tri-Kamera Belakang Pada Harga Kompetitif Comments Off on [Ulasan] Huawei Nova 4e Dengan Tetapan Tri-Kamera Belakang Pada Harga Kompetitif 260

Bulan ini kita dilambakkan dengan beberapa model telefon pintar daripada pelbagai jenama termasuklah satu daripadanya, Huawei Nova 4e. Apa yang menarik minat kami pada peranti ini berbanding peranti lain adalah ia merupakan telefon pintar tri-kamera yang memiliki spesifikasi menarik pada harga kompetitif.

Bagi pengguna yang inginkan peranti dengan spesifikasi menarik tetapi tidak mahu mengeluarkan belanja besar, Huawei Nova 4e mungkin boleh memenuhi permintaan anda. Peranti ini juga memiliki sejumlah ciri yang diperlukan pengguna masa kini. Ia dilengkapi skrin yang cukup terang, bingkai paparan nipis, tubuh badan ramping, dan binaan kerangka yang mantap. Sementara isi dalamannya pula hadir dengan perkakasan pertengahan yang mampu menguasakan peranti untuk melaksanakan apa jua tugasan.

Keistimewaan Huawei Nova 4e adalah pada kameranya, ia menawarkan konfigurasi tiga kamera belakang – satu daripadanya hadir dengan lensa ultra-lebar. Lensa ini boleh menangkap gambar panorama dengan lebih mudah malah integrasi AI juga dapat memberikan hasil gambar yang lebih sempurna kepada pengguna.

Jadi bagi membantu anda melihat serba sedikit kelebihan model terbaharu daripada Huawei ini, kami akan berkongsi apa yang menarik tentangnya seperti berikut:

#1. Kamera swafoto 32MP


Dengan rekaan takuk ‘Dewdrop Display’, Huawei Nova 4e dilengkapi dengan kamera depan beresolusi 32MP (f/2.0) dengan sokongan pelbagai mod seperti Portrait, Panorama, AR Lens, Time-Lapse, Filter, 3D Panorama, dan juga Stickers. Tersedia dengan keupayaan penggambaran AI, kamera depannya juga boleh mengenalpasti lapan senario dan subjek berbeza.

Bahkan di sebalik lubang earpiece peranti ini turut dilengkapi dengan lampu LED notifikasi pelbagai warna.

#2. Keupayaan untuk menyembunyikan takuk

Sebelum takuk disembunyikan.
Selepas takuk disembunyikan.

Sekiranya anda tidak begitu menggemari kehadiran takuk, Huawei Nova 4e menyokong fungsi khas untuk anda menyembunyikan takuk itu dengan menggunakan bar hitam. Bahkan ruangan bar hitam itu tidak disia-siakan kerana ia masih boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi dan juga status peranti.

#3. Dioperasikan dengan EMUI 9.0.1


Huawei Nova 4e juga telah dioperasikan dengan antaramuka EMUI 9.0.1 berasaskan Android 9.0 Pie yang menjanjikan pengalaman penggunaan sistem operasi yang terkini. Paparan skrin juga kini boleh dioptimumkan ruangnya dengan menyingkirkan penggunaan butang on-screen, dan menggantikannya dengan sistem navigasi skrin penuh.

#4. USB Type-C dan bicu audio


Walaupun ditawarkan pada harga yang kompetitif, Huawei Nova 4e jelas menjanjikan sokongan spesifikasi yang baik melalui sokongan port USB Type-C dengan teknologi pengecasan pantas 18W (9V2A). Bahkan ia juga masih mengekalkan kehadiran bicu audio 3.5mm bagi memastikan pengalaman multimedia yang lebih baik.

#5. Kemasan panel belakang premium


Rekaan Huawei Nova 4e juga tidak mengecewakan kerana ia memiliki panel belakang yang kelihatan premium. Kemasan warna Peacock Blue yang kami pegang ini akan menghasilkan tona warna menarik antara ungu dan biru. Ia juga memiliki efek pantulan cahaya yang mampu menarik perhatian.

#6. Tiga kamera dengan lensa sudut luas


Jika dibandingkan dengan peranti lain dalam segmen harga yang sama, Huawei Nova 4e memiliki kelebihan kerana menjanjikan sokongan tiga kamera beresolusi 24MP Wide-angle (f/1.8) + 8MP Ultra Wide-angle + 2MP Bokeh. Selain mampu mengambil gambar dengan sudut luas mencecah 120 darjah, ia menyokong ciri AI yang boleh mengenalpasti sehingga 22 subjek dan persekitaran berbeza.

Mod 1x

Spesifikasi

  • EMUI 9.0.1(Android 9.0 Pie)
  • Hibrid slot (nanoSIM + nanoSIM/microSD)
  • Kirin 710 (12 nm)
  • Mali-G51 (4 core)
  • 6GB RAM + 128GB
  • 6.15 inci IPS LCD, FHD+ (2312 x 1080 piksel)
  • Anti-fingerprint Film (Oleophobic Coating)
  • Kamera utama: 24MP Wide-angle (f/1.8) + 8MP Ultra Wide-angle + 2MP Bokeh
  • Kamera depan: 32MP (f/2.0)
  • 3340 mAh (9V2A)
  • 152.9 x 72.7 x 7.4mm / 159g
  • Pilihan warna: Midnight Black, Pearl White, Peacock Blue
  • RM1,199

Bateri


Huawei Nova 4e boleh dikategorikan sebagai telefon yang hadir dengan bateri bersaiz sederhana. Kapasiti bateri sebesar 3,340mAh ini menawarkan masa mengguna hampir sepanjang hari untuk kegunaan biasa seperti melayari internet, media sosial, dan permesejan. Bagaimanapun ia akan ditambat dengan wayar selepas pulang dari kerja untuk dicas. Bateri yang tidak besar membuatkan masa mengecasnya lebih singkat iaitu lebih kurang sejam setengah untuk dipenuhkan. Ia dilengkapi teknologi pengecasan pantas Quick Charge dengan kuasa 18W menerusi sambungan USB Type-C.

Tetapan Paparan


Skrin terang dengan resolusi tinggi turut mendorong kepada penurunan bateri yang sangat cepat – lebih-lebih lagi paparan yang digunakan berteknologi LCD. Pada peranti ini, pengguna diberi pilihan untuk merendahkan resolusi paparan skrin. Tetapan boleh dibuat sama ada ingin menggunakan resolusi FHD+ ataupun HD+. Melalui kaedah ini, pengguna boleh menjimatkan tenaga bateri tanpa perlu mengurangkan prestasi peranti.

Nada Dering Video


Peranti ini turut menawarkan ciri nada dering video seperti Huawei Nova 4. Pengguna boleh tetapkan video yang diinginkan untuk dijadikan nada dering apabila menerima panggilan. Video boleh dipilih di ruangan galeri yang disediakan dan jika video itu berdurasi pendek ia akan diulang sepanjang panggilan masuk.

Sambungan Dwi-SIM VoLTE


Huawei turut menyertakan dulang kad hibrid untuk kegunaan dwi-SIM atau satu lagi untuk kad memori. Jika dwi-SIM diaktifkan, pengguna dapat menikmati sambungan pantas LTE untuk internet dan panggilan lebih jelas VoLTE untuk kedua-dua SIM.

Ujian Penanda Aras


Walaupun cipset Kirin 710 sudah lama berada di pasaran, prestasinya tidak boleh dipandang rendah. Skor penanda aras yang diperolehi juga telah membuktikan peranti mampu bersaing dengan cip kelas pertengahan yang menggunakan Qualcomm Snapdragon 660. Ini sekaligus dapat memastikan peranti beroperasi dengan pantas serta lancar tanpa timbul sebarang isu ‘peranti lembab’ lagi.

Kesimpulan


Huawei Nova 4e memiliki tubuh badan yang mantap hampir setanding dengan peranti kelas mercu. Tubuh badan yang tidak terlalu besar membuatkan ia selesa untuk dipegang. Dengan bingkai paparan yang nipis, penulis rasakan tidak banyak peranti di luar sana mampu tawarkan. Walaupun skrin ini tidak berlubang untuk kamera depan, takuk titisan air yang dipadankan sudah cukup memberikan rupa yang moden pada peranti. Penulis sangat terpegun dengan paparan skrin Huawei Nova 4e ini, keterangan dan ketajaman paparan membuatkan ia seolah-olah menggunakan panel skrin OLED. Perisian dalaman yang hadir dengan sistem terkini meletakkan peranti pada tahap yang tertinggi daripada segi pengalaman pengguna.

Pro

bunyi speaker yang padat
paparan terang dan tajam
panel belakang tidak mudah calar
saiz badan mesra telapak tangan
ketebalan kerangka yang nipis
masih menyediakan bicu audio 3.5mm

Kontra

tiada speaker stereo
bateri tidak besar
reka bentuk yang membosankan

Hasil Gambar


Ultra-lebar dengan AI


1x zum tanpa AI


6x zum digital


Mod auto


Mod malam (night)


Makro dengan AI


Mod potret dengan AI


Swafoto potret dengan efek (heart)

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend