[Ulasan] ASUS VivoBook Ultra K403, Ketahanan Bateri Sehingga 24 Jam Dengan Hanya Satu Cas! Comments Off on [Ulasan] ASUS VivoBook Ultra K403, Ketahanan Bateri Sehingga 24 Jam Dengan Hanya Satu Cas! 302

Apabila sebut sahaja tentang komputer riba, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sokongan spesifikasi yang berprestasi merupakan kriteria utama yang akan dilihat oleh pembeli. Tetapi dalam masa yang sama dua lagi kriteria yang akan dititikberatkan adalah rekaan yang kompak dan juga ketahanan bateri yang baik.

Bersesuaian dengan tiga kriteria penting yang perlu ada pada sebuah komputer riba, ASUS telah memperkenalkan VivoBook 14 (K403) yang boleh dianggap  sebagai telefon pintar all-rounder terbaik boleh anda miliki di pasaran buat masa ini…

Spesifikasi:

  • Windows 10 Pro/Home
  • Intel Core i5-8265U (8th Gen) / i3-8145U (8th Gen)
  • Intel HD Graphics 620
  • 14.0 inci IPS LCD FHD (1920 x 1080 piksel)
  • 60Hz Anti-Glare Panel, 45% NTSC, ASUS Splendid, WideView Technology
  • 512GB PCIe Gen3 x2 SSD
  • sehingga 8GB LPDDR3 (2133MHz)
  • 72Wh 4-cell Lithium Polymer Battery
  • Output pengecasan 19V/2.37A (45W)
  • ASUS SonicMaster stereo audio system
  • 1x combo audio jack, 1x USB Type-C 3.1, 1x USB Type-A 3.1, 1x USB Type-A 2.0, 1x HDMI 1.4, 1x SD card reader, 1x DC jack
  • HD webcam
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth v4.2/5.0
  • Papan kekunci dengan backlit
  • Pengimbas cap jari (pada touchpad)
  • 322.86 x 208.48 x 16.5mm
  • 1.3kg
  • Pilihan warna: Silver Blue dan Petal Pink

Harga jualan:

  • Intel Core i3-8145U (8th Gen) – RM2,699
  • Intel Core i5-8265U (8th Gen) – RM3,399

Rekaan

Salah satu keistimewaan yang paling ketara dapat dilihat pada VivoBook Ultra K403 ini adalah saiz kerangka yang kompak, dan ini jelas dapat dilihat pada rekaan paparan skrin NanoEdge yang memiliki saiz bezel yang sangat nipis iaitu hanya 4.1mm. Paparan skrin IPS LCD berukuran 14.0 inci FHD dengan teknologi ASUS Tru2Life Video ini juga turut menjanjikan sudut pandangan lebih luas sehingga 178 darjah.

VivoBook Ultra K403 turut menampilkan rekaan papan kekunci ergonomik dengan 1.4mm key travel yang dibina terus pada panel kerangka komputer riba ini. Proses menaip menggunakan papan kekunci ini di dalam gelap terasa lebih mudah dengan adanya sokongan nyalaan backlit dalam warna putih kebiruan.

Papan kekunci tanpa nyalaan backlit.
Papan kekunci dengan nyalaan backlit yang ditetapkan pada tahap 3 iaitu paling maksimum.

Saiz touchpad yang disokong oleh komputer riba ini juga boleh dikatakan agak lebar dan dilengkapi dengan kawalan touchpad Windows 10, termasuklah input multi-gesture seperti leretan tiga jari ke kanan untuk penukaran aplikasi/skrin, ataupun leretan tiga jari ke bawah untuk kembali ke paparan desktop.

Malah anda juga boleh menggunakan touchpad ini untuk pengecaman tulisan tangan ke teks digital mahupun tandatangan digital. Bahkan pada bahagian atas kanan touchpad ini turut tersedia dengan sensor pengimbas cap jari yang boleh digunakan untuk akses pantas menggunakan Windows Hello dan dalam masa lebih selamat.

Walaupun hadir dalam rekaan yang kompak, VivoBook Ultra K403 yang memiliki berat 1.3kg ini boleh dikatakan antara yang terberat dalam segmennya. Ini disebabkan oleh penggunaan keseluruhan kerangka yang diperbuat daripada logam dengan dua pilihan warna menarik iaitu Silver Blue atau Petal Pink.

Selain memberikan rasa sentuhan yang lebih premium, ia juga telah menerima pengiktirafan piawaian ketenteraan MIL-STD-810G yang menjanjikan ketahanan terbaik. Bahkan ia turut melepasi piawaian ujian ketahanan komputer riba yang telah disetkan oleh industri.

Sisi kiri

Dari segi sokongan port I/O pula, sisi kiri VivoBook Ultra K403 tersedia dengan port DC untuk pengecasan, HDMI, USB Type-A 3.1, USB Type-C 3.1, dan juga dua LED status. Manakala sisi kanannya pula boleh ditemui USB Type-A 2.0, slot SD card reader, dan juga bicu audio kombo (audio/mikrofon).

Sisi kanan

Sebagaimana kebanyakan komputer riba moden pada hari ini, kedudukan speaker berkualiti stereo pada VivoBook Ultra K403 turut ditempatkan pada bahagian bawah kerangkanya. Kedudukan sebegini sedikit sebanyak akan mengganggu kualiti audio apabila ia digunakan di atas paha. Namun sokongan teknologi audio ASUS SonicMaster membantu dalam menghasilkan kualiti speaker yang lebih baik.

Ketahanan bateri ASUS VivoBook Ultra K403

Dilengkapi dengan bateri 72Wh 4-cell Lithium Polymer, VivoBook Ultra K403 mampu menjanjikan ketahanan bateri sehingga 24 jam dengan satu cas penuh. Apa yang menariknya, ia merupakan salah satu daripada siri VivoBook yang memiliki ketahanan bateri paling lama.

Pada Julai 2018, ASUS telah menjalankan ujian bateri pada VivoBook K403 dengan Intel Core i5-8265U, 8GB RAM, FHD, dan 256GB SATA SSD. Untuk ujian tersebut, komputer riba itu telah disetkan tahap keterangan skrinnya ke 150nits, volume setakat 50%, dan juga WiFi diaktifkan.

Keputusan ujian bateri:

  • Tayangan video local 1080p (150nits) → 24.7 jam
  • Tayangan video online 1080p (150nits) → 15.5 jam
  • MobileMark 2014 (150nits) → 22.4 jam
  • JumpStart → 24.9 jam

Prestasi

Bagi melihat sendiri keupayaan prestasi ASUS VivoBook Ultra K403 ini, kami telah menjalankan beberapa ujian penanda aras. Ingin kami maklumkan bahawa model yang kami gunakan ini dikuasakan dengan Intel Core i3-8145U (8th Gen), 512GB PCIe Gen3 x2 SSD dan juga RAM berkapasiti 8GB LPDDR3 (2133MHz).

Kesimpulan

Dengan rekaan kompak dan juga pilihan warna moden, ASUS VivoBook Ultra K403 sememangnya sangat sesuai untuk digunakan oleh individu yang lebih banyak bergerak ataupun sering menggunakannya di luar. Ini kerana sokongan bateri 4-cell 72Wh ini menjanjikan ketahanan bateri 3x lebih lama berbanding kebanyakan komputer riba di pasaran.

Kekuatan atau kelebihan utama VivoBook Ultra K403 ini sememangnya terletak pada ketahanan baterinya yang mampu bertahan sehingga sehingga 24 jam (bergantung kepada aktiviti yang digunakan). Malah berdasarkan penggunaan kami sendiri ketika menggunakannya untuk tujuan menyiapkan artikel, melayari Internet, dan juga menonton video YouTube, ia bertahan sehingga hampir 22 jam dengan hanya satu cas sahaja.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend