[Ulasan] ASUS VivoBook S15 – Komputer Riba 15.6″ Dengan Bezel Nipis Dan Rekaan Engsel Unik 0 317

Apabila kita ingin memiliki komputer riba, selain sokongan spesifikasi yang berkuasa, rekaan yang kompak turut menjadi kriteria penting apabila membuat pilihan. Ini kerana saiz yang kompak dan ringan adalah sangat diperlukan terutamanya bagi anda yang kerap membawa komputer riba itu ke mana sahaja anda pergi. Jadi dengan ASUS VivoBook S15, kedua-dua kriteria penting ini boleh anda nikmati bagi memastikan produktiviti yang optimum.

Spesifikasi

  • Windows 10 Home
  • Intel Core i7-8550U / i5-8250U
  • NVIDIA GeForce MX150 (2GB GDDR5)
  • 15.6 inci LED FHD (1920 x 1080 piksel)
  • 256GB / 128GB SATA SDD + 1TB HDD
  • 4GB DDR4 (2400MHz)
  • 42Wh 3-cell Lithium Prismatic Battery
  • Teknologi pengecas pantas 65W (19V3.4A)
  • ASUS SonicMaster stereo audio system
  • 1x USB-C 3.1, 1x USB-A 3.1, 2x USB 2.0, 1x HDMI, 1x 3.5mm audio jack, 1x microSD card reader
  • HD webcam
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth v4.2
  • Papan kekunci dengan saiz penuh
  • Pengimbas cap jari (pada touchpad)
  • 36.14 x 24.35 x 1.8cm
  • 1.8kg

 

Pilihan Warna dan Harga

(Dari kiri) Icicle Gold, Gun Metal, Silver Blue, Star Grey, dan Firmament Green

Dengan rekaan yang minimalis serta kompak, ASUS VivoBook S15 ditawarkan dalam lima warna pilihan yang sangat menarik iaitu Icicle GoldGun MetalSilver BlueStar Grey dan juga Firmament Green. Sungguhpun begitu untuk pasaran Malaysia, pilihan warna ini bergantung juga kepada model yang anda pilih seperti berikut:

Model Warna Spesifikasi Harga
S530U-NBQ326T Gun Metal i5-8250/4G/1TB+128G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM2,999
S530U-NBQ327T Firmament Green i5-8250/4G/1TB+128G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM2,999
S530U-NBQ328T Star Grey i5-8250/4G/1TB+128G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM2,999
S530U-NBQ329T Icicle Gold i5-8250/4G/1TB+128G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM2,999
S530U-NBQ048T Icicle Gold i5-8250/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM3,299
S530U-NBQ049T Gun Metal i5-8250/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM3,299
S530U-NBQ050T Firmament Green i5-8250/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM3,299
S530U-NBQ173T Star Grey i5-8250/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD/FP/BL RM3,299
S530U-NBQ181T Gun Metal i7-8550/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD RM3,899
S530U-NBQ237T Icicle Gold i7-8550/4G/1TB+256G/MX150 2G/WIN10/FHD RM3,899

Anda boleh membelinya melalui kedai rasmi ASUS di Lazada: https://www.lazada.com.my/shop/official-asus-store

 

Reka Bentuk

Panel hadapan diperbuat daripada aluminium dengan kemasan ‘brushed metal’.

Kami telah menerima set ulasan ASUS VivoBook S15 dalam warna Icicle Gold dan dari segi rekaan luaran, ia kelihatan lebih low-profil berbanding pilihan warna yang lain. Bagi setiap pilihan warna yang ditawarkan, ia tampil dengan kombinasi warna yang agak kontras kecuali warna Icicle Gold yang menggabungkan warna emas pudar (panel luar dan papan kekunci) dan juga putih (kerangka sisi).

Unit ASUS VivoBook S15 yang kami terima ini merupakan warna Icicle Gold dengan kombinasi panel atas dan bawah dalam warna emas pudar, manakala bahagian tengahnya hadir dalam warna putih.

Sepanjang pengalaman kami menggunakan VivoBook S15, ciri mudah alih yang dibawakannya juga ingin kami fokuskan kerana ia memiliki berat sekitar 1.8kg dengan ketebalan hanya 1.8cm. Dua kombinasi ini menjanjikan lebih keselesaan kepada kami untuk membawanya ke mana sahaja kami pergi menggunakan beg galas ataupun messenger bag.

Panel Skrin 15.6″

Panel skrin LED backlit FHD berukuran 15.6 inci pada ASUS VivoBook S15 sememangnya sangat menonjol rekaannya kerana memiliki saiz bezel yang sangat nipis dikenali sebagai NanoEdge Display.

Apa yang menjadi salah satu ciri-ciri istimewa ASUS VivoBook S15 adalah sokongan skrin yang besar tanpa memberi kesan kepada saiz keseluruhannya. Ini kerana ia hadir dengan rekaan paparan inovatif yang dikenali sebagai NanoEdge Display yang menjanjikan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah 86%. Jelas dapat dilihat bahawa saiz bezel pada bahagian atas dan kedua-dua sisi skrin VivoBook S15 kelihatan sangat nipis.

Bahagian bezel atas yang nipis ini turut menempatkan HD Webcam.

Sokongan paparan skrin 15.6 inci LED FHD dengan permukaan kusam (matte) ini juga turut menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dalam apa jua pencahayaan, kerana ia tidak memiliki pantulan cahaya yang boleh mengganggu fokus ketika menggunakannya. Bahkan sudut pandangan luas sehingga 178° dengan mod Eye Care mampu menapis sehingga 30% cahaya biru yang boleh membuatkan mata cepat lesu.

Papan Kekunci Penuh

Walaupun VivoBook S15 tidaklah begitu lebar iaitu sekitar 24.35cm, ia masih menyokong papan kekunci penuh dengan butang nombor. Pengalaman menaip menggunakan papan kekunci dengan key travel 1.4mm ini terasa memuaskan, tetapi pada unit ulasan yang kami terima ini mempunyai sedikit isu pada butang ‘Enter’ yang ada kalanya perlu ditekan dengan kuat untuk berfungsi (mungkin disebabkan ia telah digunakan oleh pengulas yang lain sebelum ini).

Sokongan backlit pada butang papan kekunci sangat membantu dalam persekitaran yang gelap.

Penggunaan VivoBook S15 di dalam gelap juga tidak menjadi masalah kerana papan kekunci untuk unit yang kami gunakan ini dilengkapi dengan lampu backlit berwarna putih. Malah lebih menariknya, tahap keterangannya boleh dilaras pada tiga tahap berbeza atau boleh terus dimatikan.

Pad Sentuh

Sekiranya sensor pengimbas cap jari diintegrasikan terus pada butang kuasa mungkin lebih praktikal.

Pad sentuh pada VivoBook S15 yang menyokong teknologi Precision TouchPad (PTP) berupaya menyokong kawalan pintar sehingga empat jari. Fungsi righ-click akan dipaparkan apabila dua jari disentuh secara serentak pada pad sentuh, manakala tiga jari pula akan mengaktifkan Windows Hello (tidak disokong di negara ini), dan empat jari akan mengaktifkan panel notifikasi serta tetapan pintas. Pada bahagian pad sentuh ini juga turut diintegrasikan dengan sensor pengimbas cap jari.

Port Pada Sisi Kiri

Pada bahagian sisi kiri VivoBook S15, terdapat dua port USB-A 2.0 disediakan dan ia sesuai untuk anda gunakan bagi menyambungkan aksesori tambahan yang tidak memerlukan kepantasan seperti tetikus. Bahagian ini turut menempatkan satu slot pembaca kad microSD yang boleh digunakan tanpa memerlukan sebarang adapter.

Port Pada Sisi Kanan

Bahagian sisi kanannya pula hadir dengan lebih banyak port I/O iaitu port pengecas, satu port USB-A 3.1, satu port HDMI, satu port USB-C 3.1 dan juga bicu audio 3.5mm.

Rekaan Engsel Unik

Salah satu keistimewaan pada VivoBook S15 adalah rekaan engsel unik yang dikenali sebagai ErgoLift. Rekaan sebegini bukan sahaja kelihatan cool, tetapi dalam masa yang sama ia turut menjanjikan dua fungsi yang sangat praktikal. Fungsi yang pertama adalah memberikan keselesaan ketika menaip kerana permukaan papan kekunci akan dicondong pada sudut 3.5° apabila panel skrin dibuka.

Fungsi praktikaliti kedua adalah mampu membantu sistem penyejukan yang lebih baik kerana udara panas mampu dilepaskan dengan lebih baik pada bahagian bawah komputer riba ini. Bahkan sepanjang kami menggunakan VivoBook S15, tidak pula kami berhadapan dengan isu kepanasan walaupun menggunakan untuk tempoh yang agak lama.

 

Prestasi Benchmark

 

Kesimpulan

ASUS VivoBook S15 bukanlah komputer riba paling nipis atau ringan boleh anda dapati di pasaran, tetapi rekaan minimalis yang cukup kompak dengan sokongan skrin sebesar 15.6 inci terasa cukup nipis dan ringan untuk ciri mudah alih. Memandangkan rekaan papan kekuncinya diperbuat plastik bagi memastikan ciri mobiliti yang terbaik, bahagian atas pada papan kekunci komputer riba ini terasa agak lembut apabila ditekan.

Mungkin kapasiti RAM sebesar 4GB tidak cukup besar bagi sesetengah pengguna, tetapi ia sudah memadai bagi kami ketika menggunakannya untuk tempoh dua minggu ini bagi menyiapkan artikel. Sebagai seorang penulis, pembukaan lebih daripada 10 tab untuk mencari maklumat langsung tidak memberikan masalah. Tetapi jika anda masih mahukan kapasiti RAM yang besar, ia tersedia dengan satu slot tambahan untuk naik taraf RAM sehingga 16GB.

Dengan ASUS VivoBook S15, ciri produktiviti juga turut diutamakan kerana masa boot up komputer riba ini hanya mengambil masa kurang lima saat. Malah ia juga boleh diletakkan di atas paha untuk tempoh masa yang lama tanpa menyebabkan rasa tidak selesa yang disebabkan oleh haba yang dihasilkan. Tidak cukup dengan itu, masa pengecasannya juga sangat pantas iaitu hanya mengambil masa 49 minit untuk mendapatkan kapasiti bateri mencecah 60%.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend