[Ulasan] Epson EF-100: Nikmati Hiburan Seperti Di Panggung Wayang Sepanjang PKP… Comments Off on [Ulasan] Epson EF-100: Nikmati Hiburan Seperti Di Panggung Wayang Sepanjang PKP…

Apabila sebut sahaja tentang hiburan di rumah, TV merupakan peralatan elektrik yang menjadi pilihan utama. Namun tanpa anda sedari, projektor menjadi pilihan yang terbaik kerana ia mampu menghasilkan layar skrin jauh lebih besar dengan feel persis seperti di panggung wayang.

Jadi sekiranya anda bercadang untuk memiliki sebuah projektor untuk menemani anda sepanjang PKP, Epson kini telah hadir dengan sebuah projektor yang sesuai untuk kegunaan di rumah dengan model Epson EF-100.

Pilihan Warna

Epson EF-100 ditawarkan dalam dua warna pilihan iaitu EF-100W yang menampilkan kombinasi putih dengan kelabu, dan juga EF-100B dengan kombinasi warna hitam dengan gangsa. Apa yang pasti, kedua-dua pilihan warna ini sememangnya menarik dan bergantung kepada citarasa masing-masing.

Projektor Hiburan Rumah – Epson EF-100

Epson EF-100 merupakan sebuah projektor laser 3LCD terkecil di dunia dengan kerangka berukuran 21 x 23 x 9cm dan berat sekitar 2.7kg. Dengan rekaan yang ‘kompak’ ini, ia membolehkan anda menggunakan projektor ini di ruang tamu ataupun di dalam bilik tidur.

Ditawarkan dalam dua warna pilihan, kami telah menerima unit ulasan dalam kombinasi warna hitam pada kerangkanya dan juga warna gangsa pada bahagian depan projektor ini. Bagi memastikan ia lebih ringan, kerangka Epson EF-100 diperbuat daripada plastik tetapi dengan kemasan yang kelihatan mirip seakan kulit. Secara keseluruhan, kami menyukai kombinasi warna ini dan rekaannya juga kelihatan ringkas tetapi nampak premium.

Apa yang menariknya rekaan Epson EF-100 membolehkannya digunakan dalam dua cara berbeza iaitu lontaran imej di dinding sebagaimana kebanyakan projektor konvensional yang lain, ataupun meletakkannya secara menegak untuk paparan imej pada bahagian siling rumah.

Rekaan panel belakang yang boleh ditanggalkan ini telah menempatkan sambungan kabel HDMI 2.0 dan juga kabel microUSB. Jika diperhatikan, bahagian ini turut tersedia dengan satu speaker berkuasa 5W.

Tidak dinafikan kualiti audionya agak baik untuk speaker terbina-dalam, tapi anda disarankan untuk menggunakan speaker Bluetooth untuk mendapatkan pengalaman audio yang jauh lebih berkuasa.

Menariknya panel belakang yang diperbuat daripada fabrik ini masih boleh ditutup seperti biasa walaupun projektor ini telah disambungkan ke kabel HDMI. Ini kerana kabel HDMI itu boleh ditarik pada lubang khas yang terdapat pada sisi kanan projektor ini.

Jika anda perhatikan, bahagian penutup belakang projektor ini turut tersedia dengan satu permukaan plastik berkilat yang membolehkan anda menggunakan alat kawalan jauh untuk mengawal semua menu tetapan pada projektor Epson EF-100.

Selain tersedia dengan lubang pengaliran haba panas pada sisi kanannya projektor ini, sambungan kabel kuasa dan port bicu audio 3.5mm juga boleh ditemui di bahagian ini.

Butang Kawalan Mudah Dikendalikan

Pada bahagian atas projektor Epson EF-100, ia telah tersedia dengan beberapa butang kawalan yang terdiri daripada butang kuasa, dan juga dua butang keystone untuk mengawal sudut paparan imej sama ada vertical atau horizontal. Selain itu, bahagian ini turut menyokong pelaras manual untuk memastikan tahap kejelasan skrin yang paling optimum.

Penyediaan butang kawalan pada projektor ini sememangnya sangat mudah difahami untuk digunakan, malah kami yakin pengguna yang pertama kali menggu933nakan projektor juga boleh menggunakannya tanpa masalah.

‘Stand’ Melaras Kedudukan Projektor

Apabila anda meletakkan projektor di atas meja atau permukaan yang agak rendah, lontaran imej pada dinding boleh dilaras dengan lebih baik melalui sokongan stand terbina-dalam. Ini bermakna anda boleh mengubah kedudukan projektor ini sehingga 11 darjah.

Kepuasan Tontonan…

Sokongan LED/Laser pada Epson EF-100 boleh dihidupkan atau dimatikan dengan sangat cepat iaitu sekitar enam saat sahaja. Dengan tahap keterangan maksimum sehingga 2,000 lumens, ia mampu menghasilkan tahap keterangan dan juga kejituan warna yang agak baik walaupun di tayangkan pada waktu siang di dalam ruang yang hanya ditutup dengan langsir.

Tayangan pada waktu siang di dalam ruang yang ditutup dengan langsir.

Epson EF-100 mampu menghasilkan paparan imej yang sangat besar iaitu mencecah sehingga 150 inci pada jarak sekitar 3.41 meter. Manakala saiz standard paparan projektor ini adalah sebesar 60 inci. Namun begitu, sekiranya ruang yang anda milik tidak begitu luas, ia masih mampu menghasilkan imej dengan saiz berukuran 30 inci dengan menggunakan digital zoom. Ini bermakna anda masih boleh dapat melihat paparan hitam di sekelilingnya.

Menariknya penggunaan LED/Laser turut menjanjikan ketahanan yang jauh lebih baik iaitu mencecah sehingga 12,000 jam untuk mod normal, dan sehingga 20,000 jam sekiranya digunakan pada tahap keterangan setakat 50% sahaja. Ini jauh lebih baik berbanding projektor konvensional yang hanya mampu bertahan sekitar 4,000 jam sahaja.

Walaupun menjanjikan tahap keterangan dan warna yang baik, Epson EF-100 mungkin sedikit mengecewakan kerana ia tidak menyokong paparan HD penuh, sebaliknya hanya menyokong setakat resolusi 1280 x 800 piksel sahaja. Malah kontras projektor ini juga tidak begitu baik, ini kerana imej dengan paparan berwarna hitam kelihatan kurang menonjol.

Spesifikasi:

ModelEpson EF-100W dan Epson EF-100B
Keterangan2,000 Lumens
Sumber cahayaLED/Laser
Ketahanan12,000 jam dengan mod normal / 20,000 jam dengan tahap keterangan 50%
TeknologiPanel 3LCD
Resolusi imejHD+ (1280 x 800 piksel)
AudioSpeaker mono 5W / Speaker stereo dengan sambungan speaker Bluetooth atau fon telinga
Ukuran 21 x 23 x 9cm
Berat2.7 kg

Harga: RM3,999

Kelebihan:

  • LED/Laser yang menjanjikan jangka hayat yang lebih lama.
  • Tahap keterangan yang sangat baik untuk sebuah projektor kompak.
  • Lensa yang mampu menghasilkan imej yang agak tajam.
  • Saiz kompak dengan rekaan yang nampak menarik dan premium.

Kekurangan:

  • Tahap kejituan warna hitam yang agak kurang baik.
  • Resolusi hanya sekadar 1280 x 800 piksel sahaja.
  • Hanya satu speaker dengan kekuatan setakat 5W.
  • Penyediaan kabel microUSB tidak lagi relevan kerana kebanyakan TV Stick hadir dengan sambungan USB-C.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend