[Ulasan] HONOR 9X Pro, Storan 256GB Yang Boleh Lagi Ditambah Comments Off on [Ulasan] HONOR 9X Pro, Storan 256GB Yang Boleh Lagi Ditambah

HONOR, jenama yang tidak asing lagi dalam pasaran telefon pintar Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan model peranti terbaru. HONOR 9X Pro dilancarkan pada 7 April 2020 merupakan versi yang lebih baik berbanding HONOR 9X yang sedia ada di pasaran.

Fizikal Peranti

Daripada segi reka bentuk HONOR 9X Pro tidak mempunyai banyak beza dengan 9X bahkan jika diletakkan secara bersebelahan, kami pasti kedua-dua peranti ini memiliki persamaan yang ketara.

Namun begitu, terdapat dua benda yang boleh anda perhatikan pada HONOR 9X Pro. Pertama, pengimbas cap jari peranti telah dimuatkan pada bahagian kerangka berbanding di atas panel belakang seperti model bukan Pro.

Kedua, HONOR 9X Pro hadir dalam pilihan warna Phantom Purple yang mana warna ungu ini hanya terdapat pada model Pro sahaja. Selain itu jenis material yang digunakan masih lagi sama iaitu menggunakan bahan binaan plastik yang turut tampil dengan efek pantulan cahaya berbentuk ‘X’ di belakang.

Soal lain, kami dapat merasakan peranti ini agak selesa untuk digenggam disebabkan lengkungan panel 2.5D di bahagian sisi. Panel skrin dan kerangka logam juga dicantum dengan kemas tanpa permukaan yang timbul. Tetapi telefon ini boleh dikatakan agak berat dan semakan kami pada kertas spesifikasinya, telefon ini memiliki berat sekitar 206 gram.

Selain kerangka yang dicat sebati dengan warna panel belakang, dibawahnya terdapat lubang pembesar suara, mikrofon, port USB Type-C, dan bicu audio 3.5mm. Untuk butang laras suara, ia diletakkan bersebelahan dengan pengimbas cap jari manakala di bahagian atas ialah tempat di mana pengguna memasukkan kad SIM dan kad memori.

Paparan Skrin

Tiada yang menarik tentang skrin peranti ini kerana HONOR 9X Pro menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 6.59-inci FHD+ yang boleh didapati di kebanyakan telefon pintar lain. Ketajaman warna dan keterangan skrin juga pada tahap memuaskan.

Satu kelebihan yang ada pada skrin telefon ini ialah pengguna tidak akan melihat sebarang takuk padanya. Lensa kamera depan telah disembunyikan di dalam kerangka melalui mekanisma kamera pop-naik. Kini tinggal earpiece sahaja di bahagian kecil dahi peranti sekaligus kami tidak nampak sebarang sensor seperti ambient dan proximinity.

Sistem Kamera

HONOR 9X Pro hadir dengan sistem trikamera belakang yang menampilkan sensor terbesar iaitu 48MP di belakang aperture f/1.8. Manakala kamera kedua dan ketiga pula menawarkan sensor 8MP ultralebar dan 2MP kedalaman yang masing-masing dibantu aperture f/2.4.

Walaupun tiada kamera 64MP, kesemua sensor ini dapat beraksi dengan baik apabila aplikasi kameranya dibuka. Untuk tetapan lalai kamera, ia ditetapkan pada 12 Megapiksel yang mana pengguna perlu mengubah tetapan ini secara manual sekiranya mahukan resolusi 48MP.

Gambar 48MP perlu diambil dengan tangan yang stabil atau hasilnya tidak akan memuaskan

Kirin 810 banyak membantu sistem kamera ini dapat berfungsi dengan baik. Kami yakin sensor yang digunakan adalah tidak sama dengan sensor kamera yang terdapat pada nova 7i walaupun kedua-dua peranti menggunakan cipset yang sama. Kami mendapati, penggambaran malam HONOR 9X Pro masih lagi tidak mampu menandingi prestasi kamera yang ada pada nova 7i. Walaubagaimanapun, kamera ini masih boleh memberikan hasil yang terbaik dan memuaskan.

Untuk video, HONOR 9X Pro menyokong resolusi video sehingga 1080p pada 60fps. Video pula boleh disimpan menggunakan format H.265 jika pengguna mahu menjimatkan storan peranti. Berikut merupakan mod penggambaran selain Aperture, Night, Portrait, Photo, dan Video yang boleh digunakan:

  • Pro
  • Slow-mo
  • Panorama
  • Light painting
  • HDR
  • Time-lapse
  • Moving picture
  • Stickers

Pada kamera depan, HONOR 9X Pro menawarkan sensor 16 Megapiksel f/2.2 yang menyokong rakaman video sehingga 1080p pada 60fps. Selain itu, pengguna juga boleh melaras tahap Beauty semasa rakaman video dibuat. Kamera depan ini juga mendapat ciri keselamatan yang hampir semua pengeluar berikan. Kamera pop-naik ini akan diturunkan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan hentakan kuat yang boleh merosakkan kamera.

Antaramuka

HONOR 9X Pro hadir dengan antaramuka EMUI 9.1.1 berasaskan Android Pie dan walaupun ianya sebuah peranti Android, telefon ini turut menerima nasib yang sama seperti peranti terkini HUAWEI. Tiada Google Mobile Services (GMS) sebaliknya pengguna harus memuat turun aplikasi melalui HUAWEI AppGallery.

Buat masa ini HUAWEI AppGallery masih belum dapat menandingi Google Play Store yang mana masih banyak lagi aplikasi tidak ditawarkan. Jalan alternatif yang dipilih untuk mengatasi masalah ini ialah kami perlu memuat turun aplikasi dari pelayar web dengan melayari APKPure. Tetapi bukan semua fail apk yang dimuat turun dapat dipasang di peranti. Sebagai contoh, kami tidak dapat memasang YouTube di APKPure tetapi berjaya melalui aplikasi Aptoide yang dimuat turun dari pelayar.

Pada hemat kami, pengguna yang mahir terhadap telefon pintar mungkin merasakan perkara ini remeh yang boleh ditangani dengan mengambil jalan alternatif tetapi untuk pengguna akhir seperti orang tua atau golongan kurang mahir, ketiadaan GMS adalah suatu masalah besar buat mereka.

Walaubagaimanapun terdapat kelebihan apabila tiada GMS, telefon pintar anda akan kelihatan bersih tanpa bloatware atau aplikasi yang tidak penting.

Prestasi

HONOR 9X Pro dikuasakan cip pemproses Kirin 810 berasaskan 7nm yang jimat tenaga. Cipset ini menawarkan teras utama 2x Cortex-A76 bersama enam teras lain Cortex-A55 yang boleh mengoperasikan sehingga 1.88GHz. Sistem GPU Mali-G52 MP6 pula dapat memproses grafik pada tahap yang optimum.

GeekBench 5
AnTuTu

Daripada segi pengecasan pula, HONOR 9X Pro mengecewakan kami kerana ia hanya menyokong pengecasan 10W berbanding peranti Android lain yang sudah melangkau ke 15W dan 20W dengan harga setandingnya.

Bateri sebesar 4000mAh ini mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk dipenuhkan daripada 0% yang mana 30 minit pengecasan pertama hanya memberikan 32% bateri. Jika anda seorang yang cerewat tentang masa, perkara ini mungkin boleh membuatkan anda hilang sabar.

Hasil Gambar

Kesimpulan

Pada pendapat kami, HONOR 9X Pro berjaya menawarkan reka bentuk yang menarik serta perkakasan kelas pertengahan yang baik. Luaran peranti ini mempunyai ciri-ciri sebuah peranti premium dan bahagian dalaman khususnya cip pemproses Kirin 810 mampu memberikan pengalaman prestasi yang lancar.

Namun begitu kami tidak dapat melihat perkara yang ‘wow’ pada peranti ini kerana ia hampir sama sahaja dengan HONOR 9X yang telah dijual sejak November lalu. Mungkin kunci penjualan peranti ini adalah pada kapasiti storan yang besar yang mana HONOR 9X Pro didatangkan dengan storan seluas 256GB selain warna Phantom Purple juga mungkin mampu menjadi sasaran pengguna.

Spesifikasi

  • 6.59″ IPS LCD 2340 x 1080 FHD+
  • HiSilicon Kirin 810
  • EMUI 9.1.1 (berasaskan Android 9)
  • 6GB RAM + 256GB ROM
  • Kamera belakang: 48MP f/1.8 + 8MP f/2.4 + 2MP f/2.4
  • Kamera depan: 16MP f/2.2
  • 4000mAh Standard Charging 10W
  • Bluetooth 4.2, USB Type-C, bicu audio 3.5mm
  • Slot kad hibrid, menyokong kad microSD sehingga 512GB
  • 163.1 x 77.2 x 8.8mm (206g)
  • Phantom Purple / Midnight Black
  • Harga: RM999
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend