[Ulasan] ASUS TUG Gaming FX505DU – Komputer Riba Gaming Pada Harga Mampu Milik Comments Off on [Ulasan] ASUS TUG Gaming FX505DU – Komputer Riba Gaming Pada Harga Mampu Milik 432

ASUS baru-baru ini telah melancarkan komputer riba gaming terbaru menerusi model TUF Gaming FX505 DV/DU/DT/DD. Ia merupakan komputer riba gaming pertama di Malaysia yang menggunakan konfigurasi pemproses AMD Ryzen dan NVIDIA GeForce.

Harga yang diumumkan oleh pihak ASUS untuk komputer riba ini nampaknya lebih rendah daripada versi terdahulu. Untuk varian permulaan ia dijual pada harga RM2,899 sebuah yang mana boleh dianggap sebagai komputer riba gaming mampu milik setakat ini di pasaran. Ia juga hadir dengan spesifikasi berbeza-beza pada harga sehingga RM5,199. Untuk ulasan ini, kami menerima varian paling atas.

Spesifikasi

  • Windows 10 Home
  • AMD Ryzen 7-3750H
  • Sehingga 8GB DDR4 (2666Mhz)
  • PCIE NVME 512GB M.2 SSD (extra SATA slot: 1)
  • NVIDIA GeForce RTX 2060
  • 15.6-inci FHD IPS LCD (1920 x 1080 piksel)
  • Sehingga 120Hz kadar segar semula
  • 48Wh, 3S1P, 3-cell Li-ion Battery
  • DTS Surround Sound audio system
  • Pembesar suara stereo
  • 2x USB-A 3.1, 1x USB-A 2.0, 1x HDMI, 1x 3.5mm audio jack, 1x RJ-45 jack
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, 2×2 Wave 2 WLAN
  • HD webcam
  • Papan kekunci dengan saiz penuh
  • Papan kekunci RGB sepenuhnya
  • 360.4 x 262 x 26.8mm
  • 2.2kg

Varian dan Harga

  • AMD Ryzen 5-3550H, NVIDIA GTX 1050, 4GB RAM – RM2899
  • AMD Ryzen 5-3550H, NVIDIA GTX 1650, 4GB RAM – RM3199
  • AMD Ryzen 7-3750H, NVIDIA GTX 1650, 4GB RAM – RM3499
  • AMD Ryzen 7-3750H, NVIDIA GTX 1660Ti, 8GB RAM – RM4399
  • AMD Ryzen 7-3750H, NVIDIA RTX 2060, 8GB RAM – RM5199

Rekaan

TUF Gaming hadir dengan kerangka badan berasaskan plastik berkualiti tinggi. Permukaan bertekstur juga menjadikan panel badan ini kelihatan seperti kepingan logam asli. Reka bentuk heksagon juga memastikan komputer riba ini duduk teguh di atas meja pada masa sama memberikan pengalaman premium kepada pengguna.

Ruang kosong di bawah papan kekunci juga lebih panjang daripada komputer riba biasa. Ini sekaligus memberikan keselesaan kepada pengguna semasa menaip atau bermain game. Untuk tempoh yang panjang, pergelangan tangan juga tidak akan berasa letih ataupun menyakitkan.

Berbanding komputer riba ROG, komputer riba TUF Gaming tidak didatangkan dengan lampu RGB pada logo. Ini bagi memberikan gaya berprofil rendah untuk pengguna yang tidak mahukan rupa yang menonjol.

6 Ciri Menarik

#1 – Paparan Imersif

ASUS telah menggunakan teknologi NanoEdge pada komputer riba ini, menawarkan bezel senipis 7.18mm untuk visual yang lebih luas dalam pakej yang kompak. TUF Gaming menggunakan panel IPS LCD dengan kadar segar semula setinggi 120Hz (varian tertinggi). Melalui teknologi ini pengguna dapat memainkan permainan dengan responsif, lancar, dan licin.

#2 – Berkuasa untuk melakukan apa sahaja

Komputer riba gaming sekompak TUF Gaming telah diperkasakan dengan CPU Ryzen dan GPU NVIDIA GeForce yang terbaru. Gabungan daripada kedua-dua pemproses ini sekaligus membolehkan pengguna melakukan Live streaming dan bermain permainan video tanpa sebarang masalah. Bagi pengguna yang melakukan pelbagai tugas dalam satu-satu masa, kombinasi dua pemproses ini sangat-sangat membantu bagi meningkatkan lagi produktiviti seharian.

#3 – Tahan lebih lasak

Sinonim dengan nama The Ultimate Force (TUF), komputer riba ini telah melepasi satu siri gred tentera yang ketat melalui ujian ketahanan MIL-STD-810G. Ia telah berjaya bertahan dalam pelbagai kondisi seperti di bawah sinaran matahari, kelembapan, suhu ekstrem, altitud yang tinggi, hentakan serta gegaran. Jadi, ia memberikan ketenangan minda kepada pengguna untuk membawa TUF Gaming ke mana-mana sahaja tanpa perlu risau akan sifat ketahanannya.

#4 – Teknologi Hypercool Meningkatkan Lagi Ketahanan

Penyejukan anti-habuk (ADC), teknologi HyperFan, dan dwi-kipas penyejuk CPU dan GPU dari kedua-dua bahagian dapat memastikan suhu komputer riba dalam keadaan normal. Ia juga dapat menghalang habuk daripada menembusi papan induk pada masa sama memanjangkan lagi hayat komputer riba.

#5 – DTS Surround Sound

Pengalaman audio sangat penting kepada pengguna terutamanya kepada golongan gamers. Setelah menyediakan pengalaman paparan yang imersif kepada penggna, bunyi stereo melalui dua pembesar suara di kiri dan kanan telah dimuatkan bersama.

#6 – Permainan lebih pantas dengan FireCuda SSHD

TUF Gaming memiliki papan kekunci RGB yang boleh dikustomasi. Konfigurasi butang WASD yang ganjil berwarna jernih ini juga turut memberikan nilai estetik pada keseluruhan papan kekunci. Butang melengkung 0.25mm juga dapat memberikan kawalan yang tepat kepada pengguna malah menurut pihak pengeluar, ia mampu bertahan sehingga 20 juta kali tekan.

HyperCool Thermal Design

Komputer riba gaming sememangnya memerlukan sistem penyejukan yang terbaik bagi memastikan suhu dikawal pada tahap yang minimal. Selain itu, ia juga memastikan perkakasan dalaman beroperasi dengan lancar untuk kadar prestasi yang optimum sepanjang menggunakan komputer riba.

Oleh itu, HyperCool Thermal Design telah digunakan pada komputer riba TUG Gaming ini. Salah satunya ialah melalui rekaan yang dipanggil trapezoid-cut, berfungsi sebagai ‘ekzos’ kepada ‘enjin’ apabila panel skrin dibuka. Disamping itu, rekaan dwi-kipas turut dimuatkan di dalam badan komputer riba bersama sistem Anti-Dust Cooling (ADC), yang mana akan menghemburkan habuk dari dalam ke luar menerusi saluran anti-habuk yang berada pada bucu kipas. Teknologi ini sekaligus mampu memanjangkan jangka hayat komputer riba untuk kegunaan jangka panjang.

Teknologi HyperCool boleh dikawal menggunakan butang FN+F5. Tiga mod iaitu Balanced, Silent, dan Turbo boleh digunakan mengikut kesesuaian. Seperti contoh, pengguna boleh menggunakan ‘Turbo’ sekiranya ingin bermain permainan berat atau menggunakan komputer riba dalam persekitaran berbahang, sementara mod Silent pula menawarkan putaran kipas yang lebih perlahan dan lebih senyap. Tetapi jika pengguna mahu sistem mengawal secara automatik, mereka boleh mengaktifkan mod Balanced.

DTS Audio Enhancement

Selain daripada menawarkan grafik yang baik serta paparan yang imersif, komputer riba TUF Gaming juga menyokong sistem audio 7.1. Menerusi fitur DTS Headphone, pengguna boleh mengkostumasi sistem audio mengikut citarasa tersendiri. Ia juga boleh ditetapkan sekiranya pengguna menggunakan fon kepala untuk model tertentu seperti ASUS Cerberus, Sennheiser HD 598, Audio Technica ATH-M50x, dan sebagainya.

Ujian Penanda Aras

ASUS TUF Gaming merupakan komputer riba berspesifikasi tinggi yang menawarkan pengalaman gaming yang mengasyikkan. Bagi membuktikan ia sebuah komputer riba yang berkuasa, beberapa ujian penanda aras telah dilakukan. Penulis telah menggunakan empat platfom iaitu Cinebench, FireStrike, SOTTR, dan Overwatch untuk tiga mod iaitu Silent, Balanced, dan Turbo.

Komputer riba ini juga tidak terlepas untuk diuji di platfom GeekBench. Skor yang diperolehi juga nampaknya agak tinggi berbanding komputer riba ASUS VivoBook S15 yang menggunakan CPU Intel Core i7-8550U dengan NVIDIA GeForce MX150.

Kesimpulan

ASUS TUF Gaming FX505DU merupakan komputer riba gaming yang menawarkan rekaan moden dan agresif. Binaan yang tahan lasak serta kukuh menjadikan ia sebuah komputer riba yang sangat sesuai kepada pengguna seperti penulis yang cuai terhadap barangan. Walaupun rupa paras komputer riba ini bersegi dan bergaris, tetapi daripada segi keselesaan tidak dapat dinafikan ia sangat selesa digunakan untuk tempoh yang lama. Pengalaman menaip juga tidak memenatkan, namun begitu papan kekunci ia kadangkala mengeluarkan bunyi yang sedikit janggal. Masalah haba pula sangat kurang dirasai, terima kasih kepada sistem penyejukan yang canggih yang pengeluar berikan.

Bercakap tentang CPU dan GPU terbaru, gabungan Ryzen 7 dan RTX 2060 berfungsi dengan cukup baik lebih-lebih lagi apabila memainkan permainan video. Sistem komputer beroperasi pada tahap yang optimum disamping memori SSD sangat membantu melicinkan keseluruhan sistem komputer riba. Pada harga RM5,199 untuk konfigurasi tertinggi, penulis merasakan TUF Gaming adalah pakej lengkap untuk komputer riba gaming. Ia juga bersaiz kompak dan mampu bersaing dengan komputer riba gaming daripada jenama lain.

Bagi yang ingin mendapatkan TUF Gaming tetapi tidak mahu berbelanja lebih, ASUS telah menawarkan konfigurasi asas seperti CPU Ryzen 5 dan GPU NVIDIA GeForce GTX 1050 pada harga kurang daripada RM3,000. Mungkin dengan aksesori tambahan seperti fon kepala dan tetikus khas dapat meningkatkan lagi pengalaman gaming ke tahap yang lebih tinggi.

Beli ASUS TUF Gaming FX505 di:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend