[Ulasan] ASUS ZenFone Max Pro M2 – Hadir Dalam Rekaan Baharu Dengan Prestasi Terbaik Dalam Kelasnya 0 369

Sejak ASUS memperkenalkan model ZenFone Max Pro M1 di pasaran tempatan pada penghujung Mei yang lalu, ia telah berjaya memberikan semula kepercayaan pengguna terhadap jenama ASUS. Ini berikutan pendekatan yang digunakan oleh ASUS dalam menawarkan spesifikasi terbaik pada harga yang kompetitif.

Kini bagi menutup tirai tahun 2018, ASUS telah melancarkan generasi kedua peranti tersebut dengan kemunculan model ASUS ZenFone Max Pro M2. Apa yang pasti ASUS bukan sekadar memberikan sentuhan kosmetik untuk model ini, tetapi ia turut menerima penambahbaikan pada aspek spesifikasi yang disokongnya…

Spesifikasi

  • 6.3″ IPS LCD FHD+ (2280 x 1080 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 6
  • Qualcomm Snapdragon 660 AIE (14nm)
  • Android 8.1 Oreo (Antaramuka Android asli)
  • Memori 4GB/6GB RAM (LPDDR4X) + 64GB (eMCP)
  • Kamera belakang: 12MP IMX486 (f/1.8) + 5MP (f/2.4)
  • Kamera depan: 13MP (f/2.0), Softlight LED Flash
  • 5,000 mAh dengan output 10W (5V2A)
  • Bluetooth 5.0, microUSB, WiFi 802.11 b/g/n (2.4GHz)
  • Pengecaman wajah, Pengimbas cap jari
  • Tiga slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD)
  • 157.9 x 75.5 x 8.5mm / 175g
  • Pilihan warna: Cosmic Titanium / Midnight Blue

Harga & Ketersediaan

Terdapat dua varian ditawarkan untuk ASUS ZenFone Max Pro M2 iaitu 4GB + 64GB yang akan dijual pada harga RM859, dan juga 6GB + 64GB yang ditawarkan pada harga RM999.

  • ASUS ZenFone Max Pro M2 (4GB + 64GB) → Lazada
  • ASUS ZenFone Max Pro M2 (6GB + 64GB) → Shopee

Set Pembelian


Berbeza dengan generasi sebelumnya, ASUS ZenFone Max Pro M2 hadir dengan kotak pembungkusan baharu dalam warna hitam dengan sentuhan sedikit warna biru. Di dalam kotak ada disediakan dengan sarung pelindung jernih, buku panduan, palam kuasa 3-pin dengan output 5V2A (10W), kabel microUSB dan juga pin slot kad. Lebih menariknya untuk set rasmi Malaysia, fon telinga akan turut disediakan dalam pakej pembelian.
*set ulasan yang kami terima ini merupakan set pembelian di Indonesia.

Rekaan Fizikal

Skrin

Buat pertama kalinya, ASUS telah memperkenalkan panel skrin dengan rekaan bertakuk pada siri ZenFone Max keluarannya. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan nisbah paparan ZenFone Max Pro M2 kepada 19:9 dengan resolusi FHD+ (2280 x 1080 piksel). Kualiti paparannya juga tidak mengecewakan kerana menyokong tahap keterangan 450nits, kontras 1500:1, serta ketepatan warna mencecah 94% NTSC.

Lebih istimewanya, ZenFone Max Pro M2 merupakan peranti bajet pertama hadir dengan perlindungan Corning Gorilla Glass 6 yang dua kali ganda lebih tahan berbanding Gorilla Glass 5. Bahkan ia juga merupakan antara peranti terawal dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass 6 selepas ASUS ROG Phone dan OPPO R17 Pro.

Kamera swafoto

Kamera hadapan masih mengekalkan sokongan Softlight LED Flash.

Kedudukan kamera hadapan ZenFone Max Pro M2 telah ditempatkan pada takuk dengan saiz sederhana besar. Selain kamera beresolusi 13MP, takuk ini turut menempatkan Softlight LED Flash dan juga dua sensor iaitu proximity sensor serta ambient light sensor. Manakala lubang earpiece pula ditempatkan pada bahagian atas takuk.

Kamera utama

Sama seperti generasi sebelum ini, ZenFone Max Pro M2 masih mengekalkan sistem dwi kamera yang mana lensa kedua beresolusi 5MP digunakan bagi mendapatkan efek kedalaman (bokeh). Tetapi keupayaan penggambaran kamera utamanya telah dipertingkatkan dengan sokongan lensa 12MP daripada Sony IMX486. Ia bukan sahaja menyokong saiz piksel lebih besar berukuran 1.25μm, tetapi bukaan aperture f/1.8 turut memastikan keupayaan penggambaran low-light yang lebih terang.

Kamera belakang tidak terlalu timbul daripada permukaan.

Tidak cukup dengan itu, ZenFone Max Pro M2 turut menyokong satu mod baharu iaitu ‘Pro’ yang membolehkan anda menentukan sendiri tetapan kamera secara manual seperti kelajuan shutter, ISO, exposure, white balance dan juga fokus. Malah antaramuka kameranya juga turut diperbaharui dengan susunan serta ikon butang yang lebih kemas dan juga pilihan mod kamera yang lebih mudah untuk diakses.

Keselamatan biometrik

Kedudukan sensor pengimbas cap jari pada ZenFone Max Pro M2 masih dikekalkan pada panel belakang kerangkanya. Dengan mengambil masa lebih kurang 0.3 saat untuk mengakses peranti, ia boleh menyokong input sehingga lima cap jari. Berdasarkan percubaan yang telah kami lakukan, sensor pengimbas cap jari ini masih boleh digunakan walaupun dengan jari yang lembap. Selain itu, ia turut menyokong ciri pengecaman wajah menggunakan kamera hadapan.

Kemasan panel belakang

Jika tidak diberitahu, mungkin ramai yang menyangkakan bahawa panel belakang ZenFone Max Pro M2 diperbuat daripada kaca, mala kami sendiri tidak terkecuali. Untuk pengetahuan anda, kemasan panel belakangnya diperbuat daripada akrilik (acrylic) iaitu sejenis plastik jernih yang menyerupai kaca. Ini sekaligus menjadikan ZenFone Max Pro M2 sebagai telefon pintar 5000 mAh paling ringan.

Rekaan melengkung pada kedua-dua sisi ZenFone Max Pro M2 menjanjikan rasa pegangan yang lebih selesa.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian kami adalah kemasan sisi 3D yang melengkung. Selain memberikan visual yang lebih premium, ia juga menjanjikan rasa pegangan yang lebih selesa terutamanya ketika bermain game ataupun menonton video YouTube.

Tiga slot kad berasingan

Tanpa perlu memeningkan kepala, anda boleh terus menggunakan dua kad SIM bersaiz nano dengan sokongan ‘Dual 4G Dual Standby’, dan juga kad microSD sehingga 2TB. Ini kerana ZenFone Max Pro M2 tersedia dengan tiga slot kad berasingan dan bukannya slot kad jenis hibrid sebagaimana kebanyakan telefon pintar lain di pasaran.

Port dan speaker

Pada bahagian bawah kerangka ZenFone Max Pro M2, ia dilihat masih mengekalkan susunan port dan speaker seperti ZenFone Max Pro M1. Pada pendapat kami, ia bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana penyediaan bicu audio 3.5mm sememangnya sangat dialu-alukan. Namun begitu sokongan port microUSB mungkin sedikit mengecewakan kerana sudah ada pesaingnya yang mula menggunakan port USB-C.

Antaramuka Android Asli

Sama seperti ZenFone Max Pro M1, ZenFone Max Pro M2 turut mengekalkan antaramuka Android asli yang menjanjikan kelancaran pengoperasian dan juga penampilan yang lebih ringkas. Sokongan antaramuka asli ini juga tidak lagi didatangkan dengan aplikasi pra-pasang yang tidak diperlukan atau lebih dikenali sebagai bloatware.

Ujian Penanda Aras

Dikuasakan dengan pemproses Snapdragon 660, ZenFone Max Pro M2 menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 11% dengan prestasi grafik sehingga 33% berbanding pemproses Snapdragon 636 yang disokong oleh ZenFone Max Pro M1. Bagi melihat sendiri keupayaan prestasi siri ZenFone Max Pro baharu ini, kami ada menjalankan beberapa ujian penanda aras seperti berikut:

Ketahanan Bateri

Dengan sokongan bateri berkapasiti 5000 mAh, ZenFone Max Pro M2 menjanjikan ketahanan peranti yang sangat baik. Melalui pengalaman kami menggunakan peranti ini, ia mampu digunakan selama dua hari dengan hanya sekali cas sahaja. Malah dengan penggunaan yang sangat berat iaitu bermain game, kami masih boleh mendapatkan masa SOT (Screen On Time) lebih kurang 7 jam 30 minit iaitu hampir 6 jam digunakan untuk bermain game Mobile Legends dengan tetapan grafik maksimum, dan bateri masih berbaki 5%. Kami yakin ZenFone Max Pro M2 mampu mendapatkan masa SOT lebih daripada 8 jam dengan sangat mudah bagi penggunaan sederhana.

Hasil Gambar

Kelebihan:

  • Rekaan yang nampak lebih premium dengan kemasan akrilik melengkung yang menjanjikan rasa pegangan yang lebih baik.
  • Kombinasi antaramuka Android asli dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660 telah menjanjikan prestasi yang sangat baik.
  • Ketahanan bateri yang sangat baik sesuai untuk pengguna yang gemarkan aktiviti gaming.
  • Kualiti kamera telah dipertingkatkan berbanding generasi sebelumnya, terutamanya dalam persekitaran agak gelap.

Kekurangan:

  • Sama seperti model sebelum ini, ia tidak dilengkapi dengan sambungan WiFi 802.11ac (5GHz).
  • Kekal dengan port microUSB dengan output pengecasan setakat 10W sahaja.
  • Penggunaan panel belakang yang diperbuat daripada akrilik mungkin lebih mudah tercalar jika dibandingkan dengan panel kaca.
  • Antaramuka Android asli mungkin tidak digemari oleh sesetengah individu kerana tidak menyokong ciri customization.

Kesimpulan

ASUS ZenFone Max Pro M2 sememangnya boleh dianggap antara peranti bajet paling berbaloi untuk anda miliki kerana ia menjanjikan kepuasan pemilikan yang paling maksimum dari segi rekaan fizikal dan juga spesifikasi. Tidak dinafikan ada juga di antara beberapa peranti bajet daripada jenama lain di pasaran menjanjikan spesifikasi dengan prestasti yang setanding, tetapi ASUS ZenFone Max Pro M2 jelas menawarkan ciri-ciri yang lebih lengkap yang tidak ditawarkan oleh pesaingnya yang lain seperti bateri 5000 mAh, panel Gorilla Glass 6 yang lebih tahan lasak, antaramuka Android asli dan juga tersedia dengan bicu audio 3.5mm.

Sebagaimana slogan ‘Next-Generation Gaming’ yang digunakan, prestasi yang ditawarkan oleh pemproses Snapdragon 660 sememangnya tidak mengecewakan bagi peranti kelas pertengahan. Kelancaran permainan juga memuaskan kerana tiada isu ‘FPS drop’. Untuk permainan PUBG Mobile, tetapan maksimum adalah HD untuk grafik dan High untuk frame rate, manakala untuk Mobile Legends pula pengaktifan mod high frame rate masih tidak menjejaskan kelancaran permainan.

Namun begitu, apa yang kami kurang suka tentang ZenFone Max Pro M2 adalah kedudukan bicu audio 3.5mm yang terletak di bahagian bawah kiri kerangka. Apabila anda menyambungkan fon telinga ketika bermain game, kedudukan bicu audio perlu dipusingkan ke sebelah kiri bagi memastikan keselesaan untuk memegangnya. Cara memegang seperti ini adakalanya menyebabkan jari kelingking tanpa sengaja tertekan butang melaras suara ketika bermain.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend