[Ulasan] Black Shark 2, Betul Direka Untuk Gaming? Comments Off on [Ulasan] Black Shark 2, Betul Direka Untuk Gaming? 831

Black Shark 2 telah dilancarkan di Malaysia pada awal bulan ini dengan harga bermula RM2,499 seunit. Ia merupakan telefon pintar pertama yang mendarat di negara ini menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 855. Bagi yang tahu, cip ini cukup berkuasa dan tentunya ia dicipta untuk kegunaan ekstrem khususnya dalam memainkan permainan mudah alih.

Peranti ini telah dibawa masuk oleh pengedar rasmi Intelligent Earnings Sdn. Bhd atas kerjasama dengan Black Shark Global. Bukan hanya telefon pintar, syarikat ini turut membawa masuk aksesori Black Shark 2 seperti Gamepad 2.0, Cooling Case, Gamepad 2.0 Stand, dan sebagainya untuk pengguna tempatan.

Spesifikasi

  • JOY UI (berasaskan Android 9.0 Pie)
  • Qualcomm Snapdragon 855 (7nm)
  • Octa Core (1×2.84 GHz Kryo 485 & 3×2.41 GHz Kryo 485 & 4×1.78 GHz Kryo 485)
  • Adreno 640
  • 8GB + 128GB / 12GB + 256GB
  • 6.39-inci AMOLED FHD+ (2340 x 1080 piksel), HDR
  • Kamera belakang: 48MP f/1.8 + 12MP f/2.2 (telefoto)
  • Kamera depan: 20MP f/2.0
  • 4,000 mAh (pengecasan pantas 27W)
  • USB Type-C, WiFi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, aptX HD
  • Pengimbas cap jari dalam paparan, pengecaman wajah
  • Dulang kad: Dwi SIM
  • Dwi-speaker utama
  • 163.6 x 75 x 8.8mm / 205g
  • Pilihan warna: Shadow Black, Frozen Silver
  • RM2,499 (8GB) / RM2,999 (12GB)

Reka Bentuk Praktikal


Mengapa kami kata reka bentuk Black Shark 2 praktikal adalah kerana panel belakang peranti ini sangat selesa dipegang lebih-lebih lagi apabila dalam mod permainan (apabila dilintangkan). Kombinasi bahan logam dan gelas diikuti lekuk membuatkan jari berada dalam kedudukan mencengkam peranti. Ada sebab juga mengapa Black Shark tidak menggunakan panel gelas sepenuhnya, ini kerana jika panel gelas meliputi keseluruhan peranti, haba sukar dibebaskan lantas menggangu pengalaman permainan kepada pengguna.



Pada bahagian depan, Black Shark 2 tidak mengenakan skrin bertakuk. Perkara ini amat disukai oleh pemain ketika bermain game kerana ikon tertentu tidak terselindung di balik takuk. Manakala bingkai skrin pula tidak terlalu tebal selari dengan sohor kini peranti lain di pasaran. Oleh kerana nisbah skrin telah ditingkatkan, pengimbas cap jari konvensional terpaksa disingkirkan. Jadi, bagi menggantikannya Black Shark telah meletakkan pengimbas cari dalam skrin pada peranti ini.



Sementara pada butang fizikal pula, ia sama seperti telefon pintar lain iaitu dengan butang kuasa dan butang laras suara pada sisi kerangka. Terdapat satu lagi butang tembahan yang boleh ditolak yang dinamakan butang Shark Space. Ia didedikasikan untuk masuk ke mod permainan dan butang ini kelihatan sedikit menonjol disebabkan warnanya yang terang serta bertekstur.

Shark Space


Shark Space adalah ruang di mana pengguna menyimpan segala aplikasi permainan yang telah dimuat turun. Setelah masuk ke mod ini pengguna boleh membuat kostumasi menggunakan tetingkap yang dinamakan Game Studio yang perlu ditatal di penjuru kanan atas skrin. Melaluinya, pengguna boleh menutup notifikasi, mematikan pad kekunci, menghalang panggilan, membersihkan RAM, dan memantau kelajuan CPU serta internet dengan lebih terperinci. Dalam mod ini juga pengguna boleh menghidupkan sambungan pintas kepada Gamepad 2.0 tanpa perlu masuk ke bahagian tetapan peranti.

Semasa memainkan game pula pengguna akan menyedari ikon lut sinar yang terpapar pada bahagian skrin. Ikon ini boleh ditekan untuk pengguna melihat bacaan suhu peranti, kadar bingkai persaat (fps) dan kelajuan cipset mengikut waktu semasa. Ikon ini lebih fleksibel kerana boleh dialihkan ke mana-mana bahagian skrin mengikut kehendak pengguna.

Satu lagi ciri yang boleh diaktifkan adalah Master Touch. Ciri ini berfungsi mengawal tekanan jari pada skrin sewaktu bermain game. Pengguna boleh tetapkan tahap sensiviti sentuhan jari mengikut keselesaan dan melalui ciri ini pengguna boleh mengelakkan jari daripada tertekan tanpa sengaja.


Selain itu, Ludicrous Mode pula adalah tetapan yang lebih kompleks. Menggunakan mod ini, pengguna boleh mengubah prestasi CPU dari tahap biasa hingga ke tahap tertinggi jika diperlukan. Di samping itu, pada masa sama pengguna boleh menyalakan lampu RGB serta menghidupkan tindak balas gegaran (haptic feedback) untuk menikmati pengalaman permainan yang lebih imersif selain boleh mengubah tetapan sistem audio semasa bermain.

Seperti contoh, di dalam permainan PUBGM, kesan gegaran ini akan terhasil apabila pemain melepaskan tembakan. Malahan, tembakan dari musuh juga akan terasa tetapi pada kadar yang lebih lembut. Uniknya, gegaran yang berlainan akan terasa mengikut senjata yang digunakan. Dalam waktu yang sama, lampu LED juga akan menyala sekiranya mengikut bunyi tembakan.

Lampu RGB


Satu lagi kelebihan yang ada pada Black Shark 2 adalah lampu RGB pada sisi kiri dan kanan kerangka. Lampu ini boleh dinyalakan mengikut citarasa pengguna sama ada ingin digunakan apabila panggilan telefon masuk atau memberi notifikasi. Sekiranya lampu ini dihidupkan, ia menyala mengikut warna yang sama pada ikon aplikasi. Misalnya, untuk Facebook, warna notifikasinya adalah biru manakala WhatsApp berwarna hijau, begitu juga pada Instagram dengan warna jingga dan sebagainya. Ini membolehkan pengguna tidak berasa bosan sepanjang menggunakan peranti.

Sistem Penyejuk


Peranti yang dilengkapi perkakasan yang berspesifikasi tinggi kebiasaanya menghasilkan haba yang banyak. Ini sekaligus memberi kesan kepada ketidakselesaan pengguna malah dapat mengurangkan prestasi peranti lebih-lebih lagi sewaktu bermain game. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, Black Shark telah memasang sistem penyejuk yang dipanggil Direct Touch Cooling System 3.0 pada lapisan belakang papan induk peranti. Menurut mereka, sistem ini dapat menurunkan suhu peranti sehingga 14 darjah celcius pada satu-satu masa.


Tidak kurang daripada itu, pihak pengeluar turut menawarkan sarung penyejuk khas kepada pengguna Black Shark 2 untuk menambahkan lagi sistem penyejuk sedia ada. Bagaimanapun, buat masa ini sarung khas tersebut hanya dibuka untuk tempahan dan akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Sepanjang bermain menggunakan Black Shark 2, penulis dapat merasakan peranti ini tidak selesa dipegang untuk tempoh yang lama memandangkan bahang haba membuatkan jari tidak selesa. Tetapi jika aksesori seperti alat kawalan dan sarung penyejuk dilekatkan bersama, kesan yang dirasai mungkin dapat dikurangkan.

Sistem Audio


Bagi membawakan pengalaman permainan yang lebih menyeluruh, dua speaker utama telah dipadankan di bahagian kiri dan kanan skrin. Speaker besar ini diarahkan untuk menembak muka pengguna bagi memberi kesan sekeliling yang realistik. Bunyi bass yang mantap dan bunyi treble yang gemersik membuatkan pemain lebih peka dalam medan peperangan. Bagi yang bermain permainan PUBGM, anda mungkin mementingkan bunyi tapak kaki musuh untuk mengatur gerakan. Audio yang lantang membuatkan lagi pemain sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Dengan audio sebegini, tiada masalah jika fon telinga tidak dipasang.

Bateri


Bateri yang besar sangat diperlukan untuk telefon pintar yang berkuasa ini. Jadi, pada Black Shark 2 ia telah dimuatkan bateri berkapasiti 4,000mAh yang mampu bertahan sepanjang hari walaupun dengan dua SIM. Ujian untuk melihat berapa banyak peratusan bateri yang turun telah dijalankan. Seperti contoh, penulis telah memilih untuk bertempur (mod Solo) di peta Vikendi. Sebelum bertempur bateri dilihat pada tahap 97% dan selepas hampir 33 minit untuk satu permainan, penulis mendapati bateri telah menurun sebanyak 9% sahaja. Penulis yakin permainan seterusnya boleh dilanjutkan sehingga ke 10 perlawanan atau lebih kurang hingga ke 5 jam lamanya. Tetapi, jika mod Ludicrous diaktifkan, peratusan bateri mungkin akan berkurang lebih cepat disebabkan penggunaan tenaga kuasa yang banyak.

Skor Penanda Aras


Skor penanda aras Black Shark 2 mungkin nampak tinggi berbanding peranti mercu lain yang menggunakan Snapdragon 845. Seperti dicakapkan awal tadi, Black Shark 2 merupakan peranti yang terawal diperkasakan oleh cipset terbaharu daripada Qualcomm. Skor yang diperolehi pula sebenarnya tidak boleh disangkal lagi malah setakat ini Black Shark 2 masih belum bertemu dengan lawannya di Malaysia.

Gambar Dari Kamera

Black Shark 2 mungkin tidak direka untuk mereka yang gemarkan fotografi kerana sepanjang ulasan, penulis kurang tertarik dengan keupayaan kamera belakangnya. Bagaimanapun, menerusi lensa telefoto yang tersedia, penulis sekurang-sekurangnya dapat menangkap gambar pada jarak yang jauh hanya menggunakan zum optikal sehingga 2x. Selain itu, ia juga hadir dengan bantuan AI yang dapat memperkemaskan lagi hasil gambar. Namun begitu, untuk setiap gambar yang dihasilkan ia kelihatan sedikit warm (kekuningan).

Kesimpulan

Bagi anda yang gemar bermain permainan PUBGM dan Mobile Legends terutamanya, Black Shark 2 adalah pilihan yang terbaik setakat ini. Harganya pula kurang daripada RM3 ribu membuatkan penulis sendiri gian untuk mendapatkan peranti ini. Daripada segi prestasi gaming, Black Shark 2 kini mendahului di depan. Reka bentuknya pula cukup agresif dan berevousi sekaligus menonjolkan lagi karakteristik peranti. Kesan gegaran (haptic feedback) sangat tepat dan tidak longgar membuatkan keseronokan semasa bermain makin bertambah. Tidak lupa, keunikan lampu RGB mampu membuatkan mata yang memandangnya terpukau.

Walau bagaimanapun, ada sedikit kekurangan yang penulis dapati pada peranti ini. Ketiadaan bicu audio 3.5mm telah memaksa penulis menyambungkan fon telinga pada lubang pengecas. Oleh itu, pengecasan tidak dapat dibuat pada masa yang sama. Keseluruhannya Black Shark 2 adalah peranti gaming yang berbaloi untuk dimiliki.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend