[Ulasan] HONOR 20 Lite – Peranti Dengan Sokongan Tiga Kamera Termurah Berharga Bawah RM1,000 Comments Off on [Ulasan] HONOR 20 Lite – Peranti Dengan Sokongan Tiga Kamera Termurah Berharga Bawah RM1,000 287

Kemunculan Honor 20 Lite yang telah dilancarkan secara rasmi pada 17 April yang lalu telah menyaksikan satu kelainan apabila ia merupakan telefon pintar pertama daripada Honor yang menampilkan sokongan tiga kamera untuk pasaran tempatan. Apa yang lebih menariknya, kehadiran Honor 20 Lite bakal menjadi pilihan pengguna yang inginkan peranti tiga kamera pada harga mampu milik.

Apa yang pasti, Honor 20 Lite merupakan telefon pintar tiga kamera yang paling murah boleh anda miliki di pasaran buat masa ini dengan harga jualan di bawah RM1,000. Jadi bagi mengetahui apakah ciri-ciri serta fungsi menarik yang disokong oleh Honor 20 Lite, teruskan membaca ulasan daripada kami ini…

HARGA & KETERSEDIAAN:

Honor 20 Lite kini sudahpun mula dijual secara rasmi melalui Honor Experience Stores di seluruh negara bermula 26 April 2019 yang lalu pada harga RM949. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di laman sesawang rasmi HiHonor dan setiap pembelian akan turut menerima ‘Honor Gift Box’ secara percuma.

Beli Honor 20 Lite secara eksklusif di Shopee:

SPESIFIKASI:

  • EMUI 9.0 (Android 9.0 Pie)
  • Slot kad hibrid (nano SIM + nano SIM / microSD)
  • HiSilicon Kirin 710 (Quad Core, 12nm)
  • 4x Cortex-A73 (2.2 GHz) + 4x Cortex-A53 (1.7 GHz)
  • 4GB RAM + 128GB
  • microSD sehingga 512GB (slot SIM 2)
  • 6.21 inci LTPS LCD FHD+ DewDrop Notch
  • 2340 x 1080 piksel (nisbah 19.5:9)
  • TÜV Rheinland Certified Eye-care Mode
  • Kamera depan: 32MP (f/2.0, 0.8µm)
  • Kamera utama: 24MP (f/1.8, PDAF) + 8MP (f/2.2, Ultra Wide Angle) + 2MP (f/2.4, Depth sensor)
  • 3400 mAh (5V2A)
  • WiFi 802.11n (2.4 GHz), Bluetooth v4.2, microUSB, bicu audio 3.5mm
  • Gyroscope, Accelerometer, Digital compass, Ambient light sensor, Proximity sensor
  • Pengimbas cap jari dan pengecaman wajah
  • 154.8 x 73.64 x 7.95mm / 164g
  • Pilihan warna: Phantom Red, Phantom Blue

PAKEJ PEMBELIAN

Seperti biasa kotak pembungkusan Honor 20 Lite tampil sama seperti model Honor yang lain, tetapi apa yang membezakannya adalah cetakan logo ‘HONOR’ yang kini menggunakan huruf besar keseluruhannya. Manakala untuk pakej pembeliannya pula, Honor 20 Lite hadir dengan aksesori asas iaitu fon telinga, palam kuasa 5V2A (10W), kabel microUSB, buku manual/waranti, pin untuk membuka slot kad SIM, sarung pelindung TPU jernih, dan juga pelindung skrin plastik yang siap dipasang.
*set ulasan yang kami terima ini tidak didatangkan dengan aksesori lengkap.

REKA BENTUK FIZIKAL

Tidak dinafikan lagi bahawa penampilan luaran Honor 20 Lite sebenarnya tidak begitu jauh berbeza dan tidak memiliki ciri-ciri unik yang ketara jika dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan yang lain. Ini jelas dapat dilihat dengan rekaan takuk kecil mirip titisan air yang menempatkan kamera swafoto 32MP, tetapi saiz bezel pada bahagian bawah skrin dilihat lebih nipis jika dibandingkan dengan Redmi Note 7 ataupun Realme 3.

Slot kad jenis hibrid memerlukan anda untuk membuat keputusan sama ada ingin menggunakan kad SIM nano ataupun kad microSD pada slot kad kedua.
Honor 20 Lite masih lagi menyokong port microUSB, dan pada bahagian ini juga tersedia dengan bicu audio 3.5mm.

Manakala panel belakangnya pula diperbuat daripada polikarbonat dengan sentuhan warna cerun yang agak menarik untuk kedua-dua warna yang ditawarkan. Susunan tiga lensa kamera menegak pada Honor 20 Lite ini kelihatan sedikit timbul daripada permukaan belakangnya (sekitar 1mm) dan menariknya peranti tidak bergoyang apabila digunakan di atas permukaan yang rata.

Lensa tiga kamera pada Honor 20 Lite memiliki permukaan yang sedikit timbul. Tetapi disebabkan permukaan panel belakang yang melengkung, ia boleh diletakkan dengan baik pada permukaan rata.

Dari segi penyediaan port, Honor 20 Lite bukanlah yang terbaik dalam kelasnya tetapi ia masih mampu memenuhi keperluan pengguna, kerana ia dilihat masih lagi menyokong port microUSB dengan output pengecasan maksimum setakat 10W. Selain itu, ia turut tersedia dengan bicu audio 3.5mm, dan juga slot kad jenis hibrid.

ANTARAMUKA EMUI 9.0

Honor 20 Lite telah dioperasikan dengan antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie dan berbeza dengan antaramuka EMUI 8.0 (Android 8.0 Oreo), terdapat beberapa pembaharuan pada penampilan antaramukanya. Ini termasuklah kawalan suara dengan rekaan bar kawalan secara menegak, ruangan quick settings atau notifikasi yang cerah, tetingkap recent apps yang diperbaharui dan sebagainya.

 

CIRI-CIRI MENARIK HONOR 20 LITE

#1. Fungsi untuk menyembunyikan takuk

Berbanding sesetengah peranti dengan rekaan takuk yang lain di pasaran, pemilik Honor 20 Lite boleh membuat pilihan sama ada ingin menyembunyikan takuk ataupun tidak. Apabila fungsi ini diaktifkan, bahagian atas skrin akan tampil dengan bar berwarna hitam, tetapi ruangan itu masih digunakan untuk memaparkan status peranti dan juga notifikasi yang diterima.

Cara pengaktifan: Settings → Display → More display settings → Notch → Hide notch.

#2. GPU Turbo 2.0

GPU Turbo merupakan fungsi yang diperkenalkan secara eksklusif pada peranti Huawei atau Honor, dan pengaktifan fungsi ini memastikan prestasi grafik peranti akan dioptimumkan ketika anda sedang bermain permainan mudah alih. Menariknya Honor 20 Lite telah tersedia dengan GPU Turbo 2.0 atau kini lebih dikenali sebagai AppAssistant. Namun begitu, ia perlu diaktifkan secara manual seperti berikut:

Cara pengaktifan: Settings → taip ‘AppAssistant’ dalam ruangan ‘Search’ → klik pada menu AppAssistant dan klik butang ‘CONFIRM’ dan diikuti dengan butang ‘NEXT’ dan ‘AGREE’ → klik butang ‘Add’ untuk memasukkan senarai permainan → pastikan butang ‘Game acceleration’ diaktifkan → klik pada simbol tiga titik dan pilih menu ‘Add to home screen’.

#3. Ride Mode

Apabila anda sedang menunggang motorsikal ataupun memandu, penerimaan teks mesej, notifikasi dan sebagainya sudah tentu akan mengganggu tumpuan anda. Jadi bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat, Honor 20 Lite turut didatangkan dengan aplikasi pra-pasang ‘Ride Mode’. Pengaktifan mod ini bukan sahaja akan menyekat penerimaan notifikasi, tetapi panggilan masuk yang diterima akan dijawab oleh mel suara atau SMS secara automatik.

#4. HiCare

Aplikasi ini menawarkan pelbagai perkhidmatan selepas jualan yang eksklusif untuk pemilik peranti Honor ataupun Huawei, dan ia merupakan aplikasi sehenti yang sangat praktikal untuk anda mendapatkan maklumat terkini, cara mengatasi isu yang dihadapi oleh peranti, mengetahui status pembaikan peranti dan sebagainya.

#5. Kamera AI dan Super Night Shot

Selain menyokong tiga kamera, Honor 20 Lite turut dilengkapi dengan ciri-ciri penggambaran tambahan yang menarik iaitu mod AI yang mampu mengenal pasti 22 kategori objek, dan juga lebih 500 persekitaran berbeza. Selain itu ia juga menyokong mod penggambaran malam dengan ciri long exposure yang dikenali sebagai ‘Super Night Shot’.

PRESTASI

Ujian penanda aras:

Ujian penanda aras yang dicatatkan oleh cipset Kirin 710 pada Honor 20 Lite boleh dikatakan agak memuaskan.

Tetapan grafik permainan PUBG Mobile:

Tetapan grafik permainan PUBG Mobile secara lalai (default) telah disetkan pada ‘Medium’. Talaan grafik secara manual boleh ditetapkan pada HD + High.

MOD TIGA KAMERA

Honor 20 Lite hadir dengan sokongan tiga kamera iaitu lensa utama beresolusi 24MP, lensa kedua 8MP dengan sudut penggambaran luas mencecah sehingga 120 darjah, dan juga lensa depth sensor beresolusi 2MP yang membantu dalam menghasilkan efek bokeh terutamanya untuk penggambaran potret yang lebih baik.

HASIL GAMBAR

KELEBIHAN:

  • Paparan skrin FHD+ yang agak terang dengan kualiti warna yang baik, ditambah pula dengan saiz bezel yang nipis sememangnya menyerlahkan rekaan depan peranti ini.
  • Walaupun ditawarkan dalam satu varian sahaja, sokongan RAM 4GB dan juga ruang storan 128GB dirasakan sudah cukup memadai untuk peranti dengan bajet sebegini.
  • Kemasan warna cerun terutamanya warna Phantom Blue kelihatan sangat cantik dan menyerlah.
  • Penyediaan sarung pelindung TPU jernih dan juga pelindung skrin yang siap dipasang membolehkan peranti ini boleh terus digunakan sebaik sahaja dikeluarkan daripada kotak.

KEKURANGAN

  • Tiada lampu status LED disokong dan ini menyukarkan pengguna untuk mengetahui sekiranya terdapat notifikasi yang baru diterima.
  • Menggunakan slot kad jenis hibrid dan ini memerlukan pengguna untuk memilih sama ada ingin menggunakan slot kad kedua untuk kad SIM nano ataupun kad microSD, dan masih menggunakan port jenis microUSB tanpa sokongan pengecasan pantas.
  • Sokongan tiga kamera dengan kualiti hasil gambar yang agak sederhana.
  • Kerangkanya terasa kurang premium apabila dipegang kerana panel belakang diperbuat daripada polikarbonat, manakala bahagian sisinya pula tidak menggunakan kerangka logam.

Baca juga:

Honor 20 Lite Berharga RM949 Kini Sudah Boleh Dibeli Di Honor Experience Stores Di Seluruh Negara

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend